Showing posts with label Pemuda UMNO. Show all posts
Showing posts with label Pemuda UMNO. Show all posts

Tuesday, 21 August 2018

Tanah Kampung Baru 999 tahun;MB Perak Faizal Dato Azumu mesti dipertahankan!


Seperti yang kita maklum, DAP Perak tetap bertegas menuntut Kerajaan PH Negeri Perak berikan status hak milik tanah 999 tahun sebagaimana yang dijanjikan dalam manifesto PH pada PRU ke-14 yang lalu.

Memetik desakan Pengerusi DAP Perak, Nga Kor Ming, dia mendakwa kuasa untuk meminda perkara tentang hal ehwal tanah terletak di bawah bidang kuasa Kerajaan Negeri, dan bukan tertakluk kepada Majlis Tanah Negara (MTN).

"Saya merasakan ia tidak bertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan. Perlembagaan Persekutuan telah menetapkan di mana tanah-tanah adalah bidang kuasa kerajaan negeri dan Majlis Tanah Negara hanya memberikan nasihat, itu sahaja," begitulah katanya seperti yang dipetik daripada media arus perdana.

Namun begitu, saya tidak pasti sama ada Timbalan Speaker Dewan Rakyat itu sedar atau tidak bahawa antara aspek perundangan yang harus diperhatikan adalah melibatkan Perlembagaan Persekutuan (PP) dan Kanun Tanah Negara (KTN). Isu-isu yang harus diperhatikan dalam tuntutan Nga dan 'bantahan' daripada MB Perak boleh dikategorikan seperti berikut:
(A) Adakah pemberian hak milik 999 tahun bercanggah dengan undang-undang; 
(B) Sama ada pemberian hak milik kekal bercanggah dengan Dasar Pembangunan Negara (DPN); 
(C) Kuasa dan peranan Majlis Tanah Negara (National Land Council)

Ayuh kita kupas satu persatu persoalan-persoalan di atas;

(A) Adakah pemberian hak milik 999 tahun bercanggah dengan undang-undang;

Untuk persoalan pertama ini, kita perlu merujuk kepada Perkara 91 PP yang menyebut bahawa;
91. National Land Council. (Federal Consitution) 
(1) There shall be a National Land Council consisting of a Minister as chairman, one representative from each of the States, who shall be appointed by the Ruler or Yang di-Pertua Negeri, and such number of representatives of the federal Government as that Government may appoint but, subject to Clause (5) of Article 95E, the number of representatives of the federal Government shall not exceed ten. 
(5) It shall be the duty of the National Land Council to formulate from time to time in consultation with the federal Government, the State Governments and the National Finance Council a national policy for the promotion and control of the utilization of land throughout the Federation for mining, agriculture, forestry or any other purpose, and for the administration of any laws relating there to; and the federal and State Governments shall follow the policy so formulated. 
(6) The federal Government or the Government of any State may consult the National Land Council in respect of any other matter relating to the utilization of land or in respect of any proposed legislation dealing with land or of the administration of any such law, and it shall be the duty of the National Land Council to advise that Government on any such matters.
Tafsiran Pekara 91 PP ini menjelaskan bahawa National Land Council (Majlis Tanah Negara) , diberikan hak untuk menasihati Kerajaan Negeri atau Kerajaan Persekutuan berkenaan dengan perkara-perkara yang terkandung dalam Perkara 91 itu.

Memangkan diakui bahawa tidak terdapat mana-mana peruntukan dalam perkara tersebut yang menyatakan bahawa Kerajaan wajib menerima pakai nasihat tersebut, namun harus diketahui bahawa, Majlis Tanah Negara (MTN) adalah Majlis yang berhak menasihati Kerajaan. Tindakan memberi nasihat itu adalah selaras dengan undang-undang dan kepentingan Dasar Negara.


Selanjutnya, kita rujuk pula pada Seksyen 90A Kanun Tanah Negara yang berbunyi;
90A. Extension of land alienated for a term of years. (National Land Code) 
(1) The proprietor of any land alienated for a term of years may apply to the State Authority for the term to be extended. 
(2) The application shall be made before the expiry of the term specified in the document of title. 
(3) Upon receiving any application referred to in subsection (1), the Land Administrator shall endorse, or cause to be endorsed, a note on the register document of title to the land to which the note relates. 
(4) The State Authority shall not entertain any such application unless the State Authority is satisfied with respect to every person or body having a registered interest in the land, either that he has consented to the application or that his consent ought in the circumstances of the case to be dispensed with. 
(5) The approval or rejection of an application under subsection (1) shall be at the discretion of the State Authority, ... 
(9) Nothing in this section shall preclude the State Authority from considering the application together with any other application provided under this Act.

Hasil semakan dengan pihak MTN, Dasar Spesifik Mengenai Pemegangan Tanah Bagi Kawasan Kampung-Kampung Baharu adalah seperti berikut;

i. Mesyuarat MTN ke-42 pada 8 Januari 1988 telah memutuskan bahawa tempoh pajakan atau leasehold bagi kampung-kampung baharu telah dinaikkan daripada 30 tahun kepada 60 tahun. 

ii. Berdasarkan Mesyuarat MTN ke-53 pada 25 April 1997, keputusan yang dibuat menetapkan bahawa tempoh pajakan atau "leasehold" bagi kampung-kampung baharu tersebut hendaklah sekurang-kurangnya 60 tahun tetapi tidak melebihi 99 tahun.

Apa yang jelas, perkara-perkara yang diputuskan ini adalah selaras dengan undang-undang termaktub. 


