Wednesday, 15 June 2016

KESIHATAN MB KEDAH


1. Sakit, musibah dan ujian adalah merupakan lumrah yang pasti dilalui oleh insan bernama manusia. Ia juga adalah nikmat untuk dirasai setiap manusia. Jika ada yang sakit di dalam sesebuah komuniti itu, maka kita dianjurkan untuk berziarah, mengambil teladan darinya selain mendoakan yang terbaik agar yang sakit segera sembuh.

2. Ia merupakan antara uslub dakwah. Sebuah nilai murni dalam masyarakat yang diajar Rasulullah S.A.W. Namun malangnya, ‘sakit’ atau kurang sihat di era kini sering diterjemah dalam konteks politik oleh pihak tertentu.

3. Musibah itu diwacana dari sudut yang kurang bermoral sifatnya. Dikaitkan pula sakit berkenaan kononnya sebagai kifarah dari Allah S.W.T selain ‘balasan karamah’ dari golongan bangsawan elitis aristokrat tertentu.

4. Betul. Harus diakui, hatta jika jari tercucuk duri halus sekalipun maka mungkin ianya adalah kifarah dari Allah buat menghilangkan dosa nan lalu. Tapi jangan lupa, usai sakit, dan dengan segala kesabaran ditempuhi bagi melalui keperitan sakit tadi, maka darjat dan kemuliaan insan diangkat Allah kemudiannya.

5. Inilah kisah yang Al-Quran gambarkan. Misalnya melalui teladan Nabi Ayub yang ditimpa derita sakit yang bukan kepalang. Namun berkat dari taqwa dan kesabaran Rasul Allah itu, sakit baginda sembuh, dan kemudian taraf serta kedudukannya disisi Allah dimartabatkan.


6. Beragama Islam, masyarakat kita turut dididik sedari kecil bahawa nilai kemasyarakatan dan sosio-budaya bangsa ini menekankan jika ada saudara yang sakit, ziarah dilakukan. Kunjung mengunjungi bagi bertanya khabar dan melihat keadaan rakan tadi. Kita diajar untuk meredakan hati dan deritanya, selain mendoakan kesihatannya. Hanya cakapkan yang baik-baik sahaja, jauh sekali mencerca atau menuduhnya yang bukan-bukan.

7. Maka demikianlah juga dalam konteks MB Kedah. Apabila menerima rawatan bermula 4 Jun, sehingga dipindahkan ke Hospital Pulau Pinang bagi mendapat seliaan pakar, tidak putus-putus handai taulan, rakan politik apatah lagi kaum keluarga menziarahinya.

8. Hakikatnya dalam isu beliau ditimpa masalah kesihatan, pilihan boleh dibuat agar ulser perut yang dialaminya itu dirawat secara kasual, tanpa perlukan pembedahan. Namun dalam jangka panjang pastilah menimbulkan masalah di kemudian hari. Lantaran itulah maka pembedahan dipilih sebagai opsyen bagi membolehkan beliau terus menggalas tugas dengan baik dan mengemudi negeri Kedah untuk jangka masa yang lebih panjang, tanpa diganggu masalah yang sama.

9. Ada yang bertanyakan tentang punca ulser yang dihidap MB Kedah sehingga mengakibatkan beliau terpaksa berehat di hospital untuk beberapa ketika.


10. Saya kira, jawapan jelas yang boleh nampak di depan mata adalah kesan dari kedegilan MB yang tidak menjaga diet pemakanan dan masa makannya. Kerana terlalu tumpukan gerak kerjanya mendekati pelbagai segmen lapisan masyarakat di Kedah. Memang itulah sifat sebenar Ahmad Bashah sejak dari zaman mudanya lagi yang melebihkan rakyat dari dirinya sendiri.

11. Setelah 3 tahun berlalu kesan kegagalan pimpinan terdahulu merungkai dan menyelesaikan banyak isu dan masalah tertangguh sama ada politik, pentadbiran, ekonomi dan isu kepartian, maka Ahmad Bashah memilih untuk mengenepikan soal keperluan diri dengan sanggup ‘meranduk’ segenap pelusuk kawasan dan kampung demi mendekati rakyat.

12. Jemputan ke majlis dari kalangan orang biasa hinggalah pihak Istana, semuanya beliau mahu hadir. Maka berlakulah putaran jadual programnya  6 ‘event’ setiap hari sejak mula 4 Febuari apabila Allah S.W.T mentakdirkan beliau untuk mengangkat sumpah selaku MB Kedah.

