Monday, 13 November 2017

BAJET "VALUE FOR MONEY" KEDAH 2018. #TQMB


1. Menteri Besar Kedah, Dato' Seri Ahmad Bashah Md Hanipah selesai membentangkan Bajet Kedah 2018 di Dewan Undangan Negeri (Dun) Pada 12 November 2017. Saya yakin, ramai rakan anak-anak Kedah yang mengikuti pembentangan bajet berkenaan.

2. Dengan tema 'Menerus Kemajuan, Menzahir Impian', saya juga yakin bahawa intipati pembentangan belanjawan oleh Ahmad Bashah telah berjaya membuat ramai yang gembira, bersyukur kepada Allah dan berterima kasih kepada Kerajaan Negeri. 

3. Namun begitu, jangan lupa juga kepada mereka yang akan memperlekeh belanjawan itu dengan alasan 'typical' seperti 'bajet pilihan raya', 'gula-gula' dan sebagainya. Setiap kali bajet dibentang pada setiap tahun, memang itulah alasan mereka sebelum ini. Namun saya yakin, jauh disudut hati mereka, akan mereka akui bahawa bajet Ahmad Bashah kali ini memang menarik dan realistik!


4. Saya secara peribadi, teruja dengan Bajet Negara 2018. Justeru, saya menzahirkan rasa syukur dan berterima kasih kepada Kerajaan Persekutuan, khususnya kepada Dato' Seri Najib Tun Razak, terhadap kandungan belanjawan yang saya bukan saja realistik, progresif dan bijak, malah tidak keterlaluan saya nobatkan sebagai belanjawan terbaik yang pernah dibentang, khususnya kepada orang Kedah.

5. Jika dulu insentif khas diberikan kepada penoreh dan pekebun kecil yang terlibat dalam industri getah, kali ini pesawah di bumi Jelapang Padi ini juga akan merasa nikmatnya. Imam, Bilal, Siak, Guru Takmir dan Kafa, juga mendapat manfaat lebih baik. Kedah juga dianugerahkan Pusat Kanser Negara yang bernilai RM500 juta yang dijangka bakal memberi faedah kepada rakyat sekitarnya dan paling mengembirakan, BR1M juga terus membantu golongan sasaran. Syabas PM!

6. Bagi mereka yang rasional, mereka akan dapat menilai sendiri dan berfikir dengan baik tentang bajet tersebut. Sejajar dengan Bajet Negara 2018 yang dibentang Perdana Menteri, Dato' Seri Najib di Dewan Rakyat, sahabatnya Ahmad Bashah di sini juga memberi khabar gembira buat rakyat Kedah serata-ratanya.










7. Pertamanya, saya suka menyentuh tentang tradisi BN yang sentiasa memikir, merancang dan melaksanakan dasar yang mengutamakan KEBAJIKAN RAKYAT. MB mengumumkan peruntukan sebanyak RM5 juta untuk membaik pulih rumah bagi golongan yang memerlukan. Begitu murah rezeki rakyat Kedah dan saya yakin ia akan banyak membantu golongan kurang bernasib baik di negeri ini.



8. Selain itu, perkara-perkara 1 hingga 6 di atas jelas membuktikan bahawa Kerajaan Negeri sentiasa tahu tentang keperluan sebenar rakyat di negeri ini. Bantuan am, bantuan segera, dana pendidikan, saguhati, peruntukan untuk guru-guru kampung dan KAFA, serta kemudahan pengangkutan awam, saya yakin bahawa segala yang diumum ini bakal membuat ramai tersenyum, menarik nafas lega.


9. Jika isu air telah menjadi rungutan rakyat di negeri ini, maka meneliti pada rangkuman Bajet Kedah 2018 ini, saya melihat betapa serius Kerajaan Negeri cuba menyelesaikan masalah yang ditanggung puluhan tahun oleh orang Kedah. Bukan saja kita, MB sendiri pernah mengalami masalah bekalan air. Namun semalam, resolusi perlaksanaannya jelas terbentang meyakinkan. 





10. Cuba lihat dan hadam satu persatu infografik di atas. Teliti dan fahami. Loji Sungai Santap, loji-loji rawatan air, Jeniang Transfer, semua prasarana tersebut saya jangka akan melenyapkan kirakira 90 peratus masalah bekalan air di Kedah. Kemudahan pembayaran bil kepada SADA yang tidak mengenakan sebarang caj tambahan kepada rakyat juga dilihat sangat membantu, bukan?