Sebaliknya, keputusan untuk meneruskan cadangan untuk memberikan status hak milik 999 tahun atau hak milik kekal kepada Kampung-Kampung Baru seperti yang dituntut DAP itu adalah bercanggah dengan undang-undang sedia ada.

Sekiranya Nga dan DAP Perak tetap berdegil, saya menjangkakan bahawa ia akan mencetus komplikasi undang-undang yang (floodgate) yang tidak munasabah dalam tempoh masa yang panjang.

(B) Sama ada pemberian hak milik kekal bercanggah dengan dasar pembanggunan negara;

Isu kedua ini pula adalah berkenaan dengan pemberian hakmilik kekal. Pemberimilikan tanah dalam keadaan-keadaan khas untuk pegangan selama-lamanya di bawah seksyen 76(aa)(iii) Kanun Tanah Negara 1965. 

Tafsiran "special circumstances" atau keadaan-keadaan khas tidak diperuntukkan dalam Kanun Tanah Negara (KTN). Dalam hubungan ini, maksud "special circumstances" di bawah seksyen 76(aa)(iii) KTN bolehlah didefinisikan sebagai;
"the circumstances as distinguished from ordinary circumstances. It must be something exceptional in character, something that exceeds or excels in some way that which is usual or common" [Leong Poh Shee v Ng Kat Chong (1966) 1 MU 86].
Oleh itu, bagi tujuan penyeragaman amalan "special circumstances" tersebut, adalah wajar ianya dirujuk terlebih dahulu kepada MTN supaya amalan pemberimilikan tersebut tidaklah menjejaskan dasar keseragaman undang-undang. 

Tindakan merujuk kepada MTN itu adalah sejajar mengikut Perkara 76(4) Perlembagaan Persekutuan, dan dipersetujui bersama menurut Perkara 91(5) Perlembagaan Persekutuan.

Daripada perspektif Perlembagaan Persekutuan, keputusan MTN yang dibuat di bawah Perkara 91(5) Perlembagaan Persekutuan adalah sebahagian daripada operasi perundangan yang mengikat Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan-Kerajaan Negeri untuk mematuhinya. 

Dalam hubungan ini, jika Kerajaan-Kerajaan Negeri yang bertindak membelakangi keputusan MTN tersebut, maka tindakan itu boleh dianggap sebagai tidak mematuhi peruntukan Perlembagaan Persekutuan.


Majlis Tanah Negara (MTN) Ke-64 juga secara jelas mengambil maklum akan ketetapan dasar spesifik yang menegaskan tentang tempoh pegangan tanah bagi Kampung-Kampung Baru di seluruh negara seperti berikut:

(a) Mesyuarat MTN Ke-42 pada 8 Januari 1988 telah memutuskan bahawa tempoh pajakan (leasehold) bagi Kampung-Kampung Baru dinaikkan daripada 30 tahun kepada 60 tahun; dan

(b) Mesyuarat MTN Ke-53 pada 25 April 1997 dengan menetapkan bahawa tempoh pajakan (leasehold) bagi Kampung-Kampung Baru tersebut hendaklah sekurang- kurangnya 60 tahun, tetapi tidak melebihi 99 tahun.

Sebagaimana yang kita maklum, hasil utama Kerajaan Negeri ialah hasil daripada cukai tanah, hasil cukai kerajaan tempatan, bahan galian dan pembalakan. Walau bagaimanapun, tidak semua negeri mempunyai hasil dan keluasan tanah yang sama. Oleh itu, dari segi keseimbangan pendapatan, sesetengah negeri tidak mempunyai pendapatan yang stabil.

Penggubalan Kanun Tanah Negara 1965 merupakan satu contoh jelas yang menunjukkan Parlimen telah diberikan kuasa menggubal perundangan tentang hal ehwal tanah di bawah Fasal (4) Perkara 76 bagi mewujudkan keseragaman undang-undang dan polisi mengenai tanah. 

Sekiranya berlaku percanggahan antara Undang-Undang Persekutuan dan Negeri, Artikel 75 menyatakan bahawa undang-undang Persekutuan akan mengatasi dan undang-undang Negeri akan terbatal (setakat mana ianya bercanggah).

Sementara itu, perbezaan di antara Artikel 76(1)(b) dan artikel 76(4) yang terdahulu bersifat umum dan yang kemudiannya dikhususkan untuk tanah dan apa-apa yang boleh dianggap sebagai tanah.

(C) Kuasa dan Peranan Majlis Tanah Negara (MTN)

Kuasa dan peranan Majlis Tanah Negara terkandung dalam Perkara 91 PP yang menyebut antaranya ialah; 
i. Merancang suatu dasar negara untuk memajukan dan mengawal penggunaan tanah di seluruh negara bagi tujuan perlombongan, pertanian, perhutanan atau sebagainya; dan  
ii. Mentadbir mana-mana undang-undang yang berhubungan dengannya.

Paling utama, Kerajaan Persekutuan dan Negeri diwajibkan untuk mengikuti dasar yang dipersetujui. 

Kerajaan Persekutuan atau Negeri boleh berunding tentang keputusan yang diputuskan MTN dengan apa-apa perkara lain yang berhubungan dengan penggunaan tanah, sebarang cadangan perundangan tanah atau pentadbiran perundangan. Namun begitu, MTN wajib untuk memberi nasihat kepada Kerajaan yang mengajukan cadangan atau perkara tersebut. 

