Monday, 25 March 2019

PROJEK KXP UNTUNGKAN SWASTA?


1. Baru-baru ini Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Dato' Seri Azmin Ali datang ke Kedah dan menabur 'gula-gula' setelah hampir 11 bulan tidak ada sebarang tindakan atas dasar signifikan Kerajaan PH untuk negeri Kedah. Beliau kemudian memberitahu bahawa sebahagian daripada projek-projek berkenaan adalah dalam bentuk PFI. 

2. Soalnya, apakah kesan jika pelaksanaan projek mega di kedah termasuk lapagan terbang, lebuhraya dan sebagainya dengan menggunakan kaedah PFI? Adakah ia menguntungkan negeri dan kantung rakyat Kedah?

3. Kebiasaannya, syarat dan perjanjian projek jenis PFI adalah lebih menguntungkan pihak swasta tersebut berbanding kerajaan atau rakyat. Sektor swasta tidak akan melabur berbilion wang mereka hanya untuk kerja-kerja amal atau suatu yang merugikan kerana projek tersebut akan berdasarkan "Profit Making Oriented" yang lebih mencari keuntungan dan bukan "Public Responsibility Oriented" yang seharusnya mengutamakan kebajikan dan keharmonian ekonomi rakyat.

4. Selain itu, pengawalan kontraktor dan pembekal adalah terletak dibawah kuasa syarikat swasta yang dipilih pihak kerajaan itu dan pihak kerajaan tiada hak untuk campur tangan terhadap keputusan syarikat berkenaan. Maka adakah ianya akan dapat menjamin bahawa syarikat tersebut akan membantu kontraktor bumiputera tempatan negeri Kedah secara adil?

5. Kemudian, situasi projek PFI amat mudah melibatkan kronisma dari "A to Z". Misalnya pembekal bahan bakar kenderaan dan pesawat. Pihak kerajaan tidak dapat mengawal kronisma tersebut kerana ia adalah projek swasta. Perlu diingat, abang kepada Menteri Besar Kedah dan anak kepada Perdana Menteri juga terlibat secara aktif dalam industri bahan bakar tersebut. Adakah 'skrip lama' akan diulang tayang sekali lagi?


6. Tempoh dan kadar kutipan tol juga tidak dapat dikawal kerajaan kerana ia berdasarkan perjanjian dengan syarikat konsesi terbabit. Sekiranya terdapat campur tangan kerajaan untuk mengawal kadar kutipan tol, maka pihak konsesi mungkin akan menerima pampasan wang yang diperah dari kantung rakyat. Semata-mata mengelak beban kewangan di bahu kerajaan, rakyat dipaksa tanggung beban berkenaan puluhan tahun? Nampaknya kita mundur kembali kepada 'dasar tol' PM ke-4.

7. Status syarikat swasta itu juga tidak di maklumkan kepada umum. Mungkinkah dari China? Jika dari China dibawah projek OBOR (One Belt One Road Innitiative), akan berpotensi Kerajaan Negeri Kedah 'menggadaikan' tanah dan aset kepada China seperti yang berlaku di Sri Lanka pada 2016 terpaksa menggadaikan tanah seluas 15,000 ekar dalam projek pelabuhan mereka. Jika dulu PH memfitnah BN konon 'menjual negara' kepada China, kini PH begitu mudah serahkan Jelapang Padi kepada negara asing?

8. Tidak dinafikan bahawa projek PFI mampu mengurangkan kos kerajaan bagi pembinaan projek, tetapi bukan saja kerajaan malah ramai pihak perlu menanggung risiko yang tinggi. Wajar atau tidak, Kedah laksanakan tujuh projek mega ketika rakyat hadapi pelbagai masalah yang melibatkan keperluan yang lebih penting seperti air dan kos sara hidup?


9. Pandangan saya biarpun ianya merupakan suatu yang mampu membangunkan Kedah, namun ianya kurang penting berbanding perkara asas yang merupakan keperluan hidup dan membabitkan kebajikan rakyat. Projek-projek berkenaan hanya wajar dilaksana setelah masalah keperluan dan kebajikan rakyat Kedah itu dapat diatasi dengan baik.

10. DS Mukhriz perlu lebih bijak membezakan antara kemahuan PH dan keperluan rakyat Kedah. Keperluan semasa rakyat Kedah bukanlah pembinaan KXP, tetapi penyediaan bekalan air bersih kepada rakyat. Ia adalah tanggungjawab kerajaan yang dipilih oleh rakyat bagi menyelesaikan masalah bekalan air bersih. 

