Showing posts with label UMNO Kedah. Show all posts
Showing posts with label UMNO Kedah. Show all posts

Monday, 10 July 2017

MUKHRIZ DIGESA JELASKAN SEBAB PENYUSUTAN RIZAB DAN HASIL NEGERI


1. Kelab Belia Darul Aman memandang serius fakta yang dikemukakan oleh YB DS Abdul Rahman Dahlan Menteri di JPM berhubung penyusutan rizab kewangan kerajaan Negeri Kedah yang merosot sehingga angka 80% di bawah pentadbiran Mukhriz Mahathir selalu Menteri Besar Kedah (Mei 2013 hingga 3 Febuari 2016).

2. Dari sejumlah RM208.94 juta rizab kerajaan negeri di tahun 2013, amat menghairankan ianya susut sehingga menjadi RM48 juta pada 2015.

3. Demikian juga penurunan kutipan hasil negeri dari RM518.43juta pada tahun 2013 merosot  kepada RM411.05 Juta pada 2015.


4. Dalam masa yang sama timbul persoalan bagaimana di bawah kepimpinan YAB DS DIRAJA AHMAD BASHAH, untuk kutipan hasil bagi Febuari hingga Disember 2016 sejak beliau mengambil alih tugas selaku MB, hasil kerajaan negeri mampu mencecah sehingga RM740juta.

5. Selain prestasi kutipan hasil bagi 2017 sehingga kini sudah melonjak ke tahap 76% dan sasaran capaian hasil ke tahap 90% bagi tahun kewangan 2017 dijangka mampu dicapai.


6. Dalam masa yang sama Kelab Belia Darul aman juga ingin mengemukakan persoalan kenapa dalam setiap kali Bajet Negeri yang dibentangkan olehnya Bajet 2014, 2015 dan 2016 jelas ketara defisitnya dan kenapa di era Dato SERI AHMAD BASHAH selaku MB bagi pembentangan Bajet 2017, defisit berjaya diturunkan sehingga 4.6%. Dalam masa yang sama kenapa di bawah DS AHMAD BASHAH prestasi perolehan kewangan negeri dari sehi hasil mampu melonjak sehingga 23%?.

7. Timbul pelbagai persoalan disini. Apakah di era Mukhriz banyak hasil negeri hilang dan tidak dimasukkan ke dalam perbendaharaan negeri?. Apakah ada berlaku urusniaga di bawah meja?. Kenapa rizab dan hasil negeri susut? Kemana ianya dibelanjakan dan apa hasilnya? Jawapan penuh integriti, telus amat dituntut dari Mukhriz Mahathir.

8. Mukhriz Mahathir perlu tampil untuk memperjelas segala kekeliruan dan dakwaan ini.

Syed Mohd Johan Rizal bin Syed Unan Mashri
AJK Pergerakan Pemuda UMNO Negeri Kedah
Naib Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Alor Setar
Pengerusi Kelab Belia Darulaman

Thursday, 27 April 2017

TRAVELOG WALKABOUT BASHAH PEDULI..RAKYAT NIKMATI


1. Sudah 6 kawasan Parlimen dijelajahi MB.

2. Satu bukti seriusnya khidmat beliau untuk pastikan segala direncana teguh dilaksana.

3. Keperluan rakyat ditangani setelah dilihat dengan mata kepala sendiri.


4. Isu tanah, kemudahan asas, utiliti, bantuan pada komuniti bersasar dirungkai lalu diselesai.

5.Bagi Ahmad Bashah, beliau lebih puas jika dapat melihat dan menilai sendiri whats going on..berbanding sekadar menerima laporan yang muluk muluk.


6. Ini bezanya kepimpinan peduli dan kepimpinan selebriti.

7. Di Parlimen Kuala Kedah sebagai contoh RM16.1 juta disalur untuk masjid, kemudahan infra, pembaikan rumah rakyat, insentif alatan dan elaun sara hidup untuk nelayan selain semarak agihan Barakah Untuk Semua.

8. Di Jerai, khazanah waqaf disempurna, kawasan pelancongan Pantai Murni disiapsiaga
 dan kelulusan penambahbaikan jalan Jeniang - Gurun sebanyak RM4.36j telah diumumkan.


9. Di Pokok Sena, institusi pondok dan SAR diperkukuh. Masjid selaku "centre of societal activity" diperkasa.

10. Di Sik, lebih 500 geran hakmilik tanah yang tertangguh hampir 15 tahun  dibereskan. Demikianlah impak bila MB turun padang...

11. Bagi Ahmad Bashah, prinsipnya khidmat bakti ditatang, keperluan rakyat dijulang.

12. Kerja dilaksana bukan bermusim namun dicerna sepanjang masa.


13. Baginya ini bukan gula-gula pilihanraya sepertimana tohmahan segelintir orang.

14. Namun ini tanggungjawab yang wajib dilaksana usai membaiah sumpah jawatan selaku pengurus hal ehwal umat..

15. Bashah Peduli..Rakyat Nikmati.

# RakyatCentric
#BarakahSiasah..

Syed Mohd Johan Rizal bin Syed Unan Mashri
AJK Pergerakan Pemuda UMNO Negeri Kedah
Naib Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Alor Setar
Pengerusi Kelab Belia Darulaman

Wednesday, 12 April 2017

PASCA SIDANG DUN KEDAH: APA ISTIMEWANYA?


1. Selain sikap hooligan Yb Mahfuz yang berterusan dengan aksi badutnya dengan terbawa bawa sehingga meluru merempuh pintu sidang DUN maka hakikatnya tidak ada apa yang menarik sidang DUN Kedah kali ini.

2. Tiga faktor dikenalpasti. Pertama, ADUN pembangkang ketandusan isu kesan keupayaan Ahmad Bashah mengemudi dan melengkapi akujanji PRU13 yang peratusannya sudah mencapai tahap 80 peratus pelaksanaan. Satu usaha yang semasa pentadbiran Mukhriz gagal diupayakan.

3. Melengkapi usaha MB ini ialah satu demi satu dasar merakyat yang dicetuskan selepas Ahmad Bashah menzahirkan Amanat 100 harinya pada 22 Mei 2016.


4. Dalam tempoh setahun pentadbirannya, 67% dari 34 agenda utama dalam program amanat telah disempurnakan. Antaranya skim IMAN, Tuisyen Barakah, skim BARAKAH, Kedah First, Bright Kedah, Kedah Job Fair, aplikasi program Muafakat, Hab Pengajian Pondok dan Maahad Tahfiz, Town Hall ANAK, SUKDA, Jelajah Muafakat Mahasiswa , GENIUS 2017 dan banyak lagi.

5. Dampak program ini meluas kesannya keseluruh negeri. Implementasinya pula inklusif tanpa ada segmentasi dari segi ideologi, kaum, status sosial mahupun pegangan politik.

6. Inilah yang menyebabkan ramai ADUN merasa malu alah atas sikap terbuka Ahmad Bashah ini.

7. Lantaran itulah apabila diteliti skop soalan yakni soalan mulut yang berjumlah 95 dan soalan bertulis sebanyak 82, tidaklah menampakkan soalan itu berbaur kontroversi dan semuanya menjurus tentang apa lagi yang kerajaan negeri mahu lakukan demi kemajuan di masa depan.


8. Melihat gaya pembahasan pulak jelas ternampak beberapa ADUN pembangkang yang bukan berbahas semberono. Tapi punya kualiti yang substance kerana tidak mengkritik tanpa asas tetapi turut mencadangkan solusi. YB Anak Bukit, Sungai Limau dan Bukit Pinang antara contohnya.

9. Di pihak wakil kerajaan pulak nyata ADUN Kuah, Jeneri, Bukit Kayu Hitam, Pantai Merdeka, Kupang dan Bukit Lada cukup fokus dalam memperjuangkan isu di kawasan masing masing.

10. In adalah refleksi wakil rakyat kawasan berkenaan  tahu erti sebenar sidang DUN.Menariknya hampir sebahagian besar apa yang diutarakan akhirnya ditangani cukup berhemah melalui susulan tindakan oleh kerajaan negeri.


11. Cuma yang peliknya ialah sikap ego dan bebal berterusan ADUN AIR HITAM. Cara beliau berbahas seolah olah beliau masih mengigau bahawa dianya masih MB Kedah. Petanda bahawa Mukhriz menolak ketentuan takdir atasnya.

12. Kedua, semua persoalan yang dibangkitkannya adalah isu-isu yang patut ditanganinya sewaktu menjadi MB.

13. Lantas apabila Ahmad Bashah berupaya merungkainya dalam waktu singkat ia memberi tamparan hebat pada keangkuhan Mukhriz selama ini.


14. Lebih malang dalam beberapa siri sidang DUN termasuk 10 April lalu Mukhriz langsung tidak memperjuangkan isu di kawasan diwakilinya. Inilah yang mengundang tandatanya dan mempamerkan satu sikap yang tidak sepatutnya dengan mengabaikan aspirasi dan kehendak pengundi Air Hitam.

15. Sementara ADUN PKR dan DAP pula seperti biasa mereka sekadar menjadi nasi tambah. Ada atau tiada sama sahaja. Tiada impak yang ketara.

16. Demikianlah warna warni sidang DUN Kedah kali ini. Yang nyata pengalaman Ahmad Bashah dan kejayaannya mengemudi barisan Exconya membolehkan kesemua persoalan yang diutarakan dirungkai dengan tuntas dan memuaskan.

Syed Mohd Johan Rizal bin Syed Unan Mashri
AJK Pergerakan Pemuda UMNO Negeri Kedah
Naib Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Alor Setar
Pengerusi Kelab Belia Darulaman

Saturday, 24 December 2016

BICARA RAKYAT MAHATHIR: AURA YANG KIAN PUDAR


1. Tidak ada sesuatu yang baru dalam Bicara Rakyat yang mengetengahkan Mahathir selaku tokoh pembicara utama, program anjuran PPBM di Taman Wira pada 23 Disember lalu.

2. Jika diukur dengan kehadiran kira-kira 1,000 orang penonton, dengan 95% darinya 'orang luar', ditambah dengan usaha menyewa beberapa buah bas Inter-City dua tingkat milik sebuah syarikat pengangkutan, maka program berkenaan jelas gagal sama sekali.

