Monday 23 January 2017

TANAH DAN KEMAJUAN PEMBANGUNAN DI KEDAH (Bahagian ke-2)


1. Pada sekitar 1992, berlaku polemik berhubung kes pengambilan tanah di Simpang Empat Kerpan, Jerlun. Kepimpinan ketika itu dengan menggunakan asas undang-undang, yakni Akta Pengambilan Tanah 1965, berusaha mengambil tanah sawah milik penduduk untuk dibangunkan dengan kolam ternakan udang harimau usahasama dengan Ben Laden Group.

2. Demikian juga sekitar tahun yang sama, Gunung Jerai mahu dibangunkan dengan JIP (Jerai International Park) oleh syarikat berbayar RM2 yang difahamkan milik Menteri Kewangan ketika itu. Namun hasil desakan masyarakat, projek ini dibatalkan, apatah lagi feasibilities study menunjukkan ianya tidak sesuai.

3. Tahun-tahun berikutnya, isu pengambilan tanah bagi tujuan pembangunan tidaklah menimbulkan sangat kontroversi kerana masyarakat kian sedar pentingnya urusan pengambilan ini untuk menyediakan asas kemajuan dan keperluan di masa hadapan.

4. Polemik hanya dihangatkan tatkala adanya campurtangan politik, dan hujahan beracun yang cuba disemai oleh pihak berkepentingan, sama ada dengan menghasut tuan tanah, penduduk sekitar dan masyarakat umum. Padahal golongan penghasut ini tatkala mereka diberi amanah membentuk kerajaan sekitar 2008-2013 banyak mehnah dan karenah yang mereka laksanakan.

5. Tanah Waqaf khas Madrasah Salihiah misalnya yang berusia 110 tahun, diambil secara sewenang-wenang tanpapun digantikan secara konsep ibtibdal, sehinggalah Aman Sentral siap, dan mujurlah di atas keprihatinan Ahmad Bashah kini, sebidang tanah khas disediakan selain usaha membangun semula madrasah dibangunkan dengan diberi status Masjid Jamek


6. Difahamkan juga, semasa kerajaan Pakatan, banyak tanah-tanah milik kerajaan dibangunkan secara sewenang-wenang tanpa faedahnya boleh dirasai masyarakat terbanyak. Termasuk projek K-Keli di Sik, kelinya sudah tiada, kolam ternakannya juga tidak sebesar mana, namun rupanya yang diidamkan adalah tanah yang penuh berdirinya hutan balak di kiri kanan masuk kolam ternakan keli berkenaan.

7. Demikian juga tanah milik kerajaan di Jerai mahupun Sungai Petani yang dibangunkan dengan gudang kononnya bagi pengumpulan hasil tanaman dan produk kampung yang dibangun dengan nilai jutaan ringgit di era kerajaan Pakatan. Kini menjadi tempat berteduh kambing dan ayam itik semata-mata.


8. Demikianlah, jika sesebuah kerajaan gagal merancang manfaat penggunaan tanah, maka natijah ekonominya tidak akan melimpah untuk menguntungkan masyarakat. Sebaliknya ia akan menjadi sekadar projek Mat jenin, di mana tanah tergadai, modal dihabiskan dan aset negeri tergadai.

9. Lantaran itulah dalam pelan perancangan dan tindakan pembangunan di era Dato' Seri Bashah, segalanya diteliti. Rencana menambak lauk seluas 650 ekar di Pulau Langkawi misalnya oleh sebuah syarikat tempatan berdaya maju untuk dibangunkan dengan kediaman, perumahan mampu milik dan sederhana, pusat komersial punyai dua fungsi.

10. Pertama, tidak mahu menganggu lanskap pulau Langkawi dan pulau yang lain demi kelestarian pelancongan. Keduanya, projek ini langsung tidak melibatkan sebarang pengambilan tanah rakyat. Sebaliknya kerajaan negeri mendapat faedah dengan lebih 20% laut ditambak itu menjadi hak milik negeri. Premium, royalty dan hasil dari pembangunan projek berskala besar ini dianggar menyumbang RM500 juta kepada kerajaan Negeri.

