Showing posts with label Dato' Seri Ahmad Bashah Md Hanipah. Show all posts
Showing posts with label Dato' Seri Ahmad Bashah Md Hanipah. Show all posts

Thursday, 28 September 2017

KEDAH BERJAYA URUS BANJIR DENGAN CEMERLANG


Musim tengkujuh yang mengakibatkan beberapa kawasan dilanda banjir baru-baru walaupun agak mencemaskan, namun bencana itu membuktikan keupayaan pengurusan bencana yang cekap di pihak kerajaan Kedah.

Walaupun bencana banjir kali ini tidak seburuk seperti pada tahun 2010, ia tetap menjejaskan ribuan penduduk yang terpaksa berpindah dan kerosan harta benda serta pertanian.

Pujian harus diberikan kepada kerajaan negeri yang telah membuat persiapan awal dengan mengarahkan setiap agensi kerajaan bersiap sedia bagi menghadapi banjir

Menteri Besar Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah sendiri telah mengarahkan agensi bersiap sedia menghadapi situasi terburuk malahan beliau sering mengarahkan persiapan dipertingkatkan.


Beliau juga telah turun sendiri melawat pusat pemindahan dan mendengar permasalahan mereka

Pengalaman banjir besar 2010 juga telah mempersiapkan agensi seperti Pejabat Daerah, Jabatan Kebajikan Masrakat, Jabatan Perahanan Awam, dan lain-lain agensi serta NGO dalam menguruskan bencana dan pada kali ini jelas terlihat permuafakatan antara agensi berkenaan sehingga pengurusan bencana banjir ini sangat cemerlang.

hikmah utama di sebalik bencana kali ini menyaksikan semua pihak di negeri ini bermuafakat menghulur tangan meringankan beban mangsa yang terjejas akibat banjir.


Di sebalik bencana banjir yang berlaku, saya yakin di sebaliknya terkandung hikmah yang sangat berharga buat kita rakyat Kedah.

Banjir kali ini benar-benar menyatukan kita semua. Tidak kira sama ada pihak Kerajaan Negeri, agensi dan jabatan kerajaan, parti-parti politik, NGO-NGO di seluruh negeri sama-sama turun padang mendahulukan mangsa yang terjejas.

Saya lihat perkara itu sebagai suatu yang sangat istimewa. Secara tidak langsung, kita sebenar mampu untuk bermuafakat, budaya ini wajar terus kita amalkan di Kedah.


Pujian juga harus diberikan kepada rakyat Kedah yang sabar dan tabah menghadapi musibah.

Kita kali ini lebih tenang menghadapi ujian Allah. Kita tabah berdepan musibah dan pada masa yang sama kita tidak cepat melatah atau mengeluh. Sebaliknya kita bersyukur dan sabar.

Mungkin kita belajar dari pengalaman yang lalu. Ia mematangkan kita dan lebih positif menyedari rahmat Allah di sebalik apa yang berlaku.

Syed Mohd Johan Rizal bin Syed Unan Mashri
AJK Pergerakan Pemuda UMNO Negeri Kedah
Naib Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Alor Setar
Pengerusi Kelab Belia Darulaman

Monday, 10 July 2017

MUKHRIZ DIGESA JELASKAN SEBAB PENYUSUTAN RIZAB DAN HASIL NEGERI


1. Kelab Belia Darul Aman memandang serius fakta yang dikemukakan oleh YB DS Abdul Rahman Dahlan Menteri di JPM berhubung penyusutan rizab kewangan kerajaan Negeri Kedah yang merosot sehingga angka 80% di bawah pentadbiran Mukhriz Mahathir selalu Menteri Besar Kedah (Mei 2013 hingga 3 Febuari 2016).

2. Dari sejumlah RM208.94 juta rizab kerajaan negeri di tahun 2013, amat menghairankan ianya susut sehingga menjadi RM48 juta pada 2015.

3. Demikian juga penurunan kutipan hasil negeri dari RM518.43juta pada tahun 2013 merosot  kepada RM411.05 Juta pada 2015.


4. Dalam masa yang sama timbul persoalan bagaimana di bawah kepimpinan YAB DS DIRAJA AHMAD BASHAH, untuk kutipan hasil bagi Febuari hingga Disember 2016 sejak beliau mengambil alih tugas selaku MB, hasil kerajaan negeri mampu mencecah sehingga RM740juta.

5. Selain prestasi kutipan hasil bagi 2017 sehingga kini sudah melonjak ke tahap 76% dan sasaran capaian hasil ke tahap 90% bagi tahun kewangan 2017 dijangka mampu dicapai.


6. Dalam masa yang sama Kelab Belia Darul aman juga ingin mengemukakan persoalan kenapa dalam setiap kali Bajet Negeri yang dibentangkan olehnya Bajet 2014, 2015 dan 2016 jelas ketara defisitnya dan kenapa di era Dato SERI AHMAD BASHAH selaku MB bagi pembentangan Bajet 2017, defisit berjaya diturunkan sehingga 4.6%. Dalam masa yang sama kenapa di bawah DS AHMAD BASHAH prestasi perolehan kewangan negeri dari sehi hasil mampu melonjak sehingga 23%?.

7. Timbul pelbagai persoalan disini. Apakah di era Mukhriz banyak hasil negeri hilang dan tidak dimasukkan ke dalam perbendaharaan negeri?. Apakah ada berlaku urusniaga di bawah meja?. Kenapa rizab dan hasil negeri susut? Kemana ianya dibelanjakan dan apa hasilnya? Jawapan penuh integriti, telus amat dituntut dari Mukhriz Mahathir.

8. Mukhriz Mahathir perlu tampil untuk memperjelas segala kekeliruan dan dakwaan ini.

Syed Mohd Johan Rizal bin Syed Unan Mashri
AJK Pergerakan Pemuda UMNO Negeri Kedah
Naib Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Alor Setar
Pengerusi Kelab Belia Darulaman

Friday, 23 June 2017

SALAM LEBARAN AIDILFITRI 2017; TRAVELOG BARAKAH IHYA RAMADHAN


1. Bermula 1 Ramadan tanpa bertangguh, rencana besar yang disusun 3 bulan sebelumnya disempurnakan.

2. Barakah Ihya Ramadan Ahmad Bashah lestarikan. Fokusnya lebih bersasar. Tumpuan kebajikan pada semua segmen komuniti tanpa ada yang tertinggal dan terpinggir.