3. Kesilapan besar Mahathir adalah berterusan menunjukkan sikap marah dan dendam peribadinya dalam berpolitik. Sehingga hilang rasional dan pertimbangan bagi memacu tindakan tersusun.

4. Jelas dalam bicaranya, yang dimarahinya adalah Najib dengan perkataan Najib mencuri  diulang sebanyak lebih kurang 27 kali. Meski yang dikatakan mencuri itu sehingga sekarang gagal dibuktikan kesalahan selain Najib sendiri berterusan kekal cool dan melaksanakan khidmat bakti untuk rakyat.


5. Pada tahun 80'an dan penghujung 90'an ceramah Mat Sabu ayam tambatan PAS ketika itu berjaya menggamit puluhan malah ratusan ribu pendengar, namun tiba saat pilihanraya, PAS terus kecundang.

6. Mahathir tampaknya gagal pelajari aspek itu. Psikologi budaya politik di Kedah sekadar menganggap ceramah politik tidak lebih dari sekadar hiburan malam sama seperti aksi wayang kulit.

7. Lantas, ramai yang ke program ceramah berkenaan secara santai setelah tidak ada aktiviti yang mahu dilakukan di hari cuti. Setelah mendengar selama 10 minit, jika tidak ada isu sensasi atau kontroversi terbaru yang menghiburkan, maka mereka lazimnya akan meninggalkan majlis.

8. Inilah yang berlaku di Taman Wira dalam program Bicara Rakyat. Kekentalan hati dan pendirian penduduk Taman Wira dan mana mana tempat di Kedah sudah utuh bersama UMNO.

9. Datanglah penceramah membawa apa jua status, baik negarawan atau ilmuan. Akhirnya yang dinilai ialah siapakah pemimpin setempat yang sering melakukan engagement dengan mereka dan siapa pula yang mudah mereka dekati untuk mendapatkan khidmat bakti.


10. Inilah strategi politik yang gagal difahami Mahathir dan gerakan PPBM. Tidak mustahil jika inilah kesudahannya, maka kerusi yang bakal mereka tandingi mudah kalah.

11. Ideologi, dasar dan halatuju PPBM juga kurang sirna. Dan dalam program Bicara Rakyat itu juga yang jelas, DAP beroleh untung, kerana satu persatu penceramah sebelum Mahathir asyik mempromosikan kebaikan DAP. Sekali lagi satu langkah taktikal yang silap kerana sentiment gagal dibaca. Dan masyarakat Kedah lebih mengerti dan memahami warna sebenar perjuangan DAP.

12. Maka jadilah apa yang diungkapkan itu sekadar retorik dan bahan tawa penonton.

13. Hakikatnya masih banyak perlu dipelajari PPBM. Dengan masa untuk Mahathir kian suntuk bagi menobatkan anaknya ke jawatan Menteri Perdana, maka kecelaruan Mahathir kian mengasak dirinya sendiri.


14. Dari bahasa badan pendengar yang datang juga, jelas mereka mencebih mulut dan ternampak betapa Mahathir bukanlah sepertimana 22 tahun di singgahsana selaku Menteri Perdana.

15. Mahathir jelas, sudah menurunkan tarafnya sama seperti gurkha kepada DAP yang sanggup diperkuda dengan butiran gerak kerja dan strateginya bercelaru tanpa halatuju.

16. Benarlah ibarat doa almarhum Ustaz Fadzil Nor, Mahathir dipanjangkan umur untuk melihat sisa kemusnahan hasil dari apa yang dibinanya dahulu.


17. Sistem tirani, police state yang zalim lagi kejam dengan pelbagai sekatan undang-undang. Kini rakyat membuka mata, Mahathir boleh ke sini dan ke sana secara bebas, tanpa sebarang sekatan pun di bawah era Najib.

18. Boleh menghentam kepimpinan negara dan negeri sesuka hati, namun hentamannya tidak berbekas. Ruang bicaranya adapun seperti tiada. Pimpinan negara dan negeri tetap bekerja seperti biasa.

19. Dan strategi inilah yang melemaskan Mahathir dan saya yakin dia sedar, auranya tidak seperti dahulu. Taringnya sudah tumpul, agenda dibawanya bukan lagi untuk rakyat Malaysia tapi tidak lebih dari usaha membina legasi keluarga seadanya.

20.  Namun, UMNO seharusnya bekerja dengan lebih kuat menangkis segala tohmah mehnah, memperlihatkan khidmat bakti kepada rakyat setempat dan seluruh negeri kedah kerana akhirnya rakyat memilih kerajaan bukan mana mana individu. Biar kita tidak popular dibibir rakyat tapi dekat dihati rakyat yang merasai denyut nadi kita.  

20. Mahathir, zaman anda sudah berlalu, kini tiba masanya AURA anda pudar jua…

Syed Mohd Johan Rizal bin Syed Unan Mashri
AJK Pergerakan Pemuda UMNO Negeri Kedah
Naib Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Alor Setar
Pengerusi Kelab Belia Darulaman

Tuesday, 29 November 2016

PAU2016: SENADA MENUJU KEMENANGAN BERSAMA (Sepintas lalu menjelang Perhimpunan Agong UMNO 2016)


1. Tidak wujud lagi dilema, polemik sepertimana perhimpunan lalu, tatkala Timbalan dan Naib Presiden dilarang berucap dalam penggulungan kesan sikap kurang loyalis mereka.

2. Dalam mana-mana adab berorganisasi, tiada yang lebih penting selain dari kesatuan Jemaah. Bercakap dengan senada, bertindak seirama, patuh arahan ketua. Bukankah ini cerminan wajah yang pernah dikanvas oleh para sahabat Nabi SAW tatkala mereka melanggar arahan turun dari Bukit Uhud dan meninggal posisi strategik hanya kerana mahukan ghanimah.

3. Lantaran itulah, PAU 2016 tahun ini sudah terasa 3 kesan besarnya. Pertama, disebalik tohmahan, cubaan menjatuhkan kerajaan dan kepimpinan semuanya dapat diatasi dengan berhemah. Satu persatu usaha pakatan pembangkang termasuk komplot mantan Perdana Menteri gagal meruntuh legasi yang ada.

4. Kedua, isu-isu kepimpinan peringkat negeri seperti Kedah, Terengganu kini sudah selesai secara total. Malah kian hari kepimpinan baru di negeri berkenaan, melakar gerak kerja bermakna satu persatu testimoni tindakan penuh makna.

5. Ketiganya, memandangkan tahun hadapan dijangka tahun pilihan raya, maka ucapan dasar Presiden kali ini pastinya menyegerakan semboyan perang, merumuskan langkah penting selain berupaya memahat kembali solidariti sesama ahli.


6. Kata dan buatlah apa sahaja, UMNO tetap utuh tradisinya. UMNO tetap segar dengan nilai-nilai perjuangannya. Biar jauh disudut hati 'the silent voters' mahu menjauhi dari UMNO namun hakikatnya mereka mahu UMNO lebih peduli kepada mereka hakikatnya.

7. Biar sumpah seranah dihambur, yang melafazkan tohmah dan mehnah itu hakikatnya sedar, bahawa hamburan dibuat walau kasar bunyinya tapi tanda sayang. Benci tapi rindu, dan UMNO tidak pernah menolak walau kelompok apa juapun.

8. Hatta PAS, yang bermatian memerangi UMNO, mengkafirkan UMNO, tapi hemah dan adab dakwah UMNO benarlah mengikut Sunatullah. Tidak sekelumit pun ada benci di hati UMNO, kerana menyedari, prinsip setiap mukmin itu bersaudara. Jika sanggup berlapang dada, UMNO sanggup pula mempertaut kembali asas persaudaraan.

9. Inilah seni politik serba mungkin. Lagipun istilah politik bukanlah bererti perebutan kuasa per se. Ianya seni bagaimana urusan dan maslahah ummah dituntaskan menerusi mekanisme dirangka.


10. Kita yakin, UMNO yang dilanda pelbagai ujian dan oenuh kedewasaan makin matang, makin ampuh untuk terus menerajui perubahan, memahat tamadun.

11. Ramai handai taulan, sahabat dan rakan hatta dari pembangkang sendiri pernah melafaz kata ikhlas, “kami menentang UMNO bukan kerana salah silapnya dalam pentadbiran, pengurusan negara tapi kami cemburu kerana secara konsisten UMNO terus menjadi pilihan rakyat”.

12. Ya, kerana menjadi pilihan rakyat itulah, UMNO wajib bekerja untuk rakyat, kerana asas sokongan datangnya dari rakyat. UMNO tidak boleh khianati kehendak rakyat, dan terasnya seperti yang sekian lama jadi pegangan, TRADISI UMNO ialah TRADISI MEMBELA RAKYAT.

13. Dengan kefahaman tasawur dan maudhuk inilah, barisan ahli dan pimpinan UMNO di tahun ini dan mendatang pastinya akan terus Senada, sekata kerana yang mahu digalas adalah amanah rakyat. Yang mahu dimenangkan, PERJUANGAN SEBUAH BANGSA.

14. Yang mahu dinakhodakan, syariat Islam agar terus dijunjung dan syiarnya dikendong. Itulah citra UMNO. Pembela ABATA….

15. Hidup UMNO! Dan Selamat Bersidang..

Syed Mohd Johan Rizal bin Syed Unan Mashri
AJK Pergerakan Pemuda UMNO Negeri Kedah
Naib Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Alor Setar
Pengerusi Kelab Belia Darulaman

Thursday, 14 July 2016

GILA TALAK: CUBAAN PEMAKAN DEDAK MENJADI HERO JADIAN.

1. Dua tiga hari yang lalu, tiba-tiba mantan Setpol era PAS mentadbir Kedah cuba belagak hero di media maya dengan sisipan angka dan faktanya berhubung isu air yang menyimpang, lantas saya dihubungi beberapa pihak yang pernah menjadi mangsa kehebatan si Setpol berkenaan semasa beliau gah di atas singgahsana.

2. Kesian pada seorang kakitangan MBI yang ditumbuk, kesian pula pada beberapa pegawai PKNK yang dikambing hitamkan, dan simpati pula pada beberapa pegawai BDB yang teraniaya.