11. Menyelesaikan masalah bekalan air bersih, itulah keutamaan mantan Menteri Besar Kedah, Dato' Seri Ahmad Bashah Md Hanipah sebelum ini yang berjaya memujuk Kerajaan Pusat membiayai Pelan Transformasi Bekalan Air Kedah yang bernilai RM1.2 bilion. Namun ia seolah sengaja dilengahkan DS Mukhriz dan setelah ditegur pemimpin BN dan PAS, barulah terhegeh mengumum akan meneruskan projek-projek berkenaan?

12. Kerajaan harus melaksanakan tanggungjawab ini sebelum 'gila mencari nama' dengan membuat projek mega yang seharusnya boleh dilaksanakan setelah selesai masalah air dan kos sara hidup di Kedah. Mungkin masalah bekalan air ini tidak memberi kesan kepada Menteri Besar Kedah kerana keluarganya tinggal di ibu negara. Apatah lagi 'kekayaan ajaib' keluarga Perdana Menteri yang gemar 'seksi' melancong di Eropah, sudah tentu tidak terasa perit hidup tertekan sebagaimana penoreh getah di Kedah.

13. Pada hemat saya, penyediaan infrastruktur yang mantap di kawasan sekitar projek tersebut harus dilaksanakan dahulu. Jika tidak, ia akan menguntungkan negeri Pulau Pinang kerana majoriti tenaga kerja di Kulim adalah warga Pulau Pinang dan ini akan merancakkan ekonomi dalaman Pulau Pinang dengan menaikkan kuasa beli mereka berdasarkan gaji dan upah yang diperoleh. Bagaimana dengan nasib anak Kedah sendiri?

14. Jika dibandingkan dengan nilai projek PFI tersebut. Kerajaan PH sebenarnya mampu menyelesaikan masalah air di Kedah. Malah bagi merancakkan ekonomi, kerajaan PH juga mampu memantapkan lagi kawasan ekonomi sedia ada di Bukit Kayu Hitam yang tidak melibatkan kos yang terlalu besar seperti projek KXP ini kerana fasiliti seperti lebuhraya sudah tersedia seperti yang dirancang dan tidak perlu bangunkan yang baharu.


15. Kerajaan PH juga mampu menggunakan dana tersebut secara kebih berfokus kepada rakyat. Misalnya dengan menambah serta melaksanakan pelbagai skim bantuan bagi Peniaga Kecil ataupun memberi insentif kepada lebih 25 buah IKS yang berdaftar dibawah SME. IKS adalah kunci bagi merancakkan ekonomi setempat di Kedah dan mampu mengurangkan Kos Sara Hidup di kalangan rakyat di negeri ini.

16. Selain itu, sektor perikanan dan nelayan juga dapat diperhebatkan oleh Kerajaan Negeri sebagaimana yang dilaksanakan oleh Kerajaan BN sebelum ini. Justeru dalam masa yang sama dapat membantu ekonomi lebih 4,500 nelayan di Kedah yang kini semakin terhimpit dengan tekanan kos sara hidup dan dasar baharu kerajaan yang menekan.

17. Malah sektor pelancongan juga dapat ditambah baik seperti di Kawasan Warisan Dunia Lembah Bujang yang mampu memberikan suasana ekonomi rakyat yang baik di kawasan sekitar. Ia merupakan suatu identiti sejarah Kerajaan Kedah Tua yang harus dijaga baik seperti mana Kerajaan Indonesia lakukan terhadap Candi Borobudur yang terkenal seluruh dunia malah menggiatkan ekonomi rakyat setempat.

18. Oleh yang demikian, saya menyarankan pihak Kerajaan PH harus lebih memahami dan memberi fokus terhadap tanggungjawabnya ke atas rakyat, berbanding projek mega yang boleh ditangguhkan perlaksanaannya. Tidak lari gunung dikejar, namun utamakanlah keperluan dan rintihan rakyat terlebih dahulu.

Syed Mohd Johan Rizal bin Syed Unan Mashri
Ketua Penerangan 
Pergerakan Pemuda UMNO Kedah

Thursday, 14 March 2019

Kerjasama UMNO-PAS, Guna Model Negara Islam Madinah


MUKADIMAH

SEJAK diumumkan kerjasama UMNO-Pas, pemimpin DAP macam cacing kepanasan. Mereka seperti cuba hendak menakut-nakutkan bukan Melayu. Ada yang menganggap ia perang terhadap bukan Melayu, menyasarkan bukan Melayu dan kini dikatakan negara bakal menjadi seperti Afghanistan yang diperintah Taliban. Benarkah?