3. 25 ribu ketua isi rumah disantuni dengan bantuan Barakah. Diselang seli seperti biasa agihan kurma 100 ribu kotak, sumbangan moreh pada 29 buah masjid di kawasan Parlimennya sendiri. Sementara sejumlah 9 ribu ketua isi rumah atau 40 ribu ahli keluarga menerima dampak dari agihan Barakah ini di DUN Bakar Bata.


4. Majlis berbuka puasa dengan pelbagai segmen komuniti pula disusun. Penuh jadual tanpa henti. Dari Istana sehinggalah cawangan dan kelompok marhein di desa termasuk anak rantau Kedah diluar sana.

5. Muafakat Ihya Ramadan pula membolehkan kolaborasi bersama Yayasan TH dan MSU dijana. Hasilnya 14,000 asnaf di 7 kawasan Parlimen di Kedah menerima manfaat.


6. 6,060 kakitangan awam negeri turut dijulang. Berbanding negeri lain, Kedah satu-satunya negeri ditadbir BN yang membuat bayaran khas Aidilfitri sebanyak RM1,000 setiap orang.

7. Meluaskan segmen kebajikan ini. 13,500 golongan frontliner diberi imbuhan khas. Mereka ini adalah golongan berjasa dalam masyarakat seperti bidan kampung, bomoh patah, siak, penggali kubur dan jurumandi mayat. Ironinya jasa mereka tidak dilupa.


8. Demikian juga agihan khas untuk pondok dan Maahad Tahfiz turut disempurna. Bas khas pula sejumlah 10 buah bas disediakan untuk keperluan mahasiswa anak Kedah di Lembah Klang pulang beraya secara percuma. Dalam masa yang sama, insentif khas pengurusan persatuan kerajaan negeri salurkan.

9. Kakitangan pengurusan negeri peringkat profesional turut digauli. Berkat komitmen kerja mereka hasil negeri mencanak naik 24%. Pretasi kutipan hasil mencecah 87% pada suku kedua tahun ini dan pada hujung tahun mampu mencapai matlamat 95%. Economic growth terus subur dengan purata 4.5% bagi suku pertama dan kedua. Nilai pelaburan sepanjang 14 bulan sejak 2016 kini mencecah RM1.7 bilion. Maka tanggal 18 Jun lalu, golongan Pegawai Tadbir negeri ini dirai melalui insentif khas.

10. Nyatalah pakej Barakah Ihya Ramadhan bagi 1438H dalam konteks Kedah bukan sahaja inklusif. Tapi merupakan refleksi energetik Ahmad Bashah mempersada kerja kebajikan dan meningkatkan sistem penyampaian. Dan barakah ini berterusan, tatkala YAB Perdana Menteri melakukan lawatan ke Kedah tanggal 19 Jun, RM 6.1 juta diluluskan bagi program menerangi jalan kampung.

11. Inilah hasil berganda apabila muafakat jadi amalan..lantas Barakah menerjah mengisi acuan kemajuan dan pembangunan insan. SALAM AIDILFITRI YANG BARAKAH. 

#BashahPeduli
#RakyatCentric


Thursday, 27 April 2017

TRAVELOG WALKABOUT BASHAH PEDULI..RAKYAT NIKMATI


1. Sudah 6 kawasan Parlimen dijelajahi MB.

2. Satu bukti seriusnya khidmat beliau untuk pastikan segala direncana teguh dilaksana.

3. Keperluan rakyat ditangani setelah dilihat dengan mata kepala sendiri.


4. Isu tanah, kemudahan asas, utiliti, bantuan pada komuniti bersasar dirungkai lalu diselesai.

5.Bagi Ahmad Bashah, beliau lebih puas jika dapat melihat dan menilai sendiri whats going on..berbanding sekadar menerima laporan yang muluk muluk.


6. Ini bezanya kepimpinan peduli dan kepimpinan selebriti.

7. Di Parlimen Kuala Kedah sebagai contoh RM16.1 juta disalur untuk masjid, kemudahan infra, pembaikan rumah rakyat, insentif alatan dan elaun sara hidup untuk nelayan selain semarak agihan Barakah Untuk Semua.

8. Di Jerai, khazanah waqaf disempurna, kawasan pelancongan Pantai Murni disiapsiaga
 dan kelulusan penambahbaikan jalan Jeniang - Gurun sebanyak RM4.36j telah diumumkan.


9. Di Pokok Sena, institusi pondok dan SAR diperkukuh. Masjid selaku "centre of societal activity" diperkasa.

10. Di Sik, lebih 500 geran hakmilik tanah yang tertangguh hampir 15 tahun  dibereskan. Demikianlah impak bila MB turun padang...

11. Bagi Ahmad Bashah, prinsipnya khidmat bakti ditatang, keperluan rakyat dijulang.

12. Kerja dilaksana bukan bermusim namun dicerna sepanjang masa.


13. Baginya ini bukan gula-gula pilihanraya sepertimana tohmahan segelintir orang.

14. Namun ini tanggungjawab yang wajib dilaksana usai membaiah sumpah jawatan selaku pengurus hal ehwal umat..

15. Bashah Peduli..Rakyat Nikmati.

# RakyatCentric
#BarakahSiasah..

Syed Mohd Johan Rizal bin Syed Unan Mashri
AJK Pergerakan Pemuda UMNO Negeri Kedah
Naib Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Alor Setar
Pengerusi Kelab Belia Darulaman

Sunday, 5 February 2017

SUKARELAWAN BARAKAH KEDAH: PENCETUS Semangat Muafakat Kedah!!


1. Bermula dari sembang santai, lantas himpunan anak muda yang komited dan punyai kesukarelaan untuk melebar kerja kemasyarakatan, maka bermulalah detik penubuhan Sukarelawan Barakah Kedah.

2. Apatah lagi, ‘abah’ yang satu, Dato Seri DiRaja Ahmad Bashah yang mahu membina masa depan Gen-Y supaya lebih terarah turut memberi restu. Lonjakan semangat yang menjadi kekuatan bagi kami semua.


3. Usaha ini kemudiannya diabsahkan apabila Menteri Besar mengumumkan secara rasmi penubuhan Suka Kedah semasa menyampaikan perutusan tahun baru 2017, tanggal 18 Januari lalu di Dewan Seri Negeri.

