Wednesday, 12 August 2015

KELUHURAN KEPERCAYAAN DAN KEYAKINAN

Presiden dan Timbalan Presiden UMNO
1. Sejarah UMNO memperlihatkan bahawa parti keramat Bani Jawi ini tidak pernah lekang dilanda pelbagai krisis yang rata ratanya menyentuh soal Kepercayaan dan keyakinan. Malah senario krisis kepercayaan terhadap kepimpinan parti tersebut pernah dialami oleh para pengasas UMNO, seperti Allahyarham Dato' Onn Jaafar, bapa kemerdekaan , Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj, negarawan terbilang, Tun Dr Mahathir Mohamad, malah yang terkini, Presiden UMNO, Dato' Seri Najib Tun Abdul Razak.

Menurut peredaran zaman, Presiden-Presiden UMNO terdahulu sebelum era Tun Abdullah Ahmad Badawi boleh dikatakan masih lagi bertuah ekoran di zaman itu Malaysia masih lagi di zaman "dark ages" dalam penggunaan internet. Namun selepas Ayahanda Tun Dr Mahathir menyerahkan tampuk kuasa kepada Tun Abdullah, ditambah pula dengan insiden "Arab Spring" yang bertali arus di Timur Tengah, Malaysia seolah-ola terasa tempiasnya. Hasilnya, Tun Abdullah menjadi 'mangsa', ditewaskan bayang-bayang krisis kepercayaan dan keyakinan.

2. Rentetan itu, krisis berkenaan seakan-akan turut memburu dan membayangi pengganti beliau, Dato' Seri Najib. Media sosial tidak dapat dinafikan menjadi 'rencah penyedap rasa', begitu zalim disalahguna bagi menimbulkan ruang ketidak percayaan rakyat terhadap kepimpinan Presiden UMNO itu. Beliau dihujani persepsi demi persepsi sejak mengambil alih tampuk pentadbiran negara pada tahun 2009 lagi.

3. Hingga kini, segala persepsi negatif yang dilontarkan kepada Presiden UMNO itu seolah menjadi sebati dalam budaya masyarakat Malaysia. Bersikap biadap, kurang sopan dan tidak menghormati pemimpin itu telah menjadi satu kebiasaan, walaupun tindakan itu merupakan satu perkara yang dilarang oleh Islam. Percaya pada tohmahan dan fitnah di media sosial seolah menjadi satu kebiasaan di zaman ini. Itulah yang membimbangkan saya...


4. Kini, hanya dengan berbekalkan beberapa fakta yang telah diubah suai, dengan kebolehan mempengaruhi menerusi penulisan yang efektif di medium internet, jelas ia menjadi duri dalam daging bagi UMNO, khususnya Dato' Seri Najib selaku Presiden parti. Atas persoalan yang tidak jelas dan belum terjawab dengan jelas itulah, maka dilihat bibit pepecahan mula berlaku di dalam parti keramat bangsa ini. Presiden menggugurkan Timbalan Presiden, Timbalan Presiden mempersoal kreadibiliti Presiden. Sudah kucar-kacir di atas sana.jika tidak dibendung dan sedar ia akan terus parah..

5. Saya tidak fikir tindakan menyekat suara Timbalan Presiden, Naib Presiden atau mana-mana pemimpin UMNO yang bercakap soal 1MDB atau dana politik RM2.6 bilion akan meredakan keadaan di era ini. Entah siapa yang menasihati Perdana Menteri agaknya sehingga beliau tergamak memecah tradisi menggugurkan salah satu tiang seri yang mendokong kepimpinan UMNO. Tan Sri Muhyiddin merupakan sahabat akrab Dato' Seri Najib, siapa pula yang memisahkan mereka hingga kucar-kacir UMNO dibuatnya? Salahkah bertanya di zaman ini? Dan jika kurang berpuas hati dengan jawapan yang diberikan, apakah kami di bawah ini tidak wajar memberikan soalan susulan demi mengharapkan jawapan yang lebih baik?