11. Ribuan peluang pekerjaan bakal diwujudkan, perumahan baru dibentuk dan sebuah pekan baru selaku pusat pertumbuhan dimajukan. Pulau Pinang kini sedang membina 5 buah pulau bulatan juga menerusi mekanisme tebus guna laut, satu kaedah yang sejak 2008 mereka lakukan dengan besar-besaran dengan sebahagian besar aset dibangunkan serta dijual kepada warga China, Hong Kong,Taiwan dan Singapura. Kerana ini antara pelaburan yang menguntungkan, namun tidak pernah ada bantahan dan sehingga kini lebih banyak projek besar mengambil tempat di Pulau Pinang tanpa ada pun sebarang bantahan.


12. Dalam pada itu melihat kepada negeri jiran yagng melangkah maju kehadapan, sebarang usaha terancang yang sudah mengambilkira kepentingan semua pihak di Kedah pula hadapi tentangan.

13. Samalah dengan kes, permohonan sebuah pemaju swasta yang juga mempunyai modal besar dan antara syarikat pemaju hartatanah milik rakyat tempatan yang terkemuka di rantau Asia. Apabila mereka mahu mengadakan usahasama secara perkongsian strategik dengan PKNK menerusi kuantun pembahagian saham yang menguntungkan negeri serta boleh memanfaatkan 500,000 penduduk Sungai Petani bagi dibangunkan rizab kerajaan di dalam kawasan strategik dalam bandar dengan pusat pertumbuhan baru. Maka atas kepentingan politik dan hasutan, secara tiba-tiba isu nostalgia, kenangan kerana di situ masih wujudnya rumah lama Pegawai Daerah dibangkitkan.

14. Seperti kita sedia maklum, rumah pusaka ayah dan ibu kita dikampung sekalipun, jika sekadar mahu mempertahankan nilai sentimentalnya, maka tentulah kita sekeluarga akan membiarkannya ditumbuhi semak, dimakan anai-anai dan akhirnya reput rebah menyembah bumi. Apakah ini nostalgia yang memanfaatkan?.

15. Sebaliknya jika wujud kreativiti dan konsensus di kalangan ahli keluarga, rumah pusaka serta tanah halamanya yang luas itu bukan sekadar dicantikkan, dipelihara, malah boleh diberi tambah nilai misalnya menjadikannya homes stay unik, tarikan pelancong dan hasil dari itu boleh memberi peluang pekerjaan dan nilai tambah pendapatan pada ahli keluarga lain yang memerlukan.

16. Inilah asas dan falsafahnya jika sumber tanah selaku aset tetap yang tidak bertambah keluasannya secara bijak kita manfaatkan.

17. Lantaran itu,janganlah terlalu sensitif, beremosi atau mengalihkan fakta sebenarnya apabila mengupas berhubung soal tanah dan pembangunan. Janganlah pula kita merekayasa cerita, menghasut masyarakat sekadar untuk memenuhi kepentingan politik kita dengan isu tanah dijadikan sebagai scapegoat.

18. Realitinya dalam pada pembangunan tanah untuk projek berskala besar diberi perhatian misalnya Kedah Rubber City melibatkan keluasaan 1500 ekar tanah di Padang Terap. RM212 juta sahaja diperuntukkan bagi tujuan pengambilan tanah selain selebihnya bagi pembangunan infra.


19. Demikian juga tanah milik PKNK di Bukit Kayu Hitam untuk mercu tanda Kedah Science and Technology Park (KSTP). RM78 juta sudah diluluskan Kerajaan Persekutuan dan kini kerja penyiapan infra Fasa 1 sedang giat dijalankan. Sudah ada nama besar dalam industri tertentu berminat dan antara yang sudah memuktamadkan pelaburan ialah sebuah syarikat kilang tayar dengan nilai pelaburan RM2 bilion. Dalam tempoh 5 tahun mulai tahun Disember 2017, 10,000 peluang kerja bakal diwujudkan. Untuk siapa? Untuk anak anak di Sintok, Changlon, Kodiang, Padang Sera, Hosba, Asun dan menjalar hingga ke Jitra.

20. Inilah formula pembangunan yang sedang digerak dan dipacu Ahmad Bashah dan rakan rakan dalam pentadbirannya. Jika duduk diam, tanpa berbuat apa-apa dituduhnya Mat Bashah MB yang lambat, kurang idea dan pelbagai lagi.