Ikuti wawancara lima soalan wartawan Utusan Malaysia, SHARILFUDDIN SAARI bersama Ketua Penerangan Pemuda UMNO Kedah, SYED MOHD. JOHAN RIZAL SYED UNAN MASHRI.

UTUSAN: Apa pandangan saudara berhubung kerjasama UMNO-Pas?

SYED MOHD. JOHAN RIZAL: Sejarah kerjasama erat UMNO dan Pas bukanlah perkara baharu. Sebaliknya ia telah dimulakan sejak peris­tiwa berdarah 13 Mei 1969. Sehinggalah seterusnya pada 1 Mac 1974, UMNO dan Pas menjadi antara parti pengasas penubuhan Barisan Nasional (BN) setelah pembubaran Parti Perikatan. Namun UMNO dan Pas berpisah pada 1978. Dan hari ini, UMNO dan Pas menjalinkan kerjasama itu semula buat kali kedua.

UTUSAN: Bagaimana saudara melihat kepentingan kerjasama dua parti Melayu terbesar ini?

SYED MOHD. JOHAN RIZAL: Saya melihat kerjasama UMNO-Pas ini sa­ngat diperlukan bagi memastikan negara terus dalam keada­an aman dengan mengambil kira senario politik semasa yang kian menggugat ke­selamatan dan kesejahteraan rakyat.

Harus diingat bahawa kerjasama ini adalah 'Ta'awun Siyasi' iaitu atas dasar penya­tuan ummah atau kerjasama ke arah kebaikan. Ini sama sekali tidak mengetepikan hak dan kebajikan orang bukan Islam. Malah teras kerjasama ini diambil daripada model pengwujudan negara Islam Madinah seperti mana dilaksanakan oleh Rasulullah SAW. Ketika itu, negara berkenaan yang terdiri daripada berbilang agama dan kaum hidup aman dan damai.


UTUSAN: Apakah komen saudara berhubung dakwaan seorang pemimpin parti politik bahawa kerjasama ini bakal mewujudkan sebuah negara yang diperintah Taliban?

SYED MOHD. JOHAN RIZAL: Kenyataan ini jelas berbaur hasutan dan rasa benci yang nyata, tanpa menghiraukan sensitiviti rakyatnya yang berbilang kaum dan agama serta malah mampu menggugat ke­selamatan negara. Kenyataan seperti ini jika tidak diben­dung, mampu menyumbang ketidakstabilan politik negara.

Ia sekali gus boleh mengundang kemarahan dan kebangkitan yang lebih besar orang Islam serantau terutama di Indonesia dan selatan Thailand. Selain itu, menyuburkan sentimen Islamophobia dalam kalangan orang bukan Islam.

UTUSAN: Apakah ke­sannya terha­dap negara se­cara amnya apa­bila kenya­taan seumpama itu dikeluarkan?

SYED MOHD. JOHAN RIZAL: Menggambarkan Malaysia seperti sebuah negara terroris (pengganas) akan mewujudkan pandangan negatif negara asing terhadap negara kita. Tidak mustahil kedudukan Malaysia dalam ASEAN akan tergugat, menghilangkan keyakinan pelabur asing seterusnya ekonomi negara dan nilai ringgit akan terjejas seperti yang terjadi di negara-negara teluk.


UTUSAN: Apakah tindakan yang wajar diambil terhadap pe­mimpin mengeluarkan kenya­taan seperti ini (menghasut)?

SYED MOHD. JOHAN RIZAL: Tindakan tegas perlu diambil oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) bagi mengelak kebangkitan majoriti rakyat terutama­nya orang Melayu dan Islam.

Jika tiada tindakan yang dikenakan, ia mampu me­nyum­bang kepada lebih ba­nyak kenyataan-kenya­taan negatif dan berbaur hasutan. Ini seperti mana yang telah berlaku dalam isu penghinaan sistem beraja dan Rasulullah SAW.

