Thursday, 19 November 2015

ISU VAPE: SURAT TERBUKA KEPADA KEMENTERIAN KESIHATAN MALAYSIA


1. Saya melihat bahawa VAPE telah menjadi satu fenomena besar di negara lewat akhir-akhir ini. Perdebatan demi perdebatan berlaku, cadangan demi cadangan telah dikemukakan. Namun kontroversi yang melanda perencanaan isu vape ini masih lagi tergantung dengan pelbagai kritikan, perbalahan dan percanggahan pandangan yang belum mampu menjernihkan keadaan sekaligus membawa kepada satu titik yang dipersetujui oleh majoriti yang terlibat.

2. Kementerian Kesihatan (KKM) sebelum ini telah pun menegaskan tentang kandungan cecair vape yang mengandungi nikotin adalah satu perkara yang tidak wajar dibiarkan berlaku. Keputusan untuk mengambil tindakan terhadap para peniaga vape adalah berdasarkan Akta Racun 1952 dan merampas cecair yang mengandungi nikotin dari premis perniagaan yang rata-ratanya dipelopori anak-anak muda berbangsa Melayu. Hasilnya, timbul rasa tidak puas hati di kalangan mereka dan isu berkenaan melarat hingga melibatkan unsur sosio-ekonomi bangsa Melayu.

3. Terkini, KKM telah memutuskan bahawa penjualan cecair vape hanya dibenarkan untuk dijual di premis-premis ahli farmasi dan pengamal perubatan berdaftar sahaja. Sekali lagi isu vape ini meleret-leret apabila ada pihak yang memandang sinis pada kenyataan KKM tersebut. Malah ada di kalangan Pak Menteri yang turut campur tangan memandang keputusan KKM itu sebagai sesuatu yang kurang munasabah untuk diterima. Farmasi jual cecair vape? Boleh terimakah?


4. Pada pandangan saya, ramai pakar pengkaji perubatan sebelum ini mengaku bahawa pihak mereka masih lagi belum mampu membuat satu kajian yang menyeluruh dan membuktikan penggunaan vape itu sebagai satu ancaman terhadap kesihatan manusia yang kronik. Malah jika dikatakan ada sekali pun kajian yang dijalankan, ia hanya menjurus kepada beberapa ujian jangka pendek dan belum menyeluruh berbanding apa yang pernah dilakukan terhadap rokok atau ancaman tembakau terhadap kesihatan manusia.

5. Herbert A. Gilbert merupakan individu yang pertama mencipta vape pada sekitar tahun 1963. Tidak dikormesilkan kerana budaya merokok yang menjadi trend ikutan ketika itu, maka paten yang dihasilkan pakar reka Amerika Syarikat itu tidak mendapat sambutan. Pada tahun 2003, seorang ahli farmasi dari China, Hon Lik pula telah mencipta vape berasaskan tanaman herba Ginseng. Dia mencipta vape setelah bapanya meninggal dunia akibat kanser paru-paru gara-gara terlalu kuat merokok! Pada pandangan saya, sejarah penciptaan vape itu sudah cukup untuk membuktikan tentang potensi besar vape sebagai pilihan alternatif untuk menamatkan ketagihan rokok kepada sesuatu yang lebih sihat. Jika tidak, kenapa Hon Lik mencipta vape, bukan?

Ahli farmasi dari China, Hon Lik
6. Berbalik kepada cerita nikotin di dalam cecair vape, berapa banyakkah kandungan sebatian 'racun' tersebut di dalam cecair yang digunakan? 6 mg? 9 mg? 12 mg? Apa masalahnya? Masalah yang timbul hanyalah satu sahaja iaitu merujuk kepada nikotin itu adalah tertakluk pada Akta Racun 1952. Sekiranya para pengeluar cecair vape itu mempunyai lesen yang sah dari pihak berkuasa dan KMM, serta kemudiannya dikenakan cukai sewajarnya, maka saya tidak melihat satu pun masalah berhubung penjualan cecair bernikotin itu dari sudut perundangan. Semuanya selesai bukan?

7. Saya bukanlah bermaksud untuk menidakkan kuasa yang ada pada penguatkuasa KKM, namun tindakan terburu-buru menerusi serbuan terhadap peniaga vape dan rampasan cecair bernikotin itu adalah satu pendekatan yang kurang wajar. Sepatutnya, KKM wajar berbincang dengan Persatuan E-Vaporizers dan Tembakau Alternatif Malaysia (MEVTA) dan mempertimbangkan hasil perbincangan tersebut terlebih dahulu sebelum bertindak. Hanya kerana tindakan terburu-buru itu, saya yakin bahawa sesiapa pun akan marah KKM, bukan? Sekarang, KKM rasa tercabar bila ada yang marah dan berlaku sinikal?

