Wednesday, 27 June 2018

JULANG KEMBALI SUARA KERAMAT AKAR UMBI PARTI..!


1. Melihat kepada kehangatan semaraknya demokrasi yang membara di musim pemilihan UMNO kali ini membuat saya teruja untuk terus berbicara tentang agenda utama menuju ke arah pembaharuan parti keramat bangsa ini. Selaku pemimpin muda akar umbi, pemilihan pucuk pimpinan yang sekian lama tidak terusik, kali ini menyaksikan kerusi Presiden dan Timbalan Presiden disaingi dalam suasana yang cukup harmoni, sihat dan matang. 

2. Sejarah kebangkitan bangsa Melayu terpahat sejak ratusan tahun yang lalu, khususnya dalam usaha menentang penjajahan bangsa asing yang bermaharajalela di Kepulauan Tanah Melayu ini. Sekiranya diteliti dengan baik, adalah jelas bahawa akar umbi menjadi teras kepada setiap penentangan tersebut. Nenek moyang kita bermandi darah, berkorban keringat dan penuh semangat demi bumi bertuah ini.

3. Malah jika diteliti sejarah kemerdekaan tanahair, akar umbi sekali lagi menjadi teras kepada pembentukan parti UMNO, parti ulung yang berjaya menyatukan semua gerakan akar umbi yang meluap-luap menentang penjajahan kolonial British yang merosakkan tradisi bangsa melalui pelbagai muslihat licik. Akhirnya, merdekalah negara ini dengan nama Persekutuan Tanah Melayu, hasil perjuangan yang bermula dari perjuangan di peringkat akar umbi. 


4. Demikianlah pentingnya kedudukan akar umbi yang tradisinya menjadi nadi kepada gerakan politik bangsa Melayu. Suara akar umbi merupakan suara keramat parti yang sewajarnya menjadi garis panduan bagi pucuk pimpinan merealisasikan impian ke arah mempertahankan kuasa bangsa Melayu di bumi tercinta ini. 

5. Dekad demi dekad berlalu, suara akar umbi terus berkumandang diperjuangkan pucuk pimpinan parti. Namun sayang, ekoran ditakdir terpimpin dengan corak autokrasi dalam tempoh lebih dua dekad bermula tahun 1980'an, budaya autokratik menghimpit suara-suara lantang akar umbi yang selama ini menjadi inspirasi kepada perjuangan anak bangsa. 

6. Malah sejak itu juga suara hulubalang-hulubalang Melayu Pemuda UMNO bagai sengaja dibisukan dengan ugutan, cantas membenam sehingga ramai yang 'terkorban', 'parah', 'terpenjara' dan terpaksa akur dengan gaya kepimpinan autokratik berkenaan. Maka keadaan itu secara tidak langsung terbudaya di dalam parti tanpa disedari ramai pihak. 

7. Tapi kini tibalah masanya kita bangkit melaksanakan pembaharuan parti dengan mengembalikan kedudukan akar umbi di tempat yang sepatutnya. Suara akar umbi yang jelas mahukan pembaharuan harus difahami dan direalisasikan oleh pucuk pimpinan pada pemilihan UMNO kali ini. Namun bagaimanakah suara akar umbi akan diterjemahkan nanti? 

8. Sebelum ini, kita selalu mendengar tentang konflik 'parti tersilap meletak calon' menjelang pilihan raya. Calon yang dipilih tidak direstui akar umbi menyebabkan UMNO kehilangan kerusi dan terjejas akibat pepecahan yang disusuli pergolakan dalaman. Ada yang setia kepada parti, tapi terpaksa memberi undi kepada calon pilihan pucuk pimpinan yang tidak pernah dilihat membantu rakyat, malah ada yang tidak dikenali akar umbi. Hasilnya, keputusan pilihan raya menjejaskan penguasaan politik UMNO, bukan? 


9. Saya berpandangan bahawa beberapa perubahan perlu diketengahkan dalam agenda pembaharuan parti khususnya berhubung mengembalikan kepentingan suara keramat majoriti akar umbi yang perlu menjadi keutamaan kepimpinan UMNO. Berlapang dadalah menerima pandangan mahupun kritikan membina agar parti ini kembali kepada perjuangan asal yang bernafas baharu bagi memenangi hati rakyat di negara ini. 

10. Apa salahnya jika kita amalkan konsep penurunan kuasa daripada peringkat pusat ke peringkat negeri dan UMNO Bahagian? Apa khilafnya jika suara majoriti akar umbi diangkat kepimpinan sebagai wadah perjuangan parti? Bukankah itu yang diamalkan UMNO sejak sebelum, ketika dan beberapa dekad selepas merdeka? Bukankah itu yang kita perjuangkan pada asalnya? 

11. Justeru itu saya menyarankan kepada seluruh anggota parti supaya mempertimbangkan mana-mana calon pucuk pimpinan kali ini yang membawa dan mementingkan suara akar umbi secara serius di dalam perjuangan dan dasar parti. Permulaan demokrasi berasal daripada akar umbi, maka sewajarnya hasrat akar umbi itulah yang dijulang UMNO dalam perjuangannya. 

12. Saya yakin, pemilihan pucuk pimpinan kali ini akan memberikan suntikan semangat juang yang sangat tinggi kepada seluruh jiwa ahli UMNO dan pemimpin yang bakal terpilih nanti juga perlu serius memberi perhatian kepada pembaharuan yang menjadi harapan kita seluruh pejuang parti. Pilihlah dengan bijaksana, dan semoga Allah terus memberi rahmat dan kekuatan kepada kita untuk memerdekakan bumi bertuah ini daripada penjajahan corak baharu di alaf ini. 

Allahu akbar! Hidup UMNO!