21. Namun apabila usaha sedang bergerak dengan pantas sama ada pembangunan fizikal mahupun modal insan, dituduhnya pula Mat Bashah menjual tanah kepada pelabur Cina. Untuk rekod, sepanjang pentadbiran Bashah selaku MB mulai 4 Febuari 2016 sehingga ke hari ini, dari sejumlah 27 ribu permohonan pemberi milikan tanah kerajaan kepada pemohon termasuk dari rakyat (permohonan individu) sejumlah 26,043 permohonan, belum ada lagi satu geran tanah yang dikeluarkan pada mana-mana pemohon menunjukkan tanah itu adalah hak milik kekal si pemohon berkenaan.

22. Berbalik kepada isu pengambilan tanah rizab kerajaan di Sungai Petani baru baru ini yang diviralkan oleh pihak yang berkepentingan dalam usaha mencemar nama baik Ahmad Bashah dan kerajaan BN kedah, Fakta Faktanya jelas telah diputar belitkan. Kenyataan daripada Pegawai Daerah Sik juga telah menyanggah isu viral ini seolah olah permohonan ini telah diluluskan walhal perkara ini masih dalam pertimbangan Pejabat Tanah SP dan sedang menjalani proses bantahan, jika pihak pejabat tanah diatas pertimbangan dan budi bicara mereka merasakan bahawa ia akan memberikan manafaat kepada kepentingan umum melebihi kepentingan sekumpulan kecil bantahan maka projek itu boleh dipanjangkan untuk pertimbangan exco kerajaan. begitrulah sebaliknya jika PT berpendapat ia menjejaskan kepentingan umum maka permohonan pemberi milikan ini boleh ditolak.

23. Turut diviralkan juga permohonan ini berlaku ketika mana Ahmad Bashah berkuasa kini dan bakal berusahasama dengan syarikat Chin Hin SDN BHD. Ini adalah satu fitnah jahat yang cuba dicontengkan kepada Menteri Besar sedangkan projek ini telah di cadangkan pada tahun 2014 oleh PKNK dan diluluskan permohonannya pada sekitar OCT 2015 didalam mesyuarat lembaga Pengarah yang dipengerusikan oleh mantan MB terdahulu iaitu Dato Seri Mukhriz Mahathir dan usahasama ini berlaku dengan sebuah syarikat bumiputera penuh Mastaja Sdn Bhd tiada pun Chin Hin terlibat. Oleh itu, janganlah kita mudah percaya atas viral viral yang enak didengar atas nama tuntutan Hak Rakyat terobek. Percayalah sebagai kerajaan, saya percaya Ahmad Bashah meletakan jaminan Hak rakyat adalah keutamaan pentadbiran beliau dan tidaklah sewenang wenangnya dicabuli tanpa pertimbangan yang wajar.  

24. Hak rakyat di Sik seramai 351 pemohon yang menunggu selama 14 tahun sekalipun Ahmad Bashah memeteraikan usahanya dengan kesemua mereka itu beroleh hakmilik tanggal 4 Januari lalu. Inikan pula tanah-tanah milik kerajaan yang bernilai tinggi dan strategik. Ironinya ia bukan sahaja dipelihara malah dibangun secara kerjasama strategik dengan pelabur dalam dan luar, namun entiti pegangan kerajaan ke atas tanah berkenaan adalah jelas. Selain nikmat dan hasil dari pembangunan berkenaan membawa keuntungan kepada perbendaharaan negeri serta meluaskan faedahnya kepada masyarakat terbanyak. Inilah konsep sebenar tanah dan penggunaanya dimajukan di Kedah. Disini Lahirnya Sebuah Cinta............

Syed Mohd Johan Rizal bin Syed Unan Mashri
AJK Pergerakan Pemuda UMNO Negeri Kedah
Naib Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Alor Setar
Pengerusi Kelab Belia Darulaman

Tuesday 17 January 2017

TANAH DAN KEMAJUAN PEMBANGUNAN DI KEDAH.. (BAHAGIAN PERTAMA)


1. Ada dua isu besar yang diselewengkan fakta berkaitan tanah sepertimana heboh baru-baru ini di KEDAH.

2. Pertamanya, status "Melayu" yang diberi semula kepada institusi kewangan konvensional sepertimana tertulis dalam undang-undang Malaysia bagi membolehkan mereka menerima gadaian atau pajakan Tanah Simpanan Melayu.