13. Betul. Seorang pemimpin harus energetic dan menjaga kecergasan serta fit untuk meneruskan tugas. Maka Bashah sekali lagi memilih untuk korbankan waktu tidur, senantiasa di dalam Kedah, bukannya bersantai atau bersenang lenang di London atau di luar negara hampir setiap minggu. Beliau sebaliknya senantiasa siap sedia, berkampung di dalam negeri, tidak pernah pula mengenal erti cuti atau bercuti rehat.

14. Keutamaan dasarnya,beliau kerja dan kerja demi memenuhi aspirasi masyarakat. Merangka dasar praktikal, simple dan mudah, tapi kesannya cepat dirasa oleh setiap rakyat Kedah. Fokusnya hanya sedaya upaya mensejahterakan rakyat, membangun ekonomi dan meletakkan asas yang kukuh bagi Kedah menjadi sebuah negeri yang gagah.


15. Maka banyaklah pihak harus disantuni. Pertemuan, usaha dirancang dan diatur. Dari pagi, tengahari, petang dan membawa ke lewat malam. Kesemua jadual kerjanya padat khusus untuk rakyat. Beliau tiada masa untuk bercuti ke luar negara mahupun terbang ke sana ke mari setiap minggu.

16. Kehendak diri sering diletak di belakang. Rumah sendiri sudah ibarat pejabat. Di pejabat, 2 kali ganda rakyat, ketua jabatan, pimpinan GLC datang untuk tuntaskan segala agenda dan misi memakmurkan seluruh negeri Kedah.

17. Sekali lagi, Ahmad Bashah mula alpa tentang diet pemakanannya, mula lalai dengan waktu makan beliau. Kerana bagi MB Kedah itu, permohonan dan kehendak rakyat perlu lebih diutama dan cuba diselesaikan beliau berbanding nafsu dan kehendak perutnya.

18. Natijah besar, maka sedikit demi sedikit, penyakit lama yakni gastrik yang dihidapinya, membungkam. Maka saluran usus beliau tidak lagi stabil dan boleh menerima tekanan sebegini rupa. Maka mulalah mengalami luka kecil yang akhirnya menyebabkan MB kita terpaksa kemudiannya direhatkan seketika dengan 'bercuti dalam kerja, dan kerja dalam cuti' di Hospital Pulau Pinang.

19. Inilah hakikat yang dilalui beliau. Walau ramai yang sedang menista dan mencacinya. Lebih parah ada segelintir yang mendoakan kecelakaan untuknya. Adab apakah ini? Saya terbayang wajah sahabat baik Ahmad Bashah, Allahyarham Tan Sri Ustaz Azizan Razak yang dulu dicela dan diperlekeh penyokong partinya sendiri. Entah sempat atau tidak mereka memohon maaf dari arwah?


20. Rakan separti sendiri, dari negeri sendiri ada yang kurang peka atau lemah adabnya langsung tidak menziarahi. Walhal ADUN, MP dari negeri jiran begitu prihatin sering bertanya khabar tentang dirinya dan bersusah payah menziarahinya pula.

21. Setidaknya, jika pun benci atas kapasiti Ahmad Bashah selaku MB, maka ziarahilah beliau atas dasar insan, hormat pada yang lebih tua dan demi mengangkat semangat nilai murni kemasyarakatan dan hidup beradab dalam sebuah komuniti. Cubalah berikan contoh yang baik kepada rakyat Kedah, apatah lagi di bulan Ramadhan Al-Mubarak ini.

22. Maka dalam hal ini, eloklah secara ikhlas saya berpesan kepada Mukhriz Mahathir, ‘dari hidup berkurang adab, biarlah mati dicaci maki'.

23.Wallahu aqlam mu bisawab.

Salam Ramadhan Al-Kareem, semoga amalan kebaikan kita tingkatkan, sikap kurang bersopan kita tinggalkan.

Syed Mohd Johan Rizal bin Syed Unan Mashri
AJK Pergerakan Pemuda UMNO Negeri Kedah
Naib Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Alor Setar

No comments:

Post a Comment

Assalamualaikum dan Salam Kedah Aman Makmur,
Sebagai pemberi komen yang bertanggungjawab, tidak akan dibenarkan sebarang komen dari 'anonymous' di blog ini. Pemilik blog juga tidak bertanggungjawab di atas sekarang komen yang melanggar etika, undang-undang dan peraturan yang ditetapkan SKMM.

Sila bertanggungjawab atas ulasan/komen yang diberikan.

Terima kasih.