Syed Mohd Johan Rizal bin Syed Unan Mashri
AJK Pergerakan Pemuda UMNO Negeri Kedah
Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Alor Setar
Pengerusi Kelab Belia Darulaman

Tuesday, 26 June 2018

PEMBAHARUAN PEMIKIRAN LUAR KOTAK, STRUKTUR SEMULA ORGANISASI PARTI


1. Pemilihan UMNO bagi sesi 2018-2021 kini sedang hangat berlangsung di seluruh negara. Tumpuan kali ini sudah tentulah kepada pemilihan kepimpinan tertinggi parti di mana pemimpin berkenaan bakal menentukan hala tuju baharu dan usaha mengembalikan keyakinan rakyat di negara ini kepada UMNO untuk mengemudi negara. Sudah tentu setiap calon akan berbicara dan menawarkan 'manifesto' masing-masing dalam agenda pembaharuan parti.

2. Antara aspek yang saya fikir perlu diperhatikan adalah tentang bentuk pemikiran seseorang pemimpin yang bakal mengemudi parti. Pada pandangan saya, beliau bukan saja perlu memiliki ciri kepimpinan yang tinggi, malah mampu untuk berfikir di luar kotak dan kreatif dalam agenda melaksana pembaharuan UMNO. Kita tidak perlu lagi terikat dengan kaedah lama yang lapok dek zaman, sistem dan budaya politik kita perlu lebih ke hadapan berbanding parti lain.

3. Namun begitu, segala bentuk pemikiran tersebut adalah penting untuk ditimbal balas dengan perbincangan dengan teliti oleh barisan kepimpinan tertinggi UMNO supaya menepati garis panduan hukum-hakam agama, perlembagaan parti, adat resam, moral dan susila tradisi kemelayuan bangsa, serta dapat diterima dengan baik oleh segenap akar umbi di seluruh negara.

4. Saya berpandangan bahawa kita juga wajar untuk merubah bentuk struktur organisasi UMNO yang lama ekoran status parti kita yang kini sebagai pembangkang. Kita sewajarnya merancang penstrukturan semula organisasi dan mungkin memerlukan penambahan kepada beberapa jawatan tertinggi parti yang dijangka bakal membebankan penyandangnya dan menjejaskan keberkesanan agenda parti.


5. Sebagai contoh, seorang pemimpin yang berjawatan Naib Presiden mungkin akan diberi tanggungjawab untuk mengemudi empat atau lima portfolio. Terlalu banyak memegang portfolio akan membebankan beliau dan kemungkinan fokus tidak dapat dilakukan dengan baik. 

6. Namun jika diwujudkan penambahan kepada jawatan berkenaan, mungkin beban yang digalas akan berkurangan dan setiap pemimpin itu boleh memberi penumpuan yang lebih terhadap tugas yang dipertanggungjawabkan. Ini akan memberi impak yang lebih baik dalam memenuhi matlamat parti.

7. Selain itu, saya melihat bahawa budaya lama yang enggan menerima penyertaan golongan cerdik pandai, cendikiawan, profesional, agamawan dan sebagainya yang mahu berjuang bersama UMNO wajib dihentikan serta merta. Partisipasi mereka bersama UMNO akan melahirkan banyak idea-idea segar dan lebih baik untuk memperkasakan parti keramat bangsa ini.

8. Saya sendiri sebelum ini sungguh kecewa apabila menerima beberapa keluhan sebelum ini di kalangan rakan yang mendakwa mereka seolah-olah disekat daripada menyertai UMNO. Saya tidak pasti puncanya, namun ada yang mendakwa pemimpin seolah-olah bimbang jika kedudukan mereka akan digugat dengan penyertaan golongan berkenaan di cawangan atau bahagian mereka.


9. Pada hemat saya, sikap seperti itu amat merugikan UMNO. Cukup-cukuplah mengamalkan budaya yang bermula daripada zaman Presiden parti kelima itu. Kerana sikap itu, ramai golongan cerdik pandai, cendikiawan, profesional dan agamawan yang berkecil hati serta berpandangan negatif terhadap kita. Jika kita benar-benar sayangkan parti dan berjiwa UMNO, maka kita perlu lebih terbuka dan bersifat inklusif dalam pembaharuan parti.

10. Pembaharuan UMNO sangat penting bagi saya dan yakinlah bahawa majoriti akar umbi parti juga mendambakan agenda yang sama. Namun terpulanglah kepada kepimpinan untuk menterjemahkan pembaharuan berkenaan secara menyeluruh dan berkesan. Walau apapun, kami akan tetap setia kepada UMNO dan sanggup berdepan dengan apa saja rintangan onak duri bagi memastikan parti kita terus unggul membela masa depan agama bangsa dan negara. 

Hidup UMNO! Hidup UMNO! Hidup UMNO!

Syed Mohd Johan Rizal bin Syed Unan Mashri
AJK Pergerakan Pemuda UMNO Negeri Kedah
Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Alor Setar
Pengerusi Kelab Belia Darulaman

Monday, 25 June 2018

PEMBAHARUAN UMNO, MENONGKAH CABARAN TRADISI LAMA


1. Syukur kepada Allah dan terima kasih tidak terhingga kepada seluruh anggota Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Alor Setar atas kepercayaan kepada saya untuk mengemudi batalion hulubalang pemuda parti bagi sesi 2018 - 2021. Saya sedar bahawa amanah, tanggungjawab dan harapan yang diberikan akar umbi amat berat sekali untuk dipikul, namun atas rasa keinsafan dan semangat jati diri bangsa, akan saya galas dan kita harungi bersama dalam tempoh 3 tahun ini, insha Allah.

2. Saya yakin, bukan saja ahli UMNO, malah seluruh masyarakat di negara ini khususnya yang berbangsa Melayu amat mengharapkan suatu pembaharuan berlaku di dalam UMNO. Nafas baharu adalah amat perlu untuk mengembalikan semangat dan keyakinan semua pihak terhadap parti ini.