4. Langkah disusun, gerak kerja diatur, atas niat yang satu, melakar tindakan kebajikan, membantu kerja kemasyarakatan selain memupuk rasa keinsanan, 200 pelopor awal dihimpunkan. Dari kampung Hujung Mergong, Kampung Mempelam, Tok Seron, Taman Wira, Alor Mengkudu, Alor Merah sehinggalah membawa ke Kampung Berjaya, Tok Keling dan Seberang Terus.


5. Misi pertama, mengagihkan 3,000 kotak bantuan makanan BARAKAH, cetusan Ahmad Bashah kami gagahi lalu sempurnakan di seluruh Parlimen Alor Setar.

6. Tanpa perlu diupah, disuntik elaun, anak muda yang terarah ini bersungguh. Bermula dari kerja mengemas barangan hinggalah turun ke padang menjejaki asnaf dan kelompok yang memerlukan untuk dibantu.


7. Hampir menitis airmata ini tatkala melihat kepaduan ini. Betapa sistem berderau, gotong royong, muafakat yang dahulunya sebati dalam citra masyarakat Melayu kini segar dan subur semula.

8. Betapa, anjuran Islam bahawa setiap mukmin itu bersaudara, dan seruan agar bertolong-tolongan dalam perkara kebaikan bukan dalam perkara memusnahkan sepertimana difirmankan dalam Surah Al-Maidah, benar-benar dihayati generasi kini.


9. Alhamdulilah, rupanya gerombolan anak muda yang menderu menyantuni rakyat mula menggoyahkan satu lagi pihak yang kerja mereka siang malam hanyalah menghasut dan mahukan generasi ini menjadi pemberontak tanpa sebab (rebel without a cause).

10. Kini, detik 3 Febuari 2017, di tapak dimana sepanjang 18 tahun dahulu, Ahmad Bashah memumpuk semangat kekitaan, gotong royong bagi menyediakan hidangan bubur kanji untuk juadah berbuka kepada rakyat di kawasannya, maka disini jugalah, SukaKEDAH atau skuad Sukarelawan Barakah Kedah dilancarkan secara rasminya.


11. Hakikatnya kami berbangga, kerana usaha sedikit diiktiraf. Kami bangga kerana anak muda Kedah mempunyai visi yang lebih terarah.

12. Kami hargai segala galakan diberi. Momentum muafakat ini akan diteruskan, biar kesannya dirasai seluruh negeri. Kerana hasrat kami hanyalah satu, menjadi generasi muda penyambung legasi, pencetus realiti.


Semua anda adalah Sukarelawan Sejati..Tamadun Negeri kita pahatkan, kemajuan bangsa kita kukuhkan!!!

Syed Mohd Johan Rizal bin Syed Unan Mashri
AJK Pergerakan Pemuda UMNO Negeri Kedah
Naib Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Alor Setar
Pengerusi Kelab Belia Darulaman

Monday, 23 January 2017

TANAH DAN KEMAJUAN PEMBANGUNAN DI KEDAH (Bahagian ke-2)


1. Pada sekitar 1992, berlaku polemik berhubung kes pengambilan tanah di Simpang Empat Kerpan, Jerlun. Kepimpinan ketika itu dengan menggunakan asas undang-undang, yakni Akta Pengambilan Tanah 1965, berusaha mengambil tanah sawah milik penduduk untuk dibangunkan dengan kolam ternakan udang harimau usahasama dengan Ben Laden Group.

2. Demikian juga sekitar tahun yang sama, Gunung Jerai mahu dibangunkan dengan JIP (Jerai International Park) oleh syarikat berbayar RM2 yang difahamkan milik Menteri Kewangan ketika itu. Namun hasil desakan masyarakat, projek ini dibatalkan, apatah lagi feasibilities study menunjukkan ianya tidak sesuai.

3. Tahun-tahun berikutnya, isu pengambilan tanah bagi tujuan pembangunan tidaklah menimbulkan sangat kontroversi kerana masyarakat kian sedar pentingnya urusan pengambilan ini untuk menyediakan asas kemajuan dan keperluan di masa hadapan.

4. Polemik hanya dihangatkan tatkala adanya campurtangan politik, dan hujahan beracun yang cuba disemai oleh pihak berkepentingan, sama ada dengan menghasut tuan tanah, penduduk sekitar dan masyarakat umum. Padahal golongan penghasut ini tatkala mereka diberi amanah membentuk kerajaan sekitar 2008-2013 banyak mehnah dan karenah yang mereka laksanakan.

5. Tanah Waqaf khas Madrasah Salihiah misalnya yang berusia 110 tahun, diambil secara sewenang-wenang tanpapun digantikan secara konsep ibtibdal, sehinggalah Aman Sentral siap, dan mujurlah di atas keprihatinan Ahmad Bashah kini, sebidang tanah khas disediakan selain usaha membangun semula madrasah dibangunkan dengan diberi status Masjid Jamek


6. Difahamkan juga, semasa kerajaan Pakatan, banyak tanah-tanah milik kerajaan dibangunkan secara sewenang-wenang tanpa faedahnya boleh dirasai masyarakat terbanyak. Termasuk projek K-Keli di Sik, kelinya sudah tiada, kolam ternakannya juga tidak sebesar mana, namun rupanya yang diidamkan adalah tanah yang penuh berdirinya hutan balak di kiri kanan masuk kolam ternakan keli berkenaan.

7. Demikian juga tanah milik kerajaan di Jerai mahupun Sungai Petani yang dibangunkan dengan gudang kononnya bagi pengumpulan hasil tanaman dan produk kampung yang dibangun dengan nilai jutaan ringgit di era kerajaan Pakatan. Kini menjadi tempat berteduh kambing dan ayam itik semata-mata.


8. Demikianlah, jika sesebuah kerajaan gagal merancang manfaat penggunaan tanah, maka natijah ekonominya tidak akan melimpah untuk menguntungkan masyarakat. Sebaliknya ia akan menjadi sekadar projek Mat jenin, di mana tanah tergadai, modal dihabiskan dan aset negeri tergadai.

9. Lantaran itulah dalam pelan perancangan dan tindakan pembangunan di era Dato' Seri Bashah, segalanya diteliti. Rencana menambak lauk seluas 650 ekar di Pulau Langkawi misalnya oleh sebuah syarikat tempatan berdaya maju untuk dibangunkan dengan kediaman, perumahan mampu milik dan sederhana, pusat komersial punyai dua fungsi.

