MUKADIMAH
SEJAK diumumkan kerjasama UMNO-Pas, pemimpin DAP macam cacing kepanasan. Mereka seperti cuba hendak menakut-nakutkan bukan Melayu. Ada yang menganggap ia perang terhadap bukan Melayu, menyasarkan bukan Melayu dan kini dikatakan negara bakal menjadi seperti Afghanistan yang diperintah Taliban. Benarkah?
Ikuti wawancara lima soalan wartawan Utusan Malaysia, SHARILFUDDIN SAARI bersama Ketua Penerangan Pemuda UMNO Kedah, SYED MOHD. JOHAN RIZAL SYED UNAN MASHRI.
UTUSAN: Apa pandangan saudara berhubung kerjasama UMNO-Pas?
SYED MOHD. JOHAN RIZAL: Sejarah kerjasama erat UMNO dan Pas bukanlah perkara baharu. Sebaliknya ia telah dimulakan sejak peristiwa berdarah 13 Mei 1969. Sehinggalah seterusnya pada 1 Mac 1974, UMNO dan Pas menjadi antara parti pengasas penubuhan Barisan Nasional (BN) setelah pembubaran Parti Perikatan. Namun UMNO dan Pas berpisah pada 1978. Dan hari ini, UMNO dan Pas menjalinkan kerjasama itu semula buat kali kedua.
UTUSAN: Bagaimana saudara melihat kepentingan kerjasama dua parti Melayu terbesar ini?
SYED MOHD. JOHAN RIZAL: Saya melihat kerjasama UMNO-Pas ini sangat diperlukan bagi memastikan negara terus dalam keadaan aman dengan mengambil kira senario politik semasa yang kian menggugat keselamatan dan kesejahteraan rakyat.
Harus diingat bahawa kerjasama ini adalah 'Ta'awun Siyasi' iaitu atas dasar penyatuan ummah atau kerjasama ke arah kebaikan. Ini sama sekali tidak mengetepikan hak dan kebajikan orang bukan Islam. Malah teras kerjasama ini diambil daripada model pengwujudan negara Islam Madinah seperti mana dilaksanakan oleh Rasulullah SAW. Ketika itu, negara berkenaan yang terdiri daripada berbilang agama dan kaum hidup aman dan damai.
UTUSAN: Apakah komen saudara berhubung dakwaan seorang pemimpin parti politik bahawa kerjasama ini bakal mewujudkan sebuah negara yang diperintah Taliban?
SYED MOHD. JOHAN RIZAL: Kenyataan ini jelas berbaur hasutan dan rasa benci yang nyata, tanpa menghiraukan sensitiviti rakyatnya yang berbilang kaum dan agama serta malah mampu menggugat keselamatan negara. Kenyataan seperti ini jika tidak dibendung, mampu menyumbang ketidakstabilan politik negara.
Ia sekali gus boleh mengundang kemarahan dan kebangkitan yang lebih besar orang Islam serantau terutama di Indonesia dan selatan Thailand. Selain itu, menyuburkan sentimen Islamophobia dalam kalangan orang bukan Islam.
UTUSAN: Apakah kesannya terhadap negara secara amnya apabila kenyataan seumpama itu dikeluarkan?
SYED MOHD. JOHAN RIZAL: Menggambarkan Malaysia seperti sebuah negara terroris (pengganas) akan mewujudkan pandangan negatif negara asing terhadap negara kita. Tidak mustahil kedudukan Malaysia dalam ASEAN akan tergugat, menghilangkan keyakinan pelabur asing seterusnya ekonomi negara dan nilai ringgit akan terjejas seperti yang terjadi di negara-negara teluk.
UTUSAN: Apakah tindakan yang wajar diambil terhadap pemimpin mengeluarkan kenyataan seperti ini (menghasut)?
SYED MOHD. JOHAN RIZAL: Tindakan tegas perlu diambil oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) bagi mengelak kebangkitan majoriti rakyat terutamanya orang Melayu dan Islam.
Jika tiada tindakan yang dikenakan, ia mampu menyumbang kepada lebih banyak kenyataan-kenyataan negatif dan berbaur hasutan. Ini seperti mana yang telah berlaku dalam isu penghinaan sistem beraja dan Rasulullah SAW.
Sumber: Utusan Online
No comments:
Post a Comment
Assalamualaikum dan Salam Kedah Aman Makmur,
Sebagai pemberi komen yang bertanggungjawab, tidak akan dibenarkan sebarang komen dari 'anonymous' di blog ini. Pemilik blog juga tidak bertanggungjawab di atas sekarang komen yang melanggar etika, undang-undang dan peraturan yang ditetapkan SKMM.
Sila bertanggungjawab atas ulasan/komen yang diberikan.
Terima kasih.