Saturday 24 December 2016

BICARA RAKYAT MAHATHIR: AURA YANG KIAN PUDAR


1. Tidak ada sesuatu yang baru dalam Bicara Rakyat yang mengetengahkan Mahathir selaku tokoh pembicara utama, program anjuran PPBM di Taman Wira pada 23 Disember lalu.

2. Jika diukur dengan kehadiran kira-kira 1,000 orang penonton, dengan 95% darinya 'orang luar', ditambah dengan usaha menyewa beberapa buah bas Inter-City dua tingkat milik sebuah syarikat pengangkutan, maka program berkenaan jelas gagal sama sekali.

3. Kesilapan besar Mahathir adalah berterusan menunjukkan sikap marah dan dendam peribadinya dalam berpolitik. Sehingga hilang rasional dan pertimbangan bagi memacu tindakan tersusun.

4. Jelas dalam bicaranya, yang dimarahinya adalah Najib dengan perkataan Najib mencuri  diulang sebanyak lebih kurang 27 kali. Meski yang dikatakan mencuri itu sehingga sekarang gagal dibuktikan kesalahan selain Najib sendiri berterusan kekal cool dan melaksanakan khidmat bakti untuk rakyat.


5. Pada tahun 80'an dan penghujung 90'an ceramah Mat Sabu ayam tambatan PAS ketika itu berjaya menggamit puluhan malah ratusan ribu pendengar, namun tiba saat pilihanraya, PAS terus kecundang.

6. Mahathir tampaknya gagal pelajari aspek itu. Psikologi budaya politik di Kedah sekadar menganggap ceramah politik tidak lebih dari sekadar hiburan malam sama seperti aksi wayang kulit.

7. Lantas, ramai yang ke program ceramah berkenaan secara santai setelah tidak ada aktiviti yang mahu dilakukan di hari cuti. Setelah mendengar selama 10 minit, jika tidak ada isu sensasi atau kontroversi terbaru yang menghiburkan, maka mereka lazimnya akan meninggalkan majlis.

8. Inilah yang berlaku di Taman Wira dalam program Bicara Rakyat. Kekentalan hati dan pendirian penduduk Taman Wira dan mana mana tempat di Kedah sudah utuh bersama UMNO.

9. Datanglah penceramah membawa apa jua status, baik negarawan atau ilmuan. Akhirnya yang dinilai ialah siapakah pemimpin setempat yang sering melakukan engagement dengan mereka dan siapa pula yang mudah mereka dekati untuk mendapatkan khidmat bakti.


10. Inilah strategi politik yang gagal difahami Mahathir dan gerakan PPBM. Tidak mustahil jika inilah kesudahannya, maka kerusi yang bakal mereka tandingi mudah kalah.

11. Ideologi, dasar dan halatuju PPBM juga kurang sirna. Dan dalam program Bicara Rakyat itu juga yang jelas, DAP beroleh untung, kerana satu persatu penceramah sebelum Mahathir asyik mempromosikan kebaikan DAP. Sekali lagi satu langkah taktikal yang silap kerana sentiment gagal dibaca. Dan masyarakat Kedah lebih mengerti dan memahami warna sebenar perjuangan DAP.

12. Maka jadilah apa yang diungkapkan itu sekadar retorik dan bahan tawa penonton.

13. Hakikatnya masih banyak perlu dipelajari PPBM. Dengan masa untuk Mahathir kian suntuk bagi menobatkan anaknya ke jawatan Menteri Perdana, maka kecelaruan Mahathir kian mengasak dirinya sendiri.


14. Dari bahasa badan pendengar yang datang juga, jelas mereka mencebih mulut dan ternampak betapa Mahathir bukanlah sepertimana 22 tahun di singgahsana selaku Menteri Perdana.

15. Mahathir jelas, sudah menurunkan tarafnya sama seperti gurkha kepada DAP yang sanggup diperkuda dengan butiran gerak kerja dan strateginya bercelaru tanpa halatuju.