Jadi, berdasarkan perspektif Perlembagaan Persekutuan, keputusan MTN yang dibuat adalah bertepatan di bawah Perkara 91(5) PP, yang merupakan sebahagian daripada kesan operasi perundangan yang mengikat Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri untuk mematuhinya. 

Justeru itu, jika ada tindakan Kerajaan Negeri yang membelakangi keputusan MTN, maka tindakan tersebut boleh dianggap sebagai tidak mematuhi peruntukan Perlembagaan Persekutuan.

Sebelum ini, terdapat beberapa cubaan untuk membelakangi keputusan MTN di negara kita membabitkan kes seperti pemberian hak milik tanah kekal kepada tuan punya tanah di negeri Perak sewaktu kerajaan gabungan Pakatan Rakyat (PKR, DAP dan PAS) memerintah.

Perkara ini timbul semula apabila pemimpin DAP yang kini menjadi orang kepercayaan PM ke-7, kembali membangkitkan isu ini. Sebenarnya, situasi dan kesan-kesan tindakan ini telah pun diperjelas MTN dalam mesyuarat mereka pada tahun 2009. 


Adalah jelas bahawa kuasa yang diberikan kepada MTN untuk menggariskan Dasar Tanah Negara sudah pasti memberikan kesan sama ada secara langsung atau tidak langsung kepada hasil mahsul Kerajaan Negeri dan Persekutuan. 

Oleh yang demikian, maka tindakan MB Perak yang enggan menerima desakan DAP itu adalah tepat dan wajar. Saya yakin bahawa tindakan beliau itu tiada sebarang perkaitan dengan sentimen perkauman,hak ketuanan Melayu dan sebagainya,  namun apa yang dituntut DAP itu jelas bercanggah dengan perundangan negara dan bersekali boleh juga diklasifikasikan bertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan.

Syabas diucapkan kepada MB Perak walau secara politiknya di Perak beliau tidak mempunyai jumlah kerusi yang selesa tapi yang benar dan berhak tetap dipertahankan, Sebarang tekanan politik dari DAP perlu dihadapi dengan penuh penyatuan menjangkaui politik partisan. Saya amat berharap UMNO Perak menyokong MB Perak dalam isu ini kerana ini adalah soal berkepentingan negara, undang undang dan Perlembagaan. Saya harap DAP atau mana-mana pihak tidak sesekali mencabar kewibawaan perundangan negara atau cuba melanggar Perlembagaan Persekutuan dalam soal ini. Jika mahu berusahalah untuk mengubah undang undang dan Perlembagaan tapi ianya tidak mudah tanpa berdepan dengan kebangkitan rakyat dan Umat. Jangan cuba cuba bermain api, kelak bakal membakar diri! 

Syed Mohd Johan Rizal Syed Unan Mashri
Ketua Penerangan Pergerakan Pemuda UMNO Negeri Kedah
Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Alor Setar
Pengerusi Kelab Belia Darulaman

Monday, 30 July 2018

KITA HANYA UBAH KEPIMPINAN KERAJAAN BUKAN PENGHAPUSAN TERAS TERBINANYA KERAJAAN DAN PERLEMBAGAAN...


1. Pada pertengahan bulan ini (Julai), kita semua dikejutkan kenyataan Menteri Sumber Manusia, M. Kulasegaran yang mendakwa kononnya bangsa Melayu di negara ini adalah 'pendatang' dan kaum India pula dianggap beliau sebagai penduduk asal.

2. Lebih menjengkelkan lagi, Naib Pengerusi DAP ini juga memperlekeh dan jelas menghina profesyen perguruan di Malaysia apabila menghasut supaya mengetuk kepala guru-guru yang mengajar subjek sejarah di sekolah.

3. Lebih menjengkelkan, Ahli Parlimen Ipoh Barat yang diangkat Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir sebagai Menteri Kerajaan PH itu mencabar supaya kenyataannya itu disebar kepada umum dan mendakwa konon bangsanya tertindas di negara ini. Berikut adalah transkrip kenyataannya;


"Kebanyakan orang telah lupa. Orang Hindu mula mula jejak negara ini 2,500 tahun dulu. 
"Apa buktinya? Sekiranya anda pergi ke Lembah Bujang, kesemua bukti terdapat di sana. Terdapat banyak kuil lama yang ditemui di sana. 
"Apabila kitalah yang berada di negara ini terlebih dahulu, maka merekalah (Melayu) yang sebenarnya pendatang! 
"Kita dan Melayu adalah setaraf. 
"Tapi hari ini, semua ini sudah dilupakan. 
"Tanyalah kepada anak-anak kita yang bersekolah tentang sejarah asal usul kita; mereka akan berkata Guru di sekolah telah ajar yang orang Hindu menetap di sini 100 tahun yang dahulu. 
"Kita mesti mengetuk kepala guru-guru yang ajar sejarah salah yang sebegini! 
"Pergi beritahu kepada semua, kenyataan ini keluar dari mulut saya. Hindu, kaum pertama di Malaysia, 2,500 tahun yang lepas. 
"Kita seharusnya perlu sebarkan kepada semua supaya hak kita tidak akan tertindas. Ini adalah tanah air kita. 2,500 tahun dahulu kita sudah menetap di sini. Kita mempunyai semua hak untuk berada di tanah ini. 
"Ini Tanahair kita". - Malaysia Today & MyNewsHub.


4. Tidak cukup dengan itu, semalam (29 Julai 2018), beberapa anak muda Melayu yang begitu sinonim menyokong PH tanpa rasa malu dan bersalah telah mendesak agar gerakan subversif bersenjata berideologi komunis termasuk Parti Komunis Malaya (PKM) dimasukkan dalam buku teks Sejarah Malaysia.