Sumber: Utusan Online

Sunday, 10 March 2019

Kenyataan pemimpin DAP suburkan Islamophobia - Pemuda UMNO Kedah


ALOR SETAR 10 Mac - Kenyataan berunsur hasutan oleh pemimpin DAP terhadap kerjasama UMNO-Pas kebelakangan ini, tidak boleh dibiarkan berterusan kerana hanya akan menyuburkan sentimen Islamophobia dalam kalangan orang bukan Islam di negara ini.

Ketua Penerangan Pemuda UMNO negeri, Syed Mohd. Johan Rizal Syed Unan Mashri berkata, justeru Polis Diraja Malaysia (PDRM) wajar mengambil tindakan tegas terhadap golongan berkenaan.

Kata beliau, tidak mustahil kenyataan demi kenyataan seumpama itu jika terus dikeluarkan akan menjejaskan imej Malaysia sebagai sebuah negara Islam contoh kerana kesederhanaannya.

"Sudah tentu ia akan turut menggugat kedudukan Malaysia dalam ASEAN, menyebabkan para pelabur asing lari, menyumbang kejatuhan ekonomi dan nilai ringgit yang lebih teruk lagi seperti mana yang terjadi di negara-negara teluk.

"Seterusnya kita bimbang jika PDRM lambat bertindak, majoriti rakyat negara ini yang beragama Islam akan marah dan tidak mustahil mengundang kebangkitan yang lebih besar orang Islam serantau di Indonesia dan selatan Thailand," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Sejak kerjasama UMNO dan Pas diumumkan, Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng menuduh kononnya ia 'perang' terhadap orang bukan Melayu.

Pengerusi DAP Perak, Nga Kor Ming pula kemudian dilaporkan mendakwa kerjasama itu akan menjadikan negara seperti Afghanistan yang diperintah Taliban.

Dalam pada itu, Syed Mohd. Johan Rizal mengingatkan bahawa kerjasama UMNO-Pas bukanlah perkara baharu kerana mengikut sejarah kedua-dua parti itu pernah menjalin hubungan selepas tragedi 13 Mei 1969.

"Malah pada 1 Mac 1974, UMNO dan Pas adalah antara parti pengasas penubuhan Barisan Nasional (BN) setelah pembubaran Parti Perikatan sebelum berpisah pada 1978," jelasnya.

Beliau seterusnya memberitahu, kerjasama UMNO-Pas penting diteruskan bagi menjamin penyatuan ummah pada masa depan tanpa mengenepikan hak-hak kebajikan orang bukan Islam.

"Teras kerjasama ini diambil daripada model negara Islam Madinah oleh Rasulullah SAW yang berjaya mewujudkan suasana aman damai dalam kalangan penduduk berbilang kaum dan agama," katanya. - UTUSAN ONLINE

Syed Mohd Johan Rizal bin Syed Unan Mashri
Ketua Penerangan 
Pergerakan Pemuda UMNO Kedah.

Sunday, 3 March 2019

TAHNIAH KEPADA 10,878 PENGUNDI DUN SEMENYIH


1. Tahniah diucapkan kepada calon BN, Zakaria Hanafi atas kemenangan yang dikecapi pada PRK Dun Semenyih. Sesungguhnya kemenangan ini merupakan satu amanah yang berat dan harus digalas dengan sepenuh jiwa demi kepentingan dan harapan rakyat Semenyih.

2. Tahniah juga diucapkan kepada majoriti pengundi Dun Semenyih yang saya yakin bahawa mereka lebih mengutamakan agenda kepentingan Islam dan bangsa Melayu yang kian terancam berbanding janji yang tidak tertulis dalam kitab bible mahupun hospital.

3. Bukanlah hospital atau klinik kesihatan itu tidak penting dalam kehidupan kita, namun agenda kepentingan Islam dan bangsa Melayu itu adalah lebih penting dalam hidup kita sebagai seorang yang beragama Islam dan berbangsa Melayu.


4. Jika difikirkan dalam satu sudut, PH (PKR) pada PRU14 yang lalu memenangi Dun Semenyih dengan majoriti besar sebanyak 8,964 undi. Apatah lagi PH kali ini diwakili calon dari parti Bersatu yang 'gah terlalu kuat pengaruh'nya, sangat sukar untuk BN merampas Dun berkenaan.

5. Walaupun Pengerusi Bersatu, Tun Dr Mahathir Mohamad, melakukan "final touch" pada PRK Dun Semenyih kali ini, anaknya pula Dato' Seri Mukhriz Mahathir pun turut berkempen sakan di sana, tapi majoriti pengundi Semenyih tetap menolak Bersatu dan PH. 