10. Pertama, tidak mahu menganggu lanskap pulau Langkawi dan pulau yang lain demi kelestarian pelancongan. Keduanya, projek ini langsung tidak melibatkan sebarang pengambilan tanah rakyat. Sebaliknya kerajaan negeri mendapat faedah dengan lebih 20% laut ditambak itu menjadi hak milik negeri. Premium, royalty dan hasil dari pembangunan projek berskala besar ini dianggar menyumbang RM500 juta kepada kerajaan Negeri.

11. Ribuan peluang pekerjaan bakal diwujudkan, perumahan baru dibentuk dan sebuah pekan baru selaku pusat pertumbuhan dimajukan. Pulau Pinang kini sedang membina 5 buah pulau bulatan juga menerusi mekanisme tebus guna laut, satu kaedah yang sejak 2008 mereka lakukan dengan besar-besaran dengan sebahagian besar aset dibangunkan serta dijual kepada warga China, Hong Kong,Taiwan dan Singapura. Kerana ini antara pelaburan yang menguntungkan, namun tidak pernah ada bantahan dan sehingga kini lebih banyak projek besar mengambil tempat di Pulau Pinang tanpa ada pun sebarang bantahan.


12. Dalam pada itu melihat kepada negeri jiran yagng melangkah maju kehadapan, sebarang usaha terancang yang sudah mengambilkira kepentingan semua pihak di Kedah pula hadapi tentangan.

13. Samalah dengan kes, permohonan sebuah pemaju swasta yang juga mempunyai modal besar dan antara syarikat pemaju hartatanah milik rakyat tempatan yang terkemuka di rantau Asia. Apabila mereka mahu mengadakan usahasama secara perkongsian strategik dengan PKNK menerusi kuantun pembahagian saham yang menguntungkan negeri serta boleh memanfaatkan 500,000 penduduk Sungai Petani bagi dibangunkan rizab kerajaan di dalam kawasan strategik dalam bandar dengan pusat pertumbuhan baru. Maka atas kepentingan politik dan hasutan, secara tiba-tiba isu nostalgia, kenangan kerana di situ masih wujudnya rumah lama Pegawai Daerah dibangkitkan.

14. Seperti kita sedia maklum, rumah pusaka ayah dan ibu kita dikampung sekalipun, jika sekadar mahu mempertahankan nilai sentimentalnya, maka tentulah kita sekeluarga akan membiarkannya ditumbuhi semak, dimakan anai-anai dan akhirnya reput rebah menyembah bumi. Apakah ini nostalgia yang memanfaatkan?.

15. Sebaliknya jika wujud kreativiti dan konsensus di kalangan ahli keluarga, rumah pusaka serta tanah halamanya yang luas itu bukan sekadar dicantikkan, dipelihara, malah boleh diberi tambah nilai misalnya menjadikannya homes stay unik, tarikan pelancong dan hasil dari itu boleh memberi peluang pekerjaan dan nilai tambah pendapatan pada ahli keluarga lain yang memerlukan.

16. Inilah asas dan falsafahnya jika sumber tanah selaku aset tetap yang tidak bertambah keluasannya secara bijak kita manfaatkan.

17. Lantaran itu,janganlah terlalu sensitif, beremosi atau mengalihkan fakta sebenarnya apabila mengupas berhubung soal tanah dan pembangunan. Janganlah pula kita merekayasa cerita, menghasut masyarakat sekadar untuk memenuhi kepentingan politik kita dengan isu tanah dijadikan sebagai scapegoat.

18. Realitinya dalam pada pembangunan tanah untuk projek berskala besar diberi perhatian misalnya Kedah Rubber City melibatkan keluasaan 1500 ekar tanah di Padang Terap. RM212 juta sahaja diperuntukkan bagi tujuan pengambilan tanah selain selebihnya bagi pembangunan infra.


19. Demikian juga tanah milik PKNK di Bukit Kayu Hitam untuk mercu tanda Kedah Science and Technology Park (KSTP). RM78 juta sudah diluluskan Kerajaan Persekutuan dan kini kerja penyiapan infra Fasa 1 sedang giat dijalankan. Sudah ada nama besar dalam industri tertentu berminat dan antara yang sudah memuktamadkan pelaburan ialah sebuah syarikat kilang tayar dengan nilai pelaburan RM2 bilion. Dalam tempoh 5 tahun mulai tahun Disember 2017, 10,000 peluang kerja bakal diwujudkan. Untuk siapa? Untuk anak anak di Sintok, Changlon, Kodiang, Padang Sera, Hosba, Asun dan menjalar hingga ke Jitra.

20. Inilah formula pembangunan yang sedang digerak dan dipacu Ahmad Bashah dan rakan rakan dalam pentadbirannya. Jika duduk diam, tanpa berbuat apa-apa dituduhnya Mat Bashah MB yang lambat, kurang idea dan pelbagai lagi.

21. Namun apabila usaha sedang bergerak dengan pantas sama ada pembangunan fizikal mahupun modal insan, dituduhnya pula Mat Bashah menjual tanah kepada pelabur Cina. Untuk rekod, sepanjang pentadbiran Bashah selaku MB mulai 4 Febuari 2016 sehingga ke hari ini, dari sejumlah 27 ribu permohonan pemberi milikan tanah kerajaan kepada pemohon termasuk dari rakyat (permohonan individu) sejumlah 26,043 permohonan, belum ada lagi satu geran tanah yang dikeluarkan pada mana-mana pemohon menunjukkan tanah itu adalah hak milik kekal si pemohon berkenaan.

22. Berbalik kepada isu pengambilan tanah rizab kerajaan di Sungai Petani baru baru ini yang diviralkan oleh pihak yang berkepentingan dalam usaha mencemar nama baik Ahmad Bashah dan kerajaan BN kedah, Fakta Faktanya jelas telah diputar belitkan. Kenyataan daripada Pegawai Daerah Sik juga telah menyanggah isu viral ini seolah olah permohonan ini telah diluluskan walhal perkara ini masih dalam pertimbangan Pejabat Tanah SP dan sedang menjalani proses bantahan, jika pihak pejabat tanah diatas pertimbangan dan budi bicara mereka merasakan bahawa ia akan memberikan manafaat kepada kepentingan umum melebihi kepentingan sekumpulan kecil bantahan maka projek itu boleh dipanjangkan untuk pertimbangan exco kerajaan. begitrulah sebaliknya jika PT berpendapat ia menjejaskan kepentingan umum maka permohonan pemberi milikan ini boleh ditolak.