3. Mungkin ramai yang tidak menyangka bahawa sudah terlalu lama jawatan Presiden UMNO tidak tercabar, tidak dipertandingkan. Sejak tewasnya Ku Li pada 1987, jawatan nombor satu parti itu tidak dipertandingkan dengan alasan 'menjaga perpaduan dalaman parti' dan 'setia kepada pemimpin'. Maka sejak itu juga 'autokratik' seolah disemai dalam parti ini, menguntungkan Presiden paling lama 'bertakhta' dan secara tidak langsung menyuramkan sistem demokrasi yang sepatutnya subur dalam amalan parti kita.

4. Benar BN tewas, namun UMNO masih merupakan parti yang memiliki kerusi terbanyak di Dewan Rakyat. Walau bagaimanapun, kita semua perlu menginsafi kekalahan BN pada PRU 14 yang lalu. Terlalu pahit untuk ditelan, namun ia juga mampu menjadi penawar sekiranya kita sanggup mengakui kekhilafan diri sehingga menyebabkan PH berjaya mempengaruhi emosi pelbagai kaum dan lapisan masyarakat di negara ini.


5. Sebelum ini kita terikut-ikut dengan budaya 'autokratik' seorang lagenda UMNO yang paling lama memimpin kita. Beliau membudayakan sikap 'takut menegur' dengan alasan 'perlu menegur mengikut saluran', namun bila ditegur mengikut saluran maka habuannya akan 'dicantas' dan ditekan habis-habisan sehingga tidak mampu bangkit. Sejak itu, bukan saja menteri, malah kepimpinan tertinggi UMNO terpaksa tunduk atas nama 'setia kepada pemimpin' bagi mengelak karier politik mereka karam.

6. Saya amat bersetuju dan menyokong penuh pembaharuan UMNO ini akan bersifat lebih terbuka terhadap kritikan dan teguran membina daripada akar umbi parti, atau rakyat yang sayang pada parti keramat bangsa ini. Kita pemimpin UMNO tidak maksum dan apa salahnya jika kita terima saja teguran membina daripada akar umbi sendiri? Jika benar dan bernas teguran tersebut, apa salahnya kita usaha untuk memperbaiki diri sendiri? Sedangkan Saidina Umar Al-Khattab yang dijamin syurga itu bersikap terbuka terhadap teguran, apakah kita lebih mulia berbanding beliau?

7. Pada pandangan saya, kita sewajarnya belajar dari kesilapan lampau, meninggalkan budaya peninggalan 'purba' yang diwarisi puluhan tahun sebelum ini. Kita harus bangkit memperbetulkan keadaan dengan pendekatan baharu yang lebih progresif, realistik dan lebih berjiwa rakyat. Saya berbesar hati untuk berkongsi cabaran Prinsip 10P sebagai agenda pembaharuan utama dalam kepimpinan Pemuda UMNO Bahagian Alor Setar.
a. PEMUDA perlu menjadi Pencetus..Pencetus suara rakyat, pencetus kesedaran baru bahawa kerajaan PH yang ada amat bahaya dan menjadi ancaman kepada survival bangsa..agama dan keharmonian masyarakat berbilang bangsa. 
b. PEMUDA perlu menjadi PEMBELA pada isu isu rakyat..Bukan sekadar adakan program syok sendiri..Berkonvoi moto sana sini..berfutsal kesudahannya sekadar dalam lingkungan ahli kita semata mata. 
c. PEMUDA adalah PENGKAJI..Dalam erti kata memiliki budaya ilmu, kritis lagi matang dalam menilai sesuatu perkara. agar persoalan dan kekeliruan yang berligar di kalangan rakyat dapat kita huraikan. 
d. PEMUDA perlu menjadi PEJUANG..Ini menuntut keberanian. Jika darah..air mata atau kepenjara sekalipun demi menegakkan bangsa bermaruah dan memelihara institusi khalifaf beraja selaku pasak agama maka kita wajib pasrah dan rela melakukannya. 
e. PEMUDA adalah PEMIMPIN anak pemuda dan PENGASIH pada yang tua..Sikap ini jika dihubungjalinkan pasti membentuk karakter yang berintegriti lagi berwibawa. 
f. PEMUDA adalah PAHLAWAN sejati..Berani ke depan bukan menikus dibelakang apabila hak bangsa dan kedaulatan agama digoyah. 
g. PEMUDA adalah PEMANGKIN..yakni pelopor kepada gerakan massa demi membentuk keadilan menyanggah kezaliman yang kini dengan sikap besar kepala sedang direncana oleh kerajaan Firaun dalam negara. 
h. PEMUDA adalah PEMBINA..yakni mampu merangsang idea idea segar lagi konstuktif dalam pelbagai bidang demi kemajuan umat. 
i. PEMUDA adalah PASAK parti dan bangsa..Bermakna jika teguh jatidiri pemuda..Kental daya tahan dan kukuh maruah serta harga diri maka kita tidak boleh dijual beli atau diumpan dengan dedak murahan sehingga Iman tergadai..perjuangan tersadai.

8. Saya memahami bahawa kini seluruh ahli UMNO sedang hangat berbicara tentang pemilihan pucuk pimpinan parti. Bukan saja kita, malah bekas-bekas ahli parti, penyokong dan pemimpin PH pun turut menyibuk memberi tumpuan. Kita perlu buktikan bahawa UMNO mampu menghadapi pembaharuan. Terjemahan terhadap pembaharuan itu kita mulakan dengan kepimpinan tertinggi baharu yang lebih meyakinkan.

