Thursday, 14 July 2016

GILA TALAK: CUBAAN PEMAKAN DEDAK MENJADI HERO JADIAN.

1. Dua tiga hari yang lalu, tiba-tiba mantan Setpol era PAS mentadbir Kedah cuba belagak hero di media maya dengan sisipan angka dan faktanya berhubung isu air yang menyimpang, lantas saya dihubungi beberapa pihak yang pernah menjadi mangsa kehebatan si Setpol berkenaan semasa beliau gah di atas singgahsana.

2. Kesian pada seorang kakitangan MBI yang ditumbuk, kesian pula pada beberapa pegawai PKNK yang dikambing hitamkan, dan simpati pula pada beberapa pegawai BDB yang teraniaya.

3. Isu yang dibangkitkan oleh saya dalam konteks pengurusan air di Kedah adalah isu kelemahan dalaman pengurusan organisasi oleh pihak penguasa pembekal air yakni SADA.

4. Bagaimana kerajaan kini mewarisi sekian banyak legasi buruk tinggalan kerajaan PAS terdahulu kesan kelalaian dan kelemahan pemantauan ke atas pengurusan SADA.

5. Malah, bila si mantan Setpol membangkitkan hutang air kerajaan Kedah sejak MERDEKA, dengan angka yang bersimpang siur, sekejap RM1.7 bilion, ada pula angka RM1.9 bilion, sekejap yang dicakapkan oleh Pesuruhjaya PAS RM2 bilion, dan diwaktu yang lain pula dilontarkan angka RM2.4 bilion oleh cybertroopersnya.

6. Hakikatnya hutang keseluruhan kerajaan Kedah sejak 1957 ialah RM2.3 bilion (data MOF). Termasuk hutang pembinaan Insaniah yang dibuat PAS bernilai RM330 juta, melalui pinjaman 'bersindiket' yang dibuat dengan bank, dan kini kerajaan BN terpaksa mengeluarkan dana membayar hutang RM62 juta setahun termasuk urusan penyelenggaran INSANIAH.

7. Hutang air meliputi hutang bekalan air luar bandar RM400 juta, selain hutang pembangunan infra yang lain benilai lebih RM1 bilion.

8. Sebahagian dari hutang ini sudah ditukar menjadi geran, dan apabila dimuktamadkan rundingan dengan Perbadanan Aset Air Berhad milik kerajaan Persekutuan, maka hutang pengurusan bekalan air oleh SADA menjadi sifar.

9. Isu sebenar yang saya bangkitkan ialah kaedah pengurusan bekalan dan agihan air. SADA selaku sebuah entiti yang ditubuhkan 1 Januari 2010, dizaman PAS, sepatutnya apabila menjadi entiti korporat lebih cekap dan tangkas operasinya.

10. Mantan Setpol PAS berkenaan tidak boleh menafikan bahawa apabila JBA ditukar kepada SADA, dua bulan kemudian krisis teruk berlaku di seluruh di Kedah. Mantan Setpol yang dianggap oleh pegawai KCS sebagai garang dan semberono ini, harus akui hakikat bahawa kadar tarif air dinaikkan SADA dengan persetujuan Ahli Lembaga Pengarah SADA yang juga didalamnya ada ahli PAS dan rakan sekutunya pada kadar 25-44% pada 1 Oktober 2010, sepuluh bulan selepas SADA ditubuhkan. Dan jangan pula lupa, 1 Januari 2011, bermulalah sisi gelap untuk rakyat apabila bayaran bil tidak lagi boleh dibuat di pejabat POS.


11. Mantan Setpol juga mungkin lupa di zaman ahlinya menjadi Lembaga Pengarah SADA jugalah kos operasi pembekalan air oleh lori-lori air ke kawasan krisis mendadak kosnya dengan langsung tidak masuk akal. Nilai air dihantar RM1,900 tetapi kos sewa lori menjadi RM52,000. Perniagaan apakah bentuknya ini? Sekali lagi kegagalan pengurusan, bukan soal infra atau bekalan.

12. Unit NRW yang ditubuhkan diera PAS pula, hanyalah unit yang sebenarnya tidak memainkan fungsi yang jelas. Dapatan NRW pada kadar 47-50%, apabila SADA ditubuhkan hanyalah justifikasi bagi memperoleh pakej geran RM300 juta dari kerajaan Persekutuan bagi tujuan pembaikan.

13. Walhal jika angka NRW sebanyak 50% ini mahu dijustifikasikan bermakna, dari rumah saya di sebelah KMC hendak ke pejabat guaman saya tentulah saya menaiki sampan.

14. Samalah, sepertimana geran penyelenggaraan jalan yang diperoleh kerajaan PAS dari Pusat, hanya separuh dibelanjakan, dan separuh lagi entah kemana disimpan atau disalurkan. Maka sepanjang 2009-2012, isu jalan compang camping menjadi bualan. Rim tayar kereta berulang kali perlu ditukar kesan bencana ini.