23. Turut diviralkan juga permohonan ini berlaku ketika mana Ahmad Bashah berkuasa kini dan bakal berusahasama dengan syarikat Chin Hin SDN BHD. Ini adalah satu fitnah jahat yang cuba dicontengkan kepada Menteri Besar sedangkan projek ini telah di cadangkan pada tahun 2014 oleh PKNK dan diluluskan permohonannya pada sekitar OCT 2015 didalam mesyuarat lembaga Pengarah yang dipengerusikan oleh mantan MB terdahulu iaitu Dato Seri Mukhriz Mahathir dan usahasama ini berlaku dengan sebuah syarikat bumiputera penuh Mastaja Sdn Bhd tiada pun Chin Hin terlibat. Oleh itu, janganlah kita mudah percaya atas viral viral yang enak didengar atas nama tuntutan Hak Rakyat terobek. Percayalah sebagai kerajaan, saya percaya Ahmad Bashah meletakan jaminan Hak rakyat adalah keutamaan pentadbiran beliau dan tidaklah sewenang wenangnya dicabuli tanpa pertimbangan yang wajar.  

24. Hak rakyat di Sik seramai 351 pemohon yang menunggu selama 14 tahun sekalipun Ahmad Bashah memeteraikan usahanya dengan kesemua mereka itu beroleh hakmilik tanggal 4 Januari lalu. Inikan pula tanah-tanah milik kerajaan yang bernilai tinggi dan strategik. Ironinya ia bukan sahaja dipelihara malah dibangun secara kerjasama strategik dengan pelabur dalam dan luar, namun entiti pegangan kerajaan ke atas tanah berkenaan adalah jelas. Selain nikmat dan hasil dari pembangunan berkenaan membawa keuntungan kepada perbendaharaan negeri serta meluaskan faedahnya kepada masyarakat terbanyak. Inilah konsep sebenar tanah dan penggunaanya dimajukan di Kedah. Disini Lahirnya Sebuah Cinta............

Syed Mohd Johan Rizal bin Syed Unan Mashri
AJK Pergerakan Pemuda UMNO Negeri Kedah
Naib Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Alor Setar
Pengerusi Kelab Belia Darulaman

Friday, 24 June 2016

MAHFUZ DI PENJARA IDENTITI


1. PAS cukup malang kerana sebagai sebuah parti berlogokan Islam, namun terpaksa mendapat pemimpin dan ahli parlimennya yang terpenjara dengan keIslaman dirinya.

2. Lebih malang, susuk tubuh yang bernama Mahfuz Omar bagai masih keliru siapakah dirinya antara watak hijau dan 'harum manis'. Memegang 'title' MP PAS, menang PRU 2008 dan 2013 di Parlimen Pokok Sena atas tiket PAS, tapi lunak suaranya senada dengan PAN. Ikut serta bersama program PAN, membontoti gerakan Deklarasi Mahathir-Kit Siang yang ditunjangi PAN kemana jua.

3. Betul, pada pandangan saya, beliau terpenjara dan terperangkap dalam identitinya sendiri.

4. Jika diri sendiri sudah keliru bayangkan pemikirannya, kata-kata dan tindak tanduknya. Entah apa mimpinya tiba-tiba mempertikaikan pentadbiran Ahmad Bashah yang dikatakan konon diurus dari Hospital.

5. Lojik prinsipnya, tidak bolehkah seorang manusia itu sakit? Kebalkah seorang manusia itu dari sakit. Hatta Nabi S.A.W sendiri pun ditimpa sakit, ini ketentuan, tabi'i yang sepatutnya bukan bahan gurauan.

6. Justeru, dengan skima lawaknya gurauan dan provokasi yang seolah-olah tidak membenarkan MB untuk sakit dan menerima rawatan tidak boleh diterima akal. Jika Mahfuz ditimpa sakit dan terpaksa menjalani rawatan di hospital, bagaimana pula tindakannya?


7. Kedua, kekalutan Mahfuz yang mahu Pemangku MB di lantik. Mahfuz itu siapa? Dari parti mana? Lantik atau tidak Pemangku MB ini urusan UMNO, perihal dalaman BN. Jika Mahfuz sakit dan jalani pembedahan, perlukah dia meletak jawatan atau diwujudkan jawatan pemangku Ahli Parlimen Pokok Sena menggantikannya? Biar sihat pun, kewujudan bagai tiada di kawasan, jika sakit apakan lagi?

8. Mungkin jiwa Mahfuz terus dibelenggu di ICU dengan bermimpi bahawa Kedah masih ditadbir partinya yang dulu dihumban rakyat kerana cakap tak serupa bikin. Di mana Mahfuz ketika mana Allahyarham Ustaz Azizan diserang Exco kanannya? Kenapa tidak dipertahan? Kenapa 'bisu' ketika itu? Atau memang Mahfuz pun suka arwah diserang rakan taulannya sendiri?

9. Dalam pada Ketua parti BN yang punyai hak mutlak untuk melantik MB dan Menteri Kabinet tidak pun menunjukkan sikap gopoh dan kalut, tiba-tiba watak si Mr. Bean yang berasal dari Titi Gajah ini menjadi 'Mat Kepoh'. Apa khabar Pokok Sena agaknya? Elok-elok saja? Mahfuz fikir orang PAS di Pokok Sena tidak 'semak perut' dengan 'split identity' dirinya?

10. Ketiga, untuk Mahfuz yang juga dikatakan hanya berpendidikan SRP, Pekeliling Pentadbiran Kerajaan Kedah dan Undang-Undang Tubuh Negeri menjelaskan seseorang MB jika bercuti berterusan selama 28 hari barulah difikirkan perlunya keperluan diangkat seorang Pemangku MB. Itupun dengan persetujuan ketua parti pemerintah setelah memohon pekenan Sultan Kedah. Mana satu jawatan yang dipegang Mahfuz? Pengerusi BN atau Sultan Kedah?

11. Ahmad Bashah secara rasmi baru bercuti 17 hari, hari ke 18 sudah mulakan tugas dengan pengerusikan Mesyuarat. Maka jika hari ke-19 beliau mengambil cuti kembali, maka bilangan cutinya dikira kembali menjadi cuti pertama pada hari ke-19 itu. Dan untuk makluman Mr Bean Pokok Sena juga, dalam tempoh 17 bercuti sekalipun, hakikatnya urusan pentadbiran kerajaan negeri berjalan, dokumen dan arahan pentadbiran digerakkan. Itu ditegaskan sendiri oleh SUK, Dato' Bakar Din. Mahfuz kenal Dato' Bakar Din?