9. Jadi, pilihlah pemimpin tertinggi kita dengan rasional dan bijaksana, usah sesekali kita berlandaskan emosi dan persepsi negatif yang merosakkan. Berlapang dadalah memilih yang terbaik di antara yang terbaik. UMNO perlukan kepimpinan tertinggi yang bertenaga, berilmu, bijaksana, tinggi jatidiri, berani, lantang, baik dan 'nakal', serta mampu mengemudi parti dalam tempoh yang lama untuk menjayakan proses pembaharuan ini.

10. Salam perjuangan dari saya, semoga kita terus melangkah bersama melakar pembaharuan UMNO yang lebih segar demi agama, bangsa dan negara. Allahu Akbar! Allahu Akbar! Allahu Akbar! Hidup UMNO dulu, kini dan selamanya...

Syed Mohd Johan Rizal bin Syed Unan Mashri
AJK Pergerakan Pemuda UMNO Negeri Kedah
Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Alor Setar
Pengerusi Kelab Belia Darulaman

Monday, 23 April 2018

HEBATKAN NEGARAKU; PRU 14 DAN POLITIK DAMAI..


1. PRU kali ini sudah memasuki edisi ke-14.
2. Ada banyak rasional yang menjelaskan tentang kenapa BN terus diberi mandat sejak merdeka untuk terus mentadbir negara.
3. Punca utamanya kerana BN mengamalkan perkongsian kuasa dan keadilan untuk semua.
4. Negara ini hakikatnya dilimpahi pelbagai rahmat dan nikmat. Nikmat paling unggul ialah Islam dan dalam masa yang sama, hak beragama dan berbudaya bangsa lain dibenarkan serta diberi kebebasan.
5. Pimpinan terdahulu telah meletakkan asas-asas yang kukuh kemudiannya bagi negara ini bergerak stabil tanpa pergaduhan kaum. Almarhum Tunku Abdul Rahman, putera raja Kedah misalnya telah mengibaratkan orang Melayu bak simen, kaum Tionghua pasir dan komuniti India persis air.
7. Bila diadun, maka terbinalah dinding yang kuat lagi kukuh. Inilah formula dan ramuan negara.
8. Kita hentikan mehnah dan fitnah memfitnah. Kerana di mana langit dijunjung, maka di situlah bumi dipijak.
9. Kita tidak ada pilihan lain kecuali memastikan sistem yang sudah agak baik ini diteruskan.
10. Memang benar pesta demokrasi membuka peluang bagi pemilihan setiap 5 tahun sekali.
11.Namun dalam masa yang sama janganlah atas nama demokrasi kita rosakkan semuanya..Dengan musnahkan apa yang sudah terbina.
12. Malaysia ibarat perawan cantik yang cukup mengiurkan. Menjadi rebutan jejaka luar yang penuh beragenda.
13. Jikapun kita berkempen sekadar mahu ungguli kuasa, janganlah sampai melibatkan agenda kuasa luar... Mereka hanya mahu meraih keuntungan. Habis madu, sepah dibuang.
14. Kita terkenal dengan bangsa penuh beradab lagi mulia. Budaya disanjung, pekerti dijunjung.
15. Tidak perlu menjadikan negara ini anarki sekadar merebut kuasa yang hanya kekal 5 tahun sekali. Kenapa perlu menginjak saudara seagama? Berkata nista? Aibkan peribadi padahal orang luar sedang meraikan dengan senang hati.
16. Ya. Kita raikan demokrasi namun dalam masa yang sama jangan lupa tanggungjawab kita. Pertahankan situasi aman sedia ada.
17. Bersama makmurkan negara, terus mendokong prinsip rukunegara dan kekalkan harmoni antara komuniti.
18. Meskipun tidak sempurna, namun BN lah yang selama ini mampu mengisi agenda yang telah direncana.
19. Kita berkempen dan bersaing di pesta demokrasi dalam.suasana keluarga. Agar apabila selesai PRU ini kita kembali bertaut dalam.satu ikatan ukhwah di bawah naungan sebuah negara bangsa yang bernama Malaysia..
Tanah tumpahnya Darahku
Kita Pilih Biru (Tua)

Syed Mohd Johan Rizal bin Syed Unan Mashri
AJK Pergerakan Pemuda UMNO Negeri Kedah
Naib Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Alor Setar
Pengerusi Kelab Belia Darulaman

Thursday, 15 March 2018

HARAPAN: MANIFESTO KE @ MANIFESKETUM NIE???


1. Tiada sisi menarik dalam tawaran manifesto Pakatan Harapan yang diuar-uarkan 8 Mac lalu.

2. Ianya tidak lebih sekadar satu lagi ulangan skrip  pembohongan bersiri yang memakan diri.

3. Pakej ditawarkan dengan menelan belanja RM100 bilion dalam tempoh 100 hari pemerintahan juga tidak masuk akal.

4. Ini manifestasi kerja orang terdesak untuk mengkayakan kembali kroni mereka yang selama 3 dekad selama ini tidur dalam kekenyangan.

5. Ambil contoh penghapusan GST yang berada pada kadar 6% digantikan dengan SST 16% ianya membuka laluan kembali pada urusniaga 'black economy' dan negara akan kehilangan hasil cukai lebih RM40 bilion selain manipulasi berterusan pada pengguna.


6. Janji penghapusan semua konsesi tol juga adalah sesuatu yang tidak masuk akal. Ini bermakna dalam tempoh 5 tahun penggal pemerintahan Pakatan Harapan, setiap satu syarikat pemegang konsesi kutipan tol akan beroleh bayaran subsidi percuma sebagai pampasan berjumlah RM2.5 bilion. Jika 10 pemegang syarikat konsesi terlibat, bermakna berbilion dibayar secara percuma sedangkan konsesi konsesi inilah kesan pemerintahan Maharaja 22tahun.

7. Persoalannya pengurusan ekonomi yang bagaimana mahu dijana oleh Pakatan Harapan? Jika mahu dikatakan pengurusan negara menuju bankrap, ya itulah maksud sebenarnya.

