Showing posts with label mahyuddin yassin. Show all posts
Showing posts with label mahyuddin yassin. Show all posts

Wednesday, 2 March 2016

MEMAHAMI ADAB BERJEMAAH


1. Jika dirujuk pada kaifiyah masbuq dalam solat berjemaah, makmum yang terlepas dari gerakan rukuk Imam di depan, maka makmum itu perlu melakukan rakaat itu semula kerana ia tidak dikira. Ia adalah kerana rukuk merupakan 'transit' atau titik terakhir antara rakaat bagi solat. Saya yakin ramai yang tahu tentang itu. Ini difahami dalam hukum fiqh dan menjadi perbincangan di kalangan ulama muktabar. Itu hukum berjemaah dalam solat.

2. Begitu juga dalam jemaah sebuah pasukan bola sepak, jika rakan sepasukan bertindak belot, khianat dan menjaringkan gol sendiri, maka punahlah harapan seluruh pasukan untuk capai kemenangan. Jalan terbaik untuk menang ialah dengan menukar pemain berkenaan dengan pemain gantian yang sesuai.

3. Itu adalah sekadar contoh mudah. Dalam organisasi kepartian pula, dengan segala macam undang-undang, peraturan, kepaduan, kesetiaan dalam jemaah parti amat dituntut. Seperkara lagi, konsep 'keakuran dan kerahsiaan' juga perlu dipatuhi. Jika tidak, maka mudahlah musuh politik dari luar menentang dan mengambil peluang terhadap parti.



4. Hakikatnya UMNO adalah sebahagian dari satu jemaah atau organisasi politik yang tradisinya amat kaya dengan adab, dan aturannya, sebermulanya ia diresmikan menjadi wadah perjuangan politik berjemaah orang Melayu di ISTANA BESAR, Johor Bharu, 11 MEI 1946. UMNO sejak itu amat dikenali sebagai parti yang penuh etika, penghormatan dan nilai yang dijunjung tinggi.

5. Sebab itulah, apabila Pengasas UMNO, Dato' Onn Jaafar, mengusulkan agar UMNO dibuka keahlian pada berbilang kaum, lantas cadangan itu ditentang oleh Ahli Majlis Tertinggi (MT) dan majoriti ahlinya. Maka kerana kemarahan itu, maka Dato' Onn kemudiannya dinasihatkan untuk berundur dan digantikan dengan YTM Almarhum Tunku Abdul Rahman Putra.

6. Ketika mana Dr. Mahathir melontarkan surat terbukanya kepada Almarhum Tunku yang mempertikai wibawa dan menyentuh peribadi beliau, maka Dr. Mahathir juga perlu dipecat. Tindakan itu diambil adalah kerana adab budaya parti dan jemaah Melayu tidak akan membuka pekung keluarganya sendiri. Ia adalah disebabkan untuk menjaga solidariti dan keluh kesah masyarakat bukanlah bertujuan mutlak untuk melindungi peribadi pemimpin tertentu.


7. Almarhum Tunku juga keluar UMNO apabila mengambil keputusan menyokong Semangat 46 ketika tidak bersetuju dengan Dr Mahathir. Demikian juga Allahryham Tun Hussein. Anwar Ibrahim juga dipecat, kerana salah laku moral. Demikian juga ratusan ahli MT dan Ketua UMNO Bahagian kerana pelbagai sebab, sama ada digantung jawatan, keahlian atau menerima bahan pemecatan.

8. Semuanya kerana di dalam UMNO wujud adab, peraturan dan perlembagaan sebagai lambang organisasi berjemaah. Jika undang-undang uslub, tataetika parti dan konsep perpaduan jemaah tidak boleh lagi dipatuhi, bermakna ia bermaksud bahawa kita lebih utamakan pilihan peribadi sendiri. Di saat itu, pilihan terbaik sama ada 'berundur' kerana semangat jemaah tidak lagi mampu dihayati. Jika enggan berundur, maka individu itu mungkin dikenakan tindakan yang wajar kerana cara tersebut tidak lagi bersendikan adab, aturan dan tatasusila jemaah parti. Jika adab, aturan dan tatasusila parti dipatuhi, maka barulah damai dan sejahtera jemaah bersama.

9. Maka itu, saya berpandangan bahawa isu penggantungan Tan Sri Muhyiddin adalah satu proses biasa. Beliau masih lagi berjawatan KETUA UMNO Bahagian Pagoh. Maka kita doakan semoga adab jemaah di UMNO Bahagiannya dapat disuburkan, dan jangan pula ada yang rasa kecewa atau gundah gulana di jiwa. Tun Mahathir yang dipecat pada tahun 1970, 11 tahun kemudian dengan tadkir Allah SWT diangkat menjadi Perdana Menteri. Demikian juga Pak Lah yang disisihkan dari sebarang jawatan hanya kerana menyebelahi Ku Li dalam pemilihan UMNO 1987, dengan takdirNya telah diangkat menjadi pemimpin perdana pada tahun 2003.


10. UMNO sebelum ini pernah juga dilanda musibah pepecahan dalaman. Malah musibah yang lebih teruk dan besar kesannya juga pernah berlaku pada parti keramat bangsa ini. Namun biar dilanda taufan sehebat mana pun, UMNO tetap hidup dan terus berjuang demi agama, bangsa dan negara. Walau pernah diuji Allah SWT, seluruh jemaah tetap beristiqomah dalam mempertahankan parti dan mengenepikan kepentingan peribadi. Itulah ramuan istimewa di dalam jemaah UMNO sejak mula ditubuhkan.