12. Pemimpin yang cekap yang mempunyai sebuah pasukan Muafakat yang jelas dengan pasukan EXCOnya dan KCSnya yang boleh mentadbir dari mana pun jua. Dalam zaman serba IT ini, arahan boleh diwhatsapp, komunikasi melalui email. Fax, skype dan pelbagai lagi medium. MB Kedah kita tidaklah 'buta IT' seperti orang yang lulusan SRP....


13. Dalam dikatakan tidak upaya mentadbir, banyak program yang sudah dirancang berjalan dengan baik. Barakah Ihya Ramadhan bermula dari 11 Jun hingga 20 Jun berlangsung di 15 kawasan parlimen tanpa masalah. 12,000 menerima manfaat dengan peruntukkan RM2.4 juta. Dari mana biaya itu boleh disalurkan tanpa kelulusan, usaha dan idea dari MB.

14. Seramai 2.1 juta rakyat Kedah tidak kepoh, 26,000 penjawat awam negeri dan persekutuan mampu melaksanakan gagasan MB melalui amanat 100 harinya dengan jelas. 9 orang anggota EXCOjuga terus berfungsi. KCS dan lebih 175 pegawai tinggi utama dapat berperanan dengan jitu. Pelaburan luar seperti biasa, jumlah pelancong di Langkawi juga meningkat ke 3 juta tahun ini.

15. Traffic light di Pokok Sena tetap bernyala. Jalan, longkang diselenggara macam biasa. 550 buah sekolah menengah dan rendah di Kedah turut PDPnya seperti normal.

16. Bazar Ramadhan meriah, apa yang terjejasnya? Dasar induk sudah dirangka Ahmad Bashah. 27 agenda, 6 komponen, dan dalam tempoh 2 tahun semua diisi dengan jitu.


17. Mahfuz terus melatah..kerana jelas minda, hati dan jiwanya dirantai belenggu dogma antara Hijaukah Aku atau Harumaniskah aku. Bercuti 9 bulan dari jawatan YDP PAS Pokok Sena. Selalu menghilang dari kawasan Parlimennya.

18. Untuk 2 penggal 90,000 pengundi Parlimen Pokok Sena melihatnya ada serupa tiada, tiada pun tak berkurang, ada lagilah tak bertambah. Yang gagal Mahfuz. Yang kurang efektif Mahfuz, bijaknya Mahfuz hanya dongengan mulut kesan pengalamannya pernah menjadi penjual ubat jalanan di satu ketika di Pekan Nat dan pasar Malam.

19. Sudah-sudahlah Mahfuz, silat Bunga yang dipelajari zaman mudanya tidak lagi bersinergi. Taktik dan strategi mudah dibaca, lapok ditelan dek zaman...

20. Cukup-cukuplah menjadi pelawak skeptic yang langsung tak mengundang penonton untuk ketawa. Jika ada yang tertawa, mereka sebenarnya mentertawakan diri anda, melihat betapa saban hari, dengan dimamah usia anda terus memperbodohkan diri anda dan mahu orang lain turut sama bodoh seperti anda.

21. Pada 13 Julai nanti jangan lupa mai Mentalon, Rumah Terbuka MB, jemputan khas, boleh beraya bersama MB. Harapkan kurma 2.4 juta ditanam abang MAHFUZ, buahnya hingga kini berbunga pun tidak..hai Yusuf Taiyoob la jugak jawabnya...

Syed Mohd Johan Rizal bin Syed Unan Mashri
AJK Pergerakan Pemuda UMNO Negeri Kedah
Naib Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Alor Setar

Wednesday, 15 June 2016

KESIHATAN MB KEDAH


1. Sakit, musibah dan ujian adalah merupakan lumrah yang pasti dilalui oleh insan bernama manusia. Ia juga adalah nikmat untuk dirasai setiap manusia. Jika ada yang sakit di dalam sesebuah komuniti itu, maka kita dianjurkan untuk berziarah, mengambil teladan darinya selain mendoakan yang terbaik agar yang sakit segera sembuh.

2. Ia merupakan antara uslub dakwah. Sebuah nilai murni dalam masyarakat yang diajar Rasulullah S.A.W. Namun malangnya, ‘sakit’ atau kurang sihat di era kini sering diterjemah dalam konteks politik oleh pihak tertentu.

3. Musibah itu diwacana dari sudut yang kurang bermoral sifatnya. Dikaitkan pula sakit berkenaan kononnya sebagai kifarah dari Allah S.W.T selain ‘balasan karamah’ dari golongan bangsawan elitis aristokrat tertentu.

4. Betul. Harus diakui, hatta jika jari tercucuk duri halus sekalipun maka mungkin ianya adalah kifarah dari Allah buat menghilangkan dosa nan lalu. Tapi jangan lupa, usai sakit, dan dengan segala kesabaran ditempuhi bagi melalui keperitan sakit tadi, maka darjat dan kemuliaan insan diangkat Allah kemudiannya.

5. Inilah kisah yang Al-Quran gambarkan. Misalnya melalui teladan Nabi Ayub yang ditimpa derita sakit yang bukan kepalang. Namun berkat dari taqwa dan kesabaran Rasul Allah itu, sakit baginda sembuh, dan kemudian taraf serta kedudukannya disisi Allah dimartabatkan.


6. Beragama Islam, masyarakat kita turut dididik sedari kecil bahawa nilai kemasyarakatan dan sosio-budaya bangsa ini menekankan jika ada saudara yang sakit, ziarah dilakukan. Kunjung mengunjungi bagi bertanya khabar dan melihat keadaan rakan tadi. Kita diajar untuk meredakan hati dan deritanya, selain mendoakan kesihatannya. Hanya cakapkan yang baik-baik sahaja, jauh sekali mencerca atau menuduhnya yang bukan-bukan.

7. Maka demikianlah juga dalam konteks MB Kedah. Apabila menerima rawatan bermula 4 Jun, sehingga dipindahkan ke Hospital Pulau Pinang bagi mendapat seliaan pakar, tidak putus-putus handai taulan, rakan politik apatah lagi kaum keluarga menziarahinya.