8. Lebih intrik dan menghairankan, BR1M yang selama ini dikatakan rasuah, dedak dan dimusuhi Pakatan Harapan, tiba tiba mahu diteruskan. Di mana RM6.8 bilion mahu diambil untuk diagih kepada 7 juta penerima? Apakah sekali lagi menerusi hasil 'samunan' ataupun pemberian dari taukeh dan kroni tertentu. Dan selaku pampasan atau 'compensation'nya projek mega mana pulak yang mahu diberi pada penderma tadi?

9. Agak mengelirukan juga, Pakatan Harapan mahu mengembalikan subsidi dan merangka mekanisme bentuk lain. Isunya, subsidi sememangnya terus diberi. Namun pendekatannya lebih adil dengan agihan subsisi bersasar bukan subsidi berpukal seperti sebelum ini. Ya kita faham, subsidi yang dicanang mahu dikembalikan Pakatan Harapan pastinya subsidi kepada konglomerat seperti mana sebelum ini. Dengan taukeh gula Robert Kuok akan mengaut 20 bilion setahun, pengusaha IPP seperti YTL dapat meraih 34 bilion setahun selain kawan rakan Tun Mahathir selaku Pengerusi Pakatan Harapan yang bakal menerima labanya. Kesudahannya jurang 'economy disparity' dan jurang pendapatan akan kian melebar.


10. Demikian juga janji Pakatan Harapan mahu wujudkan 1 juta peluang pekerjaan. Satu tawaran yang merupakan hasil ciplakan kerajaan BN. Dalam tempoh 6 tahun kebelakangan hampir 1.7 juta peluang kerja pelbagai telah diwujudkan di semua peringkat. Jika anak muda negara ini mahu terlibat dalam kerja kerja 3D yang antaranya bersifat 'Dirty and Dangerous' pastinya tambahan 4 juta peluang pekerjaan dapat diraih anak tempatan.

11. Jelas dari beberapa angkubah dan tawaran dalam manifesto Pakatan Harapan, kita boleh rumuskan bahawa ianya:
A. Tawaran bersifat janji syok sendiri 
B. Pakej tawaran yag bakal membankrapkan negara 
C. Janji yang tidak akan dipenuhi 
D. Janji janji rekaan yang dirangka persis ibarat tulisan sang penagih ketum

Maka yang terhasil adalah Manifesketum bukannya Manifesto sebenar sepertimana paparan dan upaya pelaksanaan yang selama.ini dapat dizahirkan oleh Barisan Nasional...

Syed Mohd Johan Rizal bin Syed Unan Mashri
AJK Pergerakan Pemuda UMNO Negeri Kedah
Naib Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Alor Setar
Pengerusi Kelab Belia Darulaman

Monday, 5 March 2018

EMK2018:ADA "FEEL GOOD FACTOR".


1. Berakhir sudah Ekspo Muafakat Kedah. Melalui komen dan maklum balas yang diterima, majoriti yang hadir ke ekspo itu mengakui tentang peranan Barisan Nasional berjaya membangunkan negeri ini hingga ke tahap yang membanggakan. Bermula daripada Kluster 1 yang mempamerkan "Dirgahayu Tuanku" hinggalah ke Kluster 19 yang mempamerkan "Bakat Kedah", pencapaian negeri jelapang padi ini sungguh membanggakan rakyatnya.

2. Sejak hari pertama, Ekspo Muafakat Kedah dibanjiri orang ramai. Lebih 44,000 pengunjung menunjukkan bahawa rakyat Kedah dahagakan informasi tentang pencapaian negeri yang ditadbir BN sejak merdeka. Dihidangkan dengan fakta-fakta, suka duka dan liku-liku kejayaan yang dicapai bumi bertuah ini telah menyaksikan lebih ramai pengunjung berpusu ke tapak ekspo. Tidak hairanlah jika jumlah kehadirannya melebihi jangkaan hingga lebih 500,000 yang hadir memeriahkan suasana.

3. Ternyata, terlalu banyak yang dilakukan oleh Kerajaan BN selama ini. Walaupun ada yang tiba-tiba mendakwa itu semua 'jasa' dia, namun dia tidak akan mampu menipu orang Kedah yang lebih tahu tentang segala pembangunan dan kesejahteraan di negeri ini adalah hasil usaha BN yang ditugaskan Allah SWT untuk menerajui negeri jelapang padi ini. 


4. Menteri Besar bersilih ganti. Hampir semuanya mewakili BN. PAS pun ada sepenggal dan pernah berjasa, itu tidak saya nafikan. Namun ternyata Kerajaan BN Kedah dengan kerjasama Kerajaan BN Pusat ternyata satu gandingan yang lebih baik untuk membangunkan negeri demi kesejahteraan rakyat di negeri ini. Bersetuju atau tidak, itulah hakikat yang perlu diakui secara rasional oleh akal yang waras.

5. Terkini, di bawah teraju Menteri Besar, Dato' Seri Ahmad Bashah Md Hanipah, sudah tentu beliau juga mempunyai keistimewaan yang tersendiri. Di Kluster 2 Ekspo Muafakat Kedah, hasil usaha Ahmad Bashah dapat dinilai dengan baik oleh pengunjung yang hadir. 'Barakah' lahir dari hati yang ikhlas mendoakan Muafakat Kedah terus dipayungi keberkatan Allah.