3. Isu yang dibangkitkan oleh saya dalam konteks pengurusan air di Kedah adalah isu kelemahan dalaman pengurusan organisasi oleh pihak penguasa pembekal air yakni SADA.

4. Bagaimana kerajaan kini mewarisi sekian banyak legasi buruk tinggalan kerajaan PAS terdahulu kesan kelalaian dan kelemahan pemantauan ke atas pengurusan SADA.

5. Malah, bila si mantan Setpol membangkitkan hutang air kerajaan Kedah sejak MERDEKA, dengan angka yang bersimpang siur, sekejap RM1.7 bilion, ada pula angka RM1.9 bilion, sekejap yang dicakapkan oleh Pesuruhjaya PAS RM2 bilion, dan diwaktu yang lain pula dilontarkan angka RM2.4 bilion oleh cybertroopersnya.

6. Hakikatnya hutang keseluruhan kerajaan Kedah sejak 1957 ialah RM2.3 bilion (data MOF). Termasuk hutang pembinaan Insaniah yang dibuat PAS bernilai RM330 juta, melalui pinjaman 'bersindiket' yang dibuat dengan bank, dan kini kerajaan BN terpaksa mengeluarkan dana membayar hutang RM62 juta setahun termasuk urusan penyelenggaran INSANIAH.

7. Hutang air meliputi hutang bekalan air luar bandar RM400 juta, selain hutang pembangunan infra yang lain benilai lebih RM1 bilion.

8. Sebahagian dari hutang ini sudah ditukar menjadi geran, dan apabila dimuktamadkan rundingan dengan Perbadanan Aset Air Berhad milik kerajaan Persekutuan, maka hutang pengurusan bekalan air oleh SADA menjadi sifar.

9. Isu sebenar yang saya bangkitkan ialah kaedah pengurusan bekalan dan agihan air. SADA selaku sebuah entiti yang ditubuhkan 1 Januari 2010, dizaman PAS, sepatutnya apabila menjadi entiti korporat lebih cekap dan tangkas operasinya.

10. Mantan Setpol PAS berkenaan tidak boleh menafikan bahawa apabila JBA ditukar kepada SADA, dua bulan kemudian krisis teruk berlaku di seluruh di Kedah. Mantan Setpol yang dianggap oleh pegawai KCS sebagai garang dan semberono ini, harus akui hakikat bahawa kadar tarif air dinaikkan SADA dengan persetujuan Ahli Lembaga Pengarah SADA yang juga didalamnya ada ahli PAS dan rakan sekutunya pada kadar 25-44% pada 1 Oktober 2010, sepuluh bulan selepas SADA ditubuhkan. Dan jangan pula lupa, 1 Januari 2011, bermulalah sisi gelap untuk rakyat apabila bayaran bil tidak lagi boleh dibuat di pejabat POS.


11. Mantan Setpol juga mungkin lupa di zaman ahlinya menjadi Lembaga Pengarah SADA jugalah kos operasi pembekalan air oleh lori-lori air ke kawasan krisis mendadak kosnya dengan langsung tidak masuk akal. Nilai air dihantar RM1,900 tetapi kos sewa lori menjadi RM52,000. Perniagaan apakah bentuknya ini? Sekali lagi kegagalan pengurusan, bukan soal infra atau bekalan.

12. Unit NRW yang ditubuhkan diera PAS pula, hanyalah unit yang sebenarnya tidak memainkan fungsi yang jelas. Dapatan NRW pada kadar 47-50%, apabila SADA ditubuhkan hanyalah justifikasi bagi memperoleh pakej geran RM300 juta dari kerajaan Persekutuan bagi tujuan pembaikan.

13. Walhal jika angka NRW sebanyak 50% ini mahu dijustifikasikan bermakna, dari rumah saya di sebelah KMC hendak ke pejabat guaman saya tentulah saya menaiki sampan.

14. Samalah, sepertimana geran penyelenggaraan jalan yang diperoleh kerajaan PAS dari Pusat, hanya separuh dibelanjakan, dan separuh lagi entah kemana disimpan atau disalurkan. Maka sepanjang 2009-2012, isu jalan compang camping menjadi bualan. Rim tayar kereta berulang kali perlu ditukar kesan bencana ini.

15. Sekali lagi isu terasnya ialah ‘management’ serta integriti dan jika MANTAN Setpol mempertikaikan kononya segala geran pinjaman bernilai berapa billion sekalipun yang diperoleh BN yang gagal dimanfaatkan untuk operasi bekalan air, berlaku penyelewengan itu merupakan tuduhan fitnah berniat jahat. Malah beliau sekali lagi telah tersalah fakta.


16. Dengan geran dan dana kerajaan PERSEKUTUAN, sepanjang 12,000 km paip air dapat dibina. 36 loji rawatan air tersedia, 100% kawasan bandar diliputi bekalan sementara 95% dikawasan luar bandar mendapat agihan bekalan. Dana dan pinjaman itu jugalah membolehkan tambahan sebuah Empangan yang bernama Empangan Beris di kawasan mantan Setpol tinggal dapat dibina sebagai perancangan bekalan air jangka panjang.

17. Masalah SADA selaku entiti korporat yang syernya dipegang kerajaan negeri ialah keperluan peningkatan khidmat. 493 juta padu air yang dihasilkan setahun hakikatnya cukup untuk 2,064,300 juta rakyat Kedah selain industri yang sedia ada. Raw waternya cukup, water reservoirnya selepas digunakan seharian juga cukup,untuk rekod berada pada kadar 2.0 juta liter padu sehari selepas comsumption penuh seharian. Ini data bagi tahun 2014, 2015, 2016. Berbanding reserve margin yang hanya pada kadar 0-0.1 juta liter padu sehari di tahun 2010, 2011 dan 2012 (zaman pemerintahan PAS). RESERVE MARGIN mampu lebih tinggi jika kapasiti loji rawatan siapsaga sepenuhnya. 

18. Juteru itu, isu sebenar ialah pengurusan agihan bekalan, ada petempatan yang diduduki seramai 100 orang tetapi saluran bekalannya untuk 1000 orang sementara di kawasan penduduk 1000 orang, disalur pula bekalan untuk 100 orang. Inilah audit yang gagal dilakukan bermula di zaman PAS, dan isu teknikal ini sudah diamati dengan nasihat pakar teknikal kejuruteraan air anak Kedah yang berkhidmat di banyak agensi.

19. Lantas, apabila isu ini dikenalpasti, langkah pembetulan sedang digerakkan, dan dalam tempoh 3-5 bulan exercise membetulkan semula agihan mampu menyelamatkan keadaan. Sebab itu YAB DS MB mengambil keputusan memanggil semua pihak bagi memuktamadkan solusi jangka pendek, sederhana dan panjang berkaitan isu air pada 12 Julai yang lalu, malangnya ramai ADUN PAS yang dijemput tidak hadir. Kerana mereka memilih untuk menunjuk pandai barangkali di FB dan mencari glamour dengan membuat laporan polis di IPD.

20. Jangan dilupa hakikat, apabila krisis air seluruh Kedah berlaku 2010, PRO SADA juga gagal memberi jawapan, bersembunyi di bilik CEO apabila Puspavathy Ramaloo dari TV3 datang mendapatkan kepastian.


21. Padanlah bila diteliti kenapa 2,000 aduan di musim raya baru-baru ini tidak ditangani dengan wajar, banyak kemusykilan yang timbul. Lebih malang susulan tindakan tidak ada, rekod aduan dan penyelesaian tindakan tidak direkodkan. Rupanya apabila disemak sisi latarbelakang PRO SADA, rupanya adik kandung beliau adalah calon PAS yang tewas di DUN Jeneri PRU ke-13 yang lalu. Dan PRO sendiri adalah AJK PAS kawasan Sik yang mantan Setpol lebih mengenalinya kerana mantan Setpol adalah penduduk Kg Sg. Pau yang juga di Sik, yang khabarnya pagar rumah beliau sahaja begitu gah dan hebat.

22. Justeru jika mahu dibuat ‘witch hunting’ semua pihak ada sisi gelapnya. Persoalan sebenar yang cuba ditunjuk hero oleh mantan si SETPOL era PAS tidak membawa apa-apa faedah melainkan cubaannya menjadi juara rakyat. Setelah 3 tahun membisu kesan terpukul teruk dengan kekalahan PAS dalam PRU ke-13 yang lalu. Apatah lagi YB Phahrolrazi kini sudah sertai PAN, YB Dato Mahfuz juga bercuti dari YDP PAS Pokok Sena dan intim dengan PAN, demikian juga YB Amiruddin HAMZAH sudah meletakkan jawatan selaku YDP PAS Kuala Kedah. YB Nasir Mustaffa, ADUN Kubang Rotan juga lebih mesra dan rapat dengan PAN.

23. Hanya tinggal si mantan Setpol sahaja ruang dan peluang baginya menonjolkan diri. 

24. Bagi kami di BN, lawan sebenar bertaraf heavyweight adalah PH, bukan PAS, kerana banyak legasi bobrok yang jika diungkit dan diulang siar tidak termampu dijawab PAS. Rakyat Kedah tak mudah lupa. Rakyat Kedah masih ingat isu haru birunya KUIN, isu transaksi tanah PKNK dan BDB yang meragukan, isu pelaburan balak di PAPUA NEW GUINEA yang lebur.

25. Isu TSM di Sungai Kob, Kulim yang ditukar menjadi ‘perkuburan cina’. Isu madrasah Salihiah dan tanah waqaf yang dirompak secara halus, isu cubaan memajak Taman Wira Mergong kepada bank untuk urusan penduduk membayar tunggakan bayaran sewa rumah. Isu Ladang Rakyat yang ladangnya tidak kelihatan, balak yang hilang. Sehingga air teh susu keluar di saluran paip penduduk Baling, Kubang Pasu dan Padang Terap. Isu K-keli yang kelinya tak sempat dibeli, tapi balak juga yang hilang. Isu kilang mengetin buah, yang buah rambutan dan nenasnya entah kemana, namun kambing jua yang menjadikan kilang berkenaan tempat beristirehat. Isu meriahnya Kedah dengan pusat hiburan, pusat judi online, disko, pub dan rumah urut tatkala Kerajaan PAS diharapkan membawa DAULAH ISLAMIYAH. Termasuk isu perebutan menjadi MB dan isu penolakan jawatan EXCO oleh dua EXCO kanan sehingga tuan Presiden PAS terpaksa turun ke Mentaloon menyelesaikannya.