16. Benarlah ibarat doa almarhum Ustaz Fadzil Nor, Mahathir dipanjangkan umur untuk melihat sisa kemusnahan hasil dari apa yang dibinanya dahulu.


17. Sistem tirani, police state yang zalim lagi kejam dengan pelbagai sekatan undang-undang. Kini rakyat membuka mata, Mahathir boleh ke sini dan ke sana secara bebas, tanpa sebarang sekatan pun di bawah era Najib.

18. Boleh menghentam kepimpinan negara dan negeri sesuka hati, namun hentamannya tidak berbekas. Ruang bicaranya adapun seperti tiada. Pimpinan negara dan negeri tetap bekerja seperti biasa.

19. Dan strategi inilah yang melemaskan Mahathir dan saya yakin dia sedar, auranya tidak seperti dahulu. Taringnya sudah tumpul, agenda dibawanya bukan lagi untuk rakyat Malaysia tapi tidak lebih dari usaha membina legasi keluarga seadanya.

20.  Namun, UMNO seharusnya bekerja dengan lebih kuat menangkis segala tohmah mehnah, memperlihatkan khidmat bakti kepada rakyat setempat dan seluruh negeri kedah kerana akhirnya rakyat memilih kerajaan bukan mana mana individu. Biar kita tidak popular dibibir rakyat tapi dekat dihati rakyat yang merasai denyut nadi kita.  

20. Mahathir, zaman anda sudah berlalu, kini tiba masanya AURA anda pudar jua…

Syed Mohd Johan Rizal bin Syed Unan Mashri
AJK Pergerakan Pemuda UMNO Negeri Kedah
Naib Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Alor Setar
Pengerusi Kelab Belia Darulaman

Sunday 18 December 2016

HAD PM 2 PENGGAL; CADANGAN MUKHRIZ CUMA GIMIK POLITIK MURAHAN!!


1. Gesaan Mukhriz agar jawatan PM dihadkan selama 2 penggal selain diasingkan jawatan Menteri Kewangan merupakan satu lagi gimik politik pembangkang yang cuba meraih sokongan. Malah, saya sendiri dalam usul politik mesyuarat perwakilan UMNO Bahagian Alor Setar telahpun membawa usul menghadkan penggal jawatan PM  ini dan mana mana jawatan utama dalam kerajaan mahupun parti agar peremajaan parti dan kepimpinan berlaku secara serius. Usul cadangan ini telah saya bentangkan didalam sidang perwakilan 2 tahun lalu semasa Mukhriz masih sebagai Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Kedah dan Menteri Besar Kedah untuk dibahaskan dan diterima oleh sidang perwakilan UMNO Bahagian Alor Setar.  

2. Namun,ketika itu tidaklah pula usul saya ini mendapat perhatian daripada Pengerusi Perhubungan Negeri Kedah ketika ini iaitu Mukhiz sendiri.Kerana apa? adakah kerana beliau masih berada ditampuk kepimpinan kerajaan? Selesa dengan kuasa dan jawatan Menteri Besar? atau pada padangan beliau ketika itu 2 penggal ditampuk kuasa tidak cukup untuk merealisasikan misi dan misi beliau mewarnakan kerajaan Negeri?. Akan tetapi berlainan pula padangan beliau kini apabila beliau bukan lagi sesiapa dalam kerajaan mahupun parti UMNO.  Pada pandangan saya, ianya juga seakan-akan menepuk air di dulang terpercik ke muka sendiri. 

3. Jika asas jangka masa jawatan dijadikan sebab berlakunya penyelewengan, maka bermakna selama 22 tahun ayahnya Tun Mahathir menjadi PM dan Menteri Kewangan sudah tentulah benar sepertimana diberitakan oleh Barry Wain bahawa Dr Mahathir telah melakukan khilaf dengan mengakibatkan negara kerugian ratusan billion.

4. Prinsipnya sistem 'check and balance' dalam kerajaan melalui mekanisme jemaah kabinet cukup jelas, dan sebarang pelaksanaan keputusan atau dasar penting adalah hasil konsensus.