6. Melalui Barakah Insan, kita dapat saksikan sendiri inisiatif yang telah dilaksanakan Ahmad Bashah seperti;
i. Pemberian Kotak Makanan kepada 43 ribu ketua isi rumah libatkan RM4 juta. 
ii. Insentif bantuan am kepada 4,000 golongan berpendapatan rendah, OKU dan ibu tunggal yang melibatkan peruntukan mencecah RM8 juta melalui JKM. 
iii. Bayaran 'one off' kepada jemaah haji Kedah dengan peruntukan RM3 juta. 
iv. Saguhati khas kepada 6,000 penjawat awam negeri (2017) yang melibatkan peruntukan sebanyak RM12 juta. 
v. Skim air percuma kepada 221 ribu isi rumah (2018) yang melibatkan kos sebanyak RM18 juta setahun.
7. Barakah Kemasyarakatan pula menyaksikan inisiatif Menteri Besar kita seperti bayaran insentif 'one off' kepada penggali kubur, bomoh patah, bidang kampung, penggali kubur, jurumandi mayat, Imam, Bilal, Siak, Guru Al Quran dengan peruntukan sebanyak RM4 juta (2016 dan 2017). Manakala untuk 2018 akan disalurkan peruntukannya pada bulan puasa nanti dengan peruntukan berjumlah RM2 juta dalam bentuk tunai.


8. Sementara itu, Barakah Anak Muda memperlihatkan betapa Menteri Besar kita mengambil berat tentang generasi muda di negeri Kedah. Banyak yang telah beliau lakukan dalam tempoh yang singkat ini seperti;
i. Kursus kahwin percuma (2016 dan 2017) yang melibatkan peruntukan sebanyak RM300,000 untuk 1200 pasangan di seluruh negeri Kedah. 
ii. Sukan Kedah Darul Aman (SUKDA), dengan perbelanjaan kos penganjuran RM500,000. 
iii. Pemberian geran persatuan belia dan NGO yang memperuntukkan sebanyak RM400,000. 
iv. Skim Iman (2016 dan 2017) sebanyak RM625,000 yang melibatkan seramai 75 graduan anak Kedah. 
v. Insentif persatuan pelajar Kedah di Timur Tengah dengan jumlah peruntukan sebanyak RM100,000. 
vi. Program Walimatul Urus Perdana (2016 dan 2017) dengan peruntukan sebanyak RM360,000.

9. Tidak terhenti setakat itu sahaja, terdapat banyak lagi yang telah diusahakan Ahmad Bashah dalam tempoh singkat beliau sebagai Menteri Besar Kedah. Dasar baik yang pernah dilaksanakan sebelum ini ditambahbaik, malah beliau perkenalkan lagi program-program baru yang lebih 'simple', namun cukup memberi kesan yang besar dan drastik untuk dinikmati rakyat Kedah.

10. Rasionalnya pandangan saya sebagai rakyat Kedah, langkah awal Ahmad Bashah dalam tempoh 2 tahun ini merupakan satu langkah permulaan yang amat baik. Meskipun terbatas dalam tempoh yang singkat, namun banyak yang beliau telah jayakan dengan baik khususnya tentang perihal kebajikan rakyat Kedah. Walau dicabar cemuhan pihak tertentu, jiwa besar Ahmad Bashah kepada rakyat jelas lebih ketara.


11. Dalam pada itu, perancangan-perancangan Ahmad Bashah dan Kerajaan Negeri untuk masa depan negeri dan rakyat juga turut dipamerkan di tapak Ekspo Muafakat Kedah. Dari sudut pembangunan masa depan, Kedah misalnya boleh berbangga dengan Kedah Free Trade Zone di Bukit Kayu Hitam yang bakal memberi impak yang sangat positif dengan menjana pelaburan domestik dan FDI. Dalam tempoh yang sama, selain menawarkan puluhan ribu peluang pekerjaan kepada golongan muda, ia juga akan meningkatkan tahap sosio ekonomi setempat dan sekitarnya dengan pelbagai kesan 'spillover' yang menarik.

12. Malah sebagai sebuah negeri pertanian, kita bakal berbangga dengan kewujudan Kedah Food Valley yang berpotensi menjadikan jelapang padi ini sebagai hub makanan halal terbesar dunia. Sehingga kini, pelbagai insentif dan imbuhan telah disediakan oleh pelbagai agensi dan jabatan terlibat, menyaksikan ramai usahawan-usahawan Kedah berlumba-lumba merebut peluang tersedia di platform ini. Kita hari ini berbangga kini apabila ada usahawan luar bandar Kedah yang berjaya menembusi pasaran Jepun.


13. Terbaru, kawasan perindustrian automotif Kedah bersinar lagi apabila Naza Group di Gurun dan Groupe PSA dari Perancis telah memetrai satu perjanjian perkongsian yang memberi kesan baik kepada negeri Kedah. Bukan saja mematikan tohmahan konon tiada yang sudi melabur di Kedah, ia juga memberi jaminan kepada peluang kerja  dan masa depan anak-anak Kedah yang terlibat dalam sektor automotif negara.


14. Saya yakin, mereka yang berkunjung ke Ekspo Muafakat Kedah dan berfikir secara rasional akan menyedari bahawa Kedah kini sedang berada di landasan yang tepat untuk terus dibangunkan ke arah yang lebih baik pada masa yang akan datang. Jiwa besar Ahmad Bashah yang membuahkan MUAFAKAT dan BARAKAH, maka Allah hadiahkan sebuah negeri yang penuh keberkatan memakmurkan jelapang padi dan rakyatnya.

15. Bukan saja orang BN yang hadir di Ekspo Muafakat Kedah, malah ahli dan pemimpin   pembangkang pun hadir sama menyuarakan isi hati. Ada yang menghargai, ada memuji, ada yang memberi cadangan, ada yang menegur, malah ada yang memperlekeh. BAGI saya,kehadiran ini adalah pengiktirafan mereka atas idea Ahmad Bashah yang tidak boleh di ketepikan tanpa sedar ia mendorong rasionalisasi rakyat terhadap kerajaan BN Ahmad Bashah.

