Tuesday, 15 December 2015

PASCA #PAU2015: MENGORAK KEHADAPAN; SATU PENILAIAN


1. Selesai sudah temasya tahunan UMNO. Perhimpunan Agung UMNO 2015 telah pun menutup tirainya baru-baru ini.Kali ini saya diberikan ruang dan kesempatan menjadi perwakilan G10 selaku wakil pemuda Malaysia. Saat-saat keemasan bertemu sahabat-sahabat seperjuangan di perhimpunan keramat bangsa itu senantiasa benar-benar merupakan detik yang amat berharga buat saya. Sama-sama berkongsi pandangan dan idea, bertukar-tukar fikiran sesama kita, bertengkar kecil namun mesra, kita masih di pohon yang sama, tetap UMNO dihati kita. Terima kasih atas kenangan tidak terucap dek kata itu...

2. Saya tidak menafikan tentang wujudnya kelainan 'angin' yang bertiup di sepanjang PAU 2015 baru-baru ini. Malah sebelum temasya itu bermula, guruh mula berdentum di Kelab Sultan Sulaiman dalam satu majlis yang dihadiri oleh Timbalan Presiden, Naib Presiden dan mantan Presiden UMNO yang dikasihi, Ayahanda Tun Dr Mahathir Mohamad, seorang negarawan yang sangat saya hormati. Bahang kehangatan itu makin terasa sebermulanya Ucapan Taklimat Presidan yang kemudian disusuli dengan Ucapan Dasar Presiden yang begitu marak bersemangat. Tepukan gemuruh saya berikan kepada Bapa Presiden dan Timbalannya...

3. Ianya bukan lagi rahsia tentang hubungan dingin antara Presiden dan Timbalan Presiden UMNO disaat ini. Tidak lagi bertengkar bertepuk meja di dalam mesyuarat tertutup Ahli Majlis Tertinggi UMNO, pertelagahan itu diheret secara terbuka di depan khalayak rakyat dan acap kali dipetik oleh media-media online pro-pembangkang seperti Malaysiakini.com, Malaysian Insider dan sebagainya. Viral atau tidak 'perang dingin' itu, saya terpaksa akui bahawa kehangatan drama antara dua pucuk pimpinan utama UMNO itu begitu meresahkan para perwakilan dan akar umbi parti di seluruh negara. Tidak terkecuali, saya sendiri.

Wednesday, 2 December 2015

#PAU2015: MEDAN MEMPERTEGUH RUH UMNO, BUKAN MERUNTUHKAN SEBUAH PERJUANGAN


1. Pertamanya, saya menyusun jari memohon maaf ekoran sudah agak lama saya tidak menukilkan sesuatu di blog perjuangan agama, bangsa dan negara ini. Kesibukan tugas seharian dan perkara-perkara tertentu yang berlaku dari masa ke masa membuat saya agak kesuntukan masa untuk menulis. Namun akhirnya saya diberi kesempatan oleh Allah SWT untuk meluangkan sedikit masa untuk menulis lagi buat kesekian kalinya, kali ini...

2. Sebagaimana yang kita tahun, pada 8 hingga 12 Disember ini, sekiranya diizinkan Allah SWT maka akan berlangsungnya Perhimpunan Agong UMNO 2015 (PAU 2015) di mana seluruh perwakilan dari senegap pelosok negara akan hadir ke himpunan parti keramat bangsa itu di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC). Jika tiada aral yang melintang, saya juga akan turut berkampung di sana bersama semua rakan-rakan seperjuangan, insha Allah.

3. Menyebut tentang PAU 2015 kali ini, boleh dikatakan ia sedikit sebanyak mencetus sedikit kontroversi berkenaan beberapa perkara khususnya berhubung liputan media, ucapan perasmian tiga sayap UMNO dan pendekatan pengurusan UMNO sendiri yang mengadakan perhimpunan tersebut dalam keadaan 'tertutup'. Saya kira, pengumuman yang dinyatakan oleh Setiausaha Agung UMNO, Dato' Seri Tengku Adnan Tengku Mansor berhubung perkara berkenaan mencetus reaksi yang bercampur-campur.

4. Pada pandangan saya, kenyataan ayahanda Ku Nan tentang liputan media yang terhad dan terbatas tersebut membayangkan tentang ada yang tidak kena dengan segelintir media yang sebelum ini kerap memanipulasi atau menyiarkan laporan yang tidak tepat dalam menyampaikan maksud sebenar tentang PAU 2015. Selalunya terdapat beberapa media yang bersikap begini, khususnya mereka yang dilihat lebih pro kepada pihak pembangkang. Mungkin kerana enggan melihat fitnah dan 'spin' itulah maka ayahanda Ku Nan memutuskan PAU 2015 sebegitu rupa kali ini.