26. Dan mantan Setpol memang bijak dalam mengurus soal ini, apabila berjaya memujuk ADUN Bebas Lunas, Bakar Arang ketika itu di sebuah Restoran di Shahab Perdana untuk menandatangani sokongan menyebelahi arwah Ustaz Azizan dengan kesemua tandatangan sokongan itu keesokan paginya dihantar ke Istana Negara. Akuilah kerana saksi hidup berhubung perkara ini masih bernyawa termasuk Walid saya yang mantan Setpol tentu ketahui apa jawatan dan tugasnya di istana……

27. Maka benarlah,kata bidalan, jika ekor bergelumang taik, salakan jadian jangan direka. Muhasabah diri, teliti kenapa PAS jatuh 2013 lalu, susun semula strategi dan lawanlah kami secara gentleman politik. Bukan politik menghasut, melencong dan menjadi batu api.

28. Dan saya tidak memerlukan dedak dari YAB DS MB, status jawatan saya selaku Pegawai KHAS tidak termasuk dalam payroll kerajaan Negeri, boleh disemak. Perolehan dan pendapatan dari syarikat saya lebih dari mencukupi buat membantu memenangkan perjuangan parti saya. Bukan semua pemimpin dan ahli UMNO gelojoh, dan kami tidaklah seperti pegawai khas di era mantan Setpol berkhidmat, dengan skil gaji yang dinaikkan begitu tinggi.

29. Namun, apabila ketua BAHAGIAN saya yang juga selaku MB dinista, ditohmah, maka menjadi kewajaran selaku pimpinan pemuda Bahagian bangun untuk menjelas dan mempertahankan semuanya.

30. Dan jangan menggangap kesemua usaha murni sebegini kesan dari disumbat dedak, kerana setahu saya dan hasil makluman dan rekod yang ada, mantan Setpol PAS lah antara pemakan dedak terbesar di era PAS bermaharajalela. Cukuplah tak perlu didedahkan semuanya. Prinsip UMNO bukan bermain sentimen politik mengaibkan atau sentuh pribadi seperti lagak laku sebahagian budaya PAS. Akan tetapi berlawan secara anak jantan di gelanggan sebenar. Gelanggang politik, dan PILIHANRAYA adalah medan untuk membuktikan segalanya.

LAWAN TETAP LAWAN!!!

Syed Mohd Johan Rizal bin Syed Unan Mashri
AJK Pergerakan Pemuda UMNO Negeri Kedah
Naib Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Alor Setar

Friday, 24 June 2016

MAHFUZ DI PENJARA IDENTITI


1. PAS cukup malang kerana sebagai sebuah parti berlogokan Islam, namun terpaksa mendapat pemimpin dan ahli parlimennya yang terpenjara dengan keIslaman dirinya.

2. Lebih malang, susuk tubuh yang bernama Mahfuz Omar bagai masih keliru siapakah dirinya antara watak hijau dan 'harum manis'. Memegang 'title' MP PAS, menang PRU 2008 dan 2013 di Parlimen Pokok Sena atas tiket PAS, tapi lunak suaranya senada dengan PAN. Ikut serta bersama program PAN, membontoti gerakan Deklarasi Mahathir-Kit Siang yang ditunjangi PAN kemana jua.

3. Betul, pada pandangan saya, beliau terpenjara dan terperangkap dalam identitinya sendiri.

4. Jika diri sendiri sudah keliru bayangkan pemikirannya, kata-kata dan tindak tanduknya. Entah apa mimpinya tiba-tiba mempertikaikan pentadbiran Ahmad Bashah yang dikatakan konon diurus dari Hospital.

5. Lojik prinsipnya, tidak bolehkah seorang manusia itu sakit? Kebalkah seorang manusia itu dari sakit. Hatta Nabi S.A.W sendiri pun ditimpa sakit, ini ketentuan, tabi'i yang sepatutnya bukan bahan gurauan.

6. Justeru, dengan skima lawaknya gurauan dan provokasi yang seolah-olah tidak membenarkan MB untuk sakit dan menerima rawatan tidak boleh diterima akal. Jika Mahfuz ditimpa sakit dan terpaksa menjalani rawatan di hospital, bagaimana pula tindakannya?


7. Kedua, kekalutan Mahfuz yang mahu Pemangku MB di lantik. Mahfuz itu siapa? Dari parti mana? Lantik atau tidak Pemangku MB ini urusan UMNO, perihal dalaman BN. Jika Mahfuz sakit dan jalani pembedahan, perlukah dia meletak jawatan atau diwujudkan jawatan pemangku Ahli Parlimen Pokok Sena menggantikannya? Biar sihat pun, kewujudan bagai tiada di kawasan, jika sakit apakan lagi?

8. Mungkin jiwa Mahfuz terus dibelenggu di ICU dengan bermimpi bahawa Kedah masih ditadbir partinya yang dulu dihumban rakyat kerana cakap tak serupa bikin. Di mana Mahfuz ketika mana Allahyarham Ustaz Azizan diserang Exco kanannya? Kenapa tidak dipertahan? Kenapa 'bisu' ketika itu? Atau memang Mahfuz pun suka arwah diserang rakan taulannya sendiri?

9. Dalam pada Ketua parti BN yang punyai hak mutlak untuk melantik MB dan Menteri Kabinet tidak pun menunjukkan sikap gopoh dan kalut, tiba-tiba watak si Mr. Bean yang berasal dari Titi Gajah ini menjadi 'Mat Kepoh'. Apa khabar Pokok Sena agaknya? Elok-elok saja? Mahfuz fikir orang PAS di Pokok Sena tidak 'semak perut' dengan 'split identity' dirinya?

10. Ketiga, untuk Mahfuz yang juga dikatakan hanya berpendidikan SRP, Pekeliling Pentadbiran Kerajaan Kedah dan Undang-Undang Tubuh Negeri menjelaskan seseorang MB jika bercuti berterusan selama 28 hari barulah difikirkan perlunya keperluan diangkat seorang Pemangku MB. Itupun dengan persetujuan ketua parti pemerintah setelah memohon pekenan Sultan Kedah. Mana satu jawatan yang dipegang Mahfuz? Pengerusi BN atau Sultan Kedah?

11. Ahmad Bashah secara rasmi baru bercuti 17 hari, hari ke 18 sudah mulakan tugas dengan pengerusikan Mesyuarat. Maka jika hari ke-19 beliau mengambil cuti kembali, maka bilangan cutinya dikira kembali menjadi cuti pertama pada hari ke-19 itu. Dan untuk makluman Mr Bean Pokok Sena juga, dalam tempoh 17 bercuti sekalipun, hakikatnya urusan pentadbiran kerajaan negeri berjalan, dokumen dan arahan pentadbiran digerakkan. Itu ditegaskan sendiri oleh SUK, Dato' Bakar Din. Mahfuz kenal Dato' Bakar Din?

12. Pemimpin yang cekap yang mempunyai sebuah pasukan Muafakat yang jelas dengan pasukan EXCOnya dan KCSnya yang boleh mentadbir dari mana pun jua. Dalam zaman serba IT ini, arahan boleh diwhatsapp, komunikasi melalui email. Fax, skype dan pelbagai lagi medium. MB Kedah kita tidaklah 'buta IT' seperti orang yang lulusan SRP....


13. Dalam dikatakan tidak upaya mentadbir, banyak program yang sudah dirancang berjalan dengan baik. Barakah Ihya Ramadhan bermula dari 11 Jun hingga 20 Jun berlangsung di 15 kawasan parlimen tanpa masalah. 12,000 menerima manfaat dengan peruntukkan RM2.4 juta. Dari mana biaya itu boleh disalurkan tanpa kelulusan, usaha dan idea dari MB.

14. Seramai 2.1 juta rakyat Kedah tidak kepoh, 26,000 penjawat awam negeri dan persekutuan mampu melaksanakan gagasan MB melalui amanat 100 harinya dengan jelas. 9 orang anggota EXCOjuga terus berfungsi. KCS dan lebih 175 pegawai tinggi utama dapat berperanan dengan jitu. Pelaburan luar seperti biasa, jumlah pelancong di Langkawi juga meningkat ke 3 juta tahun ini.

15. Traffic light di Pokok Sena tetap bernyala. Jalan, longkang diselenggara macam biasa. 550 buah sekolah menengah dan rendah di Kedah turut PDPnya seperti normal.

16. Bazar Ramadhan meriah, apa yang terjejasnya? Dasar induk sudah dirangka Ahmad Bashah. 27 agenda, 6 komponen, dan dalam tempoh 2 tahun semua diisi dengan jitu.


17. Mahfuz terus melatah..kerana jelas minda, hati dan jiwanya dirantai belenggu dogma antara Hijaukah Aku atau Harumaniskah aku. Bercuti 9 bulan dari jawatan YDP PAS Pokok Sena. Selalu menghilang dari kawasan Parlimennya.

18. Untuk 2 penggal 90,000 pengundi Parlimen Pokok Sena melihatnya ada serupa tiada, tiada pun tak berkurang, ada lagilah tak bertambah. Yang gagal Mahfuz. Yang kurang efektif Mahfuz, bijaknya Mahfuz hanya dongengan mulut kesan pengalamannya pernah menjadi penjual ubat jalanan di satu ketika di Pekan Nat dan pasar Malam.

19. Sudah-sudahlah Mahfuz, silat Bunga yang dipelajari zaman mudanya tidak lagi bersinergi. Taktik dan strategi mudah dibaca, lapok ditelan dek zaman...

20. Cukup-cukuplah menjadi pelawak skeptic yang langsung tak mengundang penonton untuk ketawa. Jika ada yang tertawa, mereka sebenarnya mentertawakan diri anda, melihat betapa saban hari, dengan dimamah usia anda terus memperbodohkan diri anda dan mahu orang lain turut sama bodoh seperti anda.

21. Pada 13 Julai nanti jangan lupa mai Mentalon, Rumah Terbuka MB, jemputan khas, boleh beraya bersama MB. Harapkan kurma 2.4 juta ditanam abang MAHFUZ, buahnya hingga kini berbunga pun tidak..hai Yusuf Taiyoob la jugak jawabnya...