5. Mereka mendakwa kononnya PKM juga layak dianggap sebagai pejuang kemerdekaan negara dan mendesak supaya 'perjuangan' gerila komunis itu juga dimasukkan ke dalam silibus buku teks sekolah di negara ini. Sila rujuk di sini, (Utusan Online). 

6. Malah mereka yang bukan merupakan pakar sejarah yang diiktiraf dan diyakini berlatar belakangkan bidang lain itu juga mendakwa buku sejarah sedia ada kononnya terpesong daripada sejarah sebenar selain menjadi bahan propaganda kerajaan terdahulu (BN).


7. Saya amat memandang serius dengan kenyataan Kula mahupun anak-anak muda PH itu. Saya yakin, mereka mengeluarkan kenyataan seperti itu tanpa asas pengetahuan sejarah yang kukuh, bersifat kajian secara akademik dan berdasarkan persepsi prejudis diri sendiri sahaja. Tiada sebarang kredibiliti atas dakwaan-dakwaan mereka.

8. Saya tidak fikir dakwaan mereka ini dibuat berasaskan sumber ilmiah. Sesungguhnya ia sangat bercanggah dengan sejarah negara dan kajian-kajian yang telah dibuat oleh sarjana-sarjana sejarahwan yang diiktiraf di peringkat antarabangsa. 

9. Tidak pasti apa motif sebenar mereka mengeluarkan kenyataan dangkal sebegitu. Namun di sebalik publisiti murahan mereka itu, kesan daripada mulut celupar mereka itu mampu mencetus kebencian dan permusuhan antara kaum, menyemarakkan perasaan rasa marah bangsa Melayu, serta mengancam keselamatan umum di negara kita.

10. Mereka nampaknya sengaja membangkitkan sentimen kebencian terhadap sejarah negara dan cuba untuk mengganggu gugat prinsip Rukun Negara, Kontrak Sosial dan Perlembagaan Persekutuan yang seharusnya dijunjung oleh setiap warganegara di negara ini tanpa mengira bangsa, etnik atau anutan agama.

11. Kata-kata Kula dalam ceramahnya yang berbahasa Tamil itu misalnya begitu terserlah elemen memperlekeh identiti bangsa Melayu, sekali gus menggambarkan konon bangsa kita ini sebagai lemah, hina dan tidak bermaruah.


12. Saya tidak pasti sama ada Kula pernah dengar atau belajar dengan mendalam mengenai istilah 'Austronesian' dan 'Austroasiatic' yang wujud di sekitar kepulauan Asia Tenggara sejak 200 BC dahulu yang menjadi titik tolak kepada kewujudan bangsa Melayu Nusantara.

13. Beliau bercakap tentang candi di Lembah Bujang yang dikatakan terbina oleh pedagang India di Kedah? Pedagang Arab pun datang berdagang di Kepulauan Tanah Melayu, tapi tidak pula mereka mengaku 'penduduk asal' bumi bertuah ini. Malah ramai lagi pedagang-pedagang dari seluruh benua dunia datang ke Tanah Melayu, mereka 'penduduk asal' juga?

14. Apakah dia pasti tidak ada bangsa Melayu yang wujud dan memerintah Kedah ketika itu? Bagaimana pula dengan Kedah Tua, Kesultanan Melayu Melaka, Kesultanan Johor-Riau-Lingga dan sebagainya? Raja-Raja Melayu dan Yang DiPertuan Agong yang menjadi payung negeri dan negara semuanya berketurunan India??? Atau orang asli?


15. Apa motifnya mahu mengubah silibus di dalam buku teks sejarah di sekolah jika ia menukilkan suatu yang benar dan berasaskan kajian mendalam secara ilmiah oleh pakar-pakar sejarah yang diiktiraf dunia. 

16. Komunis dan PKM mahu dilabel sebagai 'pejuang kemerdekaan' Tanah Melayu? Tahukah budak-budak itu tentang istilah 'Komunis' dan asal usulnya sehingga tertubuh PKM dulu? Tahukah mereka tentang angkara dan onar yang pernah dilakukan PKM?

17. Apakah mereka sengaja mahu nafikan perjuangan askar-askar Melayu, anggota polis dan tentera yang bernaung di bawah Raja Raja Melayu dalam mempertahankan kedaulatan bumi bertuah yang asal usulnya bernama Persekutuan Tanah Melayu? 

18. Mereka bermatlamat menubuhkan sebuah negara republik berasaskan fahaman komunis yang gara-gara perjuangan itu berapa ramai orang Melayu, Cina dan India di negara ini yang terkorban dan menjadi mangsa kekejaman 'penjenayah-penjeyanah perang' itu.

19. Saya yakin, panel-panel forum yang dianjur di Dewan Perniagaan Cina Kuala Lumpur-Selangor itu adalah budak-budak mentah yang langsung tidak faham tentang susur galur sejarah negara dan bukanlah mereka yang layak berhujah tentang sejarah, apatah lagi demi menghalalkan sejarah duka kekejaman komunis di Tanah Melayu.

20. Apa jenis 'pejuang kemerdekaan' jika selepas negara ini merdeka, mereka masih lagi bertindak kejam memberontak dan membunuh mangsa yang tidak seideologi dengan mereka? Tidakkah mereka diajar untuk berfikir menggunakan akal dan bersandarkan kebenaran sebagaimana yang dituntut agama dan undang-undang negara?


