Friday, 24 June 2016

MAHFUZ DI PENJARA IDENTITI


1. PAS cukup malang kerana sebagai sebuah parti berlogokan Islam, namun terpaksa mendapat pemimpin dan ahli parlimennya yang terpenjara dengan keIslaman dirinya.

2. Lebih malang, susuk tubuh yang bernama Mahfuz Omar bagai masih keliru siapakah dirinya antara watak hijau dan 'harum manis'. Memegang 'title' MP PAS, menang PRU 2008 dan 2013 di Parlimen Pokok Sena atas tiket PAS, tapi lunak suaranya senada dengan PAN. Ikut serta bersama program PAN, membontoti gerakan Deklarasi Mahathir-Kit Siang yang ditunjangi PAN kemana jua.

3. Betul, pada pandangan saya, beliau terpenjara dan terperangkap dalam identitinya sendiri.

4. Jika diri sendiri sudah keliru bayangkan pemikirannya, kata-kata dan tindak tanduknya. Entah apa mimpinya tiba-tiba mempertikaikan pentadbiran Ahmad Bashah yang dikatakan konon diurus dari Hospital.

5. Lojik prinsipnya, tidak bolehkah seorang manusia itu sakit? Kebalkah seorang manusia itu dari sakit. Hatta Nabi S.A.W sendiri pun ditimpa sakit, ini ketentuan, tabi'i yang sepatutnya bukan bahan gurauan.

6. Justeru, dengan skima lawaknya gurauan dan provokasi yang seolah-olah tidak membenarkan MB untuk sakit dan menerima rawatan tidak boleh diterima akal. Jika Mahfuz ditimpa sakit dan terpaksa menjalani rawatan di hospital, bagaimana pula tindakannya?


7. Kedua, kekalutan Mahfuz yang mahu Pemangku MB di lantik. Mahfuz itu siapa? Dari parti mana? Lantik atau tidak Pemangku MB ini urusan UMNO, perihal dalaman BN. Jika Mahfuz sakit dan jalani pembedahan, perlukah dia meletak jawatan atau diwujudkan jawatan pemangku Ahli Parlimen Pokok Sena menggantikannya? Biar sihat pun, kewujudan bagai tiada di kawasan, jika sakit apakan lagi?

8. Mungkin jiwa Mahfuz terus dibelenggu di ICU dengan bermimpi bahawa Kedah masih ditadbir partinya yang dulu dihumban rakyat kerana cakap tak serupa bikin. Di mana Mahfuz ketika mana Allahyarham Ustaz Azizan diserang Exco kanannya? Kenapa tidak dipertahan? Kenapa 'bisu' ketika itu? Atau memang Mahfuz pun suka arwah diserang rakan taulannya sendiri?

9. Dalam pada Ketua parti BN yang punyai hak mutlak untuk melantik MB dan Menteri Kabinet tidak pun menunjukkan sikap gopoh dan kalut, tiba-tiba watak si Mr. Bean yang berasal dari Titi Gajah ini menjadi 'Mat Kepoh'. Apa khabar Pokok Sena agaknya? Elok-elok saja? Mahfuz fikir orang PAS di Pokok Sena tidak 'semak perut' dengan 'split identity' dirinya?

10. Ketiga, untuk Mahfuz yang juga dikatakan hanya berpendidikan SRP, Pekeliling Pentadbiran Kerajaan Kedah dan Undang-Undang Tubuh Negeri menjelaskan seseorang MB jika bercuti berterusan selama 28 hari barulah difikirkan perlunya keperluan diangkat seorang Pemangku MB. Itupun dengan persetujuan ketua parti pemerintah setelah memohon pekenan Sultan Kedah. Mana satu jawatan yang dipegang Mahfuz? Pengerusi BN atau Sultan Kedah?

11. Ahmad Bashah secara rasmi baru bercuti 17 hari, hari ke 18 sudah mulakan tugas dengan pengerusikan Mesyuarat. Maka jika hari ke-19 beliau mengambil cuti kembali, maka bilangan cutinya dikira kembali menjadi cuti pertama pada hari ke-19 itu. Dan untuk makluman Mr Bean Pokok Sena juga, dalam tempoh 17 bercuti sekalipun, hakikatnya urusan pentadbiran kerajaan negeri berjalan, dokumen dan arahan pentadbiran digerakkan. Itu ditegaskan sendiri oleh SUK, Dato' Bakar Din. Mahfuz kenal Dato' Bakar Din?