15. Sekali lagi isu terasnya ialah ‘management’ serta integriti dan jika MANTAN Setpol mempertikaikan kononya segala geran pinjaman bernilai berapa billion sekalipun yang diperoleh BN yang gagal dimanfaatkan untuk operasi bekalan air, berlaku penyelewengan itu merupakan tuduhan fitnah berniat jahat. Malah beliau sekali lagi telah tersalah fakta.


16. Dengan geran dan dana kerajaan PERSEKUTUAN, sepanjang 12,000 km paip air dapat dibina. 36 loji rawatan air tersedia, 100% kawasan bandar diliputi bekalan sementara 95% dikawasan luar bandar mendapat agihan bekalan. Dana dan pinjaman itu jugalah membolehkan tambahan sebuah Empangan yang bernama Empangan Beris di kawasan mantan Setpol tinggal dapat dibina sebagai perancangan bekalan air jangka panjang.

17. Masalah SADA selaku entiti korporat yang syernya dipegang kerajaan negeri ialah keperluan peningkatan khidmat. 493 juta padu air yang dihasilkan setahun hakikatnya cukup untuk 2,064,300 juta rakyat Kedah selain industri yang sedia ada. Raw waternya cukup, water reservoirnya selepas digunakan seharian juga cukup,untuk rekod berada pada kadar 2.0 juta liter padu sehari selepas comsumption penuh seharian. Ini data bagi tahun 2014, 2015, 2016. Berbanding reserve margin yang hanya pada kadar 0-0.1 juta liter padu sehari di tahun 2010, 2011 dan 2012 (zaman pemerintahan PAS). RESERVE MARGIN mampu lebih tinggi jika kapasiti loji rawatan siapsaga sepenuhnya. 

18. Juteru itu, isu sebenar ialah pengurusan agihan bekalan, ada petempatan yang diduduki seramai 100 orang tetapi saluran bekalannya untuk 1000 orang sementara di kawasan penduduk 1000 orang, disalur pula bekalan untuk 100 orang. Inilah audit yang gagal dilakukan bermula di zaman PAS, dan isu teknikal ini sudah diamati dengan nasihat pakar teknikal kejuruteraan air anak Kedah yang berkhidmat di banyak agensi.

19. Lantas, apabila isu ini dikenalpasti, langkah pembetulan sedang digerakkan, dan dalam tempoh 3-5 bulan exercise membetulkan semula agihan mampu menyelamatkan keadaan. Sebab itu YAB DS MB mengambil keputusan memanggil semua pihak bagi memuktamadkan solusi jangka pendek, sederhana dan panjang berkaitan isu air pada 12 Julai yang lalu, malangnya ramai ADUN PAS yang dijemput tidak hadir. Kerana mereka memilih untuk menunjuk pandai barangkali di FB dan mencari glamour dengan membuat laporan polis di IPD.

20. Jangan dilupa hakikat, apabila krisis air seluruh Kedah berlaku 2010, PRO SADA juga gagal memberi jawapan, bersembunyi di bilik CEO apabila Puspavathy Ramaloo dari TV3 datang mendapatkan kepastian.


21. Padanlah bila diteliti kenapa 2,000 aduan di musim raya baru-baru ini tidak ditangani dengan wajar, banyak kemusykilan yang timbul. Lebih malang susulan tindakan tidak ada, rekod aduan dan penyelesaian tindakan tidak direkodkan. Rupanya apabila disemak sisi latarbelakang PRO SADA, rupanya adik kandung beliau adalah calon PAS yang tewas di DUN Jeneri PRU ke-13 yang lalu. Dan PRO sendiri adalah AJK PAS kawasan Sik yang mantan Setpol lebih mengenalinya kerana mantan Setpol adalah penduduk Kg Sg. Pau yang juga di Sik, yang khabarnya pagar rumah beliau sahaja begitu gah dan hebat.

22. Justeru jika mahu dibuat ‘witch hunting’ semua pihak ada sisi gelapnya. Persoalan sebenar yang cuba ditunjuk hero oleh mantan si SETPOL era PAS tidak membawa apa-apa faedah melainkan cubaannya menjadi juara rakyat. Setelah 3 tahun membisu kesan terpukul teruk dengan kekalahan PAS dalam PRU ke-13 yang lalu. Apatah lagi YB Phahrolrazi kini sudah sertai PAN, YB Dato Mahfuz juga bercuti dari YDP PAS Pokok Sena dan intim dengan PAN, demikian juga YB Amiruddin HAMZAH sudah meletakkan jawatan selaku YDP PAS Kuala Kedah. YB Nasir Mustaffa, ADUN Kubang Rotan juga lebih mesra dan rapat dengan PAN.