Syed Mohd Johan Rizal bin Syed Unan Mashri
AJK Pergerakan Pemuda UMNO Negeri Kedah
Naib Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Alor Setar

Wednesday, 24 February 2016

PERLANTIKAN EXCO:MANIFESTASI SEKOLAH POLITIK BASHAH


1. Pembunuhan karakter yang kini diulang-ulang oleh pihak tertentu untuk menghalalkan serangan ke atas MB Kedah, Dato' Seri Ahmad Bashah ialah tentang kelayakan akademik beliau. Mungkin bagi mereka yang menyerang itu, kelayakan akademik yang tinggi merupakan satu perkara penting dalam tanggapan mereka untuk menjadi seorang pemimpin.

2. Merujuk kepada fakta klasik sains politik, fakulti sains politik tertua di dunia telah lama wujud kira-kira 3,500 tahun yang lampau di negara kota Athens melalui tertubuhnya sebuah akademi yang diselia oleh Socrates sebelum bidang berkenaan diperincikan secara lanjut oleh sarjana seperti Plato dan Aristotle. Perkara-perkara yang akan bakal saya jelaskan di bawah mungkin agak sukar diterima oleh mereka yang menghina Dato' Seri Ahmad Bashah secara semberono akhir-akhir ini.

3. Merujuk kepada asas subjek yang diperbincangkan dan menjadi perdebatan utama yang dibahaskan di fakulti klasik sains politik berkenaan adalah lazimnya berkisar tentang kenegaraan, fungsi sesebuah negara dan kepimpinan yang sesuai dengan bentuk pemerintahan yang membentuk sesebuah sistem politik di sebuah negara yang bertamadun. 

Sunday, 21 February 2016

BILA TABIR DISINGKAP, TEMBELANG PUN TERUNGKAP...


1. Usai dua minggu Dato' Seri Ahmad Bashah dengan takdir Allah S.W.T dinobat selaku Menteri Besar Kedah, serangan bertali arus terhadap beliau tanpa mengenal konsep jemaah dalam parti dan komitmen kesetiaan yang diura-uarkan sebelum ini terus digandakan. Lebih menjijikkan, pihak tertentu tanpa etika turut menyerang beliau secara peribadi melambangkan ketidakmatangan terutama dari sudut politik. Memalukan lagi apabila ia dilakukan oleh mereka yang mendabik dada kononnya 'pejuang parti'. 

2. Telahan mudah, janji yang diungkap Mukhriz Mahathir dihari perletakan jawatannya, ternyata satu singkapan mudah yang tidak lagi menggambarkan jiwa besarnya selaku 'pembesar UMNO'. Jentera media sosialnya terus melancarkan perang gerila, entah gerombolan mana pula dimanipulasi dan diperalat bagi membolak-balik bendera parti, lambang panji perjuangan selama ini. Jika tidak disuruh pun, mengapa tidak dilarang tindakan dan serangan bersifat khianat itu? Itu bukan pejuang UMNO namanya, itu dipanggil 'pejuang Mukhriz.

3. Lebih menarik, tirai tembelang satu persatu mula tersingkap. Apabila Dato' Seri Ahmad Bashah menghadiri program Malam Cinta Rasul di Sungai Petani, anjuran Pejabat Daerah, dituduhnya pula sebagai tindak-tanduk meniru Mukhriz semata-mata. Dalam amalan beragama, jika yang ditiru itu prinsip amal maaruf nahi mungkar, bukankah satu kebaikan yang nyata dan wajar diteruskan? Apakah Malam Cinta Rasul itu milik peribadi Mukhriz? Jika benar, anjurkan saja amalan 'ibadah' bernama 'Malam Cinta Mukhriz'. Pahala beramal ibadah adalah eksklusif milik beliau seorang? Namun itulah tahap pemikiran kem Mukhriz.

Wednesday, 10 February 2016

#KEDAHBARU; CABARAN 100 HARI AHMAD BASHAH


1. Sekiranya dirujuk pada tempoh penggal Dewan Undangan Negeri dan Parlimen, ianya bakal berakhir Mei 2018. Mengandaikan PRU ke-14 dijangka akan diadakan genap 4 tahun, maka saya menganggarkan masa berbaki hanyalah 1 tahun 9 bulan sahaja. Ia bukanlah satu tempoh yang wajar dipandang remeh lagi ketika ini.

2. Jika ditolak persiapan dan persediaan PDM, kursus-kursus serta latihan, lantas tempoh bekerja yang ada hanyalah kira-kira setahun sahaja dari sekarang. Oleh itu, saya melihat bahawa 'time-frame' adalah cabaran utama bagi MB Kedah, Dato' Seri Ahmad Bashah. Hakikatnya bagi para pejuang parti di Kedah, 'tempoh masa kini adalah musuh utama'.

3. Berdasarkan 'track record' Dato' Seri Ahmad Bashah, 35 tahun penglibatan dalam politik sudah cukup untuk menilai pengalaman beliau untuk menggerakkan kesemua 'soft spot' dan titik penting jentera parti untuk bekerja bagi mempertahankan kerajaan BN di Kedah. Dokongan setiap UMNO Bahagian dan kerjasama semua parti komponen BN serta rakan-rakan yang lain bukan saja perlu dipadu, malah digerakkan agar mereka senantiasa bersiapsaga dalam memahami bahawa 2016-2017 adalah merupakan tahun getir menjelang  pilihan raya.



4. Dalam konteks inilah maka operasi khusus, pengaktifan PDM, jentera penerangan, sistem daftar pemilih, data maklumat 'profiling' pengundi dan segalanya harus menjadi keutamaan yang dicula. Gerak kerja analisis data, latihan wajar menjadi zikir harian UMNO di semua peringkat. MB dengan segala kematangan dan pengalamannya selaku Adun selama 5 penggal, saya yakin lebih arif untuk jadikan ini sebagai agenda utama beliau.

5. Tindakan segera kedua ialah keupayaan memenuhi janji manifesto atau Akujanji PRU ke-13 yang dilaporkan sebelum ini tidak dilayani sepenuhnya oleh pemimpin terdahulu. Janji-janji ini bukan sekadar membina litar lumba 1Kedah yang menjadi buah mulut anak muda sejak hampir 3 tahun lalu, namun turut membabitkan projek-projek berimpak tinggi yang boleh dijana dan sekaligus terasa dampaknya kepada masyarakat bandar dan desa di Kedah.

6. Antara cabaran terbesar buat Dato' Seri Ahmad Bashah ialah keupayaan beliau menarik komitmen dan dinamisme hubungan dengan pelbagai pihak. Terasnya, ia melibatkan hubungan dengan pihak Istana, KCS, pimpinan Umno Bahagian, Cawangan, parti-parti komponen BN, kelompok masyarakat agraria yang turut terkesan dengan kejatuhan harga komoditi, pimpinan agama, gologan 'rajuk hati' yang kian menjauhkan diri, golongan profesional, kelompok NGO, kumpulan dan para fanatik sukan bola sepak, para peniaga dan segmen komuniti yang lain. Kesemuanya memerlukan pendekatan yang bukan saja 'simple santai' dan bersahaja, malah dengan cara yang agak berbeza.


7. Memahami politik adalah sebahagian dari 'a game of numbers', maka dengan sikap 'paternalistic', sifat kebapaan serta kesabaran tinggi yang dimiliki MB Kedah, maka beliau harus lebih agresif untuk mencari seramai mungkin dokongan, kawan berbanding mencipta lawan, atau dilihat mengamalkan usaha 'sideline' dan melabel pihak tertentu. Sekali lagi dengan jiwa besar, kesabaran dan jiwa murni yg ditunjukan selama ini, saya yakin Dato' Seri Ahmad Bashah mampu menanganinya.

8. Selain itu, antara cabaran utama bagi MB Kedah tentulah tentang gilapan imej dan usaha memerangi persepsi ganas dan kekeliruan sangkaan getusan media konvensional serta media maya. Bermula sebelum MB Kedah terdahulu meletakkan jawatan kerana majoriti ADUN hilang keyakinan terhadap beliau, Dato' Seri Ahmad Bashah digambarkan kononnya sebagai 'tamak kuasa' dan 'pengacau'. Branding Mukhrizisme Fanatisme perlu diatasi. Kita harus akui populariti DSMM menjangkaui pelbagai lapisan walaupun kebanyakan hakikatnya penuh dgn nilai retorika.Apa yang menjadi kekuatan MM adalah strategi medial sosial yang berkesan dan melekat dihati warga Netizen ditambah pula berbinkan negarawan terulung.

Kemudian imejnya diwarnakan sebagai 'seorang tua yang mudah terlenà' dalam majlis utama kesan keletihan. Disalut pula dengan gambaran tahap pendidikannya yang sekadar lulusan sekolah menengah, MCE. Jawapan bagi segala mehnah dan serangan bersifat peribadi, 'character assasination' dengan agenda menghina ini hanya perlu dijawab dengan pembuktian gerak kerja dan keupayaan MB menghadiahkan kemenangan penuh bergaya pada BN Kedah pada PRU ke-14 nanti.Persepsi negatif ini perlu dibetulkan dan diminimakan dengan beban pembuktian gerak kerja yg ampuh lagi berkesan. Ahmad Bashah tidak mampu menyaingi populariti MM namun dengan 'engagement' yang berkesan, fokus perencanaan kelompok sasaran sendi sendi rakyat dan pengundi dan dengan memegang prinsip 'Kata itu kota bukan retorika' saya percaya persepsi negatif akan lenyap dan popularitinya akan meningkat dengan hebat kerna beliau politikus 'genuine' dan marhaien.


9. Dan kesemua realiti ini saya jangkakan hanya boleh dijayakan dengan kecekapan perlaksanaan daya usaha oleh pegawai di sekeliling beliau, selain semua jentera, kawan rakan serta handai taulan yang diharap tidak menjadi liabiliti kepada beliau, sebagaimana yang dikatakan berlaku kepada MB terdahulu sebelumya. Sebaliknya, semua menjadi aset pelengkap untuk membolehkan semua dari kita mencipta kemenangan bersama. Saya berpendapat pasukan MB kedah baru ini perlu digarap daripada satu pasukan yang seimbang. Jangan hanya ditumpukan oleh kelompok yang orang kedah kata 'segagan'. Jangan pula hingga sampai dilabelkan sebagai pasukan penternak Dinosour. Aspirasi orang muda juga harus dijelmakan dalam pasukan ini sebagai approach persepsi segera bahawa Ahmad Bashah Pro-Muda dan seimbang.