6. Isu seperti pertukaran 2 Pengarah SPRM telah secara berterusan mengugat kepercayaan rakyat terhadap kerajaan, SOPnya yang dilhat "luar biasa" mengundang polemik dan kesempatan pada pembangkang dan rakyat.Keadaan ini megundang suara dari Ketua Pemuda UMNO mempersoalkan sehinggakan beliau yakin memperjudikan jawatannya daripada terus dirundung persoalan dan kekeliruan pada rakyat. kenyataan beliau terus disambut dan disokong beberapa lagi pimpinan pemuda negara, negeri dan bahagian menuntut penjelasan. Pada saya, apa yang dirisaukan bukanlah untuk menjadi hero mahupun meraih populariti diri, tapi lebih kepada mewakili suara orang muda, belia dan beliawanis negara. Lupakah kita bahawa dekad ini adalah dekad org muda? lupakah kita bahawa pengundi muda mewakili 40peratus dalam pola pengundian negara? adakah kita mahu senyapkan denyut rasa dan pefahaman isu ini pada orang muda dengan trus menyalahkan oh ini adalah "persepsi" dimainkan pembankang? sampai bila tanpa penjelasan konkrit?saya sendiri selaku pimpinan muda dibhgian sendiri bermasalah untuk menjelaskan dan menerima bulat2 tentang apa sahaja yang dijelaskan, apatah lagi rakyat.

7. Justeru itu, pada saudara Khairy Jamaludin teruskanlah bersuara kerana suara anda adalah suara kami pemuda bangsa dan juga suara dan aspirasi anak muda negara.  Ia bakal menafikan persepsi buruk yang dilemparkan berhubung isu SPRM berkenaan. Namun bagaimana dengan isu-isu lain? RM2.6 bilion misalnya statement bapak bapak menteri mahupun Perdana Menteri skalipun  bercanggah, sekejap tiada sekejap ada, sekejap duit simpanan sekejap derma.. jika untuk Parti, mengapa Timbalan Presiden tidak tahu tentang dana politik untuk UMNO tersebut. Saya sebagai pemimpin bawahan akur sekiranya saya tidak dimaklumkan. Namun takkanlah Timbalan Presiden tidak layak diberitahu tentang wang sebanyak itu yang diamanahkan kepada parti? Apakah itu juga hak prerogatif Presiden juga. Maafkan saya, saya sekadar bertanya tentang apa yang dipersoalkan akar umbi UMNO pada saya...


8. Secara jujurnya, saya yakin Tan Sri Muhyiddin, Dato' Seri Shafie Apdal, Dato' Seri Mukhriz Tun Mahathir, Saudara Khairy Jamaluddin, Saudara Azwan, Saudara Jamawi Jaafar dan beberapa pemimpin UMNO lain juga sayangkan institusi UMNO yang menjadi keramat bangsa kita, sama seperti Dato' Seri Najib, Dato' Seri Zahid Hamidi dan ramai lagi pemimpin yang saya sanjungi. Saya sokong kedua-dua belah pihak diatas nama taat pada kepimpinan parti. Namun,Pada pandangan saya, sebarang tindakan yang membabitkan isu-isu yang diperkatakan harus dilakukan secara berhati-hati kali ini supaya tidak disalah anggap dan menjadi 'bola tanggung' oleh pihak-pihak tertentu. Selain itu, segala persoalan juga haruslah dijawab secara menyeluruh, jelas dan tegas supaya tidak lagi dipersoal oleh mana-mana pihak.

9. Sekarang ini, parti keramat Bani Jawi ini  seluruhnya sedang bersidang di semua ceruk bahagian, kita  tidak dapat menafikan tentang wujudnya sedikit perasaan gundah di hati para perwakilan tentang senario politik dalaman UMNO yang sedang bergolak. seperti semua ketahui dan 'viral' ramai akar umbi mempersoalkan "masalah UMNO" Saya juga tidak terkecuali, turut berperasaan yang sama. Walau cuba ditepis, namun masih ada ruang yang sangsi meskipun sekelumit cuma. Apakah ini yang dikatakan krisis kepercayaan dan keyakinan jiwa? ia bukan sahaja krisis kepercayaan dalaman parti ia jugak menjadi penentu dan tanda aras kepercayaan dan keyakinan pada seluruh rayat bumi bani jawi ini? semua ini harus dibetulkan, janganlah berterusan kita dendangkan nostalgia kita, jasa kita tanpa membetulkan keadaan. Perdana Menteri juga janganlah mendendangkan lelucon beliau disokong 3 juta ahli Umno didada media, yang hanya menjadi bahan jenaka dan ada pula perwakilan bangun dan memyatakan "tolak saya" , "dont count me in". ini menyedihkan kerana kami dibawah ini menerima segala kejian ini, Kasihanilah.....