5. Sebagai contoh, PAS sebelum ini pernah terkena dengan media-media berkenaan yang dikatakan suka melaporkan secara tidak tepat dan lebih cenderung untuk 'spin' kenyataan yang diucapkan pada muktamar PAS yang lalu. Bekas Ketua Dewan Pemuda PAS, Nasruddin Hassan Tantawi sendiri mendakwa bahawa 80 peratus dari laporan media online pro pembangkang itu adalah 'spin' dan tidak tepat. Saya menyimpulkan bahawa kerana itulah maka MT UMNO bersikap lebih tegas dan berhati-hati kali ini. Mungkin ayahanda Ku Nan tidak mahu apa yang berlaku di muktamar PAS itu 'dejavu', berlaku pula di PWTC.

6. Walau bagaimanapun, saya berpandangan bahawa tidak semua media bersikap seperti Malaysian Insider, Malaysiakini, Roketkini dan sebagainya. Banyak lagi media yang lebih telus, melaporkan perkara benar dan benar sebagaimana yang dimaksudkan pengucapnya. Dek 'kerana nila setitik, rosak susu sebelanga', dan mungkin kerana itulah media-media lain terpalit 'bau busuk'nya hingga terpaksa terhad kebebasan mereka dalam membuat liputan. Namun saya yakin, pihak UMNO mampu menangani isu media ini dengan baik nanti. Apa yang utama, media perlu menyampaikan kepada rakyat bahawa UMNO merupakan satu-satunya tunjang umat Islam, Melayu yang mampu membela nasib kita semua di bumi bertuah ini.

7. Lagipun, congak saya sekiranya tidak silap, PRU ke-14 mungkin akan berlaku dalam sekitar tempoh 2 tahun dari sekarang. Sudah tentulah kita juga memerlukan penglibatan media untuk membuktikan keteguhan UMNO dan mengembalikan keyakinan rakyat kepada UMNO dan Barisan Nasional. Jika mereka melihat pepecahan yang berlaku, bagaimana hendak yakinkan tentang perpaduan dan keteguhan parti tunjang bangsa Melayu ini? Adalah menjadi peranan pihak media untuk melaporkan keteguhan UMNO dan mana-mana media yang dilihat memutar belitkan kebenaran wajar dikenakan tindakan. Saman saja media terbabit jika mereka melakukan onar pada PAU 2015 nanti.

8. Berkenaan dengan ucapan perasmian 3 sayap UMNO yang dikatakan tidak mengikut tradisi yang biasanya dibuat oleh Timbalan Presiden parti, saya menganggap perkara berkenaan hanyalah satu perkara kecil. Tiada sebarang peraturan rasmi yang mewajibkan perkara berkenaan dan ia hanyalah satu tradisi yang mengikut budi bicara MT UMNO. Yang menghangatkan isu ini hanyalah beberapa pihak yang suka menabur persepsi terhadap parti sendiri atau pihak yang mahu menjejaskan imej UMNO, terutama pihak pembangkang. Ia sepatutnya tidak pun menjadi isu.

9. Namun seremeh mana pun sekali perkara berkenaan, saya melihat seolah-olah terdapat usaha untuk menghalang Timbalan Presiden UMNO itu dari memberikan ucapan di atas kapasiti jawatan yang beliau sandang. Pada pandangan saya, mungkin penyampaian ucapan perasmian ketiga-tiga sayap UMNO itu boleh ditukar tradisinya, namun sewajarnya Tan Sri Muhyiddin tidak disekat untuk memberikan ucapan di pentas Perhimpunan Agung UMNO 2015. Jika tidak dipentas ketiga-tiga sayap itu, berilah peluang kepada beliau untuk berucap di pentas yang turut dihadiri Presiden parti. Saya yakin, ucapan beliau tidak akan menjejaskan kuasa, autoriti atau pengaruh Dato' Seri Najib sebagai Presiden UMNO.

10. Mungkin PAU 2015 kali ini agak 'tertutup' sifatnya. Saya faham, mungkin ia diaturkan begitu perjalanannya oleh Allah SWT untuk UMNO memelihara perpaduan dan mengurangkan kontroversi yang tidak perlu. Namun saya juga yakin, platform dan podium di PWTC itu nanti tidak akan menafikan hak kebebasan para perwakilan untuk berucap dan menyampaikan mesej kepada warga parti keramat bangsa itu. Sejak turun-temurun, UMNO tidak pernah menyekat ahlinya untuk meluahkan ruh perjuangan mereka di pentas parti. Dalam pemerhatian saya juga, belum pernah Presiden UMNO bersifat pengecut untuk menghadapi kritikan dari mana-mana pihak. Saya juga yakin darah pahlawan yang mengalir di tubuh Dato' Seri Najib mampu menghadapi sebarang keadaan di PAU 2015 kali ini.