5. Jika benar pihak pembangkang ikhlas melaksanakan sistem dua penggal bagi pemegang jawatan utama mereka boleh menunjukkan contoh duluan dengan melaksanakan di Kelantan, Selangor dan Pulau Pinang. 


6. Isu keduanya adalah berhubung fungsi SPRM. Secara spesifik ruang lingkup kuasa SPRM kini telah melalui penambahbaikan dan jurisdikasi yang lebih jelas berbanding era Mahathir. Malah Menteri dari UMNO sendiri sebagai contoh Dr Khir Toyo dan ramai lagi telah pernah didapati bersalah dan menjalankan hukuman mahkamah.

7. SPRM di era kini bukan sahaja bebas melaksanakan tugas mereka 'without fear and favour' malah dapat bertindak dengan objektif tanpa takutkan campurtangan politik. Ia tidak lagi seperti di era Dr Mahathir berkuasa dulu. 

8. Jelasnya cadangan yang diutarakan oleh Mukhriz ini bukan sahaja bersifat gimik politik malah sekadar satu cadangan bersifat gula gula, tidak ikhlas serta  cuba menarik perhatian rakyat semata mata.

9. Sekiranya Mukhriz benar-benar ikhlas dalam dua hujahnya itu, maka sudah tentu beliau sudah umumkan hanya akan jadi MB untuk dua penggal saja ketika di awal pentadbirannya di Kedah sebelum ini.


10. Malah jika beliau benar nekad dengan hujahnya tentang SPRM, maka beliau sepatutnya meminta pihak berkuasa itu menyiasat segala dakwaan mengenai bapanya, abang kakaknya, bapa saudaranya, saudara maranya, sahabat handainya termasuk kroni-kroni bapanya ketika menjadi PM dulu. Ia juga adalah bertujuan untuk membersihkan nama keluarganya.

11. Jika tidak berani untuk berbuat demikian, janganlah pura-pura berani di depan rakyat. Keikhlasan perlu ada dalam keberanian. Apatah lagi kita umat Islam tertakluk pada hukum-hakam, dosa dan pahala, maka perlulah kita utamakan syariah terlebih dahulu.

12. Usahlah bermain kata-kata dan menanam tebu dipinggir bibir kerana kami semua sudah muak dengan janji manis, ugutan, sikap kuku besi dan segala 'maha' yang bapanya pernah amalkan dulu. Cukup-cukup sudah, dunia kini sudah berubah...

Syed Mohd Johan Rizal bin Syed Unan Mashri
AJK Pergerakan Pemuda UMNO Negeri Kedah
Naib Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Alor Setar
Pengerusi Kelab Belia Darulaman

Thursday 15 December 2016

RAJA BERDAULAT, BERJIWA RAKYAT


1. Tinta sejarah tertulis indah. Dua kali disinggahsana selaku Ketua Negara, Duli Yang Maha Mulia Tuanku Abdul Halim Muadzam Shah ibni Almarhum Sultan Badlishah, jelas mempamir ciri seorang raja berdaulat, berhemah tinggi dan berjiwa rakyat.

2. Di usia 89 tahun, baginda menunjukkan khidmat yang penuh cemerlang, menaungi Negara. Mendepani segala macam mehnah dan cabaran demi mengukuh perpaduan dan citra sebuah peradaban.

3. Dalam konteks Kedah, peranan baginda usah dipersoal, kejituan tumpuan dalam pentadbiran negeri dilakar satu persatu, sehingga Kedah bergerak maju.

4. Semuanya hasil didikan awal, pengalaman pentadbiran, dan asuhan yang cukup sempurna. Malah tatkala menuntut di Kolej Sultan Abdul Hamid, antara 1946-1949, baginda memilih untuk bersemayam di istana, bergaul dengan pelajar dari kalangan rakyat biasa.

5. Inilah hemahan baginda, dan kesemua ini adalah asas latihan dan menjadi breeding ground yang cukup berkesan tatkala baginda dimahkotakan selaku Sultan Negeri Kedah.


