1. Masih lagi terpahat di kotak minda saya mengenai ucapan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Kedah, Dato' Seri Mukhriz Tun Mahathir yang begitu lantang bertanyakan tentang kebenaran mengenai dana politik RM2.6 bilion, senada dengan Timbalan Presiden UMNO, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan bekas Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Kedah , Dato' Seri Shafie Apdal. Namun mengejutkan saya, Presiden UMNO, Dato' Seri Najib Tun Razak berani mengambil risiko menjejakkan kaki ke Kedah untuk merasmikan mesyuarat agung UMNO Bahagian Alor Setar baru-baru ini. Terima kasih untuk itu. Rasanya satu Malaysia tahu betapa beliau dilihat serong oleh segelintir ahli UMNO di Kedah, termasuk Menteri Besar Kedah yang beliau sendiri lantik pun mempertikai beliau. Rasanya semua orang dapat melihat betapa Dato' Seri Najib dipertikai dan diasak pihak tertentu di Kedah, malah ada yang mahu beliau meletak jawatan. Saya yakin bahawa beliau tahu tentang hal itu. Di hari tersebut, saya mendengar ucapan yang penuh tersirat dari dua orang pemimpin yang amat saya hormati, Dato' Seri Najib dan Dato' Seri Ahmad Bashah.
2. Dalam kita melihat UMNO secara holistik dan apa keutamaan yang menyaksikan kesimpulan yang dapat saya nyatakan dalam kunjungan Bapak Presiden ke Alor Setar bahawa keutuhan parti adalah lebih utama dari mana-mana susuk individu dlm kepimpinan utama. Presiden sendiri pada saya adalah suatu institusi yang bukan hak mutlak peribadi. Namun apa yang menjadi persepsi rakyat sekarang amat menyedihkan...
3. Selama dua hari Himpunan Bersih 4 berlangsung di ibu negara. Tidak dapat dinafikan bahawa kehadiran hampir 30 ribu penyokong termasuk media dan anggota pasukan keselamatan sememangnya meripakan gerombolan yang besar. Malah kehadiran Tun Dr Mahathir di himpunan yang dikuasai pihak pembangkan itu walaupun seolah-olah 'meludah ke langit', tidak wajar dipandang remeh. Namun jika direnung kembali, cuba kita fikirkan akhirnya kerajaan dan Perdana Menteri harus melihat himpunan tersebut mungkin bukan hanya dari konteks agenda pembangkang sahaja. Kita perlu berhati-hati dengan siri-siri Bersih yang dianjurkan sehingga mampu menjadi 'brand' yang menjadi suatu bentuk 'force' atau kuasa yang mendorong rakyat untuk menyertainya. Benarlah ianya agenda pembangkang, namun apa yg perlu kita khuatirkan ia mendapat perhatian rakyat pelbagai bangsa dan kelompok bangsa tertentu mula bersatu.
4. Kekecewaan Tun M pada UMNO dan kepimpinan kerajaan jelas terbukti
apabila dimanesfitasikan dengan hadirnya beliau 'meludah dirinya ke
langit'. Adakah kita fikir beliau tidak terfikirkan maruahnya? Apa tidak
beliau berfikir gemilangnya nama Mahathir selaku 'stateman' UMNO bakal
ditempelak oleh kita, ahli UMNO? Tapi apa yang lebih utama adalah suara
rakyat pelbagai fahaman agama dan menjangkaui pelbagai sahsiah politik,
apa keistemewaan yang Tun Dr Mahathir tidak dapat di zaman Najib sebagai
Perdana Menteri, zaman Pak Lah melihat Tun M 'dipeti sejukkan'. Namun
di zaman Najib, Tun M adalah penasihat petronas, beliaulah Pengerusi
Eksekutif Proton, beliau bebas di Yayasan Perdana, malah Tun M juga
merupakan penyokong kuat Najib dalam PRU ke-13, berkempen di seluruh
negara. Tun rela segalanya bakal ditarik balik dan beliau dipecat dari
UMNO? Namun kini, UMNO bagai ditempelak. Kekecewaan Tun M pada ahli
UMNO yang mungkin pada pengamatan pengalamannya telah gagal membawa
suara rakyat...