11. Pada pandangan saya, PAU merupakan salah satu temasya yang ditunggu-tunggu oleh setiap warga UMNO di seluruh pelosok negara. Di himpunan itulah kita akan bersuara, mengusulkan idea-idea segar dan melaungkan perjuangan 'alif, ba, ta' sejajar dengan semangat parti keramat bangsa. Tidak juga dinafikan terdapat kritikan, permintaan dan cadangan dari setiap perwakilan yang hadir. Percambahan fikiran dan hala tuju bangsa terzahir pada setiap PAU yang diadakan. Justeru itu, saya percaya bahawa setiap perwakilan dan pembahas di pentas PAU 2015 akan bersikap terbuka dalam meneruskan tradisi berkenaan. Sikap terbuka dan berlapang dada amat perlu untuk memberikan nafas baru kepada transformasi politik di dalam UMNO dewasa ini. Tiada apa yang perlu dirisaukan, jika bertengkar sekali pun, kita masih mampu berpeluk sebagai sebuah keluarga yang bersatu hati dan berjiwa bangsa.

12. Walau bagaimanapun, saya senada dengan Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia, saudara Khairy Jamaluddin Abu Bakar yang menegaskan bahawa setiap ahli UMNO perlu seimbang dalam hak kebebasan bersuara dan disiplin parti ketika menyampaikan ucapan, mahupun mengeluarkan kenyataan. Sebelum ini, ramai yang lebih mengambil peduli kepada hak kebebasan bersuara, sedangkan kita juga perlu mementingkan disiplin parti, peraturan dan moral dalam menyuarakan sesuatu. Islam juga menggariskan kita supaya berfikir sebelum bercakap dan hanya meluahkan sesuatu yang baik serta memberi manfaat sahaja. Sabda Rasulullah SAW di dalam sebuah hadis sahih yang diriwayatkan oleh Imam Al-Bukhari;
"Barang siapa yang beriman kepada Allah dan Hari Akhir maka hendaklah ia berkata baik atau hendaklah ia diam."
13. Saya tidak menafikan bahawa kita semua bebas bersuara. Sebagaimana Islam, agama Allah itu juga memberikan hak kebebasan bersuara. Namun apakah Islam itu membenarkan kita bebas untuk memaki hamun dan mencela sewenang-wenangnya tentang sesuatu yang tidak dipersetujui? Dan begitu juga dengan UMNO, dalam keghairahan menyampaikan ucapan yang berapi-api, kita juga perlu bijak dalam menyusun bahasa yang adil, membina, berhemah dan bermoral tinggi meskipun bagi tujuan membuat kritikan. Sebagai contoh, jika marahkan bapa, apakah kita akan tinggikan suara sebagaimana yang dilakukan terhadap musuh kita?

14. Perlu juga kita berhati-hati tentang kebijaksanaan dalam menyalurkan pandangan atau meluahkan ketidakpuasan hati kita. Sebagai contoh, kita memberi pandangan yang mengkritik rakan kita yang 'lompong' solat lima waktunya dan menggesa dia mencukupkan kewajipan itu. Namun memalukan, kita sendiri solat tidak cukup lima waktu! Kita juga kononnya mahu teguhkan parti, tapi kritikan-kritikan yang kita laungkan di pentas parti itu lebih menjurus kepada meruntuhkan parti dan kepimpinannnya. Apakah itu yang dikatakan cuba memperteguhkan parti atau bagai 'tikus memperbaiki labu'?


15. Pada pandangan saya, saya lebih gemar kepada usul atau cadangan yang disusuli dengan perjuangan yang beristiqamah. Misalnya, jika saya memulakan satu cadangan, maka saya sendiri akan memulakan perlaksanaan cadangan itu di peringkat cawangan saya. Setelah hasilnya berbuah dan terbukti manis, barulah saya akan bawa sebagai usul yang terbukti berkesan. Contoh politiknya, jika kita mempunyai strategi memikat generasi muda untuk berjuang bersama UMNO dan meningkatkan jumlah daftar pemilih yang menarik, sewajarnya idea berkenaan diimplementasikan di peringkat cawangan atau bahagian terlebih dahulu. Jika berkesan dan terbukti berjaya dengan baik, bukankah ia merupakan satu usul yang cantik untuk dibahaskan di PAU 2015 nanti?