6. Malah dalam satu keadaan, kempen BN menerima tekanan hebat daripada parti pemerintah itu terutama pada hari-hari terakhir kempen dan hari mengundi apabila dilemparkan pelbagai provokasi busuk yang memualkan. 

7. Namun Allah tetap memberi ilham kepada majoriti pengundi Dun Semenyih supaya lebih menyokong dan meyakini calon BN. Namun apa asbabnya? Di mana silapnya PH? Apa kurangnya PH? Apa puncanya hinggakan negarawan ulung pun tidak di'beri muka'?


8. Tewasnya Bersatu ditangan UMNO di Semenyih merupakan suatu tindakan mencemar maruah Tun Dr Mahathir dan partinya di pentas politik. Apakah wujud elemen 'sabotaj dari dalam' bagi memberi tekanan padanya supaya menyerahkan jawatan kepada bakal PM ke-8?

9. Saya enggan mengulas punca kemenangan BN dan punca PH hilang 10,878 undi pada PRK Dun Semenyih. Nanti ada pula yang sensitif, tersinggung hati. Saya sebolehnya tidak mahu menyinggung perasaan 'otai-otai politik' yang 'mahahebat' di dalam Bersatu.

10. Namun tanyalah rakyat khususnya orang Melayu Islam yang dulu menyokong PH, tapi kini menyesal dan kembali menyokong UMNO dan PAS. Usah disebut lagi simulasi PH dan Presiden Bersatu yang meyakini calonnya akan menang dengan 'majoriti 1,989 undi'. 

11. Kemenangan BN di PRK Dun Semenyih tidak memberi kesan signifikan kepada Kerajaan PH Selangor mahupun Kerajaan PH Persekutuan. Jadi, jangan lupa tunaikan juga segala janji untuk rakyat Semenyih. Bukankah ia tanggungjawab kerajaan? Usah risau, Zakaria Hanafi Adun Semenyih yang baharu sedia membantu!



12. Sekali lagi saya ucapkan setinggi-tinggi tahniah kepada 10,878 pengundi Dun Semenyih kali ini. Anda semua bagai bersuara mewakili majoriti umat Melayu Islam di seluruh negara. Keberanian dan rasional kalian layak menerima pujian.

13. Akhir bicara, ketahuilah bahawa Allah itu Maha Berkuasa dan Dia berkuasa memberikan kuasa kepada sesiapa yang Dia kehendaki. Jika tersesat jalan, kembalilah ke jalan yang diredhai Allah. Kita hidup bukannya akan terus menongkat langit...

Syed Mohd Johan Rizal bin Syed Unan Mashri
Ketua Penerangan 
Pergerakan Pemuda UMNO Kedah.

Wednesday, 20 February 2019

BSH RM100 HANYA PERSENDA ORANG BUJANG DAN DEDAK TERDESAK PH


Secara tiba-tiba kerajaan PH mengumumkan orang bujang juga dapat BSH dengan nilai RM100, amat jauh berkurangan daripada apa yang diberikan semasa zaman kerajaa BN dahulu.

Keputusan tergesa-gesa kerajaan PH ini satu lagi bukti lemahnya kepimpinan kerajaan sekarang, mengatur dasar tanpa berfikir kepentingan rakyat, suka mengikut sikap dendam terhadap legasi kerajaan BN. Ini adalah siri berterusan episod ubah dasar sejak PH menjadi kerajaan.

Pemuda UMNO Kedah yakin selepas ini ada lagi dasar yang akan berubah apabila ditekan, dikritik rakyat dan pemimpin pembangkang.


Cuma yang menjadi persoalan kenapa pengumuman di buat semalam dan pembayaran di buat bulan Mac. Kenapa ia tidak diumumkan semasa pembentangan bajet 2019 di Parlimen pada tahun lepas.

Adakah ini satu “test market” berikutan pilihan raya kecil Semenyih. 

Ini jelas sekali membuktikan bahawa kerajaan PH hanya bersikap ‘HIPOKRIT’ selama ini apabila BRIM dahulunya dilabel sebagai rasuah oleh kerajaan BN, malah BRIM utk golongan bujang ini dahulunya dikatakan tidak layak diberikan pada golongan bujang dalam negara ini kononnya antara sebab rakyat menjadi malas. Namun hari ini dasar ini dikembalikan. Adakah ‘rasuah’ ini yang di ubah ke BSHR telah memperoleh sijil halal dan bertepatan dengan maqasid syariah sekarang? 