16.Komen Ketua Pembangkang yang cuba menumpang "Feel good Factor" EMK18 ini cukup memperlihatkan mereka hanya 'tin kosong" meraih dividen politik bersifat individualistik. Namun saya melihat Ahmad Bashah tetap tenang, menerima malah tidak mahukan apa apa credit cuma pada dirinya namun memberi pengiktirafan penuh pada pasukan muafakat kerajaan Negeri Kedah, KCS dan agensi berkaitan kerajaan serta GLC atas usaha membawa perjalanan sebuah 'kerajaan untuk rakyat'.

17. Kematangan dan jiwa besarnya sebagai pemimpin berpengalaman telah mencetus azam yang kuat kepada semua peringkat lapisan penjawat awam, swasta dan masyarakat bahawa dalam apa jua keadaan masa dan ketika, tak kira apa jua polemik dan perbalahan yang wujud mahupun yang sengaja diwujudkan, akhirnya PERMUAFAKATAN jualah solusi yang paling ampuh dalam mendepani segala cabaran mendatang dalam perlayaran sebuah bahtera kerajaan pilihan rakyat. Biar apa yang diperkatakan, ia berbalik kepada pembaktian kepada agama, rakyat dan negeri Kedah. AHMAD BASHAH BAPA PERPADUAN KEDAH!!


16. Namun begitu, saya akui langkah kita tidak akan terhenti di sini sahaja. Masih jauh lagi perjalanan kita. Masih banyak lagi yang perlu kita usaha dan laksanakan demi masa depan Kedah. Kita kini sudah punya hala tuju yang sangat jelas, pokok pangkalnya terpulang kepada keikhlasan hati, kemuafakatan bersama dan iktikad yang jelas untuk terus berjuang mengubah landskap Kedah yang lebih gemilang... insha Allah.

Syed Mohd Johan Rizal bin Syed Unan Mashri
AJK Pergerakan Pemuda UMNO Negeri Kedah
Naib Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Alor Setar
Pengerusi Kelab Belia Darulaman

Sunday, 10 December 2017

#PAU2017: INTIFADA' DAN JIHAD BESAR UMNO.


1. Tersirna sudah segalanya. Kemurniaan UMNO yang bersandarkan prinsip muafakat, solidariti dan kesetiakawanan yang tinggi di kalangan ahlinya kini jelas semakin teguh. Berpaksikan hakikat dan khidmat cemerlang UMNO dan BN selama ini, maka tidak dapat dinafikan bahawa UMNO merupakan sebuah parti pilihan rakyat dulu, kini, akan datang dan mungkin selamanya.

2. Prinsip perjuangannya jelas, usaha menjulang Islam diletakkan pada tahap tertinggi. Lantaran itulah maka UMNO berjaya menyatukan suara ummah, menjadi harapan dunia Islam dan tetap konsisten menentang usaha regim zionis dengan kerjasama Amerika Syarikat mahu menjadikan BaitulMaqdis selaku ibu negara Israel.

3. Kebenaran dan kejelasan visi UMNO selaku tulang belakang kerajaan BN cukup bermatlamat. Rakyat di negara ini juga semakin jelas dengan hala tuju UMNO yang selama ini cuba dikelirukan musuh-musuh politiknya yang cemburu. Maka tidak aneh jika semakin ramai yang sebelum ini terpengaruh dengan agenda peribadi pihak musuh telah kembali sedar tentang perjuangan sebenar yang didokong parti keramat bangsa ini.


4. Lantaran itulah apa yang dirancang, dibentang, dilaksana melalui siri-siri kejayaan pembangunan dan perkasa ekonomi negara. Bermula dari utara hingga selatan Semenanjung menganjur ke Sabah dan Sarawak adalah bukti jelas bahawa masa depan negara sentiasa dalam situasi kondusif dan makmur di kemudi UMNO dan BN.

5. Berdaya saing serta menjamin pertumbuhan, peluang kerja dan ekonomi selain membentangkan akses yang jelas kepada generasi muda selaku pengisi masa depan negara. Sekaligus, pengumuman KJ untuk tidak mempertahankan jawatan KETUA PEMUDA UMNO MALAYSIA adalah selaras dengan pacuan masa depan agar generasi ini mampu terus menyambung legasi, mencetus realiti.

6. Lantas, penggulungan ucapan YAB PM dalam perhimpunan agong UMNO kali ini adalah yang terbaik serta memberi arahtuju yang amat jelas. Membayangkan betapa beliau bekerja keras untuk agama, bangsa dan negara. Walau diganggu mereka-mereka itu, namun segala tugas dan tanggungjawab yang diamanahkan rakyat tetap terlaksana dengan jayanya. Itulah Presiden kami, Dato' Seri Najib Tun Razak.


7. Beliau tidak pernah mengenal erti lelah. Jiwanya tetap membara, membakar semangat jitu di kalangan pimpinan semua peringkat UMNO bagi menyediakan parti ini untuk terus menakhoda bumi Malaysia ke arah masa depan yang lebih cerah. Bukan autokratik atau diktator seperti yang sebelumnya, konsep syura dan kolektif menjadi pendekatan paling ampuh yang menyatukan semua.

8. UMNO kini terus menjulang hak bangsa. Tidak hanya kepada orang Melayu, malah memberi keadilan pada semua kaum dan kepelbagaian etnik di negara ini. Inilah agenda murni UMNO dan BN yang membuatkannya terus perlu menjadi pilihan di hati rakyat. Tidak mungkin keharmonian ini mampu dilakukan oleh parti pembangkang, malah merekalah yang menjadi 'batu api' dan hampir pernah merosakkan segalanya.

9. Semboyan perang yang ditiupkan oleh Presiden begitu membakar jiwa. Ia menandakan bahawa PRU ke-14 kali ini merupakan satu medan ' jihad besar ' untuk setiap ahli dan pendokong UMNO demi memastikan survival agama, generasi bangsa dan kesinambungan tamadun bangsa serta keharmonian antara etnik dapat terus dikekalkan.