3. Wujud rasa sensitif apabila isu tanah dikemukakan. Pertama, dari sudut sosiologi tanah ibarat Negara bagi orang Melayu. Keduanya, tanah adalah aset tetap tidak alih yang boleh menjana pelbagai kegiatan ekonomi di atasnya.

4. Ketiga, milikan tanah melambangkan status sosial seseorang individu. Dalam konteks KEDAH dan di mana-mana wilayah sekalipun hakikatnya saiz atau keluasan tanah tidak bertambah, walhal keperluan penggunaanya kian meningkat.

5. Kesan pertambahan populasi yang kemudiannya melibatkan permintaan perumahan, perusahaan, kilang industri, kawasan rekreasi, pembangunan komersial dan pejabat kerajaan serta swasta.

6. Perlu difahami, pemilik mutlak semua tanah yang ada di sesebuah negeri adalah PBN (Pihak Berkuasa Negeri). Apabila ada permohonan bagi tujuan pertanian, perusahaan, perkliangan, perumahan, PBN akan melupuskan tanah miliknya melalui proses pemberi milikan dengan adanya satu geran 'title'.

7. Pemberi milikan ini juga tidak menandakan satu milikan mutlak oleh penerima tadi. Setiap tahun ianya perlu membayar cukai taksiran hasil tanah, premium dan juga status tanah diberi milik itu perlu diperbaharui selepas tempohnya jika ianya adalah pajakan.

8. Selaku PBN, dengan saiz tanah yang tidak pernah bertambah ini, keseimbangan agihan dan fokus berhubung pembangunan perlu difikirkan. Misalnya, jika satu hektar tanah pertanian ditanam dengan padi, ianya hanya memberi pulangan sebagai contoh kepada 4 atau 5 orang pekerja bagi mencari rezeki. Namun apabila dibuat rumah kedai dua tingkat misalnya ratusan penduduk sekitar beroleh manfaat selain bercambahnya aktiviti ekonomi hiliran.


9. 12 tahun yang lalu, apabila 1,200 ekar tanah pertanian dipinggir Bandar Raya Alor Setar dibuat pengambilan, untuk diwujudkan Bandar Baru Mergong, maka ianya menjadi isu politik. Pemilik tanah tidak menolak usaha ini kerana selain pampasan, mereka juga beroleh manfaat sampingan yang lain. Kini dengan kepesatan projek pembangunan bercampur dan komersial di kawasan berkenaan meliputi hotel, lot kedai, hypermarket, perumahan, lebih 150,000 penduduk sekitar mendapat manfaat. Sejumlah 6,000 peluang kerja diwujudkan. Hotel Grand Alora yang berdiri megah di kawasan berkenaan, nilai jualan perkhidmatan bilik, serta pelbagai acara yang diadakan mengaut hasil jutaan ringgit sebulan.

10. Tumbuhnya pelbagai pusat komersial, kawasan perumahan baru dan juga lot niaga menatijahkan peningkatan hasil kutipan cukai taksiran, cukai hasil pintu, dan kesan ekonomi sampingan kepada kerajaan dan masyarakat setempat.

11. Samalah jua dengan pembangunan di Persiaran Sultan Abdul Hamid, atau dulunya dikenali sebagai Jalan Pegawai, yang menempatkan kuarters rumah pegawai kerajaan. Jika mahu bersandarkan nostalgia tanpa memikirkan keperluan jangka panjang, maka rumah-rumah nostalgia itu dikekalkan, namun tentulah tidak adil bagi generasi baru, pencari kerja serta pengusaha yang mahu melangsungkan kehidupan mereka.


12. Lantas kini, Persiaran Sultan Abdul Hamid adalah mercu pembangunan baru yang auranya tersebar luas. Dengan pusat kewangan, perniagaan pelbagai, penjaja, restoran, gedung alatan sukan, pusat kecantikan dengan rangkuman kesemuanya membuka peluang hampir 5,000 peluang pekerjaan.