11 Kerana itulah betapa pentingnya kita berserah kepada ketentuan Allah atas apa yang terjadi di dalam jemaah UMNO. Saya yakin, sudah tentu terdapat hikmah yang sangat besar di sebaliknya. Cuma saya harap, jangan pula yang mengambil kesempatan menjadi 'batu api', menambah luka di dada. Semoga ada redha di hati dan jangan cepat berputus asa. Kerana hidup kita ini ibarat putaran roda dan kita berjuang lillahi ta'ala kerana di sini lahirnya sebuah cinta...

Syed Mohd Johan Rizal bin Syed Unan Mashri
AJK Pergerakan Pemuda UMNO Negeri Kedah
Naib Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Alor Setar

Monday, 3 August 2015

MENGHARAP SINAR DI HUJUNG TEROWONG


1. Dalam suasana syawal yang masih diraikan, seluruh warga UMNO juga sedang giat fokus pada Persidangan Perwakilan UMNO Tahunan di peringkat baik diperingkat sayap sayap dan Bahagian masing-masing. Berbicara, berusul kata. Ada yang bertempik, ada yang tersenyum sumbing. Ada yang hiba, ada pula yang bersorak gembira. Namun itulah keluarga saya, keluarga UMNO dulu kini dan selamanya...Medepani isu mutakhir kini, kesannya turut dirasai dan dipersoalkan rata-rata perwakilan disegenap pelosok negara termasuk pemuda bahagian saya sendiri, penjelasan dituntut dengan pelbagai reaksi dan rasa. Kita tidak mampu menolak Hak bersuara ahli-ahli kita. Apa yang jadi harapan mereka, keluh dan rasa mereka diberi perhatian dan pertimbangan sewajarnya oleh pimpinan utama. Namun saya yakin dari sudut pandangan kacamata saya, rasa dan keluh mereka adalah akibat rasa kasih dan cinta mereka pada perjuangan parti yang berkeramat ini.

2.Walau bagaimana pun, 'Bani Jawi' ini masih jauh perjalanannya. Tiada jaminan atau kepastian bahawa kejayaan itu pasti dalam genggaman. Masih belum ternoktah sirna cahaya ‘Utopia’ yang memancarkan cahaya kemenangan itu. Namun benarlah kata Pendita Za’ba, "hidup ini satu ujian dan mengharungi hidup juga adalah satu perjudian"...Al-Furqan juga ada mengingatkan kita betapa duniawi hanyalah destinasi ujian. Jawatan, kepimpinan, kuasa adalah amanah dan kadangkala menjadi 'fitnah'. Di mata saya ia bukan 'habuan', malah lebih kepada dugaan berat, amanah dan tanggungjawab yang perlu dipikul. Ia bakal dihisab, dihitung di Mahsyar kelak. Jika tergelincir, akan diazab. Soalnya, cuaikah kita? Amanahkah kita? Jujurkah kita dalam melunaskannya? Ya Allah, aku berserah pada Mu...

3. Lantaran itu, bila diangkat seorang pemimpin dan kepimpinan itu, maka tanggungjawab terpikul di atas pundak jemalanya. Bagai kehendakNya, setiap kita adalah pemimpin, paling kurang pun untuk memimpin diri kita sendiri. Justeru kita wajar bermuhasabah diri, "soul searching" atau melakukan penilaian kendiri wajar dilakukan. Suluh diri sedalam-dalamnya. Selemah-lemah iman, kita berdoa di dalam hati. Kita menadah kedua tapak tangan, biar UMNO terus subur, tidak terpadam obor perjuangannya. Jangan sesekali ditakdirkan senasib seperti mereka yang lain. Tidak seperti Kongres di India, Kuomintang di Taiwan, Liberal di Mexico, Golkar di Indonesia dan LDP di Jepun. UMNO membujur lalu melintang patah, tidak lapuk dek hujan, tidak lekang dek panas...

Wednesday, 29 July 2015

POLITIK SANG PRESIDEN..

Timbalan Presiden UMNO, Tan Sri Muhyiddin Yassin
1. Semalam terpatri lagi satu sejarah. Saya yakin, semua warga UMNO di seluruh negara agak terkejut dengan pengumuman rombakan kabinet di mana ia melibatkan pengguguran Timbalan Presiden UMNO, Tan Sri Muhyiddin Yassin dari jawatan Timbalan Perdana Menteri. Perasaan bercampur-baur. Ada yang marah, ada yang kecewa, ada yang sedih dan ada pula yang terkedu. Bagi kebanyakkan 'typical' pembangkang, tindakan itu seolah bola tanggung untuk terus memecah-belahkan UMNO dari luar sana. Bukankah itu sikap mereka yang suka menangguk di air yang keruh? Sedangkan rumahtangga mereka sendiri sedang porak peranda dihentam badai, ada hati pula mereka menjaga tepi kain orang? Sangat memalukan, bukan?

2. Ikhlasnya, saya sendiri selaku seorang pemimpin muda UMNO yang masih 'hijau', sangat terkejut dengan langkah drastik yang dilakukan institusi Presiden yang saya sanjungi. Namun di sebalik kejutan itu, setelah menghela nafas sedalam-dalamnya, saya mampu menenangkan diri di atas keributan yang berlaku sejak semalam. Setelah bertenang, saya cuba meletakkan diri di tempat Tan Sri Muhyiddin. Dan setelah bertenang juga, saya cuba menempatkan diri saya di tempat Dato' Seri Najib. Rasional mula timbul di akal fikiran saya. Saya mula menggunakan keupayaan untuk berfikir secara rasional, tanpa berbaur emosi yang hanya akan membakar diri ke arah mudarat yang memusnahkan jiwa dan perjuangan anak bangsa ini...