Thursday 19 November 2015

ISU VAPE: SURAT TERBUKA KEPADA KEMENTERIAN KESIHATAN MALAYSIA


1. Saya melihat bahawa VAPE telah menjadi satu fenomena besar di negara lewat akhir-akhir ini. Perdebatan demi perdebatan berlaku, cadangan demi cadangan telah dikemukakan. Namun kontroversi yang melanda perencanaan isu vape ini masih lagi tergantung dengan pelbagai kritikan, perbalahan dan percanggahan pandangan yang belum mampu menjernihkan keadaan sekaligus membawa kepada satu titik yang dipersetujui oleh majoriti yang terlibat.

2. Kementerian Kesihatan (KKM) sebelum ini telah pun menegaskan tentang kandungan cecair vape yang mengandungi nikotin adalah satu perkara yang tidak wajar dibiarkan berlaku. Keputusan untuk mengambil tindakan terhadap para peniaga vape adalah berdasarkan Akta Racun 1952 dan merampas cecair yang mengandungi nikotin dari premis perniagaan yang rata-ratanya dipelopori anak-anak muda berbangsa Melayu. Hasilnya, timbul rasa tidak puas hati di kalangan mereka dan isu berkenaan melarat hingga melibatkan unsur sosio-ekonomi bangsa Melayu.

3. Terkini, KKM telah memutuskan bahawa penjualan cecair vape hanya dibenarkan untuk dijual di premis-premis ahli farmasi dan pengamal perubatan berdaftar sahaja. Sekali lagi isu vape ini meleret-leret apabila ada pihak yang memandang sinis pada kenyataan KKM tersebut. Malah ada di kalangan Pak Menteri yang turut campur tangan memandang keputusan KKM itu sebagai sesuatu yang kurang munasabah untuk diterima. Farmasi jual cecair vape? Boleh terimakah?