21. Kedua-dua isu yang dibangkitkan ini jelas tidak ada rasional yang waras untuk dijustifikasikan. Ia hanya merupakan satu propaganda yang mungkin hanya mahu meraih publisiti murahan dan membangkitkan perasaan marah serta mengancam memecah-belahkan keharmonian kaum yang subur disemai Kerajaan BN sebelum ini.

22. Mereka cuba mengambil kesempatan atas pepecahan bangsa Melayu yang kehilangan kuasa di tanah air sendiri pada PRU14 yang lalu? Mereka fikir bangsa Melayu ini lemah? Sudah dipesan berkali-kali supaya jangan jadi seperti Sikitul, Raja Mendeliar atau watak Buang di dalam filem Sarjan Hassan. Usah bermain api dan jangan dijolok sarang tebuan...

23. Namun kewujudan pengkhianat Melayu alaf baru ini mungkin telah menyuntik vaksin virus yang menuntut kebebasan aliran pemikiran sehingga menyebabkan berlakunya ancaman ketegangan kaum, fahaman dan doktrinisasi ideologi negatif di dalam minda masyarakat millennia #MalaysiaBaharu. 

24. Justeru itu, saya menyeru kepada seluruh jiwa Melayu, kyaum dan etnik yang pelbagai di negara ini supaya bangkit menentang keras kepalsuan fakta yang cuba diterapkan meracuni pemikiran masyarakat majmuk oleh pihak-pihak tidak bertanggungjawab itu.

25. Semoga Allah SWT terus merahmati dan menyelamatkan negara dari mereka yang sangat berpotensi mencemar masa depan keharmonian bangsa, agama dan negara. Dalam pembinaan sebuah negara bangsa, bentuk pemikiran seperti mereka itulah yang sewajarnya tidak dibiarkan hidup melata! Allahu Akbar!

Syed Mohd Johan Rizal Syed Unan Mashri
Ketua Penerangan Pergerakan Pemuda UMNO Negeri Kedah
Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Alor Setar
Pengerusi Kelab Belia Darulaman

Sunday, 5 February 2017

SUKARELAWAN BARAKAH KEDAH: PENCETUS Semangat Muafakat Kedah!!


1. Bermula dari sembang santai, lantas himpunan anak muda yang komited dan punyai kesukarelaan untuk melebar kerja kemasyarakatan, maka bermulalah detik penubuhan Sukarelawan Barakah Kedah.

2. Apatah lagi, ‘abah’ yang satu, Dato Seri DiRaja Ahmad Bashah yang mahu membina masa depan Gen-Y supaya lebih terarah turut memberi restu. Lonjakan semangat yang menjadi kekuatan bagi kami semua.


3. Usaha ini kemudiannya diabsahkan apabila Menteri Besar mengumumkan secara rasmi penubuhan Suka Kedah semasa menyampaikan perutusan tahun baru 2017, tanggal 18 Januari lalu di Dewan Seri Negeri.

4. Langkah disusun, gerak kerja diatur, atas niat yang satu, melakar tindakan kebajikan, membantu kerja kemasyarakatan selain memupuk rasa keinsanan, 200 pelopor awal dihimpunkan. Dari kampung Hujung Mergong, Kampung Mempelam, Tok Seron, Taman Wira, Alor Mengkudu, Alor Merah sehinggalah membawa ke Kampung Berjaya, Tok Keling dan Seberang Terus.


5. Misi pertama, mengagihkan 3,000 kotak bantuan makanan BARAKAH, cetusan Ahmad Bashah kami gagahi lalu sempurnakan di seluruh Parlimen Alor Setar.

6. Tanpa perlu diupah, disuntik elaun, anak muda yang terarah ini bersungguh. Bermula dari kerja mengemas barangan hinggalah turun ke padang menjejaki asnaf dan kelompok yang memerlukan untuk dibantu.


7. Hampir menitis airmata ini tatkala melihat kepaduan ini. Betapa sistem berderau, gotong royong, muafakat yang dahulunya sebati dalam citra masyarakat Melayu kini segar dan subur semula.

8. Betapa, anjuran Islam bahawa setiap mukmin itu bersaudara, dan seruan agar bertolong-tolongan dalam perkara kebaikan bukan dalam perkara memusnahkan sepertimana difirmankan dalam Surah Al-Maidah, benar-benar dihayati generasi kini.


9. Alhamdulilah, rupanya gerombolan anak muda yang menderu menyantuni rakyat mula menggoyahkan satu lagi pihak yang kerja mereka siang malam hanyalah menghasut dan mahukan generasi ini menjadi pemberontak tanpa sebab (rebel without a cause).

10. Kini, detik 3 Febuari 2017, di tapak dimana sepanjang 18 tahun dahulu, Ahmad Bashah memumpuk semangat kekitaan, gotong royong bagi menyediakan hidangan bubur kanji untuk juadah berbuka kepada rakyat di kawasannya, maka disini jugalah, SukaKEDAH atau skuad Sukarelawan Barakah Kedah dilancarkan secara rasminya.


11. Hakikatnya kami berbangga, kerana usaha sedikit diiktiraf. Kami bangga kerana anak muda Kedah mempunyai visi yang lebih terarah.

12. Kami hargai segala galakan diberi. Momentum muafakat ini akan diteruskan, biar kesannya dirasai seluruh negeri. Kerana hasrat kami hanyalah satu, menjadi generasi muda penyambung legasi, pencetus realiti.


Semua anda adalah Sukarelawan Sejati..Tamadun Negeri kita pahatkan, kemajuan bangsa kita kukuhkan!!!

