Wednesday 28 September 2016

UMNO ADALAH INSTITUSI,PAYUNG BERTEDUH NEGARA BANGSA


1. Dengan usia yang sudah mencecah 70 tahun, serta sumbangan besar semenjak 1946 dengan tiga fasa, penyatuan masyarakat, kemerdekaan negara dan membangun aspek kemajuan, setiap warga baik Melayu, Cina dan India mahupun lain-lain kaum tidak boleh menafikan jasa UMNO.

2. Kekurangan UMNO dalam era kini ialah kegagalan jentera penerangannya untuk memberi makna tentang setiap apa yang sedang dinikmati oleh rakyat Malaysia.

3. Hakikatnya, sejak 1-3 Mac 1946, apabila Kongres Melayu Semenanjung diadakan buat kali pertama di Kelab Sultan Sulaiman, UMNO yang pasaknya diasas hasil penyertaan 42 buah kumpulan seminat, persatuan Melayu, bijak pandai dan alim ulama, membuktikan bahawa sehingga kini peranan selaku institusi yang menaungi bukan sahaja keperluan dan hak Melayu masih relevan malah secara tersiratnya juga jauh disudut hati bukan Melayu, mereka berasa tenteram dan yakin di bawah teraju nakhoda UMNO.

4. Ironinya, UMNO bukan sekadar parti politik yang kerjanya hanya bertanding pilihanraya untuk mendapat kuasa lalu membentuk kerajaan. Namun fungsi UMNO selaku institusi, idola, ataupun boleh dinamakan sebagai Ivory Tower(Tugu Kemegahan) yang telah menyumbang, berjasa serta memberi makna kepada setiap inci kehidupan masyarakat Malaysia.


5. Keyakinan demi keyakinan diberikan dalam bentuk mandate pemerintahan berterusan sejak Pilihanraya MPP 1955.

6. Melalui model permuafakatan politik antara elit kepimpinan,UMNO terus memperkasa idea kongsi kuasa, kerana memahami real politik dan demografi kependudukan warganya.

7. Model ini terus sifnifikan, dan mulai 1990 sudah ada alternative di pihak lain untuk meniru model yang sama sehingga kini dan menjadi saingan kuat kepada UMNO dan rakan komponen BNnya yang terdiri dari 14 buah gabungan parti termasuk dari Sabah dan Sarawak.

8. Di dalam UMNO sendiri sejak 1951, wujud cubaan puak, kelompok atas pernebazaan pendekatan untuk cuba menjuarai dengan mengambil tempat mahu menakhoda UMNO. Namun jika tidak selari dengan aspirasi Melayu, Islam dan reality masyarakat berbilang kaum, puak atau kelompok itu pasti ditolak.

9. Contohnya pengunduran Dato Onn pada tahun 1951, yang kemudiannya menubuhkan Parti Negara diikuti Parti Kemerdekaan Melayu Malaya, namun dek kerana aspirasi dan pendekatan parti barunya gagal menyelami keperluan 3 tunjang utama yang disebutkan, maka gagal.

10. Lalu diikuti pula oleh kelompok agama yang menubuhkan PAS, setelah Ustaz Ahmad Fuad bin Hasan kecewa dalam pemilihan jawtaan YDP Agung UMNO di tahun 1951 dengan tewas ditangan Almarhum Tunku Abdul Rahman.

11. Sepanjang sejarah PAS yang menjadi pesaing kuat UMNO di kawasan luar bandar dan majoriti Melayu hanya berjaya sebagai pengimbang dasar-dasar Islami UMNO, namun sehingga kini turut gagal untuk menggantikan peranan UMNO secara meluas dalam lanskap politik Malaysia.

12. Pada tahun 1987, sekali lagi UMNO diuji, maka lahirlah Semangat 46, yang bermatlamat mengembalikan roh UMNO lama. Gerakan ini juga gagal menggantikan UMNO sebagai power broker dalam politik Malaysia, kerana turut gagal menjayakan dua lagi matlamat yang selama ini didokong UMNO yakni memperjuangkan Islam dan kehendak masyarakat berbilang kaum selain menjamin kestabilan untuk semua.

13. Apabila Anwar Ibrahim dipecat pada tahun 1998, UMNO terus diuji dan perpecahan lebih besar dalam UMNO turut berlaku dengan tertubuhkan PKR. Sekali lagi walau diasak, ditentang dengan gah dan hebat, PRU 1999, 2004, 2008 dan 2013 UMNO dan rakan komponen BNnya terus diberi amanah mengemudi negara.

14. Kini, kesan dendam peribadi, dan juga usaha membina dinasti politik yang gagal selain perbezaan pandangan dan usaha gelojoh secara fast track mahu menjadi PM gagal, selain PM masa kini hanya mahu dijadikan remote control, namun disebabkan kegagagalan Mahathir Mohammad untuk terus menjadi godfather di dalam UMNO, maka PPBM pula ditubuhkan.


15. Secara jelasnya, walau apa pun jua halangan, cabaran, penentangan dalaman mahupun persepsi binaan pelbagai asas kelangsungan UMNO ters terpelihara kerana banyak sebab.