8. Sepanjang hidup saya, saya menyaksikan betapa kerapnya pihak KKM berkempen dan melancarkan pelbagai program untuk menghentikan ketagihan dan budaya merokok di kalangan rakyat Malaysia. Sekiranya dihitung sejak awal merdeka, agaknya sudah berapa bilion ringgit yang digunakan KKM untuk menamatkan budaya merokok? RM50 bilion? Sejauh manakah keberkesanan kempen tersebut sedangkan rakyat Malaysia semakin hari semakin menyumbang keuntungan berbilion ringgit pada pengeluar rokok setiap tahun? KKM menghabiskan berbilion untuk hentikan budaya merokok, tapi perokok di Malaysia makin bertambah galak mengeluarkan wang poket berbilion kepada syarikat British American Tobacco setiap tahun? Berkesan, kah?


9. Lantaran dengan tercetusnya fenomena vape di Malaysia, apalah salahnya jika KKM mengambil kesempatan ini dengan bekerjasama dengan MEVTA untuk mencari kata sepakat dalam menangani secara positif tentang permasalahan yang timbul? Apalah salahnya untuk duduk semeja berbincang secara 'win-win', menyelesaikan masalah perundangan dan kawalan penggunaan vape secara rasional? Apalah salahnya jika beri masa kepada kepada agenda 'perang rokok' dan mengambil kesempatan tersebut untuk menyelamatkan rakyat Malaysia dari bahaya rokok yang dicanang KKM selama puluhan tahun? Apa perlunya bertindak keras terhadap peniaga vape dan apakah KKM suka dituduh sebagai 'cuba tunjuk kuasa'?

10. Saya menulis pandangan ini di atas penilaian dan perincian saya terhadap fenomena VAPE yang berlaku di negara kita. Jika sebelum ini rakyat Malaysia mengkayakan British American Tobacco, apa kata jika para perokok beralih mengkayakan peniaga muda berbilang kaum di Malaysia pula? Cuma perlukan rundingan yang sihat, kajian yang adil dan titik pertemuan yang dipersetujui bersama. Susah sangatkah untuk berbuat demikian? Jika perlu, tetapkan garis panduan dan peraturan yang setara dengan penggunaan rokok...

11. Saya bukanlah seorang menteri. Namun saya dapat melihat dari pelbagai sudut pandang tentang fenomena vape sama ada dari pakar-pakar farmasi, perubatan, akademik, politik, pengkaji dan sehinggalah ke peringkat pengguna vape sendiri. Janganlah kerana isu seremeh vape, teruk nanti kerajaan Malaysia dihentam ramai pihak. Saya sebagai pendokong tegar kerajaan tidak mahu melihat isu vape dan keputusan KKM ini memberikan impak negatif terhadap imej Kerajaan BN. Saya harap Presiden MIC yang baru itu mengerti...


12. Kesimpulannya, saya tidaklah menganggap pandangan dan cadangan saya ini benar serta perlu diikut 100 peratus. Namun saya yakin bahawa ramai pihak 'di bawah' ini yang setuju dan senada dengan pandangan saya kali ini. Namun selaku bekas 'perokok tegar' yang tahu betapa sengsaranya penangan rokok, betapa peritnya untuk tinggalkan ketagihan dan mengalami sendiri kelebihan vape, saya yakin bahawa vape merupakan alternatif positif yang perlu dipertimbang KKM untuk 'memerangi' ketagihan rokok. Jika tidak, slogan yang laungkan KKM seperti 'Saya benci rokok' atau 'Belia benci rokok' hanyalah bagai mencurahkan daun keladi sahaja.

13. Bagi peribadi saya, setelah berjaya meninggalkan rokok 100 peratus kelak dalam perantaraan vape, saya yakin mampu untuk meninggalkan penggunaan vape dengan mudah. Dengan nikotin vape yang serendah 6 mg sebelum ini, saya yakin kesannya adalah amat minimum tidak seteruk penangan untuk saya meninggalkan rokok. Apapun, saya serahkan kepada KKM untuk mempertimbangkan cadangan saya ini. Saya menulis bukan kerana saya bencikan KKM, malah kerana saya sayangkan KKM maka saya berikan cadangan yang membina ini. Semoga KKM rasional dalam hal ini dan berlapang dada dalam menerima cadangan...

Disinilah Lahirnya Sebuah Cinta...
Syed Mohd Johan Rizal bin Syed Unan Mashri
AJK Pergerakan Pemuda UMNO Negeri Kedah
Naib Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Alor Setar

No comments:

Post a Comment

Assalamualaikum dan Salam Kedah Aman Makmur,
Sebagai pemberi komen yang bertanggungjawab, tidak akan dibenarkan sebarang komen dari 'anonymous' di blog ini. Pemilik blog juga tidak bertanggungjawab di atas sekarang komen yang melanggar etika, undang-undang dan peraturan yang ditetapkan SKMM.

Sila bertanggungjawab atas ulasan/komen yang diberikan.

Terima kasih.