16. Walau bagaimanapun, saya sedar bahawa setiap cadangan atau perkara yang disuarakan itu akan diterima atau dilaksanakan. Begitu juga dengan pandangan dan suara saya. Saya hanya meluahkan pandangan dan menyuarakan apa yang terbuku dihati dan saya yakin ia tidak melanggar sebarang ketetapan disiplin parti mahupun ruh perjuangan 'alif, ba, ta'. Yang pentingnya, kita bersama-sama berganding bahu bekerjasama menjaga keutuhan parti dan mengembeling tenaga memerah akal yang diberikan untuk mengutamakan parti lebih dari kepentingan diri sendiri. Itu prinsip yang sepatutnya menjadi pegangan pada setiap pejuang UMNO!

17. Pada saya, dari UMNOlah bermulanya sebuah perjuangan bangsa. Dari UMNOlah tercetusnya pemartabatan Islam sebagai agama unggul di tanah Melayu itu. Dan dari UMNOlah juga terbinanya sebuah negara bangsa yang terdiri dari kepelbagaian kaum, etnik, budaya dan adat resam yang berbeza. Kita sendiri adalah jiwa bangsa Malaysia. Perjuangan kita itu tidak mungkin akan selesai selagi ada petualang-petualang durjana yang mengejar kuasa politik yang masih dimiliki bangsa Melayu ini. Maka saya menyeru kepada mereka yang cintakan agama, bangsa dan negara, ayuhlah kita perteguhkan UMNO seikhlas-ikhlasnya kerana 'Di sinilah Lahirnya Sebuah Cinta'...SELAMAT BERSIDANG!!!!

Syed Mohd Johan Rizal bin Syed Unan Mashri
AJK Pergerakan Pemuda UMNO Negeri Kedah
Naib Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Alor Setar

Thursday, 19 November 2015

ISU VAPE: SURAT TERBUKA KEPADA KEMENTERIAN KESIHATAN MALAYSIA


1. Saya melihat bahawa VAPE telah menjadi satu fenomena besar di negara lewat akhir-akhir ini. Perdebatan demi perdebatan berlaku, cadangan demi cadangan telah dikemukakan. Namun kontroversi yang melanda perencanaan isu vape ini masih lagi tergantung dengan pelbagai kritikan, perbalahan dan percanggahan pandangan yang belum mampu menjernihkan keadaan sekaligus membawa kepada satu titik yang dipersetujui oleh majoriti yang terlibat.

2. Kementerian Kesihatan (KKM) sebelum ini telah pun menegaskan tentang kandungan cecair vape yang mengandungi nikotin adalah satu perkara yang tidak wajar dibiarkan berlaku. Keputusan untuk mengambil tindakan terhadap para peniaga vape adalah berdasarkan Akta Racun 1952 dan merampas cecair yang mengandungi nikotin dari premis perniagaan yang rata-ratanya dipelopori anak-anak muda berbangsa Melayu. Hasilnya, timbul rasa tidak puas hati di kalangan mereka dan isu berkenaan melarat hingga melibatkan unsur sosio-ekonomi bangsa Melayu.

3. Terkini, KKM telah memutuskan bahawa penjualan cecair vape hanya dibenarkan untuk dijual di premis-premis ahli farmasi dan pengamal perubatan berdaftar sahaja. Sekali lagi isu vape ini meleret-leret apabila ada pihak yang memandang sinis pada kenyataan KKM tersebut. Malah ada di kalangan Pak Menteri yang turut campur tangan memandang keputusan KKM itu sebagai sesuatu yang kurang munasabah untuk diterima. Farmasi jual cecair vape? Boleh terimakah?

Sunday, 25 October 2015

JOM PAINTBALL WORLD CUP 2015, KITA GEGAR LANGKAWI..!


1. Cukup memenatkan hari ini. Sejak kebelakangan ini hari-hari saya cukup sibuk menjelang penganjuran Paintball World Cup 2015 di Langkawi yang bakal bermula pada 29 Oktober hingga 1 November ini. Saya akui, kesibukan saya itu sedikit sebanyak menjadi faktor untuk saya tidak menulis di laman blog ini buat sementara waktu.

2. Namun entah mengapa, walaupun saya letih, saya tetap juga gagahkan diri untuk menulis di sini sambil melepaskan lelah bersama secawan kopi di sisi. Berehat sebentar di depan komputer riba secara santai sambil merenung kembali diri yang serba kekurangan namun berjiwa besar ini. Namun tidak dapat tidak, topik tentang Paintball World Cup 2015 terus berlegar di fikiran.