11. Paling menarik, bermula Januari tahun depan, kita akan menerima 20 meter kiub air percuma di mana cajnya akan dibiayai oleh Kerajaan Negeri. Demi kita orang Kedah, Kerajaan Negeri sanggup membiayai sebanyak RM1.5 juta sebulan atau RM18 juta setahun. Jika ada yang cuba memperlekeh kononnya meniru Selangor, apa salahnya jika ia memanfaatkan rakyat? Tidak hairan kerana Selangor adalah sebuah negeri yang kaya, namun Kedah yang antara negeri paling berpendapatan rendah, namun kerajaan kita tetap mahu kita menikmati kemakmuran bersama, bukan?


12. Dari sudut pelaburan, PM sebelum ini sudah mengumumkan tentang 'Special Border Economic Zone' di Bukit Kayu Hitam. Bagi mereka yang pernah meneliti 'blue print'nya, mereka akan akui ia akan memberi impak yang cukup baik kepada rakyat di sekitar kawasan tersebut. 'Berduet' dengan KTPC yang terkenal seantero dunia, 'Special Border Economic Zone' ini akan mencipta puluhan ribu peluang pekerjaan. Ditambah pula dengan Kedah Science and Technology Park, saya kira, pelabur akan bertumpu ke negeri kita memenuhi peluang keemasan membawa pelaburan mereka ke Kedah.




13. Lihat saja projek-projek pelaburan utama yang tersenarai di atas, dengan 'grand design' yang strategik 'Special Border Economic Zone' yang melibatkan sempadan Bukit Kayu Hitam - Thailand, 'berjiran pula dengan Kedah Rubber City di Padang Terap, cuba bayangkan apakah yang akan berlaku di daerah-daerah utara Kedah itu. Jangan hairan jika Kedah akan menjadi tumpuan para pelabur dan rakyat pula akan menikmati perkongsian pembangunan ekonomi yang mapan nanti.





14. Kedah tidak boleh lari dengan 'trademark' kita sebagai negeri pertanian. Dengan jolokan 'jelapang padi' yang memain peranan penting dalam dasar Agromakanan Negara, Khabar gembira untuk pesawah kita bukan sekadar RM200 selama 3 bulan, malah hasil sawah padi mereka juga akan melonjak lebih tinggi. Lebih RM6 juta peruntukan pula bakal dinikmati oleh pak tani, peladang dan usahawan-usahawan tani yang banyak berbudi pada tanah. Penternak pun akan beruntung juga dengan jutaan ringgit peruntukan? Alhamdulillah...

15. Menerusi Kedah Food Valley, saya yakin Kedah kini berada di atas landasan yang betul ke arah sebuah negeri agromoden dengan penggunaan teknologi tinggi yang bukan saja menjimatkan, malah meningkatkan kualiti hasil tani. Menariknya, pakejnya lengkap dengan bantuan pelan pemasaran dari agensi kerajaan. Jangan terkejut, kini sudah ramai usahawan kita yang berjaya menembusi pasaran luar negara. Sampai ke Jepun pun ada..!


16. Kedah memang tidak dapat dipisahkan dengan dunia SUKAN, khususnya bola sepak. Tidak perlu diwar-warkan, bola sepak adalah 'kegilaan' ramai orang kita. Siapa yang mampu nafikan cakaran Lang Merah setahun dua ini? Walau terpaksa merelakan Piala Malaysia yang kita miliki dibawa 'lari' Harimau Selatan, kita juga tidak kemarau dengan piala lain, bukan? Walau dilabel sebagai 'orang kampung', Kedah tetap gah di persada bola sepak negara dan menariknya, kita tidak pernah tandus melahirkan 'ubi-ubi muda' yang berkualiti tinggi, bukan? Itulah KEDAH..!



17. Bagi memastikan rakyat Kedah sihat dan terus bersemarak semangat kesukanannya, Kerajaan Negeri komited menghidupkan semula Sukan Kedah Darulaman atau SUKDA. Saya yakin, dengan Akademi Dato' Ahmad Basri (ADAB) dan SUKDA, lebih ramai lagi 'ubi-ubi muda' akan berjaya dilahirkan. Selain itu, dengan peruntukan sebanyak RM7.4 juta dari Kerajaan Pusat untuk pembinaan gelanggang squash di Stadium Sultan Abdul Halim, jangan terkejut jika Kedah juga mampu melahirkan juara-juara dunia seperti Dato' Nicol Ann David di Pulau Pinang!





18. Pun begitu, Kedah tidak pernah lupa pada kepentingan agama Islam yang menjadi tunjang pentadbiran di tanah bertuah ini. Peranan masjid yang dulunya dilihat terhad, kini diperkasakan melalui 6 perkara yang menjadi perhatian Kerajaan Negeri. Cuba teliti betul-betul semua yang diumumkan MB kita pada infografik di atas. Bukanlah hendak memuji, namun memang selayaknya mendapat pujian pun. Orang sekolah tinggi di luar negara pun tidak terfikir buat begini walaupun pernah 3 kali bentang bajet, bukan?