16. Pertama kerana jenamanya diyakini kesan track record dan pembuktian pengalaman lalu. Kedua, bakti budi UMNO dikenang dan sentiasa diingati jauh disudut hati kecil setiap insan bernama warga Malaysia meskipun minda mereka saban hari diasak dengan racun minda dan propaganda. Ketiga, baik buruk, jatuh bangun, amarah walau pada tahap mana sekalipun,majoriti rakyat masih ada sedikit kefahaman, tanpa UMNO dan BN hilanglah tempat naungan. Muramlah aspek perpaduan dan masa depan negara serta keamanannya dirisikokan.

17. Rumusannya, UMNO ini tidak dimiliki sesiapa, bukan mainan, ditolak ketepi dan ketengah,  UMNO itu institusi, ivory tower yang ada kaitan walau sedikit dengan kisah dan sejarah seluruh kehidupan rakyat Malaysia, umat Melayu khususnya. UMNO adalah  pelindung, guardian yang terbaik antara penjaga yang ada meskipun masih belum sempurna.

18. Lantaran itulah selamanya UMNO tetap akan segar kekal dan dinamik kerana setiap cabaran atau dugaan yang dilalui UMNO, pasti mematangkan arah tuju perjuangannya. Demi kebaikan warga Malaysia, demi MELAYU, demi memelihara hak Bumiputera, keadilan sosial dan hak semua bangsa serta. demi memartabat Islam buat sepanjang zaman.

19. Dirgahayu UMNO, Hidup Rakyat, Sejahteralah Sebuah Negara bangsa bernama Malaysia !!!

#SelamanyaUMNO
#Disinilahirnyasebuahcinta

Syed Mohd Johan Rizal bin Syed Unan Mashri
AJK Pergerakan Pemuda UMNO Negeri Kedah
Naib Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Alor Setar
Pengerusi Kelab Belia Darulaman

Sunday 18 September 2016

IDEOLOGI RETORIK, DENDAM PPBM TIDAK MAMPU TARIK ANAK MUDA


1. Dalam sistem demokrasi pelbagai parti yang seperti diamalkan di negara ini, kita menerima secara terbuka konsep kepelbagaian parti dan ideologi politik. Sistem itu telah terbukti berjaya memacu negara dengan lebih hebat menerusi kepimpinan kerajaan Barisan Nasional sejak merdeka.

2. Menerusi konsep demokrasi inilah juga setiap individu berhak dan bebas memilih prinsip perjuangan yang mahu dipilih masing-masing. Ia adalah terpakai selagi perjuangan itu tidak menjejaskan keselamatan dan ketenteraman masyarakat serta negara.

3. Namun dalam keghairahan parti serpihan UMNO, yakni PPBM yang baru diluluskan mahu merekrut ahli baru dengan elemen sogokan, tawaran murahan dan jawatan perlu dielakkan. Lebih tidak bermoral apabila 'mencuri' ahli UMNO sedia ada dengan insentif dan tawaran kebendaan yang 'menarik'. 

4. Padahal sehingga ke hari ini parti PPBM yang diterajui bekas pemimpin UMNO itu belum menyatakan secara jelas agenda perjuangan Islam, bangsa Melayu dan negara apatah lagi agenda untuk anak muda. 



5. Malahan, isu yang menjadi keutamaan seperti isu pendidikan, peluang kerja, pembangunan ekonomi, dasar luar negara, pembangunan luar bandar dan menggilap potensi anak muda tidak langsung dibicarakan.

6. Apa yang diketengahkan setakat ini hanyalah retorik kosong bahawa PPBM kononnya sebuah parti beridealismekan keadilan, berprinsip dan mengangkat maruah umat. Bunyinya 'indah belaka'. Peliknya pengisian idealisme itu juga tidak pernah diperjelaskan kepada khalayak.

 7. Padahal lain yang mereka slogankan, lain pula aksi tindakannya. Mereka memperlekeh bekas parti mereka begitu dan begini. Namun perkara jelek yang mereka perkatakan itu menebal dalam 'rumah baru' mereka sendiri. 

8. Apa yang jelas parti termuda itu hanya mempunyai satu matlamat perjuangan iaitu menjatuhkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak. Hanya kerana dendam kesumat kepada Najib beberapa pemimpinnya terhadap penyingkiran mereka daripada jawatan parti dan kerajaan.

9. Sejarah telah membuktikan bahawa perjuangan sebuah parti yang ditubuhkan kerana dendam tidak akan kemana. Lihatlah Parti Semangat 46 sudah terkubur setelah hanya mampu bertahan beberapa tahun.

11. Lantaran itu generasi muda disaran supaya berhati hati, jangan mudah terpedaya dengan segala janji kosong puak terdesak yg sekadar mahu peralat gen Y untuk melunas dendam peribadi. 

12. Justeru itu, biarlah anak-anak muda membuat pilihan dengan mengutamakan manfaat yang boleh mereka perolehi untuk masa depan generasi mereka.  Perjuangan biarlah atas realiti sebenar dan bukan hanya bersandar pada retorik politik kepentingan diri sendiri semata-mata.

Syed Mohd Johan Rizal bin Syed Unan Mashri
AJK Pergerakan Pemuda UMNO Negeri Kedah
Naib Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Alor Setar
Pengerusi Kelab Belia Darulaman