3. Kira-kira 10 tahun dulu, saya tidak pernah termimpi untuk mampu menganjurkan sebuah acara yang bertaraf nasional. Ketika itu, jika mahu menganjurkan acara yang bertaraf negeri, mungkin saya mampu. Namun alhamdulillah, percaya atau tidak, termasuk kali ini sudah 5 kali saya bakal menganjurkan sebuah acara yang bukan lagi bertaraf peringkat negeri atau nasional, tapi sebuah acara yang diiktiraf berprestij bertaraf antarabangsa.


4. Bohonglah saya jika saya katakan bahawa tidak terlintas sedikit pun rasa 'nervous' setiap kali menganjurkan kejohanan Paintball World Cup ini. Namun berdasarkan pengalaman dan jatidiri kemahuan yang tinggi, saya telan segalanya dan yakin bahawa segalanya akan lancar sebagaimana yang pernah saya anjurkan sebelum-sebelum ini. Dan saya bersyukur kerana Allah SWT senantiasa memberikan saya kekuatan untuk terus mengharumkan nama Kedah, khususnya Langkawi di mata dunia.

5. Saya akui bukan mudah untuk seorang anak muda seperti saya untuk menganjurkan acara bertaraf dunia ini. Silap sedikit, pastinya ramai yang akan menuding jari pada saya yang masih 'mentah' ini. Namun 'alah bisa tegal biasa', saya gagahkan diri menghadapi cabaran tersebut dan tetap komited dengan kejohanan yang mampu menjana ekonomi rakyat Kedah ini.

6. Setiap penganjuran yang saya dan rakan-rakan usahakan sebelum ini masih lagi belum mengecewakan. Hingga kini, setiap kejohanan Paintball World Cup yang kami anjurkan disertai oleh pasukan yang bukan calang-calang pasukan. Bagi mereka yang 'paintballiholic', nama-nama seperti Dynasty, Houston Heat, Ton Tons atau Infamous sememangnya tidak perlu diperkenalkan lagi tentang kehebatan mereka.


Posted by Paintball World Cup Asia on Saturday, June 13, 2015
7. Kali ini, lebih banyak pasukan-pasukan ternama dan terbaik dunia akan berkampung di Langkawi dengan jumlah kehadiran 4,000 peserta. Itu belum lagi dikira dengan pengiring, keluarga, krew dan sahabat handai mereka. Maka meriahlah Langkawi! Secara tidak langsung, saya yakin bahawa setiap kali penganjuran Paintball World Cup di Langkawi, maka warga di pulau Mahsuri itu turut berkongsi 'kek ekonomi' dan berkongsi kemeriahan gegar 'perang' senapang paintball, bukan?

8. Setakat semalam, sudah 138 buah pasukan yang hebat-hebat belaka dari 38 buah negara di seluruh dunia telah pun mengesahkan penyertaan mereka. Malah semalam, mereka telah pun diundi untuk acara yang bakal menggegarkan pulau lagenda itu bermula Khamis ini. Ada yang datang dari Amerika Syarikat, United Kingdom, India, Sweden, Belanda, Indonesia, Thailand, Australia, New Zealand, Brunei dan sebagainya. Namun yang pasti, pasukan-pasukan dari Malaysia bakal digeruni nanti. Harimau Malaya bila pegang senjata paintball memang ganas!



Posted by Paintball World Cup Asia on Friday, July 10, 2015

9. Bagi mereka yang berminat dan mahu berjinak-jinak dengan sukan lasak ini, jangan ketinggalan untuk hadir ke Karnival Paintball World Cup 2015. Karnival itu akan disertai oleh syarikat-syarikat pembekal peralatan paintball terkemuka dunia seperti DYE, Planet Eclipse, Lux, HK Army, Anthrax, dan S2. Saya yakin ia akan menambah pengetahuan dan memberi pengalaman baru pada mereka yang berminat. Jika hendak membeli, saya yakin mereka akan menawarkan harga yang sangat berpatutan, terutama bagi produk aksesori.

10. Saya hanyalah insan biasa, namun memiliki jutaan cita yang menggunung tingginya. Tiada yang dapat memuaskan hati saya selain dapat memberikan khidmat dan menabur jasa kepada negara serta negeri Kedah. Dan saya harap, penganjuran Paintball World Cup 2015 yang bakal berlangsung pada 29 Oktober hingga 1 November ini akan sekali lagi mengharumkan nama negara dan memberi kemakmuran kepada rakyat jelata di negeri Kedah. Segalanya hanya kerana 'di sini lahirnya sebuah cinta'...