19. Selain itu, bagi memastikan orang Kedah tidak pernah kering dengan modal insan yang berkualiti, berjiwa rabbani dan membudayakan akhlak mahmudah, Ahmad Bashah bentangkan suatu yang realistik mudah dicapai, namun mungkin tidak pernah terlintas di benak fikiran Menteri Besar sebelumnya. Jelas sekali impian seluruh maahad tahfiz dan institusi pengajian pondok amat dekat di hati Kerajaan Negeri. Malah Maahad Mahmud yang dikata konon dipinggirkan, terbukti bakal diperkasakan lagi dengan peruntukan jutaan ringgit demi perjuangan mengimarahkan pendidikan agama di negeri ini. 





20. Saya yakin, ramai penjawat awam tersenyum meleret mendengar pengumuman Ahmad Bashah. RM2,000 yang bakal diterima tahun depan, disulam dengan penghargaan demi penghargaan atas kejayaan mendapatkan pulangan hasil yang lebih banyak pada tahun lalu. Dengan kebijaksanaan, kesungguhan dan komitmen yang diberikan para pejawat awam negeri, saya yakin mereka layak menerima rezeki Allah ini. Harapnya, ia akan menyuntik semangat yang lebih jitu kepada mereka untuk terus bersama Kerajaan BN memberi khidmat terbaik buat rakyat Kedah serata-rata...







21. Bagi para penganalisis ekonomi, pembentangan belanjawan tahunan negara mahupun negeri merupakan saat yang sering ditunggu-tunggu. Selesai dibentang, mereka selalunya akan memberi pandangan masing-masing kepada bajet berkenaan. Saya lebih gemar mengambil pakai pandangan yang neutral, tanpa prejudis dan bebas dari kongkongan fahaman politik. Ia lebih ikhlas dan lebih 'reliable'. 

22. Saya mempunyai beberapa rakan yang pakar dalam bidang ekonomi. terutama yang membabitkan hal fiskal dan berkaitan pengurusan belanjawan. Sejujurnya, mereka bebas politik. Alhamdulillah, Bajet Kedah 2018 mendapat pandangan yang sangat positif dari mereka. Walaupun berbelanja lebih besar berbanding tahun lalu, namun ia dilihat suatu yang progresif, agresif dan komprehensif, termasuk dari sudut jangka pendek dan panjang. Lebih menarik, bajet kali ini sekali lagi menunjukkan penurunan defisit berbanding bajet yang dibentang 'lulusan luar negara'! 






23. Pada pandangan saya, bukan mudah untuk merangka, merancang dan membentang bajet yang sangat realistik dan menarik dalam pelbagai aspek sebegini. Sudah tentu ia menuntut kepada penelitian dan inspirasi yang tinggi untuk terus berusaha memberikan yang terbaik buat negeri jelapang padi ini. Hampir terkedu dibuatnya Adun-Adun Pakatan Harapan, Adun PAS pula 'tersenyum' mendengarnya...

24. Mungkin itulah bezanya bila Kedah dipimpin oleh seorang pemimpin yang memahami denyut nadi rakyat berbanding pemimpin yang hanya menjadikan Kedah sebagai 'pusat persinggahan sambil melancong'. Orang bentang bajet untuk rakyat, beliau dulu bentang bajet syok sendiri dengan 6 projek mega yang peruntukkannya entah dari mana. Dipaksa-paksa pula Kerajaan Pusat beri peruntukan berbilion-bilion? Bila tidak diberi apa yang dimahukan, mulalah 'anak manja' itu buat perangai 'guling-guling atas lantai' macam 'boboi tak dapat susu'...





25. Akhirnya, syukurlah kita orang Kedah kepada Allah kerana dikurniakan pemimpin yang betul-betul 'orang Kedah', bukan 'orang Kedah celup'. Hanya orang Kedah yang memahami apa sebenarnya keperluan orang Kedah. Syabas Ahmad Bashah yang menukilkan namanya antara Menteri Besar yang berjiwa rakyat di negeri kita ini. Semoga sejahteralah Kedah selamanya, semoga makmurlah kemuafakatan di kalangan kita generasi demi generasi. Alhamdulillah... 

Syed Mohd Johan Rizal bin Syed Unan Mashri
AJK Pergerakan Pemuda UMNO Negeri Kedah
Naib Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Alor Setar
Pengerusi Kelab Belia Darulaman