13. Kes yang sama juga boleh dilihat dalam konteks pembangunan Pekan Simpang Kuala. Bagi penduduk Alor Setar totok Simpang Kuala dulunya disinonimkan dengan kegiatan jenayah, kongsi gelap dan pusat perjudian. Apabila pengambilan tanah di kawasan itu dilakukan di era Tan Sri Osman Aroff untuk pembangunan pusat pertumbuhan baru, ianya mendapat tentangan bukan sedikit, malah Exco Perumahan dan Kerajaan Tempatan ketika itu diugut, keluarganya di ancam.

14. Kini, pekan Simpang Kuala dan nadi ekonominya bergerak tanpa henti. Pelbagai pusat barangan elektrik, kenderaan bermotor, restairan makanan segera, pusat kecergasan berdiri gagah di situ dan menawarkan bukan sahaja kerencaman aktiviti ekonomi, malah membuka ruang untuk kegiatan perdagangan, perusahaan dan perniagaan komersial termasuklah disini tempat saya menjalankan operasi firma guaman saya.


15. Inilah asasnya, dan kesemua pembangunan serta mercu tanda yang membawa manfaat jangka panjang kepada pelbagai pihak perlu dibangun dan didirikan di atas tanah. Tidak ada pembangunan atau kawasan komersial mahupun perumahan yang boleh didirikan di atas angin atau di awangan, melainkan bagi golongan yang percaya pada keajaiban mitos kerajaan sesat ayah Pin.

16. Maka tanah dan keperluannya bagi pembangunan tidak boleh dilihat dari sudut sentimental atau nostalgia semata-mata. Ianya harus diukur berdasarkan keperluan, manfaat kepada masyarakat teramai, sumber pendapatan pada kerajaan,ruang bagi dinamisme aktiviti ekonomi serta peluang kerja untuk rakyat. Selain prospek dan keperluan jangka panjang..

Bersambung di bahagian ke-2, ISU RIZAB MELAYU dan PEMBANGUNAN KAWASAN HIJAU DI SUNGAI PETANI…

Syed Mohd Johan Rizal bin Syed Unan Mashri
AJK Pergerakan Pemuda UMNO Negeri Kedah
Naib Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Alor Setar
Pengerusi Kelab Belia Darulaman

Sunday 8 January 2017

TERKINI:TANAH RIZAB MELAYU TIDAK LAGI BERNILAI?


USUL KERAJAAN NEGERI KEDAH UNTUK MENCELAH MASUK DALAM PERMOHONAN KEBENARAN MERAYU KE MAHKAMAH PERSEKUTUAN KES NO PERMOHONAN SIVIL: No: 08-345-08/2015 AFFIN BANK BERHAD V JAMALUDIN JAAFAR DAN KERAJAAN NEGERI KEDAH (SEBAGAI BAKAL PENCELAH) DITOLAK


Kronologi Kes.

1. Pada 30 September 2016, Mahkamah Rayuan dalam Rayuan Civil K-02 -2728-12 TAHUN 2013 telah memutuskan bahawa segala gadaian ke atas Tanah Rizab Melayu oleh mana-mana institusi kewangan yang tidak diiktiraf Melayu berlandaskan Enakmen Rizab Melayu Kedah 1933 adalah tidak sah dan terbatal (null and void).

2. Keputusan Hakim-Hakim di Mahkamah Rayuan pada hemat saya adalah berkemungkinan terkhilaf kerana mengambil posisi dan kedudukan pembacaan Enakmen Rizab Melayu secara “strict” dan tidak mengambilkira akan impak yang bakal dan kini melanda Kerajaan Negeri Kedah, Pemaju-pemaju, institusi kewangan dan secara khususnya orang Melayu.

3. Mahkamah Rayuan juga mungkin telah terkhilaf kerana tidak mengambil pembacaan undang-undang berkenaan dengan isu non-natural person (yakni, bukan individu dan dalam kes matan adalah institusi kewangan dan perbankan).

4.  Di Mahkamah Rayuan, pihak Kerajaan Negeri tidak terlibat secara langsung dan tidak dinamakan sebagai pihak. Namun demikian, keputusan tersebut telah mengikat Kerajaan Negeri Kedah.