8. Hakikatnya dalam isu beliau ditimpa masalah kesihatan, pilihan boleh dibuat agar ulser perut yang dialaminya itu dirawat secara kasual, tanpa perlukan pembedahan. Namun dalam jangka panjang pastilah menimbulkan masalah di kemudian hari. Lantaran itulah maka pembedahan dipilih sebagai opsyen bagi membolehkan beliau terus menggalas tugas dengan baik dan mengemudi negeri Kedah untuk jangka masa yang lebih panjang, tanpa diganggu masalah yang sama.

9. Ada yang bertanyakan tentang punca ulser yang dihidap MB Kedah sehingga mengakibatkan beliau terpaksa berehat di hospital untuk beberapa ketika.


10. Saya kira, jawapan jelas yang boleh nampak di depan mata adalah kesan dari kedegilan MB yang tidak menjaga diet pemakanan dan masa makannya. Kerana terlalu tumpukan gerak kerjanya mendekati pelbagai segmen lapisan masyarakat di Kedah. Memang itulah sifat sebenar Ahmad Bashah sejak dari zaman mudanya lagi yang melebihkan rakyat dari dirinya sendiri.

11. Setelah 3 tahun berlalu kesan kegagalan pimpinan terdahulu merungkai dan menyelesaikan banyak isu dan masalah tertangguh sama ada politik, pentadbiran, ekonomi dan isu kepartian, maka Ahmad Bashah memilih untuk mengenepikan soal keperluan diri dengan sanggup ‘meranduk’ segenap pelusuk kawasan dan kampung demi mendekati rakyat.

12. Jemputan ke majlis dari kalangan orang biasa hinggalah pihak Istana, semuanya beliau mahu hadir. Maka berlakulah putaran jadual programnya  6 ‘event’ setiap hari sejak mula 4 Febuari apabila Allah S.W.T mentakdirkan beliau untuk mengangkat sumpah selaku MB Kedah.

13. Betul. Seorang pemimpin harus energetic dan menjaga kecergasan serta fit untuk meneruskan tugas. Maka Bashah sekali lagi memilih untuk korbankan waktu tidur, senantiasa di dalam Kedah, bukannya bersantai atau bersenang lenang di London atau di luar negara hampir setiap minggu. Beliau sebaliknya senantiasa siap sedia, berkampung di dalam negeri, tidak pernah pula mengenal erti cuti atau bercuti rehat.

14. Keutamaan dasarnya,beliau kerja dan kerja demi memenuhi aspirasi masyarakat. Merangka dasar praktikal, simple dan mudah, tapi kesannya cepat dirasa oleh setiap rakyat Kedah. Fokusnya hanya sedaya upaya mensejahterakan rakyat, membangun ekonomi dan meletakkan asas yang kukuh bagi Kedah menjadi sebuah negeri yang gagah.


15. Maka banyaklah pihak harus disantuni. Pertemuan, usaha dirancang dan diatur. Dari pagi, tengahari, petang dan membawa ke lewat malam. Kesemua jadual kerjanya padat khusus untuk rakyat. Beliau tiada masa untuk bercuti ke luar negara mahupun terbang ke sana ke mari setiap minggu.

16. Kehendak diri sering diletak di belakang. Rumah sendiri sudah ibarat pejabat. Di pejabat, 2 kali ganda rakyat, ketua jabatan, pimpinan GLC datang untuk tuntaskan segala agenda dan misi memakmurkan seluruh negeri Kedah.

17. Sekali lagi, Ahmad Bashah mula alpa tentang diet pemakanannya, mula lalai dengan waktu makan beliau. Kerana bagi MB Kedah itu, permohonan dan kehendak rakyat perlu lebih diutama dan cuba diselesaikan beliau berbanding nafsu dan kehendak perutnya.

18. Natijah besar, maka sedikit demi sedikit, penyakit lama yakni gastrik yang dihidapinya, membungkam. Maka saluran usus beliau tidak lagi stabil dan boleh menerima tekanan sebegini rupa. Maka mulalah mengalami luka kecil yang akhirnya menyebabkan MB kita terpaksa kemudiannya direhatkan seketika dengan 'bercuti dalam kerja, dan kerja dalam cuti' di Hospital Pulau Pinang.

19. Inilah hakikat yang dilalui beliau. Walau ramai yang sedang menista dan mencacinya. Lebih parah ada segelintir yang mendoakan kecelakaan untuknya. Adab apakah ini? Saya terbayang wajah sahabat baik Ahmad Bashah, Allahyarham Tan Sri Ustaz Azizan Razak yang dulu dicela dan diperlekeh penyokong partinya sendiri. Entah sempat atau tidak mereka memohon maaf dari arwah?


20. Rakan separti sendiri, dari negeri sendiri ada yang kurang peka atau lemah adabnya langsung tidak menziarahi. Walhal ADUN, MP dari negeri jiran begitu prihatin sering bertanya khabar tentang dirinya dan bersusah payah menziarahinya pula.

21. Setidaknya, jika pun benci atas kapasiti Ahmad Bashah selaku MB, maka ziarahilah beliau atas dasar insan, hormat pada yang lebih tua dan demi mengangkat semangat nilai murni kemasyarakatan dan hidup beradab dalam sebuah komuniti. Cubalah berikan contoh yang baik kepada rakyat Kedah, apatah lagi di bulan Ramadhan Al-Mubarak ini.

22. Maka dalam hal ini, eloklah secara ikhlas saya berpesan kepada Mukhriz Mahathir, ‘dari hidup berkurang adab, biarlah mati dicaci maki'.

23.Wallahu aqlam mu bisawab.

Salam Ramadhan Al-Kareem, semoga amalan kebaikan kita tingkatkan, sikap kurang bersopan kita tinggalkan.

Syed Mohd Johan Rizal bin Syed Unan Mashri
AJK Pergerakan Pemuda UMNO Negeri Kedah
Naib Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Alor Setar

Wednesday, 24 February 2016

PERLANTIKAN EXCO:MANIFESTASI SEKOLAH POLITIK BASHAH


1. Pembunuhan karakter yang kini diulang-ulang oleh pihak tertentu untuk menghalalkan serangan ke atas MB Kedah, Dato' Seri Ahmad Bashah ialah tentang kelayakan akademik beliau. Mungkin bagi mereka yang menyerang itu, kelayakan akademik yang tinggi merupakan satu perkara penting dalam tanggapan mereka untuk menjadi seorang pemimpin.