6. Budi pekerti baginda, lengkap serta seimbang, diasuh dan dididik dengan nilai agama dan urusan keduniaan. Pengalaman baginda luas jauh terbentang, sehingga dihormati seanterio benua.

7. Bukan sekali baginda bersemayam selaku ketua Negara. Kali pertama antara tahun 71-75 tatkala Tun Abdul Razak menjadi Perdana Menteri. Sedang Negara pula baru pulih dari landaan tragedi dan mahu menyegerakan kembali teras demokrasi.

8. Kali kedua sejarah dicatat, 13 Disember 2011 menerusi sistem elected monarchy, baginda sekali lagi dinobat selaku Ketua Negara, dengan memanda PERDANA Menterinya adalah Dato Seri Najib Tun Razak, selaku putera kepada Allahyarham Tun Razak.


9. Berkat daulat Duli Paduka, sinergi baru pembangunan dan ekonomi Negara terus dilakar. Kepaduan dan harmoni masyarakat majmuk terus diperkasa.

10. Urustadbir Negara efisien, cekap dan teserlah segalanya. Diadun dengan sentuhan penuh berhemah, tertib, dan semangat tanpa sedikitpun mengabaikan keperluan rakyat. Sesuai dengan jiwa dan sikap baginda yang mendahulukan rakyat.

11. Kini, baginda kembali semula untuk memayungi Mahkota Negeri Kedah. Tanggal 12 Disember 2016, baginda yang cukup cemerlang dan menakhoda takhta selaku Ketua NEGARA, kini akan memugar kembali dan memberi sirna pada sebuah tamadun bangsa bernama KEDAH DARUL AMAN.


12. Kekentalan semangat baginda, sentuhan kasih saya dan daya dinamik kepimpinan adalah ramuan segalanya. Raja Berdaulat Berjiwa Rakyat, itulah gelaran paling sempurna yang sewajarnya menjadi milik baginda.

13.Kedah akan kembali bercahaya, negeri akan terus maju jaya, rakyat berbilang kaum di Darul aman akan terus berbangga, kerana Sultannya adil, bertimbang rasa, mengerti akan aspirasi dan keperluan rakyat jelatanya.

14.Seperti kata pantun Melayu lama:

Negeri Kedah indah laksana
Ramai orang berdagang santeri
Raja Berdaulat Di Singgahsana
Bakti leluhur payung Negeri…
‘RAJA BERDAULAT BERJIWA RAKYAT’

Daulat Tuanku!, Daulat Tuanku!, Daulat Tuanku!

Syed Mohd Johan Rizal bin Syed Unan Mashri
AJK Pergerakan Pemuda UMNO Negeri Kedah
Naib Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Alor Setar
Pengerusi Kelab Belia Darulaman

Tuesday 6 December 2016

PASCA PAU2016; POLITIK SINGKONG, SIAPA MUDAH LUPA?


1. Sejak 1969, Dr Mahathir menggelar Kit Siang rasis. 2016, tiba-tiba DAP dan Lim Kit Siang dipuja kononnya lebih toleran dan lebih terbuka berbanding MCA. Jelas sudah Mahathir sudah terlupa..

2. 22 tahun selaku Presiden UMNO dan baki 12 tahun selaku MKT, Naib Presiden dan Timbalan Presiden, UMNO diangkat selaku wadah terbaik, dengan prinsip wala dimahukannya bagi kekuatan Jemaah, kini tiba-tiba Dr Mahathir wala tidak diperlukan sekadar mahu melindungi Najib. Di eranya konon wala untuk institusi Presiden, tiba-tiba era Najib wala menjadi satu dosa walhal ianya tuntutan agama. Terang lagi bersuluh Mahathir sudah terlupa…

3. Dulu, saingannya disingkir satu persatu, yang beridealisme, berbeza pandangan dibuang, dikubur tanpa nisan, ISA, OSA, Akta Hasutan dan Akta Mesin Cetak serta Penerbitan diguna berleluasa untuk didiamkan musuh. Malah beliau pernah digelar 'Maha Zalim' dan 'Maha Firaun'. Namun kini, dengan segala ruang kebebasan memaki hamun ahli dan pimpinan UMNO tiba-tiba Mahathir menggelar kerajaan ini zalim, dan negara mengamalkan ‘negara polis’. Jelas lagi, ketuaan dan kenyanyukan Mahathir membuatkan ia sudah lupa.