Apa yang jelas, pengumuman bantuan oleh Lim Guan Eng yang terburu buru ini hanyalah bersifat politik menjelang PRK Semenyih dan Rantau kerana Kerajaan sedang mencari formula membendung kebangkitan rakyat terutamanya anak muda akibat penipuan demi penipuan yang dilakukan kerajaan. 

Berbalik kepada nilaian RM100, Pemuda UMNO Kedah menyifatkan ia amat kecil tidak setara dengan keadaan ekonomi semasa dan keperluan golongan berkenaan. RM100 itu hanya mempersenda, memperbodoh orang bujang yang merupakan majoriti golongan muda.

Nilaian BSH golongan bujang harus dinaikkan. Jikalaupun tidak boleh setahap dengan janji BN, sekurang-kurangnya biarlah satu angka yang berpatutan iaitu RM300.


Pemuda UMNO Kedah akan memperjuangkan supaya nilaian BSH itu dinaikkan.

Satu lagi perkara janganlah susahkan permohonan golongan bujang ini seperti mana yang berlaku dalam proses permohonan BSH dengan pelbagai prosedur dan pelbagai sijil. Mudahkanlah permohonan golongan bujang ini, janganlah hendak memberi RM100 sahaja tetapi proses mendapatkan amat menyusahkan.

Syed Mohd Johan Rizal bin Syed Unan Mashri
Ketua Penerangan 
Pergerakan Pemuda UMNO Kedah.

Friday, 8 February 2019

BANGSA KEDAH? TAK MASUK AKAL..!


Bangsa Kedah? Cadangan apa ni wahai Ahli Parlimen Sungai Petani Datuk Johari Abdul. Tidak masuk akal cadangan ini. 

Ingatlah anda itu dicanang-canang bakal Menteri Besar Kedah yang sedang menanti giliran, janganlah bagi idea yang jelas menampakkan ketidakupayaan berfikiran jauh.

Baiklah mari kita ulas cadangan berkenaan.

Kita fahami ia mahu meniru konsep Bangsa Johor. Ia mungkin baik dan berjaya dilaksanakan di Johor tetapi adakah ia juga sesuai dilaksanakan di Kedah.

Harus YB Johari Abdul fahami dengan jelas bahawa konsep dan perlaksanaan yang baik sesuatu perkara di sesuatu tempat, tidak bermakna ia juga sesuai dilaksanakan di tempat lain.


Kalau mahu bercakap konsep memupuk perpaduan, Pemuda UMNO Kedah sangat bersetuju bahawa perpaduan antara masyarakat dan kaum harus perlu diperkukuhkan terutama pada muktahir ini pelbagai isu melingkari hubungan antara kaum yang tambah mengeruhkan keadaan.

Namun Pemuda UMNO Kedah ingin bertanya, bukankah perpaduan di kalangan masyarakat kita elok sahaja kemudian datang parti pembangkang yang kini kerajaan yang menghasut rakyat sehingga membawa perpecahan dan berpuak-puak.

Dan Pemuda UMNO Kedah ingin bertanya, sejak PH mengambil alih kerajaan pusat dan beberapa kerajaan negeri, adakah perpaduan semakin baik atau bertambah buruk.

Bukankah kerajaan PH telah gagal mengawal beberapa isu di kalangan masyarakat sehingga menyebabkan jurang permisahan antara kaum semakin meresahkan.


Perpecahan antara kaum semakin membesar adalah benar wahai Johari. Lihat sahaja komen-komen dalam media sosial anda akan dapat nilai situasinya.

Jikalau setakat YB Johari memberi cadangan tetapi realitinya kerajaan pusat dan negeri tidak mengambil tindakan pro aktif penyatuan, merapatkan masyarakat maka Johari boleh terus bermimpi soal penyatuan.

Masyarakat sebenarnya boleh hidup dengan aman damai sekiranya ahli politik tidak mengapi-apikan mereka. 

Di Kedah untuk pengetahuan YB, iklim politik sejak dulu tidak pernah dilihat berpecah belah biar pun parti mana yang memerintah. hubungan parti pemerintah dan pembangkang sejak dulu begitu akrab demi mencapai matlamat menjayakan pentadbiran kerajaan negeri. Pandangan politik mana mana parti begitu diraikan tanpa emosi dan profesional, cuma biasalah kritikan politik cuma dilihat didalam media tapi hakikatnya hubungan antara Adun adun sebelum ini cukup bersifat positif. 