Syed Mohd Johan Rizal bin Syed Unan Mashri
AJK Pergerakan Pemuda UMNO Negeri Kedah
Naib Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Alor Setar

Tuesday, 29 September 2015

SEKOLAH SATU ALIRAN; BERLAPANG DADALAH DEMI MASA DEPAN NEGARA

1. Saya yakin, sekiranya dinyatakan bahawa penjajah British mengamalkan dasar pecah dan perintah untuk memecah-belahkan masyarakat Malaysia dulu, ramai yang akan akui hakikat dan kebenaran itu. Namun antara sedar atau tidak, sebenarnya kita masih lagi akur dengan dasar penjajah itu sehingga ke hari ini di mana ia membuahkan hasil yang mencemarkan perpaduan yang terbina. Walau pihak kerajaan sejak dari zaman merdeka lagi menyemai benih-benih perpaduan yang mensasarkan keharmonian pelbagai etnik, agama dan budaya di negara kita, ia tetap terancam dek kerakusan segelintir mereka yang mencetus api perkauman.

2. Namun baru-baru ini, Menteri Pendidikan Dato' Seri Mahdzir Khalid menyarankan supaya perbincangan yang serius mengenai Sekolah Satu Aliran diadakan secara sihat bagi menyemai integrasi dan asimilisasi kepelbagaian etnik di negara kita. Sebagaimana maklum, beberapa pihak sebelum ini begitu agresif melakukan provokasi melampau yang bersifat perkauman khususnya di laman-laman sosial sehingga mencetus kemarahan di kalangan bangsa Melayu dan Bumiputera di negara kita. Apabila tercetus reaksi berkenaan yang menyaksikan kebangkitan bangsa Melayu di Himpunan Baju Merah baru-baru ini, ada pula yang menuduh tindakan tersebut berbaur rasis. Maka saya difahamkan atas dasar itulah, Dato' Seri Mahdzir Khalid menyarankan ura-ura mewujudkan sekolah satu aliran sahaja di negara kita.

3. Pada pandangan saya, sekiranya dimansuhkan SRJK (C) atau SRJK (T), mereka yang bakal melatah dan melenting adalah Dong Zhong, DAP dan mungkin parti komponen BN sendiri seperti MCA dan Gerakan. Sekolah satu aliran bukanlah perkara baru. Cadangan tersebut sudah lebih dari 5 tahun, hasil cetusan seorang yang berbangsa Cina, Prof. Emeritus Tan Sri Dr. Khoo Kay Kim. Secara dasarnya, beliau melihat Sekolah Satu Aliran amat signifikan bagi menyemai keharmonian kaum di kalangan rakyat Malaysia supaya bermula dari proses pendidikan awal negara. Bak kata pepatah Melayu, melentur buluh biarlah dari rebungnya.

Wednesday, 23 September 2015

SALAM AIDILADHA..PERGORBANAN TERAS PERPADUAN

Disini lahirnya sebuah cinta...
1. Allahu Akbar, Allahu Akbar, Allahu Akbar, Wa lillahil Hamd. Syukur ke hadrat Allah SWT kerana kita sekali lagi diberi peluang untuk merayakan Hari Raya Korban atau Aidiladha bagi tahun 1436 Hijrah yang bakal menjelang sehari dua lagi. Bukan sekadar merayakan, apa yang lebih utama adalah untuk kita merenung sedalam-dalamnya hikmah di sebalik pengertian 'korban' yang dituntut di dalam agama Islam. Sejauh mana kita sanggup berkorban demi agama, bangsa dan negara.

2. Malaysia sememangnya merupakan sebuah negara Islam. Malah dari sudut perlembagaan negara, kedudukan Islam sebagai agama rasmi adalah termaktub kukuh. Namun begitu, dalam lima tahun kebelakangan ini, ada pula pihak yang begitu biadap cuba mencabar kedudukan Islam dengan gesaan 'kesamarataan agama' yang cukup sinonim dengan fahaman 'pluralisme'. Biar pun fahaman itu difatwakan haram dan sesat, namun masih ada lagi pihak yang mempertahankan fahaman songsang tersebut. Siapakah mereka? Sila rujuk pada Inter Faith Committee (IFC) dan pihak manakah yang bersama mereka?

3. Selain Islam, bangsa Melayu juga merupakan antara elemen penting yang termaktub di dalam perlembagaan. Antara yang disebut tentang Melayu adalah hak dan keistimewaan bangsa bumiputera tersebut. Namun sejak lima tahun kebelakangan ini juga, ada pihak tertentu yang sering melakukan provokasi melampau terhadap bangsa Melayu, sama ada secara individu, parti politik mahupun NGO. Melayu bukan saja dihina sewenang-wenangnya, malah dipersenda dan seolah dipijak-pijak tanpa rasa bersalah, seolah Melayu tiada perasaan. Memainkan sentimen yang sama, mereka mahukan 'kesamarataan kaum' di Malaysia, sekaligus menafikan apa yang termaktub di dalam perlembagaan. Untuk tahu siapa mereka, sila rujuk pada perlembagaan DAP.

