Sunday, 10 March 2019

Kenyataan pemimpin DAP suburkan Islamophobia - Pemuda UMNO Kedah


ALOR SETAR 10 Mac - Kenyataan berunsur hasutan oleh pemimpin DAP terhadap kerjasama UMNO-Pas kebelakangan ini, tidak boleh dibiarkan berterusan kerana hanya akan menyuburkan sentimen Islamophobia dalam kalangan orang bukan Islam di negara ini.

Ketua Penerangan Pemuda UMNO negeri, Syed Mohd. Johan Rizal Syed Unan Mashri berkata, justeru Polis Diraja Malaysia (PDRM) wajar mengambil tindakan tegas terhadap golongan berkenaan.

Kata beliau, tidak mustahil kenyataan demi kenyataan seumpama itu jika terus dikeluarkan akan menjejaskan imej Malaysia sebagai sebuah negara Islam contoh kerana kesederhanaannya.

"Sudah tentu ia akan turut menggugat kedudukan Malaysia dalam ASEAN, menyebabkan para pelabur asing lari, menyumbang kejatuhan ekonomi dan nilai ringgit yang lebih teruk lagi seperti mana yang terjadi di negara-negara teluk.

"Seterusnya kita bimbang jika PDRM lambat bertindak, majoriti rakyat negara ini yang beragama Islam akan marah dan tidak mustahil mengundang kebangkitan yang lebih besar orang Islam serantau di Indonesia dan selatan Thailand," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Sejak kerjasama UMNO dan Pas diumumkan, Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng menuduh kononnya ia 'perang' terhadap orang bukan Melayu.

Pengerusi DAP Perak, Nga Kor Ming pula kemudian dilaporkan mendakwa kerjasama itu akan menjadikan negara seperti Afghanistan yang diperintah Taliban.

Dalam pada itu, Syed Mohd. Johan Rizal mengingatkan bahawa kerjasama UMNO-Pas bukanlah perkara baharu kerana mengikut sejarah kedua-dua parti itu pernah menjalin hubungan selepas tragedi 13 Mei 1969.

"Malah pada 1 Mac 1974, UMNO dan Pas adalah antara parti pengasas penubuhan Barisan Nasional (BN) setelah pembubaran Parti Perikatan sebelum berpisah pada 1978," jelasnya.

Beliau seterusnya memberitahu, kerjasama UMNO-Pas penting diteruskan bagi menjamin penyatuan ummah pada masa depan tanpa mengenepikan hak-hak kebajikan orang bukan Islam.

"Teras kerjasama ini diambil daripada model negara Islam Madinah oleh Rasulullah SAW yang berjaya mewujudkan suasana aman damai dalam kalangan penduduk berbilang kaum dan agama," katanya. - UTUSAN ONLINE

Syed Mohd Johan Rizal bin Syed Unan Mashri
Ketua Penerangan 
Pergerakan Pemuda UMNO Kedah.

No comments:

Post a Comment

Assalamualaikum dan Salam Kedah Aman Makmur,
Sebagai pemberi komen yang bertanggungjawab, tidak akan dibenarkan sebarang komen dari 'anonymous' di blog ini. Pemilik blog juga tidak bertanggungjawab di atas sekarang komen yang melanggar etika, undang-undang dan peraturan yang ditetapkan SKMM.

Sila bertanggungjawab atas ulasan/komen yang diberikan.

Terima kasih.