10. Saya selaku warga parti yang setia kepada kepimpinan parti menegaskan komitmen saya dan mendoakan semoga Kedah Darul Aman akan dapat dipacu ke puncak jaya, seiring dengan ekonomi yang dilestarikan dan seluruh komuniti hidup dalam suasana harmoni.

Pada pandangan saya, 'pengalaman, kematangan dan rangkuman daya tahan mendepani cabaran penentu segalanya'. Justeru itu, saya menyeru kepada seluruh warga parti yang memperjuangkan parti supaya kembali menyemarakkan semangat kepartian demi survival 'alif ba ta'. Memetik kata ayahanda Tun M, mengutamakan kepentingan parti adalah lebih utama dari memperjuangkan kepentingan individu, saya memohon agar kita merapatkan saf barisan mempertahankan kerajaan BN di Kedah kerana di sinilah lahirnya sebuah cinta...

Syed Mohd Johan Rizal bin Syed Unan Mashri
AJK Pergerakan Pemuda UMNO Negeri Kedah
Naib Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Alor Setar

Sunday, 7 February 2016

BAGAI SIREH PULANG KE GAGANG, AHMAD BASHAH MENTERI BESAR KEDAH KE-12


1. Tanggal 4 Februari memahatkan sebuah sejarah bagi saya, semua pemimpin ahli dan penyokong UMNO negeri Kedah, serta umumnya rakyat negeri Kedah. Dengan kehendak rahman dan rahim dari-Nya, dengan perkenan Jemaah Pemangku Sultan Kedah, Dato' Seri Ahmad Bashah Md Hanipah mengangkat sumpah secara rasmi sebagai Menteri Besar Kedah ke-12 di Istana Anak Bukit. Bagaikan sireh pulang ke gagang, maka sahlah insan bernama Ahmad Bashah sebagai Menteri Besar.

2. Terdahulu, saya ingin mengucapkan setinggi-tinggi tahniah kepada Dato' Seri Mukhriz Tun Mahathir. Segala jasa bakti dan sokongan beliau kepada program-program dan polisi polisi yang terbaik telah dirancang dan dilaksanakan untuk negeri Kedah ini saya ucapkan jutaan terima kasih dan setinggi penghargaan. Melepaskan jawatan selaku Menteri Besar biar pun disaat akhir, menjelaskan beliau juga berjiwa besar. memikirkan agar parti tidak berpecah dan rakyat menjadi semakin resah. Memberi komitmen bahawa beliau akan ttap setiap pada parti begitu melegakan saya dan menolak sebarang jawatan dalam kabinet menunjukan beliau seorang yang berpegang pada prinsip.Betul atau salah bukanlah persoalan tapi prinsip beliau wajar dilihat tinggi. dan disini juga saya ingin mengucapkan syabas kepada YB Dato Aminuddin (YB Pak Tam) yang juga sehingga akhirnya terus kukuh berpegang pada prinsip beliau bersama Mukhriz berbanding sesetengah pemimpin yang "flip flop" Cuma apa yang dikesalkan kenyataan media beliau agak mengundang konfrantasi. Apa yang saya harapkan DSMM tahu apa yang beliau lakukan dan harapan saya juga dengan berakhirnya kemelut ini. DSMM perlu mengkaji semula gerakan politiknya dan kembali dalam kepimpinan utama negara satu hari nanti. saya percaya DSMM mempunyai potensi yang tinggi cuma pada pandangan saya beliau harus berupaya memperkemaskan pengaruh politiknya dalam rumah beliau sendiri iaitu UMNO.  Walaupun begitu,dengan apa yang terjadi dikedah, dengan berat hati saya melihat tindakan itu sebagai perlu.

3. Saya sebenarnya telah pun mengucapkan tahniah kepada Dato' Seri Ahmad Bashah secara peribadi. Apabila SUK, Dato' Bakar Din mengumumkan beliau bakal dilantik sebagai Menteri Besar, saya melihat sendiri bagaimana beliau diraikan pelbagai lapisan masyarakat dan juga tok guru dan mudhir dari 30 pondok dari seluruh negeri Kedah. Mungkin ada yang melihat 'perang saudara' di ruang maya internet berlaku, namun pada pandangan saya itulah 'asam garam penyedap rasa' dunia politik, terutama mereka yang menyokong pemimpin secara individu dan tidak mengutamakan kepentingan parti.

Monday, 1 February 2016

BERJIWA BESARLAH WAHAI MUKHRIZ...


1. Bagi sesetengah pihak, ada yang menganggap tentang apa yang berlaku di Kedah sekarang adalah merupakan satu 'KRISIS'. Namun pada saya, ia hanyalah merupakan proses biasa pertukaran pucuk pimpinan membabitkan MB Kedah. Sejak dari zaman 1960'an lagi, MB Kedah bertukar ganti. Datuk saya Tun Syed Ahmad Mahmud Shahabuddin contohnya pernah ditukar menjadi Timbalan Menteri dan digantikan dengan Dato' Seri Syed Nahar selaku MB ke-5. Syed Nahar meletak jawatan dan digantikan oleh Tan Sri Osman Aroff. Walaupun Tan Sri Osman ketika itu menang besar di Kedah, namun beliau diarah melepaskan jawatan kepada Tan Sri Sanusi Junid.

Walaupun terdapat sedikit kesulitan untuk melantik Sanusi menjadi MB, Tun Dr Mahathir Mohamad ketika itu menggunakan hak prerogatif beliau selaku Presiden BN untuk mengarahkan Osman meletak jawatan dan semua Adun BN perlu menerima Sanusi sebagai MB baru dengan hati yang terbuka. Semua 22 Adun BN akur dengan arahan Presiden.

Kemudian, Sanusi pula meletak jawatan dan menyerahkan Kedah kepada Tan Sri Syed Razak Syed Zain. Syed Razak yang uzur pula melepaskan jawatan MB kepada Dato' Seri Mahdzir Khalid. BN kalah di Kedah pada tahun 2008 dan Allahyarham Tan Sri Syed Azizan Razak naik menjadi MB dari PAS yang pertama. Kembali merampas Kedah pada PRU yang lalu, barulah Dato' Seri Mukhriz menjadi MB ke-11 atas nasihat dari Presiden BN, Dato' Seri Najib Tun Razak.

Jadi, ia merupakan satu proses pertukaran biasa dalam amalan demokrasi di Kedah.

2. Prinsip amalan sistem demokrasi Raja Berperlembagaan di Malaysia memperuntukkan Ketua Parti yang menang majoriti dalam pilihan raya yang sah di sesebuah negeri untuk menasihati Sultan untuk melantik Menteri Besar yang dicadangkan. Jadual kelapan Perkara 71 di Bahagian I (2a) menggariskan Raja atau Sultan bagi sesebuah negeri itu melantik seorang Menteri Besar di atas budi bicaranya dan perkara berkenaan tertakluk kepada nasihat yang dikemukakan Ketua Parti. Kuasa berkenaan termaktub di dalam Perlembagaan Persekutuan 1948.

Jadi, adalah jelas bahawa Dato' Seri Najib atas budi bicaranya berhak atas prerogatif beliau untuk melantik, menggugurkan atau menukar individu yang difikirkan sesuai untuk menjadi MB di negeri yang dikuasai BN. Sultan atau Jemaah Pemangku Sultan pula atas kuasa Ketua Negeri pula berkuasa untuk melantik MB berdasarkan nasihat dari Dato' Seri Najib.

Berbalik kepada apa yang berlaku di Kedah, maka terserahlah kepada Dato' Seri Najib untuk menggugurkan atau mencadangkan supaya MB ditukar. Itu hak prerogatif jawatan beliau sebagai Ketua Parti. Manakala Sultan atau Jemaah Pemangku Sultan Kedah pula berkuasa untuk melantik MB baru sebagaimana yang dinasihati Dato' Seri Najib.

3. Justeru itu, atas alasan apakah Mukhriz dan kem beliau untuk menafikan peranan Presiden BN dan kuasa Sultan untuk menetapkan siapa yang difikirkan layak untuk menjadi MB Kedah? Mengapa perlu mengheret rakyat untuk mempertahankan jawatan beliau sedangkan jawatan tersebut dilantik Sultan atas nasihat Presiden BN. Beliau hanya dilantik rakyat di Dun Air Hitam sebagai Adun sahaja, bukan jawatan MB.


4. Sungguh memalukan apabila seorang terpelajar seperti Mukhriz gagal untuk memahami bahawa kedudukan Raja atau Sultan itu mengatasi ketinggian politik. Institusi DiRaja adalah berkecuali dan tidak mencampuri urusan politik. Dalam Undang-Undang Tubuh Negeri Kedah 1948 jelas termaktub mengatakan "Raja-Raja Melayu berkecuali dalam politik". Sukar sangatkah untuk difahami ertinya? Malah Ketua Setiausaha Sulit Sultan Kedah juga sudah menegaskan pendirian dan titah Istana yang tidak mahu dikaitkan dengan isu ini.

Namun mengapa Mukhriz tetap berdegil dan cuba sedaya upaya mengaitkan Istana Anak Bukit dalam isu membabitkan jawatan beliau itu? Mukhriz kononnya 'khabarkan' pada rakyat tentang kemurkaan Istana? Sejak bila beliau mewakili titah Istana untuk mengeluarkan kenyataan seperti itu? Apakah aristokrat seperti beliau tidak tahu tentang protokol DiRaja Kedah? Terdesak sangatkah untuk selamatkan jawatan hingga cuba berlaku derhaka dengan mengheret pihak Istana? Saya kira tindakan ini sangat memalukan!

5. Jemaah Pemangku Sultan telah pun bertitah sebelum ini menegaskan pihak Istana Kedah adalah bersikap berkecuali dan melarang untuk dikaitkan dengan pertikaian politik membabitkan jawatan MB. Jadi, mengapa pula kem Mukhriz secara biadap tetap berdegil mengaitkan Istana dengan apa yang berlaku?