Tuesday, 15 September 2015

Jiwa MERAH!!!

1. Insha Allah, sekiranya diizinkan Allah SWT, dijangka puluhan ribu rakyat Malaysia, terutama yang berbangsa Melayu dan cintakan keamanan serta menghormati sensitiviti bangsa Bumiputera di negara kita akan berhimpun buat julung-julung kalinya akan menyertai himpunan raksasa yang aman, Himpunan Rakyat Bersatu, di Padang Merbok pada 16 September ini. Jika tiada aral yang melintang dan diizinkan Allah, saya juga akan turut serta dalam himpunan tersebut.

2. Sebelum ini, pelbagai persepsi negatif dan tanggapan buruk telah dimainkan oleh pihak tertentu mengenai himpunan tersebut. Kebanyakannya dicetuskan oleh pihak pembangkang, mereka seolah takut melihat umat Jawi Melayu bersatu dalam sebuah himpunan mega. Mungkinkah mereka masih pagi paranoid dengan kenangan peristiwa 13 Mei yang menjadi igauan ngeri puak chauvinis dan kiasu yang tersemat di dada mereka-mereka itu? Itu saya tidak pasti. Apa yang saya yakinkan ialah puluhan ribu yang bersatu hati, sejiwa di Padang Merbok nanti.

3. Ada dakwaan dari pihak DAP yang mengatakan himpunan Rakyat Bersatu itu adalah satu himpunan yang berteraskan 'RASIS'. Pada pandangan saya, tuduhan tersebut adalah MENGARUT sama sekali. DAP bukan penganjur dan tidak tahu apa yang mereka cakapkan berkenaan himpunan itu. Saya yakin bahawa tuduhan itu adalah bertujuan untuk menjejaskan imej himpunan 16 September ini dengan menafikan hak berhimpun berdasarkan Akta Himpunan Aman 2011.



4. Apakah DAP dan para aktivis mereka yang bergerak menerusi NGO fikir konon hanya Bersih sahaja layak dan berani berhimpun di negara ini? Suka saya menegaskan di sini bahawa fakta menunjukkan himpunan Bersih 4 yang disertai DAP itu gagal memenuhi peraturan yang ditetapkan. Malah tiada sebarang kebenaran diluluskan untuk berhimpun dan menghuru-harakan jalanraya di ibu negara pada 29 dan 30 Ogos yang lalu. Biarpun ditawarkan Padang Merbok pada Bersih untuk berhimpun, namun mereka tetap suka mencabar undang-undang walaupun ada di kalangan peguam dan pengamal undang-undang yang menyertai himpunan haram itu. Pada hemat saya, tindakan tersebut sangat memalukan dan tidak bertamadun!

5. Berbanding Himpunan Rakyat Bersatu, saya ingin menegaskan bahawa himpunan tersebut langsung tidak membayangkan semangat perkauman khususnya bagi bangsa Melayu. Kami berhimpun beramai-ramai esok adalah disebabkan Bersih sendiri yang kurang ajar dan mencabar keamanan serta kestabilan politik negara. Memang Bersih didominasi oleh DAP dan kaum Cina yang terpengaruh dengan doktrinisasi supaya tidak menghormati kontrak sosial yang terpatri sebelum merdeka dulu. Setelah nenek moyang kami bertolak ansur dengan prinsip Jus Soli, dan nenek moyang kamu bersetuju dengan kontrak sosial, maka kini kamu cuba tunjuk kurang ajar pada apa yang telah disepakati?

6. Saya yakin, ramai lagi kaum Cina yang tahu menghomati kontrak sosial dan hak yang dimiliki bangsa bumiputera terutama bangsa Melayu di negara kita. Hanya DAP dan mereka yang terpengaruh dengan dakyah parti itu sahaja yang tergamak mencabar maruah bangsa kami di jalanraya. Terlanjur pihak berkenaan bersikap kurang ajar, maka kami yang mendaulatkan perlembagaan dan kontrak sosial berhimpun beramai-ramai untuk mengajar DAP dan Bersih supaya belajar menghormati 'rumah' serta 'tuan rumah' ! Melayu dan Persekutuan Tanah Melayu sanggup berkongsi rumah dengan syarat, tapi sekarang mereka cabar pula Melayu dan Malaysia? Memang silap besarlah..!