10. UMNO dan seluruh pengundi perlu yakin bahawa berbanding pakatan parti lain UMNO dan BN berada dilandasan yang betul. Pendekatannya amat jelas murni dan berjiwa besar, dasar dan gerak kerjanya demi memartabat keharmonian dan kesaksamaan sebuah negara bangsa.

11. Ahli UMNO dan seluruh rakyat tidak mempuyai opsyen lain yang lebih baik jika mahu melihat negara ini terus kondusif, aman dan stabil melainkan dengan memastikan BN terus diberi mandat melengkapi kejayaan pentadbiran dan pengurusan negara yang telah dibuktikan selama ini.

12. Hakikat yang diakui kawan dan lawan adalah terhadap realiti kejayaan UMNO dalam tiga aspek yang cukup dicemburui. Pertamanya, adalah kerana keupayaan UMNO dan BN mengurus negara dalam kepelbagaian etnik budaya dan agama. Malaysia bagaikan bayangan Madinah Munawwarah di zaman moden.

13. Keduanya, strategi ekonomi yang betul menerusi pertumbuhan dan agihan sehingga mencipta keadilan sosial yang tidak mungkin dapat direalisasikan pembangkang. Makro dan mikronya diktiraf dunia antara yang terbaik mengendalikan ketidaktentuan ekonomi dunia.

14. Ketiganya, kerana kebolehan meletakkan negara tersohor di pentas antarabangsa. Tidak perlu dihuraikan, nama Malaysia cukup harum di persada dunia kecuali di mata musuh-musuh politik  yang sering memburuk-burukkan imej negara di mata dunia.


15. Pada pandangan saya, inilah yang dikatakan sebagai kesejagatan politik dan keterangkuman yang diketengahkan oleh Timbalan Presiden, Dato' Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi. Selain realiti kejayaan, inilah juga yang diutarakan oleh KJ dalam ucapan dasarnya tempohari.

16. Namun kini, siri kejayaan ini dihambarkan dengan nostalgia dongengan ciptaan pembangkang. Konon merekalah 'juara'? Mungkin mereka juara merosakkan minda rakyat. Medium media sosial mereka pergunakan sepenuhnya sehingga melakar titik hitam seolah-olah UMNO itu kononnya sarat dengan isu, kontroversi dan masalah? Bagai memaku dulang paku serpih, hakikatnya mereka mengata orang, padahal mereka yang lebih!

17. Sebenarnya, pakatan pembangkang lebih bermasalah. Jika diteliti, mereka lebih awal dan mengitu berjaya mengamalkan korupsi. Mungkin takut dengan bayang sendiri, maka dituduhnya orang lain? Menilai pembangkang yang terkini, maka apa yang jelas adalah apa yang diketengahkan mereka hanyalah sekadar 'Harapan Palsu' sebagai sajian untuk melekakan dan mengelirukan rakyat. Mereka fikir rakyat bodoh untuk menilai mereka?

18. Lebih mereka menyerang UMNO, lebih kuat UMNO jadinya. Hakikatnya, UMNO akan terus segar dan relevan kerana pendekatannya pragmatis. Visinya jelas, cakna komuniti dan memahami aspirasi generasi kini selain sentiasa bersedia dengan opsyen bagi keperluan generasi akan datang. Maka kerana itulah rakyat yakin dan terus memilih UMNO dan BN!


19. Kini, UMNO semakin kuat dan teguh bukan dek individualistik mana-mana pemimpin. Namun solidariti ahli demi keunggulan parti dalam mengorak langkah sebagai parti yang lebih segar masakini dan bersedia untuk revolusi masa depan. UMNO kini bagai sebuah keluarga yang amat besar dan mendokong perjuangan mengimarahkan agama, memperkasakan bangsa dan terus mendaulatkan negara.

20. Perhimpunan Agung UMNO 2017 yang dinobatkan sebagai 'ibu kepada seluruh himpunan' kini telah melabuhkan tirainya. Nakhoda tertinggi pengemudi bahtera keramat bangsa juga telah menyampaikan amanatnya kepada lebih 3.6 juga anak kapal yang berikrar berjuang demi agama, bangsa dan negara.

21. Kami semua kini kembali ke posisi masing-masing. Kami kini berada dalam gerakan terakhir. Langkah maut yang bakal mematikan langkah pembangkang dari terus menipu rakyat dan mengelirukan masyarakat dengan otak mereka yang keliru.


22. Orang Melayu tidak mudah lupa. Orang Malaysia juga tidak mudah lupa tentang segala jasa, pengorbanan dan keunggulan UMNO yang menunjangi negara lebih 60 tahun. Yang lupa hanya 'mereka' sahaja. Mereka lupa bahawa UMNO yang mengkayakan keluarga dan kroni-kroni mereka. Tanpa UMNO, siapalah mereka. Tapi mereka begitu muda melupakan itu semua...

23. Akhir kata, bersedialah untuk berentap. Jika penipu dan penyangak menjual, kami pejuang UMNO sedia membeli. Akan kami pertahankan tanahair bumi bertuah dari penjajahan politik palsu yang selama ini berpuaka membohongi rakyat. Anak Melayu pantang berundur, biar terpasak ke bumi, namun UMNO akan tetap kami pertahankan..!

Hidup UMNO..! Hidup UMNO..! Hidup UMNO..!
Hidup rakyat..! Hidup Rakyat..! Hidup Rakyat..!

Syed Mohd Johan Rizal bin Syed Unan Mashri
AJK Pergerakan Pemuda UMNO Negeri Kedah
Naib Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Alor Setar
Pengerusi Kelab Belia Darulaman