6. Lihatlah bagaimana bijaknya politik Tun M. Lihatlah bagaimana dia telah berjaya menjadi 'legend' yang berjaya meng'hijack' Bersih yang dilakonkan watak utamanya seperti Lim Kit Siang, Wan Azizah, Mat Sabu, Nurul Izzah, Dyana Sofya dan ramai lagi 'bintang-bintang utama' filem Bersih 4 kali ini. Lihatlah bagaimana beliau yang sudah lanjut usia berumur 90 tahun itu masih mampu mengakali dan menewaskan 'bintang-bintang pembangkang'. Malah kehadirannya beliau seolah disambut bagai bintang filem Hollywood terkenal berbanding pemimpin pembangkang di himpunan tersebut. Begitulah betapa Tun M serius mahu Najib meletak jawatan.
7. Pada hemah saya, tindakan Tun M itu jika dilihat secara positif dan bukan secara emosi ahli parti. Misalnya, mungkin boleh diambil semangat dari Rundingan Baling di antara Tunku Abdul Rahman dan Komunis untuk diperbincangkan demi meraih kembali keyakinan rakyat. Mungkin adalah wajar bagi kita untuk kembali menjiwai semangat jiwa besar pemimpin terdahulu yang terkenal dalam agenda memberi khidmat terbaik dan meyakinkan rakyat supaya disesuaikan bagi mendepani isu-isi semasa yang tercetus lewat akhir-akhir ini.
8. Tan Sri Muhyiddin pula dalam perutusan Merdeka 2015 semalam mendedahkan bagaimana sebuah kerajaan BN yang selama ini dipercayai dan dipatuhi oleh rakyat dan para penjawat awam telah berubah wajah, sebaliknya enggan lagi percaya dan meragui kepimpinan negara. Semuanya kerana kegagalan kepimpinan kerajaan menjelaskan persoalan yang tercetus selain dari tindakan menyekat suara dan dedikasi pegawai-pegawai kerajaan dalam menjalankan tugas. Beliau turut meluahkan rasa kecewa kerana pendekatan kepimpinan negara yang enggan menerima teguran ikhlas dari bawah yang mahu melihat Malaysia ditabdir dengan lebih baik lagi berbanding sekarang.
9. Berbalik kepada apa yang berlaku ketika kita di ambang Merdeka semalam, Bersih 4 mungkin berjaya mengumpul 50-80k ribu penyokong tegarnya tidur di jalanan. Kita juga tahu bahawa bilangan 80k ribu penyokong Bersih 4 pun tidak mewakili majoriti sekitar 13 juta warga Malaysia yang mungkin bakal mengundi pada PRU ke-14 nanti. Namun apa yang saya khuatiri, bilangan 80 ribu itu mampu berdongeng cerita mempengaruhi majoriti rakyat lain yang tidak berbaju kuning. Perkara berkenaan tidak wajar dibenarkan berlaku. Ahli UMNO hanyalah sekiat 3.7 juta orang sahaja dan bagaimana dengan sekitar 26 juta rakyat yang lain? Cuba pula fikirkan tentang 13 juta pengundi pada PRU ke-14 nanti apabila BN semakin ketinggalan undi popular, apa yang akan terjadi nanti?
10. Sehingga semalam, sudah 4 kali himpunan Bersih berjaya dianjurkan. Walaupun keempat-empat himpunan tersebut tidak diberi permit oleh pihak berkuasa, namun ia tetap berlangsung juga dan sempat mengumpul puluhan ribu penyokongnya setiap kali ia berlangsung. Inilah perkara yang saya hairankan. Sejauh mana ketegasan pihak berkuasa dalam menangani Bersih? Diwark-warkan di media kononnya Bersih tidak diberikan permit, Mufti-Mufti pula mengeluarkan fatwa himpunan itu haram di sisi Islam, malah ia turut diklasifikasikan sebagai himpunan haram. Namun mengapa ia tetap berlangsung? Bukan sekali dua, sudah EMPAT kali ia dianjurkan! Seriuskah penguatkuasaan terhadap huru-hara jalanan tersebut? Atau ia hanyalah sekadar retorik gertak mengertak sahaja? Usahlah begitu. Saya bimbang jika rakyat melihat pihak berkuasa hanyalah bagai 'meriam buluh'...