Mungkin apabila YB Johari Abdul sudah bergelar YAB Menteri Besar Kedah suatu hari nanti, beliau boleh memikirkan kaedah yang lebih baik untuk menyatukan masyarakat dan kejayaan penyatuan itu boleh menjadi contoh kepada negeri lain tanpa perlu mewujudkan konsep Bangsa Kedah.

Syed Mohd Johan Rizal bin Syed Unan Mashri
Ketua Penerangan 
Pergerakan Pemuda UMNO Kedah.

Friday, 1 February 2019

NACP HARUS DILAKSANAKAN DENGAN TELUS


Inisiatif Pelan Anti Rasuah Nasional 2019-2023 yang dilancarkan baru-baru ini oleh Perdana Menteri adalah satu iltizam yang diharapkan dapat merealisasikan usaha mengurangkan indeks rasuah dalam negara. 

Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Alor Setar mengalu-alukan pelan tindakan ilham Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir baru-baru ini. Saya percaya ini adalah kesinambungan komitmen kerajaan hari ini menambah baik Pelan Integriti Nasional yang dilancarkan oleh Tun Abdullah Badawi pada 2004.

Dengan mewujudkan NAPC 2019-2023, ia jelas memberi amaran kepada semua terutamanya sektor awam dan ahli politik termasuklah Perdana Menteri sendiri serta barisan jemaah Menteri agar mereka bebas dari perbuatan rasuah.


Haruslah diingat, bagi menjayakan NACP, adalah menjadi fokus utama dan penting untuk institusi seperti Parlimen, Perundangan, eksekutif, ahli politik, pejawat awam, ahli korporat dan pelbagai lagi sektor lebih  bertanggungjawab dalam tindakan mereka.

Mereka inilah yang bakal terkesan dengan kejayaan pelan tindakan ini bahkan mereka jugalah yang bakal bertanggungjawab jika iltizam ini dilihat gagal. 

Pemuda UMNO Alor Setar melihat NACP sepatutnya tidak hanya berfungsi sebagai pelan untuk menghapuskan rasuah semata-mata, tetapi juga mengiatkan usaha untuk menyembuhkan sistem demokrasi negara dan pentadbiran kerajaan khususnya dalam memastikan tiada siapa pun mempunyai kuasa yang berlebihan dan pemisahan kuasa benar-benar diamalkan secara mutlak.


Malah institusi yang berkaitan integriti dan rasuah ini diberikan ruang yang lebih bebas dalam melaksanakan tugas demi kepentingan rakyat. 

Justeru, pemisahan kuasa eksekutif, pembuat dasar dan badan kehakiman serta perundangan mestilah diangkat untuk memastikan sektor perkhidmatan awam tidak diragui dan dipertikaikan seterusnya menjadikan dasar NAPC efektif.

Campurtangan politikus dalam pentadbiran dan kewangan kerajaan adalah di antara isu utama dihadapi Malaysia dalam cabaran memenangi rasuah. NACP mestilah bertindak menghalang epidemik ini. 

Jabatan Peguam Negara dan Kehakiman mestilah diberikan kebebasan untuk mendakwa sesiapa sahaja tanpa prejudis dan berkepentingan secara adil dan saksama. 


Pergerakan Pemuda UMNO Alor Setar menyokong penuh usaha ini dan berharap Pelan NACP ini mencermin aspirasi dan harapan rakyat agar negara ditabal menjadi sebuah negara bebas rasuah di mata dunia yang senantiasa mempromosikan transparensi, akauntabiliti dan integriti pada setiap rakyat Malaysia. 

Setakat hari ini, agenda ini belum benar-benar dilihat rakyat bahawa wujud keseriusan kerajaan PH dalam mengguna pakai kerana masih banyak isu-isu yang berbangkit dan jelas bertentangan dengan roh NACP ini. Kita tidak mahu agenda ini hanyalah semata-mata retorik oleh kerajaan yang akhirnya bersifat populis semata-mata. 

Pemuda UMNO Alor Setar juga mahu melihat agenda bebas rasuah ini bukan setakat janji, tetapi yang lebih penting perlaksanaan tanpa mengira parti politik, kedudukan, jawatan dan pengaruh.

Syed Mohd Johan Rizal bin Syed Unan Mashri
Ketua Penerangan 
Pergerakan Pemuda UMNO Kedah.