1. Tahun 2015 sudah pun melabuhkan tirainya. Kini kita sedang berada di awal tahun 2016, mengharapkan sesuatu yang lebih baik berbanding tahun lalu. Secara jujur saya akui, ramai dikalangan kita yang terkesan dengan kenaikan kos sara hidup yang terkini, rentetan dari kedudukan ekonomi dunia yang tidak menentu. Mungkin sudah menjadi asam garam kehidupan, langit tidak selalunya cerah, roda hidup pula berputaran mengikut rentak era dan zaman. Negara kita pernah mengalami keperitan putaran ekonomi. Kita pernah berada dipuncak keselesaan dan pernah diuji dengan keperitan zaman ekonomi meleset pada tahun 1997 hingga 1999 dahulu. Kita pernah makmurkan negara dengan limpahan kekayaan, namun kita juga pernah merana dimufliskan tangan-tangan ekonomi dunia.
2. Menyebut mengenai kenaikan harga barang yang didakwa menekan rakyat, saya suka untuk menganalisa tentang sesuatu harga barang itu mengikut fakta. Seingat saya sebagai contoh, harga sekilogram gula pada tahun 2009 ialah pada harga RM1.45 sahaja. Pada harga tersebut, sebenarnya pihak kerajaan terpaksa membayar subsidi gula sebanyak RM1.26 bilion. Subsidi gula itu kemudian ditarik secara berperingkat sehingga kini dan harga gula yang terkini berada di paras RM2.85 sekilogram. Ertinya, dalam tempoh 6 tahun, harga gula meningkat sebanyak RM1.40 pada harga pasaran. Saya yakin, ramai rakyat yang merungut terutama yang mengeluh dengan kenaikan harga gula tersebut, bukan?
3. Walaupun begitu, saya juga yakin bahawa ramai yang tidak tahun tentang harga gula runcit di negara-negara jiran kita. Sebagai contoh pada tahun 2010, harga runcit sekilogram gula di Filipina adalah pada paras RM3.60, Indonesia pada harga RM3.40 dan Singapura pada harga RM3.05 sekilogram. Itu harga gula di negara tersebut pada tahun 2010 dan kini kita berada pada tahun 2016. Saya tertanya-tanya, apakah harga runcit gula di negara-negara berkenaan tidak meningkat kini atau kekal dengan harga pada tahun 2010? Sekiranya ia kekal, maka saya simpulkan bahawa harga runcit gula di negara kita masih lagi ditakuk yang rendah. Malah, ekoran dari harga gula Malaysia yang rendah itu, tidak mustahil sekiranya ia menjadi mangsa eksploitasi penyeludupan haram ke negara-negara jiran seperti yang berlaku pada petrol dan diesel, bukan?