11. Biar pun saya membicarakan tindakan Tun M di himpunan Bersih 4 semalam, ia tidaklah membawa maksud bahawa saya bersetuju dengan tekanan jalanan sebegini. Perkembangan ini adalah sesuatu yang tidak sihat dan kerajaan perlu mengambil serius BERSIH agar is tidak terus dibina menjadi satu force yang akhirnya gagal. Yang paling ketara, saya langsung tidak bersetuju dengan saranan Tun supaya Ahli Parlimen BN menyokong undian tidak percaya terhadap Dato' Seri Najib Tun Razak sebagai Perdana Menteri Malaysia di Dewan Rakyat. Saranan tersebut pernah beliau usulkan ketika usaha beliau menjatuhkan Pak Lah sebelum ini dan terbukti cara berkenaan tidak menjadi pilihan UMNO atau BN secara tradisinya. Ia tidak beretika jika dirujuk kepada dasar kepartian UMNO sendiri.
12. Pada pandangan saya, masih ada lagi ruang masa untuk kita semua duduk semeja di meja rundingan bermuafakat bersama. Secara adab, etika, tatasusila bangsa dan akhlak yang diajar Rasulullah SAW, UMNO yang selama ini menunjangi BN turun-temurun secara tradisinya mampu menyelesaikan kemelut dalaman keluarganya dengan baik dan tidak terkesan dengan faktor-faktor luaran yang cuba mengeruhkan keadaan dengan menjadi 'batu api'. Paling akhir seperti Pak Lah sebelum ini yang menyaksikan peralihan kuasa sekalipun, ia masih lagi berjaya dilaksanakan dengan harmoni tanpa sebarang kekecohan yang memecah-belahkan UMNO. Saya tidak mahu apa yang berlaku pada PAS baru-baru ini berjangkit pada UMNO. Islam menyeru kita supaya bersatu-padu sesama kita, bukan berpecah belah tubuhkan GHB dan sebagainya...
13.Pada saya, Wala' kepada kepimpinan juga seharusnya berjalan secara dua hala antara pemimpin dan yang dipimpin, agar satu titik pertemuan mampu dicapai. Pemimpin datang dan pergi namun keramat parti tunjang bani 'Jawi' mesti terus kekal medepani perubahan dan tuntutan zaman. Mungkin padangan saya agak keras namun inilah persoalan dan padangan peribadi saya sendiri. Taat dan setia saya tetap pada wadah ini, dan ia tidak sekali kali mencetus pilihan baru.Namun, marilah kita benar benar perhalusi satu persatu bukan untuk menyalahkan sesiapa kerna sebagai manusia tidak lepas dari kesilapan. Apa yang lebih besar, semua rakyat malaysia tak mengira fahaman dan idealogi mahukan sesuatu kepastian dan keadaan negara yang lebih baik.Oleh itu kita harus benar benar serius menilai pelayaran BAHTERA MERDEKA INI
14. Justeru itu, mengambil iktibar pada apa yang berlaku sebelum peristiwa 31 Ogos 1957 pada 58 tahun yang lampau, saya mengambil kesempatan untuk menyeru kepada seluruh rakyat di Malaysia supaya kembali #SehatiSejiwa menjiwai semangat sebenar erti MERDEKA negara pada tarikh 31 Ogos 2015. Paling utama, jangan mengarut-ngarut dengan pengertian merdeka yang sengaja dibuat-buat pihak tertentu untuk memperlekeh kemerdekaan kita sedangkan mereka sendiri terbelenggu di sebalik pintu besi hati yang jumud dan penuh dengan rasa negatif yang membarah. Untuk golongan seperti itu, saya hanya mampu berdoa agar Allah SWT bersihkan hati mereka dari kekotoran itu.
15. Berlapang dadalah pada Merdeka ini. Benar bahawa perjuangan memerdekakan negara sudah tamat. Namun untuk mempertahankan kemerdekaan itu dari dijajah dengan corak penjajahan cara moden tanpa sempadan, kita dituntut untuk menyediakan pertahanan yang ampuh. Pada saya, pertahanan diri yang ampuh ialah iman dan taqwa pada Allah SWT, dan ianya perlu dihiasi dengan roh jatidiri kenegaraan, serta semangat nasionalisme dan patriotisme yang tinggi. Ingatlah bahawa perjuangan kita belum lagi selesai. Demi agama, bangsa dan negara, akan kita pertahankan kemerdekaan ini kerana "Di Sinilah Lahirnya Sebuah Cinta"...#sehatisejiwa
Syed Mohd Johan Rizal bin Syed Unan Mashri AJK Pergerakan Pemuda UMNO Negeri Kedah Naib Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Alor Setar |