Permainan politik apakah ini? Cuba mengambil hati Istana dengan memohon maaf dan memburuk-burukkan Ketua-Ketua UMNO Bahagian di mata Istana? Apakah Mukhriz tidak sedar bahawa segala yang berlaku itu adalah berpunca dari beliau sendiri dan selaku Pengerusi UMNO Kedah, beliau sepatutnya mengambil tanggungjawab atas tindakan tersebut.

Istana Kedah terkenal dengan pendirian 'non-partisan'. Usahlah menagih simpati Istana dengan cara mengambil hati secara tiba-tiba memuat naik gambar bersama Jemaah Pemangku Sultan, memohon maaf secara unitari seolah-olah menjadi Ketua UMNO Negeri yang tidak bertanggungjawab dan kemudian memburuk-burukkan mereka di depan Jemaah Pemangku Sultan? Siapakah yang mengajar Mukhriz untuk berpolitik dengan Istana?

6. Saya yakin bahawa proses pertukaran MB di Kedah ini tidak berteraskan emosi, peribadi atau balas dendam mana-mana pihak. Ia hanyalah satu proses biasa dalam hierarki pentadbiran untuk memastikan KPI pucuk pimpinan yang dilantik dipenuhi sebaik mungkin sebagaimana yang tertera di dalam Aku Janji atau manifesto BN Kedah 2013.

Melihat pendirian hilang kepercayaan majoriti Adun BN terhadap Menteri Besar menggambarkan kegagalan Mukhriz dalam badan eksekutif negeri. Hanya 3 Exco yang hadir mesyuarat pula menggambarkan beliau hilang kawalan pentadbiran kerajaan negeri. Malah kegagalan paling jelas adalah apabila 15 UMNO Bahagian di seluruh Kedah termasuk beberapa pemimpin UMNO tertinggi di Bahagian Mukhriz sendiri hilang keyakinan terhadap beliau dan mendesak Presiden UMNO untuk menukar kepimpinan. Politik Mukhriz gagal sepenuhnya di Kedah.

Kerana itulah Presiden UMNO terpaksa mengadap Yang DiPertuan Agong yang juga Sultan Kedah dan Jemaah Pemangku Sultan untuk menukar Mukhriz dengan individu yang difikirkan layak mengembalikan apa yang sepatutnya beliau lakukan dalam tempoh hampir 3 tahun ini di Kedah. Ia adalah demi memastikan pentadbiran kerajaan negeri lebih berkesan, memenuhi tuntutan aku janji dan memastikan keadaan politik UMNO di Kedah kembali stabil serta menyakinkan. Ia juga adalah sebagai persedian bagi menghadapi PRU ke-14.

7. Saya difahamkan Presiden UMNO juga telah  menawarkan Mukhriz jawatan KABINET bagi menyelamatkan beliau dari terus 'hanyut' dalam arus kegagalan di Kedah, namun ditolak. Mengapa Mukhriz tolak JIWA BESAR Perdana Menteri. Mengapa persiakan peluang dari Perdana Menteri jika berada di barisan kabinet dilihat lebih sesuai untuk ketokohan Mukhriz berbanding di negeri Kedah yang telah beliau dilihat gagal 'perform'. Bukankah itu satu tindakan kurang bijak politik dan kelihatan angkuh sombong?

8. Dalam pada itu, saya melihat tindakan politik Mukhriz itu telah membenarkan pihak pembangkang mengambil kesempatan atas apa yang berlaku. Secara tiba-tiba saja mereka mahu Mukhriz kekal sebagai MB sedangkan sebelum ini merekalah yang memperlekeh beliau sebagai 'lembap' dan penuh 'lakonan'.

Mungkin juga mereka sudah lama dapat menghidu pelbagai kelemahan Mukhriz terutama dari sudut gerakan dan susun atur politik di mana jentera UMNO di bawah 'general' itu hampir lumpuh, gagal digerakkan secara bersepadu di seluruh 15 UMNO Bahagian, termasuk di kawasan beliau sendiri.

9. Tradisi UMNO di Kedah mengamalkan sistem berjemaah di mana Pengerusi UMNO Negeri diberi mandat penuh untuk menggerakkan seluruh jentera parti untuk sama-sama berlaku sebagai parti yang memerintah negeri. Kita tidak mengamalkan pemerintahan 'anarki' secara individu atau unilateral. Namun apa yang dilakukan Mukhriz selama ini ialah mentadbir Kedah secara individu dengan jentera beliau sendiri tanpa menghiraukan amalan yang sepatutnya.

Bukan saja gagal menyusun gerak bersama parti sendiri di Kedah, malah parti-parti komponen BN juga turut terkesan denga gaya unilateral Mukhriz itu. Rekod buruk pengurusan, mesyuarat perhubungan termasuk bersama parti komponen BN menjadi batu tanda kegagalan beiau menyusun pelan strategik mentadbir negeri dan parti. Boleh dikatakan gerak kerja bersama parti menghampiri angka sifar bilangannya.


10. Saya mencadangkan kepada Mukhriz supaya mengambil sikap berjiwa besar dengan apa yang berlaku. Beliau sepatutnya mendapat sokongan dari seluruh Adun BN bagi memastikan survival parti pada PRU yang akan datang kerana beliau hanya membawa majoriti mudah di dalam sidang DUN Kedah. Apabila hilang kepercayaan 19 Adun BN dan hanya 3 Exco yang dikatakan menyokong beliau, maka ia adalah tanda isyarat jelas menandakan beliau perlu berundur dari pucuk pimpinan negeri demi pentadbiran kerajaan negeri dan parti.

11. Saya melihat, apa yang dikatakan sebagai 'sokongan rakyat' kepada Mukhriz sejak bermula proses pertukaran pucuk pimpinan ini hanyalah sekadar tempelan dokongan dari segelintir peminat bola sepak negeri dan sebahagian pengundi DUN Air Hitam. Malah ada di kalangan mereka yang dikatakan tidak mendaftar sebagai pengundi dan ada yang masih tidak layak untuk mendaftar diri untuk mengundi.

Konsep yang kononnya menyatakan 'suara rakyat' wajar diterjemah Mukhriz. Sekiranya beliau benar-benar 'gentleman', beliau sepatutnya merumuskan suara lebih 800,000 pengundi yang sah di seluruh negeri Kedah. Bukan undian 'online' di Facebook. Kerana itulah saya berpandangan bahawa Mukhriz tidak wajar mengheret, memanipulasi dan mempegunakan rakyat untuk kepentingan mempertahankan jawatan beliau itu.

12. Galak sungguh saya melihat kem Mukhriz menyerang Timbalan Pengerusi BPUNK, Dato' Seri Ahmad Bashah. Mereka menuduh beliau sebagai 'gila kuasa' dan mahu merebut jawatan MB. Pada saya, serangan itu hanyalah 'diversion' untuk menyembunyikan kegagalan Mukhriz di Kedah. Hanya mereka yang tidak tahu, tidak kenal dan tidak tahu sejarah Ahmad Bashah sahaja yang akan menuduh beliau dengan tuduhan jahat sebegitu.

Secara ringkas, Ahmad Bashah mengambil alih jawatan Pengerusi BPUNK pada 2011 setelah diberi mandat menggantikan Dato' Seri Shapie Apdal. Ahmad Bashah adalah 'jeneral perang' yang berjaya menyatukan seluruh UMNO Bahagian dan Cawangan, serta berdepan cabaran getir merampas Kedah dari PAS. Beliaulah arkitek dan hero sebenar yang tidak didendang.

Di mana-mana negeri pun, tradisinya Pengerusi UMNO Negeri akan dilantik menjadi MB jika berjaya menang di sesebuah negeri. Berlawanan pula dengan Ahmad Bashah yang bukan saja berjaya menang malah merampas kembali Kedah dari PAS, namun beliau cukup berlapang dada menyerahkan jawatan MB kepada Mukhriz seperti yang diarahkan Presiden BN. Memberi laluan selesa kepada Mukhriz mengambil jawatan MB, Ahmad Bashah tidak protes, tidak boikot, tidak menaikkan sepanduk, tidak memperguna stadium untuk menentang hak prerogatif Presiden.

Ahmad Bashah bersahaja, tetap setia dan patuh pada ketetapan arahan Dato' Seri Najib tanpa sedikit pun cetusan rasa tidak puas hati. Tapi kem Mukhriz pula mengambil pendekatan menghina dan menyerang Ahmad Bashah yang beri laluan padanya? Itu sikap politik dari kem Mukhriz Mahathir yang digambarkan 'baik dan suci' itu?

13. Setelah hampir 3 tahun menjadi MB dan Pengerusi UMNO Kedah, apakah gagasan dan program besar pentadbiran dan 'political engagement' Mukhriz yang telah memberi manfaat yang jelas terhadap 2 juta rakyat Kedah dan kira-kira 2,000 cawangan UMNO di seluruh negeri Kedah selain ribuan lagi cawangan parti komponen yang lain? Pandangan saya melihat bahawa hampir tiada langsung.

Justifikasinya, fakta menjelaskan bahawa hampir semua perencanaan aktiviti UMNO Bahagian dijana hasil inisiatif setiap UMNO Bahagian itu sendiri, dan begitu juga dengan sayap-sayap parti yang ada. Kekuatan UMNO Negeri sedikit demi sedikit terhakis dengan sikap sambil lewa dan kegagalan merancang strategi yang menyeluruh dari kem Mukhriz yang diberi amanah oleh Presiden Parti selaku Ketua Parti di Kedah.

14. Saya difahamkan bahawa Mukhriz memiliki jentera 24 orang Pegawai Khas, lebih 40 staf di pejabat PMB yang selama ini giat menggilap imej individu Mukhriz di mata rakyat Kedah. Apakah Mukhriz yakin dengan bala jenteranya itu maka beliau mampu bertahan menjadi MB di Kedah tanpa jentera dari 14 UMNO Bahagian di seluruh Kedah selepas PRU ke-14? Bolehkah Mukhriz dan jentera individunya itu menjamin kemenangan BN di Kedah tanpa sokongan dari seluruh 14 UMNO Bahagian?