5. Pihak Bank,iaitu, Affin Bank Berhad, tidak berpuas dengan keputusan tersebut dan telah memfailkan Permohonan Kebenaran Merayu ke Mahkamah Persekutuan.

6. Oleh kerana itu, Kerajaan Negeri Kedah, melalui, Pejabat Penasihat Undang-undang telah memfailkan satu Notis Usul untuk Mencelah supaya dimasukkan sebagai Pihak yang mempunyai kepentingan.

Tindakan yang diambil Kerajaan Negeri Kedah sebelum Bicara Notis Usul untuk Mencelah

7. Selanjutnya, pihak Kerajaan Negeri Kedah, atas nasihat Pejabat Penasihat Undang-undang, telah menahan sebarang pendaftaran gadaian oleh mana-mana Institusi Kewangan bukan Melayu ke atas Tanah Rizab Melayu. Impak ini akan diulas nanti. Ini dapat diperhatikan apabila, Pejabat Tanah Galian Negeri Kedah telah mengeluarkan satu surat arahan yang mengarahkan kesemua pejabat tanah di negeri Kedah untuk tidak menerima pendaftaran gadaian tanah rezab Melayu yang digadaikan kepada mana-mana institusi kewangan yang tidak tersenarai didalam Jadual 2 sehingga Mahkamah Persekutuan membuat keputusan berkenaan kes ini.

8. Ini telah mengakibatkan, orang Melayu mempunyai kesukaran untuk membeli tanah rizab Melayu atau mengadaikan tanah Rizab Melayu sebagai sekuriti kepada instusi perbankan untuk membeli mana-mana projek perumahan baru di atas lot Tanah Rizab Melayu.

9. Permohonan Notis Usul Untuk Mencelah oleh pihak Kerajaan Negeri Kedah telah ditetapkan untuk bicara pada 4 Januari 2017 dan Notis Usul telah ditolak.

10. Kini, Kerajaan Negeri Kedah harus menantikan kebijaksanaan peguam-peguam bagi Pihak Affin Bank Berhad untuk mendapatkan Kebenaran untuk Merayu ke Mahkamah Persekutuan  dan selajutnya mendapatkan keputusan yang memihak bagi pihak Bank semasa pendengaran Rayuan di Mahkamah Persekutuan.

Isu-isu yang Berbangkit

11. Isu-isu yang berbangkit dalam kes ini adalah seperti berikut :

(a)  Adakah wujud sebarang halangan berdasarkan Seksyen 6 Enakmen Rizab Melayu Kedah, Enakmen No: 63 untuk mengadaikan Tanah Rizab Melayu kepada sesuatu institusi kewangan bukan Melayu?

(b)  Mahkamah Rayuan menafikan hak pemegang rizab Melayu untuk mengadaikan tanah Rizab Melayu bilahal sekyen 6 hanya menafikan penjualan Rizab Melayu kepada bukan Melayu

(c)  Sama ada pihak Bank yang tidak diiktiraf/diisyhtihar Melayu menurut Enakmen Rizab Melayu No. 63 boleh mengadaikan tanah rizab Melayu memandangkan gadaian tersebut tidak sah dan terbatal?


12. Adalah wajar untuk ditekankan di sini secara khusus bahawa Mahkamah Rayuan dalam kes Selat Bumimaju Sdn Bhd (kes no: K-01(NCVC)(A)-196—6/2014, pada 27/11/2014 telah memutuskan berhubung dengan pemakaian s. 17 Enakmen Rizab Melayu Kedah bahawa mahkamah tiada bidang kuasa untuk memutuskan isu-isu berkenaan dengan tanah rizab melayu di Negeri Kedah. Selaras dengan s.17 Enakmen, kuasa terletak pada Raja Dalam Mesyuarat sahaja.

13. Oleh yang demikian, Mahkamah Rayuan tidak wajar untuk membuat sebarang intepretasi dalam pembacaan Enakmen Rizab Melayu Kedah, Enakmen No 63. Namun demikian, ini bukan forum untuk membahas atau menghujahkan hal ini.