Syed Mohd Johan Rizal bin Syed Unan Mashri
AJK Pergerakan Pemuda UMNO Negeri Kedah
Naib Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Alor Setar
Pengerusi Kelab Belia Darulaman

Saturday, 4 June 2016

RUU AKTA 355 : PEMUDA MCA UMPAMA CACING NAIK KEMATA


1. Berdasarkan fakta dan sejarah negara, kali terakhir Akta 355, yang secara spesifik memperuntukkan bidang kuasa dan hukuman Mahkamah Syariah di Malaysia ditambahbaik ialah pada tahun 1984.

2. Kerangka Perlembagaan Persekutuan 1957 secara jelas menggariskan bagi maksud perbicaraan kes jenayah melibatkan warga Malaysia adalah tertakluk dibawah bidang kuasa Kerajaan Persekutuan dan Mahkamah biasa (meliputi Mahkamah Majistret, Sesyen dan Tinggi).

3. Secara jelas, Mahkamah Syariah dimaktubkan HANYA memperihalkan kisaran berkaitan soal faraid, jenayah syariah (enakmen kecil yang bukan hudud), bab nikah cerai, hadanah dan perkara bersangkutan dengannya. Had bidang kuasa pula terhad kepada umat Islam SAHAJA.

4. Kuatkuasa hukuman, implementasi enakmen pula tertakluk kepada perkenan Sultan di sesebuah negeri atas kapasitinya sebagai ketua agama.

5. Inilah teras Akta 355. Ia sebenarnya langsung TIDAK menyentuh hak bukan Islam dan tidak terpalit sama sekali isu pelaksanaan Hudud. Kerana dari segi istilah hudud bermaksud 'had' atau mencegah. 'Capital punishment', misalnya hukuman mati mandatori hakikatnya sudah pun dilaksanakan dalam sistem perundangan di Malaysia. Seksyen 302, Kanun Keseksaan, Seksyen 39B, Akta Dadah Merbahaya contohnya memperincikan hukuman gantung bagi sabitan kesalahan. Secara ironi, jika tafsiran istilah hudud itu merujuk kepada had, mencegah atau 'capital punishment', bermakna ianya telah lama dijalankan di Malaysia.

6. Kenapa Pemuda MCA tidak sedar tentang isu ini dari awal? Dan kenapa baru kini apabila usaha menambahbaik fungsi serta peranan institusi kehakiman melibatkan umat Islam mahu diperkasa, tiba-tiba timbul ugutan dan 'kata dua' kepada PM diberikan?


7. Pada pandangan saya, penjelasan yang sangat jelas sudah diberikan. 'Private Bill' siapa sahaja boleh mengemukakannya dalam sidang Parlimen sebagai wasilah membincangkan dasar dan rang undang-undang yang melibatkan kepentingan umum.

8. Kenapa PM yang dijadikan sasaran, walhal rang undang-undang(Pindaan) ini baru dibentang dan akan dibahaskan? Cukup banyak masa diberi nanti untuk diwacana. Dan proses perdebatan pula melibatkan bacaan kali pertama, kedua dan ketiga. Jika diluluskan, maka dibawa ke Dewan Negara untuk melalui proses yang sama. Kemudian, untuk diwartakan, ia memerlukan pekenan dari YDPA serta implementasi di negeri-negeri memerlukan kesemua 9 orang Raja-Raja Melayu menandatangani dekri sebelum diwartakan dalam Enakmen Negeri.

9. Untuk rekod, Sabah dan Sarawak adalah dua buah negeri yang tidak menguatkuasakan tambahan hukuman apabila Akta 355 ini dibuat penambahan pada tahun 1984.

10. Adalah amat pelik apabila tiba-tiba saja pakatan MCA, MIC, GERAKAN begitu lantang bersuara. Walhal suara ini boleh dikonsensus dan dipolemik dalam mesyuarat pimpinan tertinggi BARISAN NASIONAL.

11. Meletakkan tanggungjawab sepenuhnya kepada PM bagi kesemua persoalan ini seolah-olah mahu menuduh secara jahat kononnya PM mempunyai kuasa mutlak untuk mengarahkan speaker Dewan Rakyat menentukan apa yang boleh diusul dan apa pula yang tidak boleh dibincangkan di PARLIMEN. Sedangkan, praktisnya tidak begitu.

12. Bukankah ini satu sekatan suara  ke atas hak 222 Ahli Parlimen yang telah dipilih lebih 14 juta pengundi di kawasan masing-masing di seluruh Malaysia secara demokratik?


13. Sekali lagi secara 'mala fide', Pemuda MCA atau sesiapa sahaja yang membuat ugutan terbuka terhadap PM agar bertanggungjawab dan mengundurkan diri kerana membenarkan 'Private Bill' Akta 355 ini dibentang di Parlimen pada hakikatnya perlu meminta maaf dengan segera.

14. Pemuda MCA atau sesiapa saja rakan komponen BN, perlu lebih peka kepada konsep 'collective responsibility', tidak membuat spekulasi jahat lagi melencong dengan bersandarkan andaian bahawa jika pindaan Akta 355 diluluskan membuka ruang bagi pelaksanaan Hudud di Malaysia. Jika tidak jelas, silakan bertanya. Jangan pakai 'serkap jarang' sahaja.

15. Analoginya, mana mungkin secara teori dan amalinya pelajar yang tidak pernah lulus peperiksaan dalam sistem persekolah menengah, tiba-tiba dibenar memasuki universiti untuk mengikuti pengajian ijazah lanjutan. Lojik, rasional dan unsur realistiknya langsung tidak ada disitu.