7. Pada himpunan Bersih 4 sebelum ini, kononnya himpunan itu tiada sebarang provokasi dan berlangsung aman. Definisi aman dan tiada provokasi bagaimana yang mereka maksudkan jika ada yang memijak gambar pemimpin utama bangsa Melayu seperti Dato' Seri Najib Tun Razak dan Datuk Seri Abdul Hadi Awang? Jika tiada provokasi, maka takkanlah ada laporan polis terhadap himpunan Bersih itu, bukan? DAP fikir rakyat Malaysia terlalu bodoh untuk mereka perbodohkan? Kononnya tidak melanggar peraturan. Tapi berhimpun tanpa kebenaran pihak berkuasa itu tidak dinamakan melanggar peraturan, kah? Pihak ultra kiasu itu benar-benar tidak tahu apa yang mereka cakapkan!

8. Salahkah bangsa Melayu mempertahankan hak dan kontrak sosial yang telah dicemarkan oleh sikap kurang ajar pihak yang tidak bertanggungjawab itu? Siapa pula yang hasut masyarakat Cina di Malaysia ini untuk tidak menghomati hak tuan rumah? Siapa yang ajar mereka berkurang ajar untuk tidak menghiraukan kontrak sosial? Siapa yang jolok sarang tebuan? Dan bila bangsa Melayu bersatu dengan satu suara mahu menggegarkan doktrinisasi jahat dengan merobohkan hasutan perkauman DAP itu, tiba-tiba kami dituduh 'RASIS'? DAP perjuang kehendak bangsa Cina secara melampau dikatakan tidak rasis, tapi bila kami pertahankan hak dan maruah Melayu dituduh 'RASIS'? Nampaknya dunia sudah terbalik?

9. Perlu diingat bahawa 16 September ini adalah Himpunan Rakyat Bersatu yang mana memperlihatkan majoriti rakyat Malaysia menolak budaya perhimpunan haram ala Bersih 4, menolak politik ala DAP yang mendalangi chauvanism kaum tertentu, menolak percubaan mengguling kerajaan yang dipilih secara demokrasi,  menolak politik fitnah terancang terhadap pimpinan negara, menolak campur tangan asing dalam hal ehwal dalam negara dan menolak budaya biadap dan samseng menghina pemimpin negara. Lebih membanggakan, kami juga bersatu menyokong kerajaan berusaha menghadapi masaalah ekonomi rakyat dan negara, mempertahankan kerajaan pilihan rakyat dan mempertahankan lima prinsip Rukunegara dan yang paling utama, bersatu mempertahan kan kesatuan dan kedudukan MELAYU DAN BUMIPUTERA serta hak semua kaum dlm negara MALAYSIA. Jika dibandingkan dengan Bersih, perhimpunan kami ini jauh lebih positif dan bermakna!


10. Jelas sekali bahawa tuduhan yang dilemparkan DAP dan pihak tertentu terhadap Himpunan Rakyat Bersatu yang kononnya 'RASIS' adalah satu propaganda jijik semata-mata. Malah saya dengan berbesar hati menjemput mana-mana rakan yang bukan berbangsa Melayu untuk sama-sama turun bersatu bersama kami di Padang Merbok pada 16 September ini untuk sama-sama menghormati perlembagaan negara, kontrak sosial dan prinsip jus soli sebagai lambang sebuah negara Malaysia yang merdeka. Kita perlu baja dan suburkan kembali keharmonian kaum yang telah dicemari secara tidak langsung oleh pihak-pihak chauvinis dan ultra kiasu yang berselindung di sebalik parti politik serta NGO berbaju kuning sebelum ini. Ayuh kita gamatkan Padang Merbok beramai-ramai..!

11. Pihak berkuasa telah memberikan kebenaran. Himpunan Rakyat Bersatu adalah sah disisi undang-undang dan bukan haram seperti Bersih 4. Kita patuhi hak berhimpun secara aman dan kami berikrar untuk tidak melakukan sesuatu yang mampu mencetuskan kekecohan atau huru-hara seperti pihak baju kuning. Hanya yang benar-benar berjiwa Melayu dan bangsa Malaysia sahaja yang akan menyokong dan menyertai Himpunan Rakyat Bersatu. Ketahuilah dunia bahawa kami berhimpun kali ini adalah demi maruah agama, bangsa dan negara. Jika mereka mahu menjual, maka kami juga sanggup membeli. Berpantang ajal pendekar sebelum melangkah pencak, tunggulah Padang Merbok kami hadir membuka gelanggang. Apa yang pasti, di mana langit di pijak di situlah langit dijunjung kerana 'di sinilah lahirnya sebuah cinta'...
Syed Mohd Johan Rizal bin Syed Unan Mashri
AJK Pergerakan Pemuda UMNO Negeri Kedah
Naib Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Alor Setar