4. Dulu, Perhimpunan Agung Tahunan UMNO, medan memuja, memuji dan mengiyakan segala tindak tanduknya dengan penuh adat ritual feudal sorak sorai, dengan konsisten menghentam PAS, Anwar dan DAP. Tapi kini Mahathir terkesan pula bila perhimpunan yang sama berkomentar tentang dirinya yang terangan mahu menghancurkan parti dan negara. Nyatalah, Mahathir makin pelupa..

5. Sebelum ini, Mahathir secara berulang mengingatkan kita tentang PKR dan DAP adalah pengkhianat bangsa, penggugat keamanan negara. Tapi kini Mahathir berkata Anwar tidak bersalah dan perlu dibebaskan. Tanpa segan silu pula memperkata tentang apa kurangnya jika Kit Siang Perdana MENTERI Malaysia? Malang sungguh, negarawan purba ini makin hilang ingatan dimindanya.

6. Di eranya, anak beranak, kroni kaya raya, siapa pun tidak boleh pertikai dan kalangan yang dilindunginya kaya raya serta 'untouchable'. Tapi kini Mahathir sibuk bercakap harta yang disamun. Siapa lebih menyamun sebenarnya, sehinggakan Bary Wain dalam bukunya terang-terangan mendakwa Mahathir adalah punca RM100 bilion wang rakyat lesap sepanjang 22 tahun selaku Menteri Perdana. Kenapa penulis berkenaan tidak disamannya? Walhal dalam masa yang sama, beliau sibuk menyuruh Dato Seri Najib mengemukakan saman sivil kepada WSJ yang sebelumnya mengakui perolehi maklumat dari sumber jalanan. Siapa yang lupa sebenarnya?


7. Dulu, Mahathir mengingatkan seluruh ahli UMNO dan bangsa Melayu, DAP wajib dijauhi, DAP adalah virus merbahaya kepada Islam, kepada Melayu, kini Mahathir semeja dengan Chen Man Hin, antara pengasas PAP yang cukup naratifnya sebagai seorang yang kuat 'chauvanist' cinanya, memuja Kit Siang, 'memeluk' Guan Eng, atas dasar emosi dan dendam amarahnya, kerana masa kian mengejarnya. Walhal hasratnya menabalkan 'Boboi' selaku Menteri Perdana belum terlaksana. Apakah Mahathir sudah gila? Memperjudikan kefahaman rakyat selama 22tahun yang telah didoktrinkan oleh beliau??

8. Apakah benar munajat dan doa Arwah Ustaz Fadzil Noor semasa tahun 1998 kini menjadi kenyataan? Hanya Allah lebih mengetahui dan seluruh ahli UMNO dan rakyat Malaysia sama sekali tidak mudah lupa dengan legasi yang Mahathir tinggalkan... Buruk atau baik semuanya ada, namun kebelakangan ini yang buruk kian menjadi-jadi..

9. Biarlah, di saat kepaduan dan solidariti UMNO kembali segar setelah ditiup dengan obor perjuangan baru, usai PAU 2016 pada 3 november lalu, Mahathir dan konconya terus meracau, bergentayangan, ibarat polong dan pocong, mencari dahan terbaik untuk merencana agenda dan amarah dendamnya.

10. Biarlah, manusia boleh merancang, namun sebaik-baik perancangan adalah rencana Allah, dan yakinlah rencana Allah itu lebih baik untuk kita semua...

SOLIDARITI DEMI BANGSA DAN JAUHI PENGKHIANATAN PADA AGAMA..

Syed Mohd Johan Rizal bin Syed Unan Mashri
AJK Pergerakan Pemuda UMNO Negeri Kedah
Naib Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Alor Setar
Pengerusi Kelab Belia Darulaman