16. Demikian juga Rang Undang-Undang Akta 355. Sekali lagi dijelaskan bahawa ianya adalah tentang bidang kuasa, hukuman, aturan dan kuatkuasa Mahkamah Syariah yang terhad jurisdikasinya ke atas umat Islam sahaja dan langsung TIDAK menyentuh hak atau teritori  bukan Islam. Bagaimana lagi hendak dijelaskan untuk memahamkan Pemuda MCA? Sukar sangatkah memahami penjelasan dengan bahasa yang semudah ini?

17. Demikianlah bila kefahaman dangkal dijadikan sandaran. Maka pertimbangan yang dibuat akhirnya tidak masuk akal dan berkecenderungan untuk dengan mudah memalitkan kesalahan ke atas bahu orang lain tanpa usul periksa. Mudah sangat melatah, seolah-olah terpengaruh dengan ultra kiasu DAP.

18. Paling tidak, Pemuda MCA sepatutnya  perlu menilai perkara yang lebih pokok. Prestasi parti mereka yang hanya sekadar memenangi 7 kerusi Parlimen pada PRU ke-13 lalu dan berapa pula jangkaan benar untuk PRU ke-14 nanti.


19. Dan selaku Naib Ketua Pemuda UMNO Bahagian Alor Setar, saya minta Pemuda MCA Malaysia atau Negeri Kedah menjawab tiga soalan mudah dari saya dengan jujur:
a. Sudah berapa ramai pengundi Cina berumur 21 tahun yang telah berjaya didaftar oleh Pemuda MCA setiap bahagian di Negeri Kedah dan seluruh Malaysia amnya?

b. Dari sejumlah 4 juta pengundi kali pertama yang bakal mengundi dalam PRU ke-14 nanti, dengan lebih 23% dari etnik Tionghua, berapakah jumlah pengundi yang boleh didekati dan secara nyatanya boleh diraih oleh MCA?

c. Apa jaminan jika MCA terus diberikan kerusi yang pengundinya lebih 50% pengundi Tionghua, MCA tidak akan tewas dengan mudah pada DAP atau PKR pada PRU ke-14 nanti?
20. Jika 3 persoalan fundamental itu berjaya dijawab, dibuktikan secara meyakinkan dan dengan pemetaan lengkap MCA boleh meraih misalnya kemenangan 100% kerusi yang ditandingi baik Parlimen atau DUN dalam PRU akan datang, maka barulah Pemuda MCA yang ibarat 'cacing naik kemata' sekurang-kurangnya punyai asas agak besar untuk menuntut PM selaku Pengerusi Barisan Nasional Malaysia mengundurkan diri dari jawatannya.

21. Jika tidak, saya nasihati selaku rakan komponen, eloklah pemuda MCA semua peringkat utamakan kerja. Tindakan menggandakan jumlah pengundi dari cubaan belagak menjadi hero palsu yang ketinggalan zaman.

22. Sebelum saya terlupa, welcome back YB Dato’ Dr Leong Yong Kong, EXCO Kedah, kuota jawatan dari MCA setelah tidak sampai dua minggu menukar keputusan untuk kekal bersama MCA dan pentadbiran kerajaan. Barangkali Dr Leong sudah faham, bahawa emosi jangan didahului sehingga akhirnya boleh menampakkan kedangkalan pendirian diri sendiri...

Syed Mohd Johan Rizal bin Syed Unan Mashri
AJK Pergerakan Pemuda UMNO Negeri Kedah
Naib Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Alor Seta

Monday, 3 August 2015

MENGHARAP SINAR DI HUJUNG TEROWONG


1. Dalam suasana syawal yang masih diraikan, seluruh warga UMNO juga sedang giat fokus pada Persidangan Perwakilan UMNO Tahunan di peringkat baik diperingkat sayap sayap dan Bahagian masing-masing. Berbicara, berusul kata. Ada yang bertempik, ada yang tersenyum sumbing. Ada yang hiba, ada pula yang bersorak gembira. Namun itulah keluarga saya, keluarga UMNO dulu kini dan selamanya...Medepani isu mutakhir kini, kesannya turut dirasai dan dipersoalkan rata-rata perwakilan disegenap pelosok negara termasuk pemuda bahagian saya sendiri, penjelasan dituntut dengan pelbagai reaksi dan rasa. Kita tidak mampu menolak Hak bersuara ahli-ahli kita. Apa yang jadi harapan mereka, keluh dan rasa mereka diberi perhatian dan pertimbangan sewajarnya oleh pimpinan utama. Namun saya yakin dari sudut pandangan kacamata saya, rasa dan keluh mereka adalah akibat rasa kasih dan cinta mereka pada perjuangan parti yang berkeramat ini.

2.Walau bagaimana pun, 'Bani Jawi' ini masih jauh perjalanannya. Tiada jaminan atau kepastian bahawa kejayaan itu pasti dalam genggaman. Masih belum ternoktah sirna cahaya ‘Utopia’ yang memancarkan cahaya kemenangan itu. Namun benarlah kata Pendita Za’ba, "hidup ini satu ujian dan mengharungi hidup juga adalah satu perjudian"...Al-Furqan juga ada mengingatkan kita betapa duniawi hanyalah destinasi ujian. Jawatan, kepimpinan, kuasa adalah amanah dan kadangkala menjadi 'fitnah'. Di mata saya ia bukan 'habuan', malah lebih kepada dugaan berat, amanah dan tanggungjawab yang perlu dipikul. Ia bakal dihisab, dihitung di Mahsyar kelak. Jika tergelincir, akan diazab. Soalnya, cuaikah kita? Amanahkah kita? Jujurkah kita dalam melunaskannya? Ya Allah, aku berserah pada Mu...

