Tuesday, 28 June 2016

ANGAN MUKHRIZ DAN PAS BERAKHIR SUDAH DI KEDAH


1. Bahana dipecat dari parti belum 'kebah' nampaknya. Lantas entah apa mimpinya Mukhriz Mahathir berdelusi mendakwa kononnya UMNO berniat menyerahkan Kedah kepada PAS pada PRU ke-14 nanti. Seolah-olah ada konspirasi peringkat tertinggi untuk menjayakan hasrat ini.

2. Pada hemat saya, ia adalah satu tuduhan tidak profesional dan kurang matang dari Mukhriz. Dan kedangkalan itu turut diakui oleh Pesuruhjaya PAS Kedah sendiri, iaitu Dr Ahmad Fakhruddin Sheikh Fakhrurazi.

3. Ironinya, Mukhriz tidak mengambil masa yang lama untuk bertindak selaku pembangkang. Beliau selama ini telah setahun melalui proses tarbiyah secara dalaman dengan konsisten memburukkan parti dan kepimpinan parti tatkala masih bergelar ahli UMNO dan Ketua UMNO Bahagian Jerlun lagi, propagandanya sudah bermula.

4. Hakikatnya UMNO Kedah tidak perlu mengadakan pakatan dengan sesiapa,apatah lagi dengan musuh utamanya selama ini yakni PAS. Cukuplah dengan rangka konsensus selama ini yang erat terjalin dalam gabungan BN bersama komponen parti yang lain seperti MCA, MIC, Gerakan dan PPP.


5. Kemenangan BN dalam PRU ke-13 adalah sumbangan pelbagai pihak, amatlah salah jika mahu dikatakan kononnya kesan ‘aura’ individu’, walhal 'lembu yang teruk bekerja namun sapi yang mendapat nama'.

6. Jelas sekali tuduhan Mukhriz dan strategi awal politiknya selepas dipecat agak kurang cerdik. Apakah dengan cubaan menjadi nujum Pak belalang atau tukang tilik moden, maka usaha beliau untuk mengaitkan pakatan UMNO dan PAS di Kedah bertujuan memberi laluan kepada PAN?

7. Apakah Mukhriz yang diekori rapat oleh pimpinan kanan PAN dan berhasrat untuk menyertai parti berkenaan?. Apapun jua parti yang ingin disertai oleh beliau seperti yang diumumkan bersama Tan Sri Muhyiddin Yassin bahawa mereka akan mencari platform politik baru, ianya sama sekali tidak boleh melunturkan semangat dan siapsaga serta daya juang UMNO Kedah.

8. Malah, UMNO Kedah dan BN Kedah lebih bersedia setelah 3 tahun dibiarkan 'tidur mati' begitu sahaja tanpa sebarang pendekatan jelas dari Mukhriz tatkala menjadi MB. Hampir 'berkarat' jentera parti selama 3 tahun, selepas diganti 'pemandu', barulah ia terjaga dari 'lena yang panjang'. Itupun masih lagi tuduh orang lain yang 'lena'?


9. Kekuatan UMNO dan BN di Kedah adalah kerana dokongan lebih 2,000 cawangan dan pimpinan akar umbinya. Mungkin itulah yang gagal difahami Mukhriz. Ia adalah usaha muafakat dalam sebuah pasukan yang harmoni, bukan seorang 'diktator' atau 'unilateral'.

10. Selain itu, BN diikut serta dan lebih diyakini oleh para penjawat awam KCS, diketahui luas akan khidmat baktinya, mahupun track recordnya. Dan jika PAS juga mahu menangguk di air yang keruh atas kesan pemecatan Mukhriz yang jelas melanggar peraturan parti, maka PAS juga tersalah strategi dan bakal memakan diri.

11. Saya melihat PAS kini sedang bertungkus lumus merungkai isu dalaman antara hijau dan golongan 'harumanis' di kalangan ahli PAS sendiri masih belum tuntas. Segala fobia dan trauma yang ditinggalkan kesan pemerintahan PAS di Kedah (2008-2013) juga masih berbekas di kalangan rakyat Kedah. Era di mana Islam diperalatkan dan cakap-cakap Islam hanya menjadi mainan bibir tanpa tindakan jitu lagi bersungguh.


12. Jika Mukhriz menuju pengakhiran mimpi sebuah legasi yang diidamkannya namun tak kesampaian, PAS Kedah pula kini sedang bergelut dengan 'nyawa' yang bagai 'dihujung tanduk'. Menunggu masa saja untuk 'dipakukerandakan' oleh saingan ketatnya PAN dan 'harumanis'.

13. Maka dalam konteks inilah tempat bergantung rakyat akhirnya akan dikembalikan kepada UMNO yang tetap konsisten dalam agenda kebajikan, pembangunan dan kesejahteraan rakyat. Justeru PRU ke-14, UMNO dan BN Kedah bukan saja dijangka mampu mencipta kemenangan 2/3 di peringkat DUN, malah inshaAllah berupaya menambah jumlah kerusi Parlimen bagi mengukuhkan kedudukan BN di peringkat kerajaan Pusat.

14. Justeru itu, Mukhriz tidak perlulah gundah gulana untuk melaga-lagakan antara UMNO dan PAS, serta komponen-komponen BN. Walhal, Mukhriz perlu fikirkan sama ada untuk kekal 'bebas' atau bersekutu dengan DAP, PAN dan PKR yang disokong bapanya kini. Apapun, saya ucapkan selamat maju jaya dan Selamat Hari Raya Aidilfitri untuknya.

Syed Mohd Johan Rizal bin Syed Unan Mashri
AJK Pergerakan Pemuda UMNO Negeri Kedah
Naib Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Alor Setar

No comments:

Post a Comment

Assalamualaikum dan Salam Kedah Aman Makmur,
Sebagai pemberi komen yang bertanggungjawab, tidak akan dibenarkan sebarang komen dari 'anonymous' di blog ini. Pemilik blog juga tidak bertanggungjawab di atas sekarang komen yang melanggar etika, undang-undang dan peraturan yang ditetapkan SKMM.

Sila bertanggungjawab atas ulasan/komen yang diberikan.

Terima kasih.