2. Merujuk kepada fakta klasik sains politik, fakulti sains politik tertua di dunia telah lama wujud kira-kira 3,500 tahun yang lampau di negara kota Athens melalui tertubuhnya sebuah akademi yang diselia oleh Socrates sebelum bidang berkenaan diperincikan secara lanjut oleh sarjana seperti Plato dan Aristotle. Perkara-perkara yang akan bakal saya jelaskan di bawah mungkin agak sukar diterima oleh mereka yang menghina Dato' Seri Ahmad Bashah secara semberono akhir-akhir ini.

3. Merujuk kepada asas subjek yang diperbincangkan dan menjadi perdebatan utama yang dibahaskan di fakulti klasik sains politik berkenaan adalah lazimnya berkisar tentang kenegaraan, fungsi sesebuah negara dan kepimpinan yang sesuai dengan bentuk pemerintahan yang membentuk sesebuah sistem politik di sebuah negara yang bertamadun. 

Sunday, 21 February 2016

BILA TABIR DISINGKAP, TEMBELANG PUN TERUNGKAP...


1. Usai dua minggu Dato' Seri Ahmad Bashah dengan takdir Allah S.W.T dinobat selaku Menteri Besar Kedah, serangan bertali arus terhadap beliau tanpa mengenal konsep jemaah dalam parti dan komitmen kesetiaan yang diura-uarkan sebelum ini terus digandakan. Lebih menjijikkan, pihak tertentu tanpa etika turut menyerang beliau secara peribadi melambangkan ketidakmatangan terutama dari sudut politik. Memalukan lagi apabila ia dilakukan oleh mereka yang mendabik dada kononnya 'pejuang parti'. 

2. Telahan mudah, janji yang diungkap Mukhriz Mahathir dihari perletakan jawatannya, ternyata satu singkapan mudah yang tidak lagi menggambarkan jiwa besarnya selaku 'pembesar UMNO'. Jentera media sosialnya terus melancarkan perang gerila, entah gerombolan mana pula dimanipulasi dan diperalat bagi membolak-balik bendera parti, lambang panji perjuangan selama ini. Jika tidak disuruh pun, mengapa tidak dilarang tindakan dan serangan bersifat khianat itu? Itu bukan pejuang UMNO namanya, itu dipanggil 'pejuang Mukhriz.

3. Lebih menarik, tirai tembelang satu persatu mula tersingkap. Apabila Dato' Seri Ahmad Bashah menghadiri program Malam Cinta Rasul di Sungai Petani, anjuran Pejabat Daerah, dituduhnya pula sebagai tindak-tanduk meniru Mukhriz semata-mata. Dalam amalan beragama, jika yang ditiru itu prinsip amal maaruf nahi mungkar, bukankah satu kebaikan yang nyata dan wajar diteruskan? Apakah Malam Cinta Rasul itu milik peribadi Mukhriz? Jika benar, anjurkan saja amalan 'ibadah' bernama 'Malam Cinta Mukhriz'. Pahala beramal ibadah adalah eksklusif milik beliau seorang? Namun itulah tahap pemikiran kem Mukhriz.

Sunday, 7 February 2016

BAGAI SIREH PULANG KE GAGANG, AHMAD BASHAH MENTERI BESAR KEDAH KE-12


1. Tanggal 4 Februari memahatkan sebuah sejarah bagi saya, semua pemimpin ahli dan penyokong UMNO negeri Kedah, serta umumnya rakyat negeri Kedah. Dengan kehendak rahman dan rahim dari-Nya, dengan perkenan Jemaah Pemangku Sultan Kedah, Dato' Seri Ahmad Bashah Md Hanipah mengangkat sumpah secara rasmi sebagai Menteri Besar Kedah ke-12 di Istana Anak Bukit. Bagaikan sireh pulang ke gagang, maka sahlah insan bernama Ahmad Bashah sebagai Menteri Besar.

2. Terdahulu, saya ingin mengucapkan setinggi-tinggi tahniah kepada Dato' Seri Mukhriz Tun Mahathir. Segala jasa bakti dan sokongan beliau kepada program-program dan polisi polisi yang terbaik telah dirancang dan dilaksanakan untuk negeri Kedah ini saya ucapkan jutaan terima kasih dan setinggi penghargaan. Melepaskan jawatan selaku Menteri Besar biar pun disaat akhir, menjelaskan beliau juga berjiwa besar. memikirkan agar parti tidak berpecah dan rakyat menjadi semakin resah. Memberi komitmen bahawa beliau akan ttap setiap pada parti begitu melegakan saya dan menolak sebarang jawatan dalam kabinet menunjukan beliau seorang yang berpegang pada prinsip.Betul atau salah bukanlah persoalan tapi prinsip beliau wajar dilihat tinggi. dan disini juga saya ingin mengucapkan syabas kepada YB Dato Aminuddin (YB Pak Tam) yang juga sehingga akhirnya terus kukuh berpegang pada prinsip beliau bersama Mukhriz berbanding sesetengah pemimpin yang "flip flop" Cuma apa yang dikesalkan kenyataan media beliau agak mengundang konfrantasi. Apa yang saya harapkan DSMM tahu apa yang beliau lakukan dan harapan saya juga dengan berakhirnya kemelut ini. DSMM perlu mengkaji semula gerakan politiknya dan kembali dalam kepimpinan utama negara satu hari nanti. saya percaya DSMM mempunyai potensi yang tinggi cuma pada pandangan saya beliau harus berupaya memperkemaskan pengaruh politiknya dalam rumah beliau sendiri iaitu UMNO.  Walaupun begitu,dengan apa yang terjadi dikedah, dengan berat hati saya melihat tindakan itu sebagai perlu.

3. Saya sebenarnya telah pun mengucapkan tahniah kepada Dato' Seri Ahmad Bashah secara peribadi. Apabila SUK, Dato' Bakar Din mengumumkan beliau bakal dilantik sebagai Menteri Besar, saya melihat sendiri bagaimana beliau diraikan pelbagai lapisan masyarakat dan juga tok guru dan mudhir dari 30 pondok dari seluruh negeri Kedah. Mungkin ada yang melihat 'perang saudara' di ruang maya internet berlaku, namun pada pandangan saya itulah 'asam garam penyedap rasa' dunia politik, terutama mereka yang menyokong pemimpin secara individu dan tidak mengutamakan kepentingan parti.