14. Seterusnya, Mahkamah tidak termasuk di dalam tafsiran ‘Raja Dalam Mesyuarat’ dan tidak mempunyai kuasa untuk memutuskan berhubung dengan status mana-mana tanah rizab Melayu memandangkan s. 17 Enakmen jelas memperuntukkan bahawa kuasa itu terletak pada Raja Dalam Mesyuarat.

15. Isu-isu yang berbangkit di perenggan 11, saya percaya, akan menjadi isu-isu yang harus dijawab oleh Hakim-hakim yang Bijaksana di Mahkamah Persekutuan dan keputusan tersebut bakal memberi impak kepada Kerajaan Negeri Kedah.

16. Dalam apa jua keadaan, saya percaya, Kerajaan Negeri Kedah akan mengambil tindakan yang sewajarnya dalam menangani isu ini.

IMPAK NEGATIF KEPADA KERAJAAN NEGERI KEDAH, PEMAJU DAN ORANG MELAYU

17. Impak keputusan Mahkamah Persekutuan menolak Notis Usul Kerajaan Negeri Kedah untuk mencelah akan mengakibatkan impak negatif (negative floodgates) ke atas pemilik-pemilik tanah rezab Melayu, pembeli, penjual, pemaju, institusi-institusi kewangan/perbankan

18. Tidak dapat dinafikan akan wujudnya beberapa traksaksi jual beli hartanah yang telah dipindahmilik atau bakal dipindah milik kepada pembeli terbantut kerana gadaian kepada institusi kewangan tidak dilaksanakan. Ini mungkin disebabkan rata-rata institusi kewangan tersebut khuathir untuk mengambil risiko melepaskan pinjaman kepada pemilik tanah Rizab Melayu yang sememangnya dalam kes ini Orang Melayu.


19. Orang Melayu kini akan mengalami kesukaran untuk membeli hartanah rizab Melayu kerana insitusi Kewangan dan Perbankan tidak akan melepasan pinjaman kewangan dan seterunsya akan mengugat kedudukan ekonomi dan kewangan orang Melayu. Kuasa Orang Melayu untuk membeli hartanah Tanah Rizab Melayu, hartanah dan sebagainya juga akan tergugat dan ini akan mengakibatkan kuasa membeli(power to purchase) berkurangan.

20. Saya percaya tindakan proaktif harus diambil dengan segera untuk menangani ‘kemelut undang-undang’ ini.

Saranan

21. Adalah wajar untuk kita mengambil  intipati keputusan YEBET SAMAN V FOONG KWAI LONG [2014] 6 CLJ 795 sebagai landasan untuk membuat keputusan lanjut :

"Jadual Kesembilan, Senarai II Senarai Negeri, Perlembagan Persekutuan ('Perlembagaan') dan Kanun Tanah Negara ('KTN') memperuntukkan kuasa mengenai perihal tanah atau apa-apa status tanah dan oleh demikian, mana-mana undang-undang yang digubal berkenaan dengan tanah hendaklah tertakluk kepada kuasa Kerajaan Negeri. Bagi perkara tanah yang melibatkan peruntukan Akta Orang Asli 1954 ('Akta tersebut') pula, adalah jelas kuasa budi bicara mengenainya adalah di bawah kuasa Kerajaan Negeri. Ini diperuntukkan di bawah ss. 6, 7 dan 8 Akta tersebut. (perenggan 5)”

22. Harus ditekankan, Kerajaan Negeri Kedah (Pihak Berkuasa Negeri), melalui Raja Pemerintah harus mengubal Enakmen Rizab Melayu. Saya percaya, mengisytiharkan institusi perbankan sebagai Melayu adalah tidak wajar. Adalah tiba masanya, untuk mengubal Enakmen No.63 untuk membenarkan institusi Kewangan/perbankan yang tidak disytihar Melayu untuk menerima gadaian atas Tanah Rizab Melayu dan gubalan ini akan mengambil retrospektif efek.

23. Kes tersebut di atas, dan juga pembacaan Enakmen No 63 memberi kuasa kepada Kerajaan Negeri Kedah untuk mengubal undang-undang dan ini dapat mengelakkan sebarang kesulitan di masa akan datang.

Syed Mohd Johan Rizal bin Syed Unan Mashri
AJK Pergerakan Pemuda UMNO Negeri Kedah
Naib Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Alor Setar
Pengerusi Kelab Belia Darulaman