3. Lantaran itu, bila diangkat seorang pemimpin dan kepimpinan itu, maka tanggungjawab terpikul di atas pundak jemalanya. Bagai kehendakNya, setiap kita adalah pemimpin, paling kurang pun untuk memimpin diri kita sendiri. Justeru kita wajar bermuhasabah diri, "soul searching" atau melakukan penilaian kendiri wajar dilakukan. Suluh diri sedalam-dalamnya. Selemah-lemah iman, kita berdoa di dalam hati. Kita menadah kedua tapak tangan, biar UMNO terus subur, tidak terpadam obor perjuangannya. Jangan sesekali ditakdirkan senasib seperti mereka yang lain. Tidak seperti Kongres di India, Kuomintang di Taiwan, Liberal di Mexico, Golkar di Indonesia dan LDP di Jepun. UMNO membujur lalu melintang patah, tidak lapuk dek hujan, tidak lekang dek panas...

Thursday, 30 April 2015

PEREMAJAAN UMNO; RETORIK ATAU AGENDA??

1. Kita semua maklum bahawa sedang berlangsung dua pilihanraya kecil melibatkan dua parlimen di Rompin dan Permatang Pauh. Boleh dikatakan hampir seluruh jentera UMNO sedang bekerja keras meningkatkan majoriti undi di Rompin dan cuba menghancurkan kubu kuat Anwar di Permatang Pauh. Saya sendiri bersama pemuda Alor setar juga tidak ketinggalan turun dari semasa ke semasa untuk turut bersama membantu jentera kempen.

2. Kita juga tahu bahawa Rompin dan Permatang Pauh adalah dua parlimen yang mempunyai perbezaan yang ketara. Rompin boleh dikategorikan sebagai kawasan 'putih' untuk BN, manakala Permatang Pauh pula merupakan kawasan yang 'hitam melekat'. 

3. Setelah diumumkan nama calon yang terpilih bagi kedua kawasan berkenaan, saya seolah terkesan dengan keputusan untuk meletakkan seorang yang boleh dianggap 'veteran' di kawasan yang 'pasti menang', manakala di kawasan 'hitam' pula seolah sengaja diletakkan calon dari kalangan anak muda.

Monday, 30 March 2015

PEMUDA UMNO PERLU TERAJU PERPADUAN UMMAH DEMI KELANGSUNGAN NEGARA BANGSA

Menyelaras persidangan perwakilan cawangan Taman Wira Block E, Dun Bakar Bata
1. Segala puji-pujian kepada Allah SWT dengan limpah rahmatNya kini sidang mesyuarat cawangan-cawangan Pergerakan Pemuda UMNO di Bahagian Alor Setar sedang berjalan lancar penuh harmoni dan barakah. Lebih menarik melihat begitu ramai ahli Pemuda UMNO di Bahagian ini yang hadir bersidang, memberi tanda komitmen perjuangan yang tinggi di kalangan anak-anak muda di UMNO Bahagian Alor Setar. Selaku Naib Ketua Pemuda UMNO Bahagian, saya mengucapkan tahniah dan syabas kepada ketua-ketua Pemuda UMNO Cawangan yang begitu bersemangat menganjurkan persidangan cawangan masing-masing. Meskipun sederhana majlisnya, namun pertambahan jumlah kehadiran ahli Pemuda UMNO di setiap cawangan itu begitu meriah dan amat saya hargai.

2. Boleh dikatakan setiap kali berucap di hadapan Pemuda UMNO di bahagian kami, saya sering menekankan tentang erti jatidiri seorang Islam, seorang Melayu dan seorang anak Tanah Melayu. Pada saya, asas kefahaman Islam yang kuat, memperjuang kepentingan bangsa bumiputera di tanah tumpah darah sendiri dan mendaulatkan tanahair dengan sifat patriotisme yang tinggi amat penting bagi seorang anak Melayu Muslim. Islam sebagai tonggak teratas dan di dalamnya terkandung mengenai cintakan keturunan bangsa dan tanahair. Perkara berkenaan perlu tersemat di dada pendekar muda Melayu di zaman serba mencabar ini.

3. Di zaman awal saya berjinak-jinak dengan politik, ramai di kalangan rakan-rakan yang bertanya apakah yang akan saya 'dapat' sekiranya saya menyertai UMNO. Saya tercengang dengan pertanyaan tersebut. Pada saya, bukan soal 'apa yang saya dapat', tapi sebenarnya 'apa yang mampu saya sumbangkan' demi agama, bangsa dan negara. Saya jelaskan bahawa selain darah perjuangan UMNO yang mengalir dalam tubuh ini, saya menegaskan bahawa saya memerlukan sebuah platform untuk melontar kesinambungan perjuangan tradisi anak Melayu yang amat tebal di jiwa saya. Di dalam diri saya, tersemat pertanyaan tentang apakah yang boleh saya sumbangkan untuk Islam, bangsa Melayu dan Tanahair. Dari kecil lagi saya melihat dan menyelami perjuangan itu dari susur galur tradisi keluarga dan saya tidak mahu ketinggalan dalam memberi sumbangan kepada perjuangan 'alif, ba, ta', meskipun sekecil hama...