23. Hanya tinggal si mantan Setpol sahaja ruang dan peluang baginya menonjolkan diri. 

24. Bagi kami di BN, lawan sebenar bertaraf heavyweight adalah PH, bukan PAS, kerana banyak legasi bobrok yang jika diungkit dan diulang siar tidak termampu dijawab PAS. Rakyat Kedah tak mudah lupa. Rakyat Kedah masih ingat isu haru birunya KUIN, isu transaksi tanah PKNK dan BDB yang meragukan, isu pelaburan balak di PAPUA NEW GUINEA yang lebur.

25. Isu TSM di Sungai Kob, Kulim yang ditukar menjadi ‘perkuburan cina’. Isu madrasah Salihiah dan tanah waqaf yang dirompak secara halus, isu cubaan memajak Taman Wira Mergong kepada bank untuk urusan penduduk membayar tunggakan bayaran sewa rumah. Isu Ladang Rakyat yang ladangnya tidak kelihatan, balak yang hilang. Sehingga air teh susu keluar di saluran paip penduduk Baling, Kubang Pasu dan Padang Terap. Isu K-keli yang kelinya tak sempat dibeli, tapi balak juga yang hilang. Isu kilang mengetin buah, yang buah rambutan dan nenasnya entah kemana, namun kambing jua yang menjadikan kilang berkenaan tempat beristirehat. Isu meriahnya Kedah dengan pusat hiburan, pusat judi online, disko, pub dan rumah urut tatkala Kerajaan PAS diharapkan membawa DAULAH ISLAMIYAH. Termasuk isu perebutan menjadi MB dan isu penolakan jawatan EXCO oleh dua EXCO kanan sehingga tuan Presiden PAS terpaksa turun ke Mentaloon menyelesaikannya.

26. Dan mantan Setpol memang bijak dalam mengurus soal ini, apabila berjaya memujuk ADUN Bebas Lunas, Bakar Arang ketika itu di sebuah Restoran di Shahab Perdana untuk menandatangani sokongan menyebelahi arwah Ustaz Azizan dengan kesemua tandatangan sokongan itu keesokan paginya dihantar ke Istana Negara. Akuilah kerana saksi hidup berhubung perkara ini masih bernyawa termasuk Walid saya yang mantan Setpol tentu ketahui apa jawatan dan tugasnya di istana……

27. Maka benarlah,kata bidalan, jika ekor bergelumang taik, salakan jadian jangan direka. Muhasabah diri, teliti kenapa PAS jatuh 2013 lalu, susun semula strategi dan lawanlah kami secara gentleman politik. Bukan politik menghasut, melencong dan menjadi batu api.

28. Dan saya tidak memerlukan dedak dari YAB DS MB, status jawatan saya selaku Pegawai KHAS tidak termasuk dalam payroll kerajaan Negeri, boleh disemak. Perolehan dan pendapatan dari syarikat saya lebih dari mencukupi buat membantu memenangkan perjuangan parti saya. Bukan semua pemimpin dan ahli UMNO gelojoh, dan kami tidaklah seperti pegawai khas di era mantan Setpol berkhidmat, dengan skil gaji yang dinaikkan begitu tinggi.

29. Namun, apabila ketua BAHAGIAN saya yang juga selaku MB dinista, ditohmah, maka menjadi kewajaran selaku pimpinan pemuda Bahagian bangun untuk menjelas dan mempertahankan semuanya.

30. Dan jangan menggangap kesemua usaha murni sebegini kesan dari disumbat dedak, kerana setahu saya dan hasil makluman dan rekod yang ada, mantan Setpol PAS lah antara pemakan dedak terbesar di era PAS bermaharajalela. Cukuplah tak perlu didedahkan semuanya. Prinsip UMNO bukan bermain sentimen politik mengaibkan atau sentuh pribadi seperti lagak laku sebahagian budaya PAS. Akan tetapi berlawan secara anak jantan di gelanggan sebenar. Gelanggang politik, dan PILIHANRAYA adalah medan untuk membuktikan segalanya.

LAWAN TETAP LAWAN!!!

Syed Mohd Johan Rizal bin Syed Unan Mashri
AJK Pergerakan Pemuda UMNO Negeri Kedah
Naib Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Alor Setar

No comments:

Post a Comment

Assalamualaikum dan Salam Kedah Aman Makmur,
Sebagai pemberi komen yang bertanggungjawab, tidak akan dibenarkan sebarang komen dari 'anonymous' di blog ini. Pemilik blog juga tidak bertanggungjawab di atas sekarang komen yang melanggar etika, undang-undang dan peraturan yang ditetapkan SKMM.

Sila bertanggungjawab atas ulasan/komen yang diberikan.

Terima kasih.