10.Walaubagaimanapun, ini bukan pertama kali UMNO mengalami krisis kepimpinan yang melibatkan kepercayaan atau keyakinan pada tampuk kepimpinan tertinggi. Setiap kali UMNO menghadapi krisis sebegitu dahulu, setiap kali itulah juga ia berjaya diselesaikan dengan baik, berlandaskan ukhuwwah dalam sebuah keluarga. Gesaan saya bukan terarah kepada memusnahkan atau permusuhan, sebaliknya lebih kepada gerakan ISLAH demi memperbaiki keadaan.... Saya bukan seorang pemimpin tertinggi parti. Malah saya bukan Ahli Majlis Tertinggi yang mempunyai kuasa di dalam parti. Namun hati saya berkeras mahu segala kesulitan dipermudahkan, segala kekusutan agar bisa terurai dengan aman. Bukankah barisan Presiden juga yang berpesan sebelum ini supaya mengutamakan kepentingan dan survival parti berbanding kepentingan diri sendiri?


11. Saya langsung tidak pernah meragui kepimpinan Presiden dan Timbalan Presiden UMNO. Malah dalam soal taat pada kepimpinan, saya sanggup berada di barisan hadapan menjadi benteng bagi kedua mereka. Namun, demi menghilangkan keraguan pada keyakinan dan kepercayaan kami, saya merayu dengan sepenuh hati, rungkaikan segala kekusutan yang melanda agar kami mampu tidur lena malam ini sebelum berdepan musuh durjana pada esok harinya. Harapan saya, dan saya juga yakin menjadi pengharapan semua perwakilan UMNO bahagian Alor Setar pada kehadiran Presiden UMNO yang bakal merasmikan Persidangan perwakilan pada tanggal 23hb Ogos kelak. Kita mahukan penjelasan isu, kita mahukan amanat dan penyelesaian agar beban yg terpikul oleh kami ini tidak lagi ditambah tambah  terus kukuhkan parti kerna apa yang penting, kelangsungan parti adalah lebih utama daripada mana mana susuk individu. Seperti yg senantiasa pimpinan laungkan Demi Agama Bangsa dan Negara.

12. Untuk kesekian kalinya, saya ucapkan tahniah kepada Ketua Setiausaha Negara atas arahan beliau menarik balik pertukaran 2 Pengarah SPRM berkenaan. dan tahniah pada saudara Khairy Ketua Pemuda Kebanggaan saya yang bersuara dan memberi kesan pada keputusan berbalik dalam isu ini.  Namun ia bukan menjadi tiket untuk kita mengambil mudah tentang isu-isu lain yang menggoyahkan parti. Sedarlah pemuda, suara kita suara azimat, suara kita suara kuasa sosial masyarakat, suara kita adalah suara generasi pengerak zaman dan terbukti kini melalui saudara khairy suara kita telah tersahut dan didengari.Saya bukan pujangga bangsa yang hebat menyusun bait-bait syair indah yang memuja-muji, namun hanyalah seorang anak muda yang rela hati mengabdikan diri demi memperjuangkan agama, bangsa dan negara sebagai wadah di jiwa kerana Disinilah Lahirnya Sebuah Cinta...

Syed Mohd Johan Rizal bin Syed Unan Mashri
AJK Pergerakan Pemuda UMNO Negeri Kedah
Naib Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Alor Setar

No comments:

Post a Comment

Assalamualaikum dan Salam Kedah Aman Makmur,
Sebagai pemberi komen yang bertanggungjawab, tidak akan dibenarkan sebarang komen dari 'anonymous' di blog ini. Pemilik blog juga tidak bertanggungjawab di atas sekarang komen yang melanggar etika, undang-undang dan peraturan yang ditetapkan SKMM.

Sila bertanggungjawab atas ulasan/komen yang diberikan.

Terima kasih.