12. Pemimpin yang cekap yang mempunyai sebuah pasukan Muafakat yang jelas dengan pasukan EXCOnya dan KCSnya yang boleh mentadbir dari mana pun jua. Dalam zaman serba IT ini, arahan boleh diwhatsapp, komunikasi melalui email. Fax, skype dan pelbagai lagi medium. MB Kedah kita tidaklah 'buta IT' seperti orang yang lulusan SRP....


13. Dalam dikatakan tidak upaya mentadbir, banyak program yang sudah dirancang berjalan dengan baik. Barakah Ihya Ramadhan bermula dari 11 Jun hingga 20 Jun berlangsung di 15 kawasan parlimen tanpa masalah. 12,000 menerima manfaat dengan peruntukkan RM2.4 juta. Dari mana biaya itu boleh disalurkan tanpa kelulusan, usaha dan idea dari MB.

14. Seramai 2.1 juta rakyat Kedah tidak kepoh, 26,000 penjawat awam negeri dan persekutuan mampu melaksanakan gagasan MB melalui amanat 100 harinya dengan jelas. 9 orang anggota EXCOjuga terus berfungsi. KCS dan lebih 175 pegawai tinggi utama dapat berperanan dengan jitu. Pelaburan luar seperti biasa, jumlah pelancong di Langkawi juga meningkat ke 3 juta tahun ini.

15. Traffic light di Pokok Sena tetap bernyala. Jalan, longkang diselenggara macam biasa. 550 buah sekolah menengah dan rendah di Kedah turut PDPnya seperti normal.

16. Bazar Ramadhan meriah, apa yang terjejasnya? Dasar induk sudah dirangka Ahmad Bashah. 27 agenda, 6 komponen, dan dalam tempoh 2 tahun semua diisi dengan jitu.


17. Mahfuz terus melatah..kerana jelas minda, hati dan jiwanya dirantai belenggu dogma antara Hijaukah Aku atau Harumaniskah aku. Bercuti 9 bulan dari jawatan YDP PAS Pokok Sena. Selalu menghilang dari kawasan Parlimennya.

18. Untuk 2 penggal 90,000 pengundi Parlimen Pokok Sena melihatnya ada serupa tiada, tiada pun tak berkurang, ada lagilah tak bertambah. Yang gagal Mahfuz. Yang kurang efektif Mahfuz, bijaknya Mahfuz hanya dongengan mulut kesan pengalamannya pernah menjadi penjual ubat jalanan di satu ketika di Pekan Nat dan pasar Malam.

19. Sudah-sudahlah Mahfuz, silat Bunga yang dipelajari zaman mudanya tidak lagi bersinergi. Taktik dan strategi mudah dibaca, lapok ditelan dek zaman...

20. Cukup-cukuplah menjadi pelawak skeptic yang langsung tak mengundang penonton untuk ketawa. Jika ada yang tertawa, mereka sebenarnya mentertawakan diri anda, melihat betapa saban hari, dengan dimamah usia anda terus memperbodohkan diri anda dan mahu orang lain turut sama bodoh seperti anda.

21. Pada 13 Julai nanti jangan lupa mai Mentalon, Rumah Terbuka MB, jemputan khas, boleh beraya bersama MB. Harapkan kurma 2.4 juta ditanam abang MAHFUZ, buahnya hingga kini berbunga pun tidak..hai Yusuf Taiyoob la jugak jawabnya...

Syed Mohd Johan Rizal bin Syed Unan Mashri
AJK Pergerakan Pemuda UMNO Negeri Kedah
Naib Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Alor Setar

No comments:

Post a Comment

Assalamualaikum dan Salam Kedah Aman Makmur,
Sebagai pemberi komen yang bertanggungjawab, tidak akan dibenarkan sebarang komen dari 'anonymous' di blog ini. Pemilik blog juga tidak bertanggungjawab di atas sekarang komen yang melanggar etika, undang-undang dan peraturan yang ditetapkan SKMM.

Sila bertanggungjawab atas ulasan/komen yang diberikan.

Terima kasih.