Memanipulasi minda rakyat menerusi populariti 'terancang' bukan budaya orang Kedah dan ia dilihat sebagai permainan politik murahan. Rakyat mudah mengesan lakonan atau watak tulen 'orang Kedah' dan tidak mudah diperbodoh dengan sketsa populariti terancang seperti itu. Mungkin benar senyuman Mukhriz menawan, tapi apakah senyuman itu mampu menghapus air mata ibu-ibu tunggal yang dhaif dan golongan miskin tegar yang masih ramai di Kedah? Apakah dengan senyuman yang viral itu mampu menyediakan peluang pekerjaan kepada ribuan anak Kedah yang masih menganggur?


15. Saya berada di pusat khidmat ADUN kelolaan Dato Seri Ahmad Bashah apabila  30 orang penunjuk perasaan dan dibawa dari Pokok Sena oleh mungkin salah seorang Pegawai Khas Dato' Seri Mukhriz untuk berdemo di hadapan pusat khidmat DUN Bakar Bata meskipun calon Menteri Besar yang baru belum pun diputuskan oleh Perdana Menteri. Sekiranya desas-desus itu benar, apakah ini satu cerminan akhlak pemimpin yang dikatakan punyai 'aura' yang sangat istimewa di kalangan rakyat? Budaya politik jenis apakah yang di bawa kem Mukhriz ke Kedah ini?

Apakah operasi Pegawai Khas Mukhriz itu mendapat restu dari beliau? Jika 'aura' yang kononnya jadi sandaran, kenapa tidak 500,000 rakyat Kedah yang datang berhimpun di depan Pusat Khidmat Dun Bakar Bata? Saya yakin, jika dikatakan 'aura' Mukhriz itu terlalu hebat, setidak-tidaknya sudah tentu berpuluh-puluh Cawangan UMNO Alor Setar sendiri akan menyokong Mukhriz dan memprotes Dato' Seri Ahmad Bashah. Tidak perlu pun di import dari Pokok Sena.

16. Belum pun pihak Istana menyingkirkan Mukhriz, saya melihat serangan hebat telah dilakukan terhadap beberapa Adun UMNO terutama di media sosial dan blog. Ia bagaikan langkah 'pre-emptive' atau ugutan awal untuk menghalalkan 'pembunuhan karektor' pemimpin UMNO Kedah. Dan saya menjangkakan serangan itu akan semakin hebat ditujukan kepada pemimpin bakal diumumkan menjadi MB Kedah nanti.

Berapa banyakkah wang yang dilabur Mukhriz untuk menggerakkan serangan siber itu agaknya? Mengapa mereka perlu berlaku biadap mengaitkan Istana dan sering mendahului Istana dengan menyebarkan fakta yang tidak benar? Apakah itu yang dikatakan sebagai mengutamakan parti lebih dari kepentingan politik peribadi? Adakah sikap seperti itu melayakkan mereka untuk tidak malu mendabik dada kononnya 'pejuang UMNO sejati'? Sedangkan, apa yang mereka perjuangkan itu ialah memastikan pemimpin yang mengisi 'tembolok' mereka itu supaya tidak hilang jawatan, bukan kerana parti!

17. Sebelum ini, fakta-fakta dari Laporan Ketua Audit Negara dan prestasi kewangan negeri sepanjang 3 tahun Dato' Seri Mukhriz mentadbir Kedah bukankah menunjukkan angka defisit? Begitu juga dengan kedudukan simpanan tetap dan surplus akaun yang ditinggalkan oleh Menteri Besar sebelum ini telah berubah kini untuk berada pada angka negatif.

Apakah keadaan tersebut memperlihatkan kecekapan pentadbiran yang hebat? Apakah dengan kedudukan tersebut tidak membolehkan 14 Ketua UMNO Bahagian tampil berkata benar dengan mengadakan sidang akhbar di Grand Alora setelah suara-suara mereka sebelum ini dicantas dan tidak dipedulikan Mukhriz dan para pegawainya? Maka terimalah hakikat bahawa Mukhriz gagal mentadbir negeri Kedah meskipun kebenaran itu pahit untuk ditelan.

18. Sejak jawatan Mukhriz terancam di Kedah, boleh dikatakan hampir setiap hari pelbagai himpunan jalanan diadakan walau pun yang hadir itu hanya membabitkan jumlah yang kecil. Stadium Darul Aman akan dipergunakan sebagai lokasi berhimpun mempertahankan Mukhriz dari gugur jawatan. Kesempatan sebuah perlawanan bola sepak persahabatan di antara pasukan kesayangan orang Kedah, Helang Merah, telah dipergunakan sepenuhnya untuk tujuan politik. Di mana agaknya semangat kesukanan? Idea siapakah himpunan mempergunakan sukan untuk tujuan kepentingan politik peribadi itu?

Pada pandangan saya, jika kesemua himpunan politik sebenarnya yang bertujuan menunjukkan sikap bangkangan dan ego Mukhriz untuk tidak mahu menerima ketentuan qadha dan qadar Allah, dan kemudiannya gagal pula menghayati semangat berjemaah dan aturan dalam organisasi, maka terbuktiklah Mukhriz merupakan seorang Menteri Besar yang hanya pentingkan politik diri sendiri dengan menjadikan rakyat sebagai 'alat perkakas' dan wahana kepentingan politiknya sahaja.

19. Sejarah Kedah dalam arena bola sepak sebelum ini tidak pernah dijadikan modal untuk meraih sokongan politik. Pasukan Kenari pernah menggondol 'double treble' apabila muncul juara 3 piala, iaitu Piala FA, Juara Liga Super dan Piala Malaysia dua tahun berturut-turut pada 2007 dan 2008. Mukhriz tahu fakta itu? Namun pada PRU 2008, BN tewas di Kedah! Itu membuktikan bahawa meskipun BN berjaya membawa pasuka Kenari sebagai juara 'double treble', ia tidak menjami sokongan politik pada BN.

Jadi, apakah yang menjamin sokongan terhadap BN apabila Mukhriz dan kem beliau mengheret penyokong Helang Merah untuk meraih sokongan politik pada BN pada PRU kelak? Jika terlalu hebat, apakah Mukhriz dan kem beliau berjaya merekrut puluhan ribu anak muda di Stadium Darul Aman untuk menjadi pejuang dan ahli UMNO yang sejati? Yang saya lihat, mereka itu berjaya dimanipulasi untuk kepentingan politik peribadi tanpa memikirkan kepentingan parti yang sepatutnya lebih diutamakan.


20. Secara bermaruah dan prinsip, saya senada dengan beberapa penganalisis politik yang menyarankan Mukhriz berjiwa besar untuk meletakkan jawatan secara terhormat. Usahlah kerana kerana ego sombongnya dan sifat bantah-membantahnya untuk mencetus populariti peribadi, bukan sahaja bakal menyebabkan pihak Istana Anak Bukit turut terpalit dengan isu kebejatan politik ini, malah ia juga dijangka bakal mengakibatkan pentadbiran kerajaan negeri dan UMNO Kedah turut 'gerhana', selain 'aura' yang dimegah-megah para pengikutnya itu bakal ditelan kesan kelemahan dan khilaf dirinya sendiri.

Memohon maaf kepada Jemaah Pemangku Sultan itu sebenarnya adalah tanggungjawab Mukhriz seorang selaku Pengerusi UMNO Kedah. Beliau patut mengambil tanggungjawab sepenuhnya sebagai ketua dan bukan menyalahkan Ketua-Ketua UMNO Bahagian di bawahnya. Malah dalam situasi ini, beliaulah punca Ketua-Ketua UMNO Bahagian, Adun dan Exco itu memberontak. Pikullah tanggungjawab itu sebagai ketua yang berani.

21. Hakikat dan faktanya setelah Istana cuba dipengaruhi dengan pelbagai rayuan, tekanan dan cuba diperguna bagi menyelamatkan diri dari kehilangan jawatan, rakyat pula dijadikan jenama kononnya menyokong kepimpinannya, kini Allah pula dijadikan alasan untuk menghalalkan segala tindak tanduk Mukhriz yang tidak pernah dizahirkan pada rakyat Kedah.

Fakta dan hakikatnya, hanya aktivis UMNO tulen, ahli dan pimpinan NGO, KCS, alim ulama, rakyat marhein ,penjaja, penjual ikan, pedagang di pasar karat di Kampung Berjaya dan yang sewaktu dengannya sahaja yang lebih mengenali lakonan yang cuba ditampilkan Mukhriz dengan 'arahan' para pegawai selaku 'sutradara'.

'Aura' yang dijaja hanyalah 'kosmetik' untuk tujuan 'promosi jualan megasale' dan meraih laba populariti diri sendiri bukannya kehebatan kerajaan pimpinannya melaksanakan program dan aktiviti pembangunan untuk rakyat serata-rata.

22. Saya bukanlah berhasrat menukil panjang. Namun atas rasional politik yang tidak menyebelahi mana-mana pihak, saya sekadar puas mengutarakan pandangan saya secara peribadi. Saya bukanlah penulis yang hebat, karya saya hanyalah dilihat sebagai gred C sahaja oleh pegawai politik Mukhriz. Namun setidak-tidaknya saya berani menyatakan kebenaran walaupun terpaksa menongkah arus membelah badai populariti palsu yang dibuat-buat.

Saya menegur bukanlah kerana benci, tapi saya sayangkan Mukhriz selaku seorang pemimpin yang menjadi aset berharga yang dimiliki UMNO di masa akan datang. Namun jika Mukhriz dihidangkan dengan laporan indah-indah belaka tanpa menyedari kelemahan berada di hampir segenap penjuru rumah bernama UMNO Kedah, maka beliau akan 'rosak'. Selaku salah seorang penghuni kecil rumah berkenaan, saya bertanggungjawab memperbetulkan dan mengutarakan cerita sebenar demi keteguhan sebuah institusi keluarga.

Maafkan saya sekiranya tersinggung dengan tulisan ini dan saya yakin jauh di sudut hati Mukhriz, beliau faham dan mungkin akan menyedari tentang kebenaran yang cuba saya sampaikan ini. Saya menulis demi negeri jelapang padi, demi perjuangan, demi agama, bangsa dan negara kerana di sinilah lahirnya sebuah cinta...

Syed Mohd Johan Rizal bin Syed Unan Mashri
AJK Pergerakan Pemuda UMNO Negeri Kedah
Naib Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Alor Setar