Tuesday, 4 April 2017

CINTA TIGA SEGI; AH HOE KANTOI MAIN KAYU TIGA?


1. Daulat bola sepak Kedah jika mahu diperihalkan memang ada impaknya.

2. Hampir sebahagian besar pemain atau jurulatih yang berhijrah meninggalkan Kedah akhirnya tenggelam dengan gagal mempertahan reputasi dan mencipta nama semasa bersama Kedah. Khairil Muhaimin, Fauzi Shaari, Azmeer adalah beberapa nama sebagai contoh.

3. Inilah antara lain aura dan keramatnya Darul Aman. Memang benar sukan bola sudah menjadi satu kerjaya dan persaingan kian sengit dalam mendapatkan pemain dan jurulatih terbaik demi mengangkat nama pasukan negeri dan kelab. Lambang kemajuan dan gahnya bola sepak negara.

4. Namun progesionalisme dari segi bayaran gaji pemain dan jurulatih tidak diiringi dengan progesionalisme sikap dan attitude.


5. Dalam kes TCH, KFA tidak pernah pun mahu menyekat karier dan rezekinya dengan menerima tawaran lebih baik dan prospek yang lebih cerah untuk bersama pasukan kebangsaan cuma dikesali sikapnya yang seakan hilang ethic dan rasional tindakan.

6. Musim 2015 agak lama dia berkelana ke China atas dasar mahu meningkatkan keupayaan ilmu kejurulatihan. Sepanjang beliau tiada, Marcote mengemudi Lang Merah.

7. Dengan falsafah moden dan permainan tiki taka jurulatih Sepanyol itu berjaya membawa Kedah ke final Piala Malaysia edisi 2015, namun tewas di tangan Selangor. Dan perlawanan akhir itu TCH mengemudinya.


8. Bila musim 2016 bermula, prestasi Lang Merah terus terumbang ambing. Tatkala Ahmad Bashah diresmikan selaku Presiden KFA sekitar bulan Mac, bukan main ugutan dan surat berantai dihantar kepada Presiden yang baru. Tujuannya satu, TCH digantikan dan Marcote dikembalikan.

9. Namun Ahmad Bashah mengambil jalan berhemah. Keyakinan dan peluang terus diberikan pada TCH disebalik caci maki dan desakan penyokong die hard Lang Merah meski Bashah sedar dia mengambil laluan melawan arus.

10. Keyakinan disuntik, ruang seluasnya yang diberi pada TCH untuk mencorak, mencatur termasuk soal pilihan dan pembelian import tanpa sedikitpun campur tangan hatta dari pengurus atau barisan kepimpinan KFA membuahkan hasil. Dengan muafakat semua, kegigihan pemain, sorakan penonton, kebajikan pemain dan jurulatih yang cukup dijaga Ahmad Bashah walau dimehnah dan diboo penyokong akhirnya kejayaan 2016 diakhiri dengan mengondol piala Malaysia selain tempat ke 3 Liga Super.


11. Musim 2017 kepercayaan selain insentif pelbagai terus diberikan pada TCH oleh kepimpinan KFA. Awal musim Piala Sumbangsih jadi milik pasukan dan kini Lang Merah gah disinggahsana.

12. Namun panas berterusan akhirnya hujan dipertengahan. Dalam diam tatkala pasukan sedang menuju puncak dan ketika kepercayaan seluruh rakyat dan barisan kepimpinan KFA menjulang tinggi, back door deal dilakukan TCH.

13. Dalam keadaan beliau masih punyai kontrak dengan KFA selaku majikannya dengan bayaran elaun dan gaji tidak termasuk insentif lain sebanyak 60k sebulan, tanpa mematuhi etika dan adab yang sepatutnya, tiba-tiba surat perletakan jawatan diserah 1 April lalu di hari perlawanan suku akhir Kedah vs PKNP FC.

14. Satu tindakan misteri dalam keadaan surat tawaran rasmi dari majikan baru yakni FAM belum diterima. Penyokong dan majikannya hanya mengetahui hasratnya melalui akhbar esok harinya bukan melalui mulutnya sendiri.


15. KFA tidaklah mahu menyekat rezeki dan masa depan kariernya malah jika benar dia mahu memberi khidmat pada skuad kebangsaan tentulah satu kebangaan buat skuad dan negeri Kedah. Cuma caranya yang tidal profesional dalam soal ini yang mengundang misteri.

16. Sekali lagi Ahmad Bashah bertindak matang dan menunjukkan sikap kepimpinan gentleman. Melalui kenyataan media 3 April 2017, Bashah merumuskan sehingga KFA menerima surat tawaran rasmi dari FAM berhubung lantikan TCH, status quo bahawa TCH selaku ketua jurulatih Kedah adalag kekal.

17. Dan kita pasti hati TCH bukan lagi di Kedah kerana difahamkan imbuhan ditawarkan 4 kali ganda. Dan dapat diselami juga bahawa pemergiannya ke FAM hanyalah transit sebelum diarah mengemudi pasukan selatan tanahair.

18.Sama ada dengan TCH atau dengan jurulatih baru anak Kedah takkan mengalah. Selamat maju jaya kita ucapkan pada TCH. Kedah tetap akan disinggahsana dengan kekuatan baru dan formula segar tanpa elemen ENAU DALAM BELUKAR.

Syed Mohd Johan Rizal bin Syed Unan Mashri
AJK Pergerakan Pemuda UMNO Negeri Kedah
Naib Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Alor Setar
Pengerusi Kelab Belia Darulaman

No comments:

Post a Comment

Assalamualaikum dan Salam Kedah Aman Makmur,
Sebagai pemberi komen yang bertanggungjawab, tidak akan dibenarkan sebarang komen dari 'anonymous' di blog ini. Pemilik blog juga tidak bertanggungjawab di atas sekarang komen yang melanggar etika, undang-undang dan peraturan yang ditetapkan SKMM.

Sila bertanggungjawab atas ulasan/